No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Penceraian

Soalan:

Saya sudah berkahwin selama 10 tahun dan kami mempunyai seorang cahaya mata. Perkahwinan kami yang berjalan dengan lancar tiba-tiba diganggu dengan kehadiran pihak ketiga. Saya telah merujuk masalah ini kepada pihak atasan suami di pejabatnya. Selepas pergaduhan besar, suami saya telah berkata: “Kau janji tak akan mengadu. Kalau pergi juga tak adalah kita lagi.” Suami telah lama tidak pulang atau memberi nafkah. Saya tidak bekerja. Apakah saya kini telah tertalak?

Dora Manja,
Kuala Lumpur


Jawapan:

Ikatan perkahwinan adalah sejenis kontrak suci di antara seorang suami dan isteri. Ia adalah kontrak yang dipenuhi oleh unsur-unsur agama, moral dan rohani. Masyarakat kita juga lebih mengenalinya sebagai ijab kabul. Ini juga termasuklah syarat-syarat kepada perkahwinan tersebut atau lebih dikenali sebagai taklik.


Syarat kepada perkahwinan atau sebarang tambahan syarat seharusnya dilakukan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak. Perlu dimaklumkan bahawa tujuan utama syarat perkahwinan adalah untuk kesejahteraan rumah tangga.
 

Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, menyatakan bahawa apabila selesai akad nikah, Pendaftar hendaklah mencatatkan butir-butir dan taklik yang ditetapkan atau taklik lain di dalam Daftar Perkahwinan. 

Menurut seksyen 22(2), catatan tersebut hendaklah di ‘akusaksi’kan oleh pasangan perkahwinan, wali dan juga dua orang saksi yang hadir semasa perkahwinan itu diakadnikahkan. Catatan tersebut kemudiannya hendaklah ditandatangan oleh Pendaftar. 

Merujuk kepada masalah puan, adalah nyata bahawa suami tidak memasukkan taklik yang disebutnya ke dalam Daftar Perkahwinan dengan menurut peruntukan seksyen 22. 

Suami juga telah menambahkan syarat kepada perkahwinan tanpa persetujuan puan. Puan tidak diberi peluang untuk berunding dan menyatakan keinginan puan dalam penambahan syarat perkahwinan tersebut. Persetujuan pihak-pihak di dalam penambahan syarat kontrak adalah penting. 

Ini tidak bermakna bahawa puan mempertikaikan kemampuan suami untuk talak. Sememangnya talak adalah kemampuan suami. 

Kenyataan suami puan juga boleh dianggap sebagai satu penganiayaan kerana beliau cuba menghalang puan daripada memohon bantuan sedangkan dia sendiri telah gagal untuk memberi nafkah atau pulang ke rumah. 

Puan perlu merujuk ke Mahkamah Syariah untuk membuat laporan bagi memperjelaskan status puan. Puan tidak perlu menunggu suami melaporkan masalah ini. Mahkamah Syariah akan menyaman suami untuk hadir semasa perbicaraan. 

Perbicaraan di Mahkamah Syariah kelak adalah untuk mengesahkan status perkahwinan. Mahkamah akan memastikan sama ada talak telah jatuh ke atas puan. Dari segi undang-undang puan dianggap masih berkahwin sehinggalah mahkamah mengesahkan perceraian tersebut. 

Semasa perbicaraan, puan boleh membentangkan kepada mahkamah mengenai perkara yang telah dirujuk tadi. Mahkamah juga akan menentukan niat sebenar dan kesahihan lafaz suami. Berdasarkan bukti dan keterangan yang telah dikemukakan, mahkamah kemudiannya akan membuat keputusan mengenai status perkahwinan tersebut Adalah diharapkan agar puan segera merujuk ke Mahkamah Syariah.


Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan:

Suami saya telah menghantar pesanan melalui telefon (SMS) kepada saya yang menyatakan dia menceraikan saya dengan talak tiga. Perkara ini berlaku disebabkan pertelingkahan kecil di antara kami dan suami sedang berada dalam keadaan amat marah sehingga tidak sedar apa yang ditulisnya.

Apakah talak tiga telah jatuh? Sehingga kini saya masih belum membuat apa-apa pengaduan. Adakah saya perlu melaporkannya ke Mahkamah Syariah?

Minah,
Johor Bahru

Jawapan:
Ikatan perkahwinan merupakan rahmat Allah kepada hambanya. Ia telah digambarkan melalui surah Al-Baqarah: 187, Isteri kamu pakaian kamu, kamu pula pakaian mereka.

Perkara utama yang harus ditentukan di sini ialah sama ada talak telah jatuh melalui pesanan SMS. Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa menentukan kesahihan sesuatu lafaz cerai. Ini adalah berdasarkan Seksyen 45 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Terdapat dua jenis perceraian iaitu di dalam (dengan izin) dan di luar (tanpa izin) mahkamah. Puan harus memohon pengesahan perceraian tersebut di bawah Seksyen 55A. Seksyen tersebut memperuntukkan kepada mahkamah kuasa untuk mengesahkan dan mendaftarkan perceraian yang berlaku di luar mahkamah.

Pihak mahkamah dalam membuat pengesahan perceraian terlebih dulu mengadakan siasatan bagi memastikan lafaz talak itu sah mengikut hukum syarak. Sekiranya mahkamah berpuas hati mengenai lafaz cerai tersebut, maka ia adalah tertakluk di bawah Seksyen 124 untuk membuat perintah membenarkan perceraian, merekodkan dan memberitahu kepada pendaftar.

Berbalik kepada persoalan bagaimana hendak menentukan sah atau tidaknya sesuatu perceraian di luar mahkamah. Mahkamah akan melihat kepada rukun-rukun perceraian atau talak.

Apabila sempurna kesemua rukun talak maka sabitlah perceraian. Di dalam kitab Banatu ak-Talibin telah dinyatakan mengenai lima rukun talak iaitu, suami, lafaz yang digunakan, diqasadkan (diniatkan) kepada siapa talak itu, isteri dan talak itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami.

Asas mensabitkan berlaku atau tidak perceraian melalui pesanan SMS memerlukan kepada keyakinan daripada suami bahawa sememangnya beliau yang menulis pesanan SMS tersebut secara sengaja tanpa paksaan dan ditujukan khas kepada isteri.

Ini bertepatan dengan kaedah Fekah, iaitu tulisan itu adalah diiktibarkan syarak sama seperti perkataan yang dilafazkan di dalam perceraian. Menjadi suatu kewajipan untuk menghilangkan sebarang perasaan was-was atau ketidakpastian dalam menjatuhkan talak.

Jika wujud ketidakpastian dalam salah satu daripada kelima-lima syarat talak maka perceraian tersebut tidak jatuh. Kebiasaannya mahkamah akan meminta suami melakukan sumpah syarie terhadap pesanan SMS yang dimaksudkan.

Jika telah sabit kepastian melalui lafaz sumpahnya maka jatuhlah talak tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab puan dan suami untuk berlaku jujur di dalam perkara ini demi menghilangkan perkara subahat yang melingkari ikatan pernikahan puan.

Mengenai perceraian dalam keadaan marah, timbul perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai sama ada gugur atau tidak talak itu.

Mengikut sebahagian ulama, jatuh talak yang dilafazkan dalam keadaan marah kerana perasaan tersebut masih boleh dikawal oleh seseorang. Antara lain, orang yang dalam keadaan marah tidak termasuk dalam golongan orang yang terkeluar daripada beban taklif.

Manakala mengikut pendapat Ibnu Qayyim, beliau telah membahagikan marah ini kepada tiga keadaan yang berbeza dan turut berbeza hukum talak pada ketika itu.

Keadaan pertama, marah yang dapat dikawal perasaan dan fikiran sepenuhnya. Talak yang dilafazkan pada ketika ini dihukumkan jatuh.

Kedua, keadaan marah yang sampai ke tahap seolah-olah hilang akal, iaitu tidak sedar mengenai apa yang diperkatakan. Jumhur Ulama sepakat berpendapat talak yang dilafazkan tidak gugur kerana disamakan dengan orang gila yang hilang akal dan tidak lagi memikul beban taklif.

Ketiga ialah marah yang berada antara tahap pertama dan kedua. Marah pada tahap ini diperselisihkan ulama pada hukumnya dan perlu juga dilihat kepada aspek dalil, selain mempertimbangkan suasana perceraian ini berlaku serta maslahah dan kepentingan anak-anak.

Justeru, sebagai langkah menentukan sama ada jatuh atau tidak lafaz perceraian dalam keadaan marah, hendaklah dimaklumkan kepada Mahkamah Syariah memandangkan ia mempunyai bidang kuasa menentukan kesahihan perceraian yang dilafazkan di dalam keadaan marah.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan:

Teman saya, seorang janda telah dipaksa untuk berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya. Dia telah dibawa ke England dengan alasan untuk pergi bercuti. Tanpa pengetahuannya, bapa telah merancang satu perkahwinan dengan salah seorang anak kenalan. Apabila di sana teman saya tidak dapat berbuat apa-apa. Tiba-tiba dia dibawa ke satu rumah dan dipersiapkan sebagai pengantin. Untuk menjaga air muka keluarga kawan saya menurut sahaja. Setelah majlis perkahwinan selesai, bapanya pulang ke tanah air dan meninggalkan teman saya bersama suami. Teman saya ini telah meminta suami menceraikannya tetapi suami enggan. Malah dokumen perjalanan dan surat nikah teman saya ini disimpan oleh suami. Bagaimanakah caranya teman saya boleh mendapatkan dokumen perjalanan dan surat nikahnya, dan seterusnya meminta cerai.

Kamarulsani,
Subang, Selangor.

Jawapan:
“Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tertarik kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang” surah al-Rum 30:21

Perkahwinan merupakan satu akad iaitu satu kontrak yang diangkat atau dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Ia tidak mempunyai unsur paksaan malah merupakan salah satu unsur bagi menjalinkan kasih-sayang. Tidak terdapat paksaan dalam Islam. 

Persetujuan seorang perempuan merupakan satu keperluan dalam perkahwinan. Ini bukan sahaja dituntut oleh syarak tetapi bertujuan untuk menjamin kesejahteraan satu perkahwinan. Namun di Malaysia, tidak semua perundangan berkaitan dengan keluarga Islam mewajibkan persetujuan seorang perempuan dalam perkahwinannya. Di Kelantan misalnya, dalam Enakmen Keluarga Islam Kelantan 1983, Jadual Keempat menyatakan bahawa keizinan daripada seorang anak dara tidak diperlukan sekiranya walinya ialah mujbir. 

Sahih Bukhari telah meriwayatkan dua hadis mengenai perkara ini, bahawa wali tidak boleh mengahwinkan seorang anak dara atau perempuan yang pernah berkahwin tanpa persetujuannya dan juga Rasulullah s.a.w pernah membubarkan suatu perkahwinan yang telah dilangsungkan tanpa persetujuan perempuan tersebut. 
Terdapat perbezaan pendapat sama ada seorang perempuan boleh melangsungkan perkahwinannya sendiri.
Secara umumnya terdapat persetujuan di kalangan para ulama bahawa seorang perempuan tidak boleh melangsungkan perkahwinannya sendiri walaupun dari segi undang-undang, dia mampu berbuat sedemikian.

Perbezaan 
Terdapat juga perbezaan dalam isu persetujuan seorang perempuan yang telah berkahwin dan belum pernah berkahwin, hak seorang wali dan jenis persetujuan yang diperlukan.

Sebagai contoh, Imam Malik dan Shafii berpendapat bahawa kebenaran seorang wali adalah perlu di dalam akad, tetapi Imam Hanafi pula berpendapat bahawa seorang perempuan yang telah dewasa sama ada belum atau pernah berkahwin boleh melangsungkan perkahwinan tanpa perlu adanya wali. 

Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.a yang menyatakan bahawa:”Seorang gadis telah datang kepadanya dan berkata bahawa bapanya telah melangsungkan perkahwinannya dengan anak saudara bapanya untuk meringankan kemiskinan pemuda tersebut. Apabila Rasulullah s.a.w mendengar aduan itu, Baginda telah memanggil bapanya dan di hadapan bapanya membenarkan gadis itu berkahwin mengikut pilihan gadis tersebut. Lalu gadis menjawab; Wahai Rasulullah! Saya menerima pilihan bapa saya. Saya hanya mahu kaum perempuan sedar yang mereka mempunyai hak penuh ke atas diri mereka dalam hal ini.” 

Dalam persoalan teman saudara, kita boleh merujuk kepada surah al-Baqarah, ayat 232 yang bermaksud; 
“Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis idahnya maka janganlah kamu (para wali) menghalang mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya. Apabila terdapat kerelaan di antara mereka dengan cara yang maaruf. Itulah yang dinasihatkan kepada orang-orang yang beriman di antara kamu kepada Allah dan hari kemudian…”
Ayat ini telah turun apabila saudara perempuan Maqil bin Yasir yang telah bercerai mahu kembali kepada bekas suaminya dan hasrat ini ditentang oleh Maqil. Rasulullah s.a.w telah membenarkan perkahwinan ini walaupun tanpa kebenaran wali (Maqil).

Kita boleh merujuk kepada dua hadis yang telah dibukukan oleh Abu Daud r.a. yang memberi sokongan bahawa janda boleh berkahwin tanpa perlunya kebenaran wali. Hadis-hadis ini antara lain bermaksud seorang balu atau janda mempunyai lebih hak mengenai perkahwinannya daripada walinya dan wali tidak mempunyai hak ke atas seorang janda atau balu. 

Dari segi perundangan syariah, di negeri Selangor, rujukan harus dilakukan terhadap seksyen 13 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003. Ia menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah enakmen tersebut, melainkan kedua-dua belah pihak kepada perkahwinan tersebut bersetuju dan sama ada: 

a. Wali pihak perempuan bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut hukum syarak; atau 
b. Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan bermastautin atau seorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie telah memberi persetujuan terhadap perkahwinan itu melalui wali raja mengikut hukum syarak, berasaskan kepada sebab-sebab tertentu yang dibolehkan.

Melihat kepada hadis-hadis dan ayat al-Quran di atas, adalah jelas bahawa Islam sebenarnya memberi kebebasan sepenuhnya kepada perempuan untuk memilih calon suaminya. Kahwin paksa dalam keadaan masyarakat yang moden sekarang sudah tidak relevan dan sesungguhnya lari daripada syariat Islam itu sendiri. 

Menurut undang-undang di Malaysia, setiap perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara perlu didaftarkan di pejabat Kedutaan atau Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara tersebut. 

Sekiranya perkahwinan teman saudara telah didaftarkan di Suruhanjaya Malaysia, London maka salinan sijil perkahwinan boleh didapati di suruhanjaya berkenaan. Sekiranya tidak, beliau perlu memberi butir-butir perkahwinan tersebut kepada pihak suruhanjaya dan seterusnya memohon bagi pendaftaran perkahwinan di Malaysia. Ini adalah kerana sehingga perkahwinan tersebut didaftarkan, ia tidak diakui oleh undang-undang dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa terhadap perkahwinan tersebut. 

Berkenaan dengan dokumen perjalanan yang dipegang oleh suaminya, adalah menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang untuk menyimpan dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan orang lain. 

Teman saudara dinasihatkan untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, yang beralamat di 46 – 46, Belgrave Square, London, SWIX 8QT. Teman saudara hendaklah menceritakan perkara sebenar kerana dalam keadaan yang memerlukan, Su-ruhanjaya boleh membantu dengan mengeluarkan Sijil Perakuan Cemas. Sijil ini membolehkan teman saudara pulang ke tanah air tanpa memerlukan sebarang dokumen perjalanan. Selain daripada alamat di atas, teman saudara boleh menghubungi Suruhanjaya melalui telefon di nombor 442072358033 atau faks 442072355161 atau e-mail kepada [email protected].

Tentang permohonan perceraian, teman saudara hanya boleh memulakan tindakan di mahkamah Syariah. Maka amatlah penting untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut supaya Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk menanganinya.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan dipetik daripada MyMetro:

Saya sudah berkahwin selama 15 tahun dan bergelar isteri kedua. Saya ingin menuntut fasakh kerana perangai suami yang sering memukul saya setiap kali berlaku pertengkaran.

Saya juga menanggung nafkah zahir selama perkahwinan ini termasuk kos bersalin empat anak, yuran sekolah malah persiapan hari raya. Suami cuma lepas tangan dalam tanggungjawab ini.
Meskipun dia mempunyai tiga anak dengan isteri pertama, ia bukan lesen kepada dia untuk menafikan hak anak saya. 

Masalahnya perkahwinan ini dilakukan di Thailand dan tidak didaftarkan di Malaysia. Apakah proses untuk saya membatalkan perkahwinan ini?

Bagi saya, perkahwinan ini adalah seksaan fizikal dan mental sedangkan suami seharusnya melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Saya perlu menyelesaikan masalah ini mengikut undang-undang supaya kepentingan anak pada masa depan terpelihara.

Lina
Kuala Lumpur

Jawapan: 

Assalamualaikum Puan Lina,

Merujuk kepada persoalan Puan, sebelum Puan boleh memfailkan perceraian di Mahkamah, terlebih dahulu Puan perlu mengesahkan dan mendaftarkan perkahwinan tersebut supaya diiktiraf sebagai pasangan yang telah berkahwin di bawah undang-undang Syariah di Malaysia. Ini juga bermaksud agar Puan boleh menuntut hak-hak Puan sebagai isteri, dan juga anak-anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut.

Perkahwinan Tidak Berdaftar

Memang benar ada kalanya perkahwinan yang dilakukan di Thailand atau sempadannya, boleh jadi tidak sah oleh kerana sindiket, atas alasan ia tidak mematuhi rukun-rukun perkahwinan seperti yang dituntut oleh Hukum Syarak. Untuk mengetahui sama ada akad nikah tersebut saha atau sebaliknya, hanya Mahkamah Syariah yang mempunyai bidangkuasa tersebut. Oleh itu kami nasihatkan agar Puan ke Mahkamah Syariah berhampiran tempat tinggal Puan dan membuat permohonan pengesahan pernikahan. Mahkamah Syariah akan membuat siasatan berdasarkan bukti-bukti yang dibawa sama ada perkahwinan tersebut adalah sah menurut Hukum Syarak. Apabila Mahkamah menentukan bahawa ianya sah, maka seterusnya Puan boleh terus memfailkan fasakh di Mahkamah Syariah.

Perceraian Secara Fasakh

Fasakh merupakan salah satu hak seorang wanita untuk menuntut perceraian melalui permohonan kepada Mahkamah untuk membubarkan perkahwinan tersebut. Ini bukan sahaja termaktub di dalam Hukum Syarak, bahkan undang-undang keluarga Islam di Malaysia. 

Fasakh nikah disyariatkan untuk membendung mudarat yang menimpa ke atas isteri. Dalam situasi Puan, Puan mendakwa bahawa Puan seringkali dikasari, bahkan nafkah yang sewajarnya jadi tanggungjawab bapa/suami diabaikan, mengakibatkan mudarat kepada Puan dan juga anak-anak.  

Bagi mereka yang bermastautin di Wilayah Persekutuan, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 adalah dirujuk, dan fasakh diperuntukkan di bawah seksyen 52(1). Di bawah seksyen tersebut, terdapat pelbagai alasan-alasan yang boleh dijadikan asbab kepada permohonan perceraian fasakh itu. Berdasarkan kepada situasi Puan, antara alasan-alasan yang bersangkut-paut adalah:

(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;

Maka, daripada alasan-alasan tersebut, Puan layak mengemukakannya dengan memberi bukti yang sesuai bagi menguatkan dakwaan di Mahkamah. Seandainya Mahkamah yakin dan mendapati bahawa tuntutan Puan adalah benar, maka Mahkamah akan membubarkan perkahwinan tersebut tanpa persetujuan suami atau kehadirannya di Mahkamah.

Apabila Puan memfailkan perceraian fasakh di Mahkamah kelak, kami mencadangkan agar Puan turut menuntut beberapa perkara termasuklah nafkah iddah, nafkah isteri, nafkah isteri tertunggak, nafkah anak-anak, hak penjagaan, harta sepencarian dan sebagainya.

Perbuatan Memukul Isteri

Sesungguhnya Islam amat melarang perbuatan menzalimi wanita sebagaimana firman Allah SWT di dalam sebahagian surah al-Baqarah ayat 231 yang bermaksud:

“….dan janganlah kalian pegang mereka (isteri) dengan maksud memberi mudarat kerana kami hendak melakukan kezaliman terhadap mereka….”

Sebagaimana yang Puan nyatakan, untuk makluman, sebarang perbuatan memukul atau mendera isteri sama ada secara fizikal, mental, psikologi, kewangan, dan sosial adalah satu kesalahan di bawah Akta Keganasan Rumahtangga 1994 yang mana suami boleh dijatuhkan hukuman penjara jika didapati telah mencederakan isteri. 

Jika Puan ada membuat laporan polis dan juga mendapatkan laporan di hospital, ia bukan sahaja boleh menjadi bukti bagi kes fasakh Puan, malah Puan boleh menggunakannya untuk mendapatkan IPO (Perintah Perlindungan Sementara). Perintah tersebut akan menghalang suami daripada terus mendekati dan mengasari Puan, sehingga siasatan jenayah terhadapnya selesai dijalankan. 

Perbuatan Suami yang Tidak Bertanggungjawab

Berpoligami bukanlah satu alasan yang boleh dipergunakan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan juga bapa. Seseorang suami yang telah gagal memenuhi tanggungjawabnya terhadap isteri menurut Hukum Syarak adalah berbuat dosa dan nusyuz. Jika isterinya tidak redha maka isteri berhak untuk memohon cerai. 

Isteri dan anak-anak merupakan satu tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah SWT. Dia berhak mendapat perlindungan serta keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada suaminya. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Ashaba Al-Sunan yang bermaksud:

Hindun, isteri Abu Sufian telah mengadu kepada Rasulullah bahawa suaminya tidak memberi nafkah yang cukup kepadanya dan anak-anaknya. Lalu Rasulullah memerintahkan Hindun mengambil dari harta Abu Sufian bahagian untuk nafkahnya dan anak-anaknya dengan sebaik-baiknya.

Berdasarkan hadis ini jelaslah bahawa suami wajib menyediakan nafkah terhadap isteri dan jika suami enggan dengan sengaja, cuai ataupun nafkah yang diberi tidak mencukupi maka seorang isteri berhak mengambil harta suaminya sebagai nafkah buat isteri dan anak-anaknya.

Diharap penjelasan kami dapat membantu Puan. Sekiranya puan mempunyai sebarang kemusykilan atau pertanyaan, puan boleh menghubungi kami semula di talian Telenisa 03-7690 8802 pada setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis dari jam 10.00 pagi – 5.00 petang. Sekian.

Ikhlas,
Klinik Telenisa
Sisters In Islam

Soalan:

Saya ingin berpisah daripada suami kerana sudah tidak tahan dengan (kelakuannya)suami saya yang sering keluar masuk penjara. Tetapi kerana egonya, dia tak mahu (me)lepaskan saya. Dia selalu kena tangkap kerana kes dadah dan mencuri. Semenjak empat tahun berkahwin, setiap tahun pasti dia akan masuk penjara dengan macam-macam kes. Tempoh tahanan selalunya antara lapan bulan hingga ke setahun. Lepas itu, dia keluar, selang dua bulan kemudian, dia masuk penjara semula. Kami ada seorang anak dan saya mempunyai (ber)pendapatan tetap. Tak ada bezanya dia ada atau tak ada. Sayalah yang menguruskan rumahtangga selama ini. Saya rasa tak ada gunanya kami bersama jika begini keadaannya. Tetapi, apakah caranya untuk saya melepaskan diri jika dia memang berkeras tak mahu ceraikan saya?

Farah Damina,
Kuala Lumpur

Jawapan:
Pelbagai cara dianjurkan oleh Islam bagi membubarkan perkahwinan, antaranya ialah fasakh. Di dalam kitab I’annah al-Talibin, juzuk 4, halaman 162 menyatakan yang bermaksud:

“Fasakh disyariatkan untuk membendung mudarat yang menimpa atas diri isteri.”

Walaupun suami enggan melepaskan puan dalam kes ini, namun ada cara lain untuk mendapatkan keadilan.

Fasakh bolehlah ditakrifkan sebagai pembubaran atau pembatalan perkahwinan oleh perintah kehakiman.

Seksyen 2(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa fasakh bermaksud pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh hukum syara’ mengikut seksyen 52.

Melihat kepada seksyen 52 Akta, puan mempunyai beberapa alasan untuk memfailkan perceraian fasakh ini terhadap suami puan.

Antaranya, puan boleh memfailkan fasakh atas alasan bahawa suami tidak memberi nafkah kepada isteri selama tempoh tiga bulan.

Puan juga boleh memberi alasan suami menganiaya puan, iaitu dengan lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan nya menderita disebabkan oleh kelakuan(nya) aniaya.

Makna lazim menyakiti tidak semestinya merujuk kepada penderaan secara fizikal sahaja. Kes Hairun bt Mohd Shariff lawan Omar bin Mohd Nor menerangkan bahawa “lazim menyakiti” boleh membawa maksud penganiayaan berbentuk mental seperti menyakiti hati dan perasaan. Penganiayaan ini haruslah dibuktikan berlaku acap kali.

Merujuk kepada kes puan ini, keadaan suami puan yang sering keluar masuk penjara dan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami boleh dijadikan alasan fasakh.

Semasa perbicaraan fasakh, puan haruslah membawa bukti-bukti tentang keadaan suami puan yang sering keluar masuk penjara. Dokumen-dokumen yang berkaitan boleh puan dapati di Jabatan Penjara yang berkenaan. Malah, puan juga boleh memanggil pegawai-pegawai di Jabatan Penjara berkenaan untuk menjadi saksi puan bahawa suami sememangnya keluar masuk penjara.

Mempertahankan sesuatu perkahwinan yang menzalimi isteri dan anak bukanlah perkara yang diseru oleh Allah. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 231 yang bermaksud, “Janganlah kamu pegang mereka dengan maksud memberi mudharat kerana kamu hendak melakukan kezaliman”.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan:

Saya dan suami sering bertelingkah dan dia selalu memukul saya sehingga lebam-lebam. Saya tidak tahan lagi dan mahu bercerai dengannya, tetapi dia tidak mahu melafazkan talaq ke atas saya. Tiadakah jalan lain untuk saya bercerai selain dijatuhkan talaq?

Sri Shahrizat,
Putrajaya

Jawapan:
Ramai yang mengatakan bahawa pergaduhan antara suami isteri adalah asam garam berumahtangga. Bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri.

Namun, ada pula halnya di mana pertelingkahan ini tidak dapat diselesaikan sehingga menjadi masalah yang berlarutan, malah membawa kepada pukul-memukul. Ini jauh sekali daripada gaya hidup berumahtangga yang digalakkan dalam ajaran Islam. 

Bagi pasangan suami isteri yang tidak boleh berdamai semula, perceraian merupakan jalan penyelesaian terbaik selagi ia dilakukan dengan cara yang berhemah. Jika puan sudah berkeputusan untuk bercerai, terdapat tiga jalan yang puan boleh ambil menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. 

Cerai ta’liq (seksyen 50) 

Ta’liq adalah perjanjian yang ditandatangani semasa pernikahan. Ia membenarkan puan memohon perceraian sekiranya suami puan melanggar mana-mana syarat yang terdapat dalam ta’liq tersebut, misalnya, jika dia tidak membayar nafkah. Dalan situasi puan, alasan yang terpakai untuk memohon cerai adalah suami menyebabkan kemudaratan ke atas puan dengan mencederakan puan. 

Dengan yang demikian, bolehlah puan membuat permohonan ke mahkamah syariah bahawa perceraian telah berlaku. Mahkamah akan membuat siasatan akan kesahihan kenyataan puan dan, sekiranya berpuashati bahawa suami puan telah melanggar syarat ta’liq, mahkamah akan mengesahkan dan merekodkan perceraian tersebut. 

Cerai fasakh (seksyen 52) 

Cerai fasakh adalah cara membubarkan perkahwinan berdasarkan sebab-sebab tertentu. Menurut seksyen 52 (1), terdapat 12 sebab puan boleh membuat permohonan fasakh. 

Sebab-sebab itu adalah: tempat suami berada tidak diketahui selama lebih daripada satu tahun; suami tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah selama tiga bulan; suami dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih; dan suami tidak menunaikan kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun. 

Sebab-sebab lain yang membolehkan puan meminta fasakh termasuklah: suami mati pucuk masa berkahwin hingga sekarang dan ini tidak diketahui puan; suami telah gila selama dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta, vitiligo atau penyakit kelamin yang boleh berjangkit; dan jika puan dikahwinkan oleh wali mujbir puan sebelum puan baligh, puan masih belum disetubuhi suami puan dan masih belum mencapai umur 18 tahun, kini menolak perkahwinan itu. 

Puan juga boleh memohon fasakh sekiranya suami puan menganiayai puan. Menganiaya di sini membawa maksud: suami lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan puan menderita; atau suami berkawan dengan perempuan jahat atau berperangai keji; atau memaksa puan hidup secara lucah; atau melupuskan harta puan atau melarang puan dari menggunakan hak puan terhadap harta itu; atau menghalang puan dari menjalankan kewajipan agama; atau jika suami puan berpoligami, dia tidak melayani puan secara adil. 

Beberapa lagi sebab puan boleh memohon fasakh adalah: suami sengaja belum menyetubuhi puan selepas empat bulan berlalu; puan tidak memberi izin sebelum berkahwin atau izin itu tidak sah; pada masa berkahwin itu puan adalah seorang yang sakit otak dari jenis yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi fasakh di bawah Hukum Syara’. 

Melihat kepada alasan-alasan yang disenaraikan di atas, jelaslah bahawa alasan yang terpakai dalam situasi puan adalah suami puan lazim menyakiti dan menjadikan kehidupan puan menderita. 

Kesimpulannya, puan boleh memohon cerai ta’liq atau fasakh memandangkan suami puan tidak mahu melafazkan talaq. Namun begitu, ada kalanya permohonan cerai atas alasan dipukul suami tidak dibenarkan oleh mahkamah jika mahkamah mendapati bahawa kesahihan alasan tersebut tidak terbukti. 

Dalam keadaan ini, puan masih ada satu jalan terakhir iaitu cerai khul’ atau dikenali sebagai cerai tebus talaq (seksyen 49). 

Cerai tebus talaq dilakukan dengan puan membayar sejumlah wang kepada suami puan. Jika jumlah yang perlu dibayar oleh puan dipersetujui antara puan dan suami, mahkamah syariah akan memerintahkan suami puan melafazkan talaq ke atas puan. Sebaliknya, jika persetujuan tentang jumlah wang yang perlu puan bayar tidak dapat dicapai, mahkamah syariah akan menetapkan nilainya berdasarkan hukum syara’ dan dengan mengambilkira status dan kemampuan puan sebelum suami puan diperintahkan untuk melafazkan talaq. 

Talaq yang dilafazkan oleh suami puan dalam situasi ini dianggap sebagai talaq ba-in sughra yakni tidak boleh diruju’ semula. 

Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan:

Saya berkahwin dengan suami atas dasar suka sama suka. Dia bukanlah lelaki yang berada atau berjawatan tinggi tetapi saya tidak kisah kerana dia sayangkan saya. Selepas beberapa tahun berkahwin, saya mendapat tahu tabiat buruknya.

Rupa-rupanya, selama ini dia suka menghisap ganja. Saya ada menasihatinya agar berhenti menghisap dadah tetapi dia tidak memperdulikan kata-kata saya. Dia tetap melayan saya dengan baik, oleh itu saya diamkan diri dan bersabar sahaja.

Suatu hari pada tahun 2000, dia tidak pulang ke rumah dari tempat kerjanya. Mula-mula saya ingatkan dia keluar bermalam bersama rakan-rakannya, tetapi dia langsung tidak balik selama seminggu. Apabila saya menghubungi teman-temannya, tidak seorang pun tahu ke mana dia pergi. Polis juga tidak dapat mengesannya. Pendek kata, dia hilang begitu sahaja.

Walaupun saya sudah lama tidak mendengar khabarnya, saya tetap menunggu dia dengan setia. Tetapi, sejak tahun lalu, saya mula putus asa. Ada kemungkinan yang dia sudah meninggal dunia. Kebetulan pula, saya telah berkenalan dengan seorang lelaki yang ingin mengahwini saya.

Bolehkah saya berkahwin lain? Adakah saya perlu bercerai dengan suami saya? Bagaimana boleh saya bercerai sedangkan suami saya tidak dapat ditemui?

Syarifah Nur Atiqah,
Kuala Lumpur.

Jawapan:
Menurut seksyen 14(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, seorang perempuan yang sudah berkahwin tidak boleh berkahwin dengan lelaki lain selagi mana perkahwinan itu masih berterusan.

Maka, puan hanya boleh berkahwin lain sekiranya puan sudah bercerai dengan suami atau suami puan telah meninggal dunia. 

Dalam situasi ini, puan bolehlah membuat permohonan untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh di Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat tinggal puan. 

Menurut seksyen 52(1) Akta yang sama, terdapat 12 sebab puan boleh membuat permohonan fasakh. 

Antara sebab yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan, puan boleh menggunakan alasan menurut seksyen 52(1)(a) akta yang sama, iaitu suami puan telah menghilangkan diri tanpa sebarang berita selama lebih daripada satu tahun. 

Suami puan telah pun menghilangkan diri hampir tujuh tahun lamanya. Puan mempunyai sebab yang kukuh untuk memohon fasakh. 

Permohonan puan boleh didengar tanpa kehadiran suami memandangkan dia langsung tidak meninggalkan jejak dan tidak dapat dikesan biarpun oleh pihak polis. 

Selain itu, seksyen 53(1) akta yang sama mengatakan bahawa suami seorang wanita dianggap telah mati jika dia menghilangkan diri selama empat tahun atau lebih. Menurut seksyen ini, mahkamah boleh mengeluarkan perintah bahawa suami yang menghilangkan diri bagi tempoh empat tahun atau lebih dianggap telah meninggal dunia. 

Perintah ini dikenali sebagai perintah anggapan kematian. 

Jika puan ingin mendapatkan perintah ini, puan perlu membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Syariah. Dalam mendengar permohonan puan, pihak mahkamah akan membuat siasatan yang wajar untuk memastikan bahawa kedudukan suami puan sememangnya langsung tidak diketahui. Selepas mendapat kepastian, barulah mahkamah akan mengeluarkan perintah tersebut. 

Apabila perintah ini dikeluarkan, suami puan akan dianggap sebagai sudah meninggal dunia di bawah hukum syarak. 

Perintah anggapan kematian yang diperoleh boleh juga digunakan dalam membuat permohonan fasakh sejajar dengan seksyen 52 akta yang sama. 

Menurut seksyen 53(2) pula, perintah ini dianggap sebagai sijil mati suami puan jika puan mahu berkahwin lagi dan puan akan dianggap berstatus balu bercerai mati. 

Terima kasih atas kesudian puan mengemukakan soalan kepada kami. Diharap penjelasan ini bukan sahaja membantu puan, malah membantu wanita lain yang juga ragu tentang status perkahwinan mereka. 

Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan:
Saya sedang dalam proses perceraian dan baru mendapat surat dari Mahkamah Syariah untuk proses sulh. Bolehkah SIS memberitahu saya apakah proses sulh tersebut? Bolehkah saya ditemani oleh keluarga atau peguam saya.

Farhana Daud,
Shah Alam

Jawapan:
Surah an-Nisaa’ ayat 128 bermaksud: `Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz (atau sikap tidak acuh) dari suamimu, maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benar dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka), walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu bergaul dengan isteri secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz) maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui yang kamu kerjakan.”

Jelas di sini bahawa perdamaian adalah salah satu cara yang dianjurkan bagi menyelesaikan masalah. Satu satu cara bagaimana perdamaian ini boleh dilakukan adalah dengan proses sulh. Sulh dalam bahasa Arab bererti “Putus pertengkaran.” Ia juga bermakna komproni atau dalam pengertian syarak, suatu perjanjian yang dimeterai bagi menyelesaikan perselisihan atau pertikaian. Dalam amalan perundangan sivil ia dikenali sebagai mediasi. 
Pelaksanaan prosiding sulh bermula apabila Mahkamah Syariah menerima permohonan di bawah bidang kuasa malnya. Ini adalah termasuk permohonan cerai atau sesuatu tuntutan akibat perceraian iaitu nafkah isteri (idah, mutaah atau harta sepencarian) dan nafkah dan hak jagaan anak.

Surat dari Mahkamah Syariah akan memberitahu puan tarikh yang patut puan dan suami hadir bagi suatu sulh. Proses ini juga dikenali sebagai Majlis Sulh. Ia akan dipengerusikan oleh hanya seorang Pendaftar. Puan dan suami tidak boleh diwakili oleh Peguam Syarie atau mana-mana orang tanpa kebenaran Pendaftar. Perkara ini telah dijelaskan dalam Kaedah 5, Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001. Ia supaya setiap pihak dapat cuba mencari perdamaian tanpa dipengaruhi orang lain atau peguam. Proses ini juga lebih mudah daripada perjalanan proses Mahkamah yang mempunyai pelbagai protokol. 

Oleh itu puan tidak perlu melantik peguam bagi mewakili puan dalam proses Sulh. Ia juga salah satu cara bagi menjimatkan kos dan pihak terbabit hanya perlu melantik peguam (sekiranya mahu) sekiranya proses Sulh gagal mencapai apa-apa keputusan. 

Menasihati 
Walaupun begitu, puan boleh meminta nasihat dari peguam, persatuan wanita atau sesiapa bagi menasihati puan mengenai hak-hak yang boleh puan tuntut sebelum menghadiri Majlis Sulh. Perkara ini dapat meningkatkan pengetahuan puan bagi mempersiapkan diri semasa proses sulh.

Jika puan dan suami gagal hadir pada tarikh yang ditetapkan, puan perlu memaklumkan pihak Mahkamah dengan berlandaskan alasan yang wajar. Sekiranya puan atau suami gagal hadir tanpa sebarang alasan, perbuatan ini adalah salah kerana menghina Mahkamah. Perkara ini telah dinyatakan dalam Kaedah 4. 

Sebelum Majlis Sulh bermula, Pendaftar akan menerangkan prosedur sulh kepada puan dan suami. Puan dan suami kemudiannya dikehendaki membentangkan tuntutan dan cadangan penyelesaian terhadap perkara yang dipertikaikan. Walaupun proses ini tidak dilangsungkan dalam Mahkamah, setiap pasangan suami isteri harus masih beradap dan memberi peluang bagi pasangannya untuk membuat tuntutan atau membela diri. Bercakap dengan sopan dan tidak perlu menyerang keperibadian pasangan. Pendaftar juga akan memainkan peranan bagi memastikan kelancaran proses sulh. 

Jika puan dan suami dapat mencapai persetujuan dalam perkara yang dituntut maka Pendaftar akan menyediakan satu draf perjanjian. Draf ini akan dikemukakan kepada puan dan suami untuk ditandatangani. Ia kemudiannya akan disahkan oleh Mahkamah Syariah dan berfungsi sebagai satu perintah. 

Jika tiada langsung persetujuan atau hanya ada beberapa perkara yang tiada persetujuan dalam proses Sulh maka perkara-perkara tersebut akan dirujuk kepada Mahkamah Syariah untuk perbicaraan. 

Panel Peguam Sisters In Islam.