No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Perkahwinan

Soalan:

Saya telah bernikah pada 1998 dan mempunyai lima orang anak. Suami masih belum membuat pendaftaran pernikahan walaupun telah berkali-kali saya minta.

Pernikahan ini tidak diketahui oleh isteri pertama dan sebab itulah suami enggan mendaftar. Masalah saya kini, suami sudah lama tidak memberikan nafkah kepada saya sekeluarga.

Bagaimana saya nak buat tuntutan nafkah ini? Adakah saya perlu mendaftarkan pernikahan terlebih dahulu?

Leen Juwita,
Kuala Lumpur.


Jawapan:

Sikap pihak-pihak yang meremehkan pendaftaran pernikahan, lebih-lebih lagi dalam pernikahan poligami, haruslah dihapuskan. Sikap ini bukan sahaja menganiaya kaum wanita, malah anak-anak juga menanggungnya.

Seperti dalam kes puan ini, untuk menuntut hak yang telah diberikan oleh undang-undang, pendaftaran pernikahan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, apabila pihak-pihak yang bermastautin di Wilayah Persekutuan bernikah maka menjadi kewajipan mereka untuk mendaftarkan pernikahan tersebut. Ini adalah seperti yang termaktub di seksyen 25 Akta. Hanya dengan pendaftaran barulah Sijil Perakuan Nikah akan dikeluarkan oleh Pendaftar.

Seksyen 31 pula memberikan tempoh masa selama enam bulan bagi mereka yang telah bernikah di luar negeri untuk mendaftarkan pernikahan tersebut. Sekiranya pendaftaran dilakukan selepas tempoh waktu tersebut, jika disabitkan kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Tujuan utama pendaftaran adalah untuk memastikan agar pernikahan puan sah di sisi syarak. Sesuatu pernikahan hanya akan dianggap sah apabila sempurna kelima-lima rukun nikah. Pada masa ini, seperti yang puan maklum, pernikahan secara sindiket amat berleluasa. Pernikahan ini tidak sah di sisi hukum syarak. Antaranya kerana penggunaan wali yang mengakadnikahkan pernikahan tersebut tidak mempunyai kuasa atau tauliah.

Oleh itu adalah amat perlu bagi puan untuk mendaftarkan pernikahan bagi memastikan sama ada pernikahan itu adalah sah dari sisi syarak. Pendaftaran juga akan memastikan hak-hak puan sebagai seorang isteri terjamin. Untuk membuat tuntutan nafkah, mahkamah syariah hanya ada bidangkuasa untuk mendengar tuntutan itu setelah pernikahan puan didaftarkan.

Setelah pendaftaran, puan boleh menuntut nafkah daripada suami. Ini adalah selaras dengan seksyen 59(1) Akta yang menyatakan bahawa mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isterinya.

Rujukan juga boleh dilakukan ke atas seksyen 72 yang menyatakan antara lain adalah menjadi kewajipan seorang lelaki menanggung nafkah anaknya sama ada anak itu berada di dalam jagaannya atau orang lain, sama ada dengan mengadakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah.

Jelas di sini bahawa suami puan tidak boleh melarikan diri daripada tanggungjawabnya sebagai seorang suami untuk memperuntukkan nafkah bagi keluarganya. Jika dia gagal maka perintah mahkamah boleh dituntut dan sebarang tunggakan akan dianggap sebagai hutang suami.

Panel Peguam

Sisters in Islam

Soalan:

Salam SIS, saya adalah isteri kedua dan telah berkahwin pada tahun 2007 di Songkla, Thailand. Untuk pengetahuan SIS, sehingga kini kami belum mendaftarkan perkahwinan kami. Suami enggan mendaftarkan perkahwinan kami. Saya merasa gelisah dan bimbang mengenangkan masa depan saya. Apa akan terjadi kepada saya sekiranya saya tidak mendaftarkan perkahwinan ini? Saya sebatang kara dan bergantung sepenuh harapan kepada suami. Bantulah saya.

Seri Melati
Bukit Jalil, Kuala Lumpur

Jawapan:

Sesungguhnya, perkahwinan adalah satu tanggungjawab dan ia haruslah dipikul dengan sebaik-baiknya oleh pasangan. Apalagi di dalam perkahwinan poligami kerana ada isteri dan keluarga lain yang akan turut terlibat. Perundangan di negara kita memandang berat akan prinsip keadilan ini. Oleh sebab itu, beberapa panduan telah digariskan bagi menjamin kepentingan isteri sedia ada dan bakal isteri.

Setiap perkahwinan perlu didaftarkan mengikut peruntukan yang termaktub di bawah undang-undang keluarga Islam dan lain-lain prosedur yang berkaitan. Secara amnya, setiap undang-undang keluarga Islam di Malaysia mempunyai peruntukan yang sama mengenai pendaftaran perkahwinan.

Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, Seksyen 23(1) telah memperuntukkan bahawa seorang lelaki yang mahu berpoligami perlu memohon keizinan daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Jika dia berkahwin sebelum atau setelah gagal mendapatkan kebenaran tersebut maka tindakannya adalah salah di sisi undang-undang. Dia boleh didakwa di bawah Seksyen 123. Jika disabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Adalah menjadi kewajipan suami dan isteri untuk mendaftar perkahwinan mereka. Perkara ini adalah satu formaliti yang mesti dipatuhi seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 25 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Sijil perakuan nikah hanya akan dikeluarkan setelah pendaftaran perkahwinan didaftarkan.

Pendaftaran perkahwinan boleh dilakukan oleh suami atau isteri. Setelah mendapat pengesahan perkahwinan daripada Mahkamah Syariah, segala dokumen perkahwinan perlu di bawa ke Majlis Agama Islam terdekat. Ini adalah kerana, sebelum membuat pendaftaran perkahwinan, pegawai pendaftar perlu memastikan samada perkahwinan tersebut sah dari segi syarak dan undang-undang.

Salah satu efek perkahwinan yang dilakukan tanpa kebenaran Mahkamah adalah perkahwinan tersebut tidak boleh didaftarkan. Tujuan pendaftaran ini bukan hanya satu formaliti bagi mendapatkan sijil nikah. Ia merupakan satu rekod yang mensahihkan bahawa perkahwinan tersebut bukan sahaja menurut undang-undang negeri tetapi juga telah menepati hukum syarak.

Perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah tidak sah dari segi undang-undang. Ia bermaksud bahawa puan tidak akan mempunyai hak sebagai seorang isteri dan tidak boleh membuat apa-apa tuntutan di Mahkamah Syariah kelak. Puan tidak akan dibenarkan menuntut hak ke atas nafkah, hak penjagaan atau nafkah anak, dan lain-lain tuntutan sehingga perkahwinan didaftarkan.

Sekiranya puan mempunyai anak kelak tanpa sijil nikah yang sah ia mungkin akan menyukarkan proses pendaftaran kelahiran dan lain-lain proses yang memerlukan kesahihan bahawa suami adalah bapa.

Diharapkan informasi dan penjelasan yang diberikan dapat membantu puan.

Panel peguam

Sisters in Islam

Soalan:

SAYA dan tunang akan mendirikan rumah tangga. Saya berasal dari Perak tetapi telah tinggal di Selangor sedekad lamanya. Tunang saya pula dari Kuala Lumpur. Saya difahamkan bahawa kami perlu memohon untuk mendapat kebenaran berkahwin.

Di mana patut kami memohon? Di Selangor atau Kuala Lumpur? Perlukah saya kembali ke Perak? Selain itu, apa yang perlu kami sediakan untuk membuat permohonan ini?

Megat Nazim Megat Shaari
Selangor Darul Ehsan.

Jawapan:

Menurut Seksyen 16 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan perlu membuat permohonan berkahwin kepada Pendaftar Nikah bagi kariah masjid di mana pihak perempuan bermastautin.

Jika pasangan berasal dari negeri yang berlainan seperti situasi saudara, pihak lelaki dan perempuan perlu memohon di negeri masjid masing-masing. Surat kebenaran berkahwin yang saudara peroleh nanti perlu dihantar bersama borang permohonan berkahwin tunang saudara kepada Pendaftar Nikah negerinya.

Saudara boleh membuat permohonan di Selangor yakni di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) walaupun saudara berasal dari Perak. Apa yang saudara perlu dapatkan adalah Surat Pengesahan Pemastautin daripada salah seorang yang berikut: penghulu, ketua kampung, nazir masjid, pengerusi jawatankuasa kampung, atau pengerusi jawatankuasa penduduk taman perumahan.

Surat ini menunjukkan bahawa saudara menetap di Selangor dan membolehkan saudara membuat permohonan berkahwin di Selangor.

Prosedur untuk saudara memohon kebenaran berkahwin adalah seperti berikut:

– Hadir kursus praperkahwinan yang diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam dan dapatkan sijil di akhir kursus;

– Dapatkan Borang Pemeriksaan Ujian Darah/HIV berharga RM10 dari JAIS dan buat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Kecil Kerajaan yang terpilih;

– Dapatkan borang 1A (Permohonan Oleh Lelaki Untuk Kebenaran Berkahwin) di JAIS, lengkapkan dan hantar kepada JAIS tiga bulan sebelum akad nikah bersama dokumen sokongan berikut:
– Salinan kad pengenalan saudara;

– Salinan kad pengenalan dua orang saksi;

– Salinan sijil kursus praperkahwinan;

– Borang laporan pemeriksaan ujian darah / HIV yang telah diperakukan;

– Salinan borang permohonan 1A; dan

– Surat Pengesahan Pemastautin.

– Dapatkan pengesahan daripada Pendaftar Nikah di JAIS (halaman tiga, borang 1A);

– Dapatkan surat kebenaran berkahwin (halaman 4, borang 1A) dari JAIS; dan

– Serahkan surat kebenaran tersebut kepada tunang saudara.

Merujuk kepada langkah keempat, pastikan saudara mendapat pengesahan daripada Pendaftar Nikah. Ia perlu bagi bakal pengantin dari negeri yang berlainan untuk mengesahkan bahawa segala perkara yang disebut dalam borang permohonan berkahwin saudara adalah benar.

Pasangan saudara pula perlu memohon kebenaran berkahwin di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

– Hadir kursus pra perkahwinan yang diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam dan dapatkan sijil di akhir kursus;

– Dapatkan Borang Pemeriksaan Ujian Darah / HIV berharga RM10.00 dari JAWI dan buat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Kecil Kerajaan yang terpilih;

– Dapatkan borang 1C (Permohonan Oleh Perempuan Untuk Kebenaran Berkahwin) dan 1D (Perwakilan Wali dan Wakalah) di Jawi, lengkapkan dan hantar kepada Jawi dua bulan sebelum akad nikah bersama dokumen sokongan (dokumen yang sama seperti permohonan saudara);

– Dapatkan pengesahan daripada Pendaftar Nikah di Jawi;

– Dapatkan surat kebenaran berkahwin (halaman 3 borang 1C) dari Jawi;

– Serahkan kebenaran tersebut kepada Pendaftar Nikah di Jawi.

Borang permohonan hendaklah disampaikan sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh perkahwinan. Dinasihatkan memohon lebih awal bagi memastikan tiada kesulitan yang timbul. Perlu juga diingatkan bahawa setiap kebenaran berkahwin hanya sah bagi tempoh 90 hari dari tarikh dikeluarkan.

Pendaftar kariah masjid tunang saudara akan meneliti borang permohonan perkahwinan tersebut bagi menentukan segala keperluan telah dipenuhi. Sekiranya dia berpuas hati, surat kebenaran berkahwin akan dikeluarkan.

Panel peguam

Sisters in Islam

Soalan:

Saya bakal mendirikan rumahtangga sebagai isteri kedua tidak lama lagi. Saya dan bakal suami kedua-duanya menetap di Selangor. Isteri pertama tidak ada masalah untuk memberi keizinan. Tetapi, bakal suami ingin bernikah di Perlis kerana katanya proses di Selangor memakan masa dan kelulusannya belum pasti. Dia sudah pun menukarkan alamatnya di Perlis dan menyuruh saya berbuat begitu juga. Betulkah tindakan ini? Apakah tindakan ini akan memberi komplikasi undang-undang kelak? Adakah hak-hak saya akan terjejas sekiranya saya berkahwin di Perlis berbanding di Selangor?

Ariela Mahmud,
Shah Alam

Jawapan:

Poligami di Malaysia dibenarkan hanya selepas beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh undang-undang dipenuhi oleh pihak-pihak. Antara syarat-syarat yang ditetapkan ialah perkahwinan yang dicadangkan itu mestilah patut atau perlu, suami haruslah berkemampuan daripada segi kewangan untuk berkahwin lebih dari satu, suami akan memberi layanan sama rata terhadap isteri atau isteri-isteri sedia ada dan perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syarie (bahaya atau musibah) kepada isteri sedia ada.

Mungkin kebanyakan suami yang ingin berkahwin lebih dari satu berpendapat bahawa syarat-syarat ini bertujuan untuk menyusahkan mereka. Namun harus diingat bahawa ayat 3 surah al-Nisa’ menyatakan, Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka berkahwinlah dengan perempuan yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja Yang demikian itu adalah lebih dekat, (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Oleh itu, untuk menentukan keadilan antara isteri-isteri dan supaya tidak ada kezaliman yang berlaku dalam sesuatu perkahwinan poligami, maka kerajaan Malaysia menetapkan syarat-syarat yang harus dipenuhi oleh seorang suami sebelum dia dibenarkan berkahwin satu lagi.

Di Selangor, seksyen 23 menyatakan bahawa setiap orang yang ingin berpoligami perlulah memohon kebenaran daripada Mahkamah Syariah. Dalam membuat pertimbangan sama ada syarat-syarat yang ditetapkan telah dipenuhi, Mahkamah boleh memanggil isteri sedia ada, bakal isteri, bakal wali untuk menentukan sama ada suami itu layak untuk berpoligami.

Orang yang layak untuk membantu Mahkamah menentukan sama ada suami mampu berlaku adil dan perkahwinan yang baru ini tidak akan mendatangkan bahaya atau musibah tentulah isteri sedia ada yang telah sekian lama tinggal bersama. Dia tentulah masak dengan perangai dan keperibadian suaminya. Manakala bakal isteri dan bakal wali akan dipanggil untuk memastikan bahawa mereka sedia maklum bahawa pihak lelaki itu adalah suami orang. Ini untuk mengelakkan suami menipu bahawa dia bujang.

Oleh itu, janganlah mengambil mudah perkara ini. Tindakan bakal suami yang mencari jalan pintas menunjukkan ketidakjujuran beliau dan juga sikapnya yang tidak menghormati undang-undang Islam di Malaysia yang dibuat berlandaskan hukum syarak.

Sebenarnya, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam Perlis (1991) dalam seksyen 23 menyatakan syarat-syarat yang lebih kurang sama seperti di negeri Selangor. Tetapi, undang-undang ini tidak dilaksanakan oleh sebab pada sekitar awal tahun 2004, pihak Majlis Agama negeri Perlis telah melonggarkan syarat-syarat berpoligami.

Oleh sebab undang-undang keluarga Islam adalah berbeza di setiap negeri, maka, di Perlis, tiada diperuntukkan untuk pendaftaran taklik seperti yang telah diperuntukkan di Selangor di bawah seksyen 22 Enakmennya. Malah di Selangor, saudari boleh meletakkan taklik tambahan.

Taklik tambahan ini amatlah berguna lebih-lebih lagi dalam perkahwinan poligami. Untuk menjaga kepentingan semua pihak, saudari dan juga isteri pertama boleh menetapkan syarat-syarat yang perlu suami turuti supaya kerukunan kedua-dua rumahtangga dapat dipelihara.

Persetujuan semua pihak diperlukan dalam taklik ini. Tujuannya ialah untuk melindungi kepentingan dan hak-hak lebih-lebih lagi hak anak-anak.

Isteri pertama telah pun memberikan persetujuan. Eloklah jika saudari melangsungkan perkahwinan mengikut cara yang betul agar hak-hak saudari terpelihara.

Panel Peguam

Sisters in Islam

Soalan:

Suami saya memeluk agama Islam apabila berkahwin dengan saya dua bulan lepas. Perkahwinan kami dan pendaftaran pemelukan agama Islam suami saya dibuat di Australia. Kami akan kembali ke Kuala Lumpur dalam masa tiga bulan lagi.

Adakah suami saya perlu mendaftar semula statusnya sebagai mualaf sekembali ke tanah air? Bolehkah kami mendaftarkan perkahwinan di Malaysia nanti sekiranya suami saya tidak mendaftar sebagai mualaf?

Shahzia Qamalia,
Adelaide, Australia

Jawapan:

Di malaysia, terdapat peruntukan undang-undang yang menggariskan prosedur memeluk agama Islam yang perlu dituruti oleh sesiapa yang berniat masuk Islam. Bagi penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, undang-undang yang terpakai terdapat dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, khususnya Bahagian 9 yang mengandungi panduan dari segi perundangan untuk seseorang masuk Islam.

Menurut Seksyen 89 (1) Akta tersebut, seseorang yang telah masuk Islam boleh memohon kepada Pendaftar Mualaf untuk mendaftarkan dirinya sebagai seorang saudara baru.

Selepas Pendaftar Mualaf berpuas hati dengan permohonan yang dikemukakan, nama dan butir-butir diri pemohon akan didaftarkan dalam Daftar Mualaf. Butir-butir pemohon memeluk Islam terutamanya tarikh dia memeluk Islam juga akan dicatatkan dalam daftar berkenaan.

Selepas mendaftarkan diri sebagai saudara baru, Pendaftar Mualaf akan memberikan satu surat Perakuan Masuk Islam kepada pemohon. Ini selari dengan Seksyen 90 Akta yang sama.

Perakuan Masuk Islam adalah bukti muktamad bahawa seseorang telah memeluk Islam.

Berhubung soalan yang puan ajukan, tidak terdapat sebarang peruntukan undang-undang yang memerlukan seseorang yang memeluk Islam di luar negara untuk mendaftarkan dirinya di Malaysia sebagai mualaf.

Pendaftaran nama oleh saudara baru dalam Daftar Mualaf seperti yang diterangkan di atas hanya diperlukan bagi mereka yang memeluk agama Islam di dalam Malaysia.

Menurut seorang pegawai di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pula, penukaran agama suami puan tidak perlu didaftarkan di Malaysia selagi dokumen-dokumen pengenalan dirinya (seperti MyKad dan Pasport) telah menunjukkan bahawa dia beragama Islam.

Puan juga tidak perlu bimbang tentang hal pendaftaran perkahwinan. Selagi dokumen-dokumen pengenalan diri suami puan menunjukkan bahawa dia sudah memeluk Islam, tidak ada sebarang masalah untuk puan suami isteri memohon mendaftarkan perkahwinan sekembalinya ke tanah air nanti.

Jika puan ada sebarang soalan lanjut berkenaan hal ehwal pemelukan agama Islam atau pendaftaran perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara, puan boleh menghubungi Jawi di talian 03-22749333.

Sisters In Islam turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada puan suami isteri. Moga-moga perkahwinan anda berdua kekal hingga ke anak cucu.

Panel peguam

Sisters in Islam

Soalan:

SIS, saya merancang untuk mendirikan rumahtangga tidak lama lagi. Pasangan saya adalah warga Pakistan yang telah 3 tahun menetap di Malaysia. Apakah prosedur-prosedur yang perlu lakukan untuk melangsungkan perkahwinan kami. Adakah pasangan saya perlu mengikuti kursus pra perkahwinan?

Irma
Ampang

Jawapan:

Tahniah kerana bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Perkahwinan adalah sesuatu yang digalakkan oleh Islam, terutamanya bagi mereka yang telah menyiapkan dirinya. Ia merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul oleh pasangan yang berkahwin.

Perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warga asing atau di antara dua warga asing adalah boleh dan dibenarkan untuk dilakukan di Malaysia. Bagi perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warganegara asing, prosedur yang harus diikuti adalah berlainan daripada prosedur perkahwinan di antara sesama rakyat Malaysia.

Secara amnya apabila warga asing dan rakyat Malaysia ingin berkahwin, mereka wajib untuk memohon kebenaran berkahwin dari Jabatan Agama.

Borang permohonan perkahwinan haruslah disertakan dengan dokumen-dokumen
berikut:-

  1.  Pasport asal
  •  Salinan pasport (warga asing)
  •  Salinan halaman yang memaparkan bukti masuk ke Malaysia (warga asing)
    • Salinan Visa (harus masih sah) (warga asing)
    • Gambar (saiz pasport) (kedua-dua pasangan) 
    • Sijil Kelahiran (salinan, kedua-dua pasangan) 
    • Kad Pengenalan (salinan, warganegara)
    • Sijil Kursus Perkahwinan 
    • Ujian dan keputusan HIV
    • Surat Akuan Bujang (jika ada majikan) atau Surat Sumpah Bujang (jika
      tiada majikan)
    • Surat Pengesahan Taraf Perkahwinan (asal dan salinan)
  • Salinan terjemahan jika bukan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris
    • Jika sebelum ini pernah berkahwin, memerlukan Surat Perakuan Cerai (jika cerai hidup) atau Surat Perakuan Mati (jika cerai mati) 
    • Surat Akuan Memeluk Agama Islam (jika salah seorang baru memeluk agama Islam) 
    • Surat Kebenaran Menikah dari Jabatan Agama Negeri (warganegara) atau Kedutaan (warga asing)

Borang permohonan dan dokumen-dokumen ini haruslah dikemukakan kepada Penolong Pendaftar Nikah Kariah di mana saudari bermastautin.

Ini adalah untuk mendapatkan kelulusan bernikah dari Pendaftar Nikah. Permohonan ini haruslah diserahkan dalam tempoh sebulan atau tidak kurang dari tujuh hari sebelum tarikh perkahwinan yang dirancang. Adalah dinasihatkan untuk melakukan persediaan awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Sekiranya bakal suami saudari adalah penduduk tetap negara ini atau pemegang Kad Pengenalan Merah, dokumen yang lain harus disertakan iaitu:

  • Salinan Kad Pengenalan Merah dan permit masuk; dan
  • Surat Pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara atau pengesahan permit masuk dari Jabatan Imigresen.

Kedua-dua situasi di atas adalah bagi warga asing yang mempunyai pas masuk secara sosial atau perniagaan. Situasi adalah berbeza bagi warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini melalui permit pekerjaan.

Perlu dimaklumkan bahawa warga asing yang memegang permit kerja adalah tidak dibenarkan memohon untuk berkahwin di negara ini. Sekiranya perkahwinan ini berlangsung dengan tidak mematuhi
undang-undang maka ia akan memberi implikasi kepada permit kerja yang telah diberi kepadanya.

Ini adalah berdasarkan kepada kontrak yang telah dipersetujui dan
ditandatangani. Sekiranya warga asing tersebut mahu berkahwin dengan wanita tempatan, kontrak atau permit kerja pekerja asing tersebut di Malaysia adalah terbatal. Kemudian warga asing tersebut perlu pulang ke negara asal untuk tempoh 6 bulan (cooling period) dan sepanjang tempoh tersebut warga asing tersebut hanya diberikan pas sementara (pas lawatan) yang tidak akan dilanjutkan. Selepas tempoh 6 bulan tersebut barulah warga asing tersebut boleh mendaftar di imigresen untuk mendaftar sebagai suami kepada warganegara.

Untuk pengetahuan saudari, satu Pekeliling telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dimana suami/isteri kepada warganegara Malaysia yang telah diberikan/layak diberikan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang berdasarkan syarat-syarat dan peraturan-peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa adalah dibenarkan untuk bekerja (melakukan pekerjaan berbayar), berniaga dan pekerjaan profesional tanpa perlu menukar status Pas Lawatan Sosial mereka kepada pas kerja yang berkaitan (Pas Penggajian/Pas Lawatan Kerja Sementara).

Berkenaan dengan kursus pra perkahwinan, warga asing tidak diwajibkan mengikutinya. Walau bagaimanapun jika kursus pra perkahwinan diadakan dalam bahasa yang boleh difahami oleh bakal suami saudari, digalakkan untuk menyertainya

Soalan:

Assalamualaikum Sis,
Saya dan tunang bakal melangsungkan perkahwinan hujung bulan ini. Namun demikian, telah berlaku salah faham antara saya dan bapa sehingga menyebabkan bapa enggan menjadi wali. Puas sudah saya meminta maaf dan memujuk, bapa masih berdegil. Saya berasa sedih kerana perkahwinan yang diidamkan seperti tiada restu dari bapa. Sekiranya bapa masih enggan, apakah cara-cara untuk saya memohon menggunakan wali hakim? Dalam keadaan apakah wali hakim boleh digunakan?

Anak Abah,
Cheras, Kuala Lumpur

Jawapan:

Antara rukun nikah adalah wali. Namun demikian, ada kalanya, pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan boleh menggunakan wali hakim. Adalah wajar jika kita merujuk kepada pengertian wali secara umum dan pembahagiannya. Kemudian kita ikuti dengan penjelasan tentang wali hakim: definisi, kedudukan dan sebab-sebab yang membolehkannya berperanan di dalam sesuatu perkahwinan?

Wali dalam urusan perkahwinan ialah seorang yang memiliki kuasa mengahwinkan seseorang anak perempuan sama ada dia adalah penjaganya ataupun bukan.

Kewujudan wali adalah penting bagi mengesahkan sesuatu perkahwinan. Wali (di dalam Mazhab Shafi`i) merupakan salah satu rukun perkahwinan. Tanpa wali atau keizinannya kepada wakilnya, sesuatu perkahwinan itu di hukum tidak sah. Hukum ini adalah merujuk kepada sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Siapa sahaja perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya itu batal (tidak sah), jika dia disetubuhi (oleh lelaki yang mengahwininya itu) maka dia berhak mendapat maskahwin kerana dia (iaitu lelaki itu) telah menghalalkan kemaluannya dan jika mereka (iaitu para wali) berbalah, maka sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali (riwayat al-Darimi, al-Hakim, al-Baihaqi dan Abu Daud al-Tayalisi).

Berdasarkan kepada Hadis di atas, ulama’ membahagikan wali kepada dua peringkat; iaitu wali nasab dan wali hakim atau disebut juga sebagai wali sultan.

Wali nasab ialah orang yang mempunyai pertalian keturunan dengan seseorang perempuan yang bakal berkahwin, seperti bapanya, datuknya dan lain-lain.

Wali hakim ialah Ketua Negara Islam atau wakilnya seperti Kadi Besar, Kadi-kadi Daerah atau mereka yang mendapat tauliah daripada Pejabat-pejabat Kadi Daerah, biasanya mereka ini terdiri daripada imam masjid, bilalnya atau seorang alim kampung.

Wali hakim bertindak sebagai wali kepada pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali. Menurut Seksyen 2(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinankan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab. Terdapat beberapa situasi di mana wali hakim boleh digunakan.

Pertama: Tidak ada wali nasab
Bagi pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali nasab seperti mereka yang baru memeluk islam dan tiada saudara maranya yang memeluk Islam, atau perempuan yang tidak mempunyai wali langsung, maka wali hakim yang akan menjadi wali dalam perkahwinannnya, Rasullah saw bersabda Sultanlah menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali. (Riwayat al Khamsak).

Kedua: Anak tidak sah taraf atau anak angkat
Anak tidak sah taraf atau anak yang lahir sebelum adanya perkahwinan yang sah. Sekiranya anak yang tidak sah taraf itu perempuan dan semasa dia berkahwin maka walinya ialah wali hakim. Begitu juga dengan anak angkat. Jika anak angkat itu berasal daripada anak tidak sah taraf maka walinya adalah wali hakim kerana anak itu dianggap tidak mempunyai wali nasab.

Ketiga: Wali yang ada tidak cukup syarat
Sekiranya wali aqrab tidak mempunyai cukup syarat untuk menjadi wali maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali ab’ad mengikut tertib wali. Syarat-syarat sah menjadi wali ialah, Islam, baligh, berakal (orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali), lelaki, adil dan merdeka. Sekiranya satu-satunya wali yang ada tidak cukup syarat dan tidak ada lagi wali yang lain, maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali hakim.

Keempat: Wali aqrab menunaikan haji atau umrah
Jika wali aqrab menunaikan haji atau umrah maka hak walinya terlucut dan hak wali itu juga tidak berpindah kepada wali ab’ad, tetapi hak wali itu berpindah kepada wali hakim. Ini adalah terkandung dalam kitab Minhaj Talibin dalam bab Nikah. Sekiranya wali aqrab itu membuat wakalah wali sebelum membuat haji atau umrah atau semasa ihram maka wakalah wali itu tidak sah. Rasullullah saw bersabda: Orang yang ihram haji atau umrah tidak boleh mengahwinkan orang dan juga tidak boleh berkahwin. (Riwayat Muslim)

Kelima: Wali enggan
Mengikut pendapat para Fuqaha bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak. Perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.

Menurut Jumhur Fuqaha (Shafi’e, Maliki dan Hanbali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang menikahkannya. Rasullullah s.a.w. bersabda: Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali (Riwayat Abu Daud dan At-Tamizi).

Dalam kes Azizah bte Mat lawan Mat b Salleh (1976, Jld.11.1JH) mengenai wali enggan di Mahkamah Kadi Perlis, Yang Arif telah memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali Raja atau Hakim untuk berkahwin. Kadi menyatakan: Berdasarkan kepada hukum syarak, apabila seseorang wali itu tidak mahu mewakilkan nikah anaknya kerana enggan atau berselisih faham, maka bolehlah dinikahkan perempuan itu dengan wali hakim atau wali raja dengan alasan:

Pertama: Dari riwayat Abu Daud, Ahmad dan At-tamizi, Aishah r.a meriwayatkan Nabi s.a.w. telah bersabda: Jika mereka berselisih, maka Sultan atau Rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali.

Kedua: Rasullullah s.a.w. bersabda: Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar. Ini daripada riwayat At-Tamizi).

Ini bermakna wali yang enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak wali itu berpindah kepada wali hakim.

Dalam situasi yang dihadapi oleh saudari, maka saudari bolehlah membuat permohonan wali hakim kepada mahkamah di bawah seksyen 13 (b) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah).

Panel Peguam

Sisters in Islam

Soalan:

Saya pernah terlanjur dengan teman lelaki saya sehingga melahirkan anak perempuan yang tidak sah taraf. Kami bernikah atas desakan keluarga. Selepas itu, saya melahirkan seorang anak lelaki. Malangnya, suami telah meninggalkan saya begitu sahaja apabila anak kedua kami mencapai usia 1 tahun 2 bulan.

Saya telah ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk memohon cerai tetapi saya diberitahu bahawa surat nikah saya adalah palsu. Ini bermakna anak kedua saya juga tidak sah taraf!

Sedihnya hati saya hanya tuhan yang mengerti. Walaupun tiada yang tampil secara terang-terangan, saya tahu ramai yang menghina anak sulung saya sebagai anak tidak sah taraf. Bukan setakat jiran-jiran, ada juga saudara-mara yang berbuat demikian. Kini, anak lelaki saya bakal melalui nasib yang sama. Tidakkah mereka mengasihani anak-anak saya yang masih kecil dan tidak bersalah?

Tambah merisaukan saya sekarang, apa yang akan berlaku kepada anak-anak saya apabila mereka ingin berkahwin nanti? Memandangkan mereka anak tidak sah taraf, siapakah yang boleh menjadi wali mereka? Bolehkah mereka diwalikan oleh bapa saudara mereka?

Nor Haryati,
Kuala Lumpur

Jawapan:

Anak merupakan anugerah tuhan yang cukup berharga. Sesungguhnya, Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Al-Kahf ayat 46 yang berbunyi seperti berikut:

Kekayaan dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia.

Malangnya, ada segelintir manusia di kalangan masyarakat umum yang bertanggapan buruk terhadap anak yang tidak sah taraf. Bagi mereka, anak yang tidak sah taraf adalah tidak suci, malah, rendah pula kedudukannya jika dibandingkan dengan anak yang sah taraf.

Dalam hal ini, kita boleh membuat rujukan kepada hadith yang telah diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah R.A., di mana Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud seperti berikut:

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci).

Melihat kepada hadith tersebut, jelas sekali bahawa semua anak yang dilahirkan adalah suci sifatnya, tanpa mengira sama ada tarafnya sah atau tidak.

Tambahan pula, ibu bapalah yang memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak seseorang anak agar dia menjadi orang yang berbudi pekerti mulia. Selagi anak itu membesar sebagai individu yang baik lagi berguna atas didikan ibu bapanya, sama ada tarafnya sah atau tidak sudah tidak relevan lagi.

Berkenaan dengan soalan yang puan kemukakan, wali adalah salah satu rukun nikah yang perlu dipenuhi supaya sesuatu perkahwinan sah di sisi hukum syara’.

Apabila tiba masa untuk anak perempuan puan bernikah nanti, dia tidak boleh diwalikan oleh bapanya sebagai wali mujbir. Ini adalah kerana anak tidak sah taraf bukan dikira sebagai muhrim kepada bapanya.

Sebaliknya, anak perempuan puan perlu menggunakan khidmat wali hakim.

Menurut Seksyen 2 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi kawasan Wilayah-Wilayah Persekutuan, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.

Menurut pegawai di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang boleh dihubungi di talian 03 22749333, hanya wali hakim yang boleh menjadi wali bagi mengahwinkan anak perempuan yang tidak sah taraf. Ini bermakna, bapa saudara anak perempuan puan juga tidak boleh menjadi wali untuk mengahwinkannya.

Anak perempuan puan boleh membuat permohonan untuk menggunakan khidmat wali hakim di mahkamah syariah tempat dia bermastautin.

Walau bagaimanapun, puan tidak perlu bimbang. Soal masalah perwalian tidak timbul bagi anak lelaki puan.

Kami di Sisters in Islam ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi pujian terhadap puan sebagai seorang ibu yang mengambil berat akan kebajikan dan masa depan anak-anaknya. Semoga mereka menjadi orang yang berakhlak mulia dan berbudi pekerti tinggi apabila dewasa kelak. Insyaallah.

Panel Peguam

Sisters in Islam

Soalan:

Saya ingin bernikah tidak lama lagi. Saya tahu saya perlu diwalikan nanti, tetapi bapa saya bukanlah orang yang layak mewalikan saya. Setelah dia bernikah lagi lima belas tahun yang lepas, dia telah melupakan kami sekeluarga. Bertanya khabar pun tidak pernah, inikan pula nak beri duit kepada kami anak-beranak.

Kini, apabila saya nak bernikah, saya terpaksa minta izin dia pula. Setahu saya, ada syarat-syarat kelayakan untuk menjadi wali. Pada pendapat saya, seorang bapa yang tidak bertanggungjawab tidak layak menjadi wali. Adakah cara lain untuk saya melangsungkan pernikahan ini mengikut adab dan aturan yang sempurna?

Aliya Ashraf,
Kelantan.

Jawapan:

Menurut Mazhab Shafie, wali merupakan satu keperluan semasa pernikahan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama tentang mereka yang berhak menjadi wali nikah dan susunan keutamaannya, tetapi mereka bersetuju bahawa seorang wali haruslah sempurna akalnya, sudah mencapai umur dewasa (baligh) dan beragama Islam.

Namun, dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) yang lama meletakkan syarat-syarat yang perlu ada bagi seorang wali. Antaranya, seorang yang layak menjadi wali adalah orang yang tidak fasiq, iaitu tidak melakukan apa-apa dosa besar dan tidak selalu melakukan dosa-dosa kecil.

Oleh itu, jika melihat kepada syarat kelayakan ini, seorang bapa yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa sememangnya seorang yang fasiq dan kelayakannya sebagai seorang wali boleh dipersoalkan.

Mengenai prosedur pernikahan yang harus saudari lalui, seksyen 13 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002 menyatakan sesuatu pernikahan memerlukan persetujuan:

(a) kedua-dua bakal pengantin; dan

(b) wali pihak perempuan; atau

(c) Hakim Syariah yang mempunyai bidangkuasa di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seorang yang diberi kuasa untuk menjadi wali oleh Hakim Syariah itu,

Seksyen tersebut antara lainnya menyatakan keperluan wali atau penggunaan wali hakim bagi memastikan sesuatu pernikahan tersebut diiktiraf dan membolehkan ia didaftarkan.

Saudari perlu merujuk kepada Mahkamah Syariah Kelantan bagi prosedur penggunaan wali hakim sebagai wali saudari. Mahkamah akan mengadakan perbicaraan sebelum kebenaran bagi wali hakim diberikan. Saudari perlu mengemukakan dua orang saksi. Sila bawa salinan kad pengenalan mereka bagi proses permohonan. Saudari bolehlah menyatakan kepada mahkamah sikap tidak bertanggungjawab bapa saudari itu yang menjadi sebab utama dia tidak layak menjadi wali.

Mahkamah akan menetapkan tarikh bicara dan saudari akan diminta hadir bagi tujuan perbicaraan.

Panel Peguam

Sisters in Islam

Soalan:

Saya bakal melangsungkan perkahwinan dengan pemuda pilihan sendiri pada bulan Mac tahun hadapan. Saya difahamkan bahawa di dalam Islam, seseorang perempuan yang mahu berkahwin perlu diwalikan oleh bapanya. Soalan saya adalah mengenai kesahan wali bapa saya. Ini adalah kerana bapa pernah merogol saya berulang-kali sehingga saya terpaksa lari dari rumah masih layak untuk menjadi wali? Adakah cara lain untuk saya bernikah tanpa diwalikan oleh bapa?

Angah
Kuala Lumpur

Jawapan:

Hukum Syarak telah menggariskan bahawa wali adalah salah satu syarat yang terdapat di dalam rukun nikah. Tidak sah sesuatu perkahwinan jika ketiadaan salah satu rukun-rukun nikah tersebut. Manakala undang-undang Syariah di Malaysia memperuntukan seseorang wali di dalam perkahwinan Islam adalah perlu bagi memastikan perkahwinan tersebut diiktiraf dan boleh didaftarkan. Wali atau wali nasab (keturunan) merujuk kepada bapa sebagai wali  mujbir dan wali  aqrab  yang mempunyai kedudukan teratas dalam senarai wali nasab. Wali-wali yang lain (senarai selepas bapa seperti datuk sebelah bapa, abang dan bapa saudara saudara selepas dan seterusnya) tidak berhak menikahkan anaknya sekiranya wali mujbir seperti bapanya atau datuknya masih hidup dan cukup syarat-syaratnya menjadi wali.

Secara amnya, jumhur fuqaha berpendapat bahawa syarat-syarat kelayakan wali adalah merujuk kepada sempurna akalnya, seorang dewasa dan beragama Islam.

Namun, terdapat beberapa pengecualian kelayakan wali seperti wali fasik. Mengikut pendapat Mazhab Syafi’e dan Hanbali wali fasik tidak boleh atau tidak sah menjadi wali nikah. Perkara ini berdasarkan sebuah hadith dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah saw bersabda, Tidak sah nikah melainkan wali yang adil dan ada saksi yang adil. (Riwayat Ahmad)

Apa yang dimaksudkan dengan adil ialah seseorang itu berpegang kuat (istiqamah) kepada ajaran Islam, menunaikan kewajipan agama, mencegah dirinya melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, minum arak, menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa dan sebagainya serta berusaha tidak melakukan dosa-dosa kecil.

Sebagai bapa yang sepatutnya menjaga maruah anak perempuannya tetapi, beliau sendiri mencemar kesucian anak sendiri. Maka, dapat dinyatakan di sini bahawa bapa saudari tidak berhak untuk menjadi wali. Namun yang demikian, saudari boleh merujuk perkara ini kepada pejabat agama berdekatan untuk menentukan keesahan status bapa saudari sebagai wali. Ini adalah kerana pihak tersebut mempunyai bidang kuasa mengenai perkara tersebut.

Walaubagaimanapun, saudari boleh melangsungkan pernikahan saudari dengan berwalikan wali aqrab yang lain seperti datuk, abang atau bapa saudara mengikut susunan wali yang telah digariskan oleh Hukum Syarak. Selain itu, seperti yang dinyatakan di atas, saudari boleh memohon kepada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk memohon wali hakim/wali raja dalam perkahwinan tersebut.

Merujuk kepada seksyen 13 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukan bahawa sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Akta tersebut melainkan jika wali perempuan tersebut bersetuju terhadap perkahwinan itu. Seksyen tersebut juga memperuntukan bahawa Hakim Syariah mempunyai bidang kuasa untuk memberi persetujuan untuk menggunakan wali raja terhadap perkahwinan itu mengikut Hukum Syarak. Namun, persetujuan tersebut boleh diberi jika pihak perempuan tiada mempunyai wali nasab mengikut Hukum Syarak. Persetujuan itu diberikan selepas penyiasatan yang wajar dilakukan mengenai perkara tersebut.

Oleh itu, saudari boleh memohon kepada mahkamah untuk mengunakan wali hakim atau wali raja. Perkara ini telah dinyatakan di dalam sebuah hadith, yang mana Aishah berkata Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa: Tiada ada perkahwinan kecuali berwali dan pemerintah adalah wali bagi orang yang tidak berwali. (Ibn Majah Sunan, Karachi, mukasurat 135)

Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai perkara ini, saudari boleh merujuk perkara ini di mana-mana pejabat agama terdekat. Saudari juga boleh merujuk kepada Biro Bantuan Guaman Wilayah Persekutuan mengenai prosedur undang-undang.

Panel Peguam

Sisters in Islam