No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Telenisa Menyambut 20 Tahun Berkhidmat kepada Wanita Muslim mendapatkan Hak Mereka dalam Keluarga 2003 – 2023

Tahun 2023 menandakan satu pencapaian yang penting bagi Telenisa, sebuah perkhidmatan talian telefon yang memberi nasihat perundangan di bawah Sisters in Islam kerana ia menyambut ulangtahunnya yang ke-20! Sejak tahun 2003, Telenisa telah membantu 15,000 wanita dengan menawarkan nasihat perundangan secara percuma mengenai Undang-undang Keluarga Islam dan Undang-undang Jenayah  Syariah.

Penubuhan Telenisa bermula apabila Sisters in Islam (SIS) diberi kolum mingguan di akhbar Utusan Malaysia di mana SIS menjawab pelbagai soalan berkaitan Undang-undang Keluarga Islam. Menyedari keperluan untuk memberikan platform khas untuk wanita Muslim supaya mereka tahu tentang hak mereka dan boleh mendapatkan nasihat mengenai prosedur dan proses Mahkamah Syariah, Telenisa ditubuhkan untuk menawarkan nasihat perundangan secara percuma mengenai Undang-undang Keluarga Islam. Kemudiannya, nasihat perundangan tersebut berkembang kepada undang-undang Jenayah Syariah.

Telenisa telah mengembangkan perkhidmatannya  dengan menawarkan nasihat guaman bukan melalui panggil telefon dan konsultasi secara bersemuka sahaja tetapi, menyediakan platform lain seperti melalui emel dan perkhidmatan pesanan Facebook untuk kesenangan, keselamatan dan keselesaan klien. Perkhidmatan melalui WhatsApp diperkenalkan pada awal waktu sekatan pergerakan pandemik dan seterusnya, konsultasi melalui panggilan video diperkenalkan untuk memastikan perkhidmatan ini berterusan bagi mereka yang memerlukannya.

Pencapaian ini juga disambut bersama pelancaran Statistik dan Dapatan Telenisa 2022, sebuah buku yang diterbitkan setiap tahun semenjak 2016 yang memberikan data serta maklumat  berkenaan isu yang dihadapi wanita berkaitan Undang-undang Keluarga Islam.

Pada tahun 2022, jumlah klien Telenisa telah meningkat iaitu 431 klien, di mana 148  klien merupakan klien berulang dan 283 klien baru. Peningkatan ini menunjukkan bahawa perkhidmatan Telenisa masih lagi diperlukan sebagai sumber untuk mendapatkan maklumat berkenaan Undang-undang Keluarga Islam.

Buku Statistik dan Dapatan Telenisa 2022 membangkitkan tiga isu kritikal mengenai perundangan keluarga Islam:

  • Keperluan untuk menubuhkan perkhidmatan kaunter sokongan di Mahkamah Syariah: Daripada jumlah 431 orang klien Telenisa, 99% datang ke Telenisa tanpa perwakilan guaman, 81% datang meminta bantuan untuk khidmat nasihat guaman dan perundangan dari Telenisa. Daripada jumlah klien Telenisa juga, 71% adalah dari kumpulan B40. Oleh itu, penubuhan kaunter sokongan di Mahkamah Syariah yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai terlatih adalah suatu kemestian terutama sekali bimbingan berkaitan dengan kelengkapan dan susunan dokumentasi yang diperlukan. Ini supaya pengalaman adalah lebih mesra, nyaman dan efisyen bagi mereka yang melalui proses di Mahkamah Syariah. 
  • Isu nafkah isteri: Pertanyaan mengenai nafkah meningkat walaupun di hujung waktu pandemik Covid-19, dengan 66% klien Telenisa datang untuk mengetahui tatacara membuat tuntutan nafkah. 50% daripada kes nafkah isteri adalah berkaitan dengan nafkah yang tidak mencukupi. Peratus kes suami yang tidak bekerja melonjak naik ke 28% pada tahun 2022 berbanding 10% pada tahun 2021. Ini juga telah menyebabkan peningkatan terhadap peratusan isteri tidak menerima nafkah langsung iaitu 1% pada tahun 2021 ke 3% pada 2022. Isu nafkah akan mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan seharian, ekonomi keluarga serta kesan sosial. Oleh itu, Telenisa menekankan keperluan bagi pihak kerajaan membuat kajian jangka panjang berkenaan kesan terhadap keluarga apabila nafkah tidak ada atau tidak mencukupi dan bagaimana untuk mengeluarkan keluarga dari kitaran kemiskinan. Tambahan lagi, usaha dan dasar di peringkat lokal atau komuniti yang lebih komprehensif adalah perlu untuk membawa mereka keluar dari belenggu isu-isu sosial dan kesusahan ekonomi.
  • Hak jagaan anak dan isu kerakyatan anak: Pada tahun 2022, isu pertikaian hak jagaan anak jatuh ke 0% daripada 1% pada tahun 2021 dan 52% pada tahun 2020. Namun begitu, isu pemelarian anak menjadi genting dari 9% kes pada tahun 2020, ke 29% kes pada tahun 2021 dan 24% kes pada tahun 2022. Ini menunjukkan bahawa ibu atau bapa lebih rela mengambil jalan yang drastik yang melibatkan risiko yang tinggi serta membabitkan pelanggaran hak dan undang-undang. Selain itu, laporan ini juga membangkitkan isu baru iaitu isu berkaitan pendaftaran kerakyatan anak yang melibatkan 14% kes. Isu kerakyatan anak adalah isu yang kritikal yang mesti dibangkitkan untuk memastikan semua anak yang dilahirkan di Malaysia atau jika salah seorang ibu atau bapanya adalah rakyat Malaysia, di mana jua dia dilahirkan, mempunyai hak mendapat kerakyatan Malaysia dan mendapat segala hak yang ada pada seorang rakyat Malaysia.

Selama 20 tahun, Telenisa kekal berdedikasi dan berdiri teguh untuk menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukannya dengan membawa ke hadapan realiti kehidupan yang telah memberi kesan kepada masyarakat. Data dan maklumat yang dikumpul memberikan pemahaman kepada cabaran yang dilalui dalam perkahwinan di zaman kini lantas, menjadi bahan bukti advokasi untuk ditujukan kepada pembuat dasar. Ini adalah sesuatu yang membanggakan dan Telenisa sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada yang mereka yang memerlukan.

Sisters in Islam (SIS) ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang pernah terlibat dalam memberi sokongan dana selama 20 tahun ini dalam menjayakan perkhidmatan Telenisa serta penyediaan dan penerbitan Statistik dan Dapatan Telenisa. Penghargaan besar diberikan kepada Australian High Commission, Canada Fund for Local Initiatives, Friedrich Naumann Foundation, Lee Foundation, Sigrid Rausing Trust dan yang terutama sekali kepada Yayasan Sime Darby. SIS juga berterima kasih ke atas sokongan badan guaman Legal Aid Centre Selangor serta Kuala Lumpur melalui program pelatih dalam kamar. Akhir sekali, SIS juga amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia dan individu-individu yang telah menyumbangkan dana bagi membolehkan Telenisa untuk menjadi sumber yang dipercayai bagi mereka yang sedang mencari maklumat untuk menuntut hak mereka dalam keluarga.

*Muat turun Statistik dan Dapatan Telenisa 2022 dan infografik di sini:

*Telenisa boleh dihubungi di talian 012-812 3424 dan menerima konsultasi secara bersemuka melalui janji temu, panggilan telefon, panggilan video dan WhatsApp setiap hari dari Isnin hingga Jumaat, 10pagi hingga 5petang.

****** 

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email