No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Poligami

Question: 

My husband had taken a second wife without my consent. Since then, he has neglected to pay me the maintenance that he used to give before his second marriage. Not only that, since his second marriage, he also sometimes fails to pay the children’s maintenance. When I lodged a complaint with the Religious Office, one of the ustazahs from the polygamy department told me that when a wife works, the husband’s consent for her to work can be used to replace the monthly maintenance that is compulsory for him to pay. So, what are my rights as a wife? Is it true that a husband is not required to pay for maintenance for wives who work? Is my husband not being fair by not providing me with maintenance like he did prior to taking a second wife? Widuri, Taman Miharja 

Answer: 

Polygamy is allowed under Malaysian law but there must have been permission given by the Syariah Court. This is provided under Section 23 (1) if the Islamic Family Law (Federal Territories) Act 1984. Pursuant to Sections 23 (3) and (4) of the Act, in giving said permission to enter into a polygamous marriage, the Court will consider several factors. Among those factors are: whether the polygamous marriage is just and necessary, the financial situation of the husband, whether or not the husband would be able to act fairly towards the wives, whether or not the consent and views of the existing wives have been obtained and that the marriage will not cause darar syarie upon the existing wife. In your case, if your husband has taken another wife without the Court’s permission, it is considered to be an offence under the law. Pursuant to Section 123 of the same Act, if he is charged and convicted of the offence, he can be fined for an amount not exceeding RM1000 or imprisoned for a period not exceeding 6 months, or both. Even though the law states that you are required to attend in Court for the purpose of obtaining your views prior to giving your husband the permission to take another wife, it is merely a factor that the Court would consider. It is not the determining factor for the Court to give permission for your husband to engage in a polygamous marriage. However, your husband has to prove that he has fulfilled all the requirements and conditions under Section 23 of the same Act. This was decided by the Selangor Appeal Committee in the case of Rajamah v. Abd Wahab (1990) JH 171. Because the husband failed to prove that he can fulfill all the said conditions and requirements, the Court decided to reject the husband’s application for permission to take another wife. Grounds: In a polygamous marriage or not, it is the responsibility of the husband to provide for the wife’s and children’s maintenance. Surah Al-Nisaa verse 34 which means: The men will take care of the women, because Allah has given more to the men compared to the women, and because the men has spent (provide maintenance to support women) from part of their property. Polygamy should not be made as an excuse to not provide for maintenance. For this reason, the Syariah Courts in Malaysia set the rule that a husband has to obtain the Court’s permission before entering into a polygamous marriage. This is to avoid injustice committed against the existing wife and her family. Justice is the most important aspect of a polygamous marriage. Allah in Surah Al-Nisaa verse 3 said as follows: “If you fear that you would not be able to be fair and just towards your wives then marry only one.” The law has provided that the Court has the power to order a husband to pay maintenance to his wife and children. Section 59 (1) provides for this power. Therefore, you may make an application with the Syariah Court for an Order against your husband to pay maintenance. You may state that maintenance has not been received ever since your husband took a second wife as grounds for the application. You have to list down the items for which maintenance is being asked, for example, electrical bills, water bills, telephone bills, your children’s bus fares, their school fees, their daily school expenses, clothes, household needs, your daily expenses and so on. The husband’s duty to provide maintenance to his wife and children continues even though the wife has her own income. It does not mean that the husband can let go of his responsibilities by not providing maintenance. Section 128 of the same Act provides that a husband who does not act fairly towards his wife has committed an offence and can be fined for an amount not exceeding RM1000 or imprisoned for a period not exceeding 6 months or both. Even though you have lodged a complaint with the Religious Office, that office only plays a role in providing counselling or advice regarding the problems you face. You have to go to the Syariah Court in order to demand for maintenance because only the Syariah Court has the power to make an order to compel your husband to pay maintenance for you and your children. You are advised to seek for justice in the Syariah Court as it is clear that your husband is not being fair to you and your children upon him taking another wife.

Panel lawyers, Sisters In Islam.

Soalan :

Sis, saya adalah seorang wanita yang berjaya dalam kerjaya. Saya memang tidak memerlukan suami untuk menyara keperluan harian saya. Namun demikian, hati saya telah diketuk semula oleh kekasih lama yang telahpun berkeluarga. Dia telah melamar saya dan isterinya telah memberi izin ke atas perkahwinan ini atas sebab-sebab tertentu. Saya mendapat tahu bahawa seorang lelaki yang berhasrat untuk berpoligami perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa dia perlu berlaku adil kepada isteri-isterinya.

Bolehkah SIS menjelaskan apakah yang dimaksudkan keadilan itu? Bagaimanakah saya boleh melindungi kepentingan saya dalam perkahwinan poligami?

Katrina Abdullah
Bangsar, Kuala Lumpur

Jawapan :

Secara dasarnya, poligami adalah merupakan amalan masyarakat turun temurun Arab Jahiliyah sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Dengan datangnya Islam, poligami dihadkan kepada 4 sahaja berbanding dengan poligami tanpa had yang diamalkan sebelumnya . Seterusnya, bagi memastikan amalan poligami secara yang lebih adil dan menjamin kesejahteraan hidup, Islam juga telah menetapkan syarat-syarat tertentu dan mengambil jalan pertengahan yang lebih wajar. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan lebih dari seorang perempuan tetapi tidak melebihi empat orang.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 3 “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan) perempuan-perempuan lain yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hamba hamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

Ayat di atas menunjukkan amalan poligami lebih dilihat kepada satu tanggungjawab dan sekatan untuk memastikan keadilan terhadap anak-anak yatim. Tetapi, adakah poligami yang dibenarkan sekarang adalah lebih merupakan untuk memenuhi keperluan seksual lelaki daripada melindungi anak-anak yatim? Ayat di atas jelas menunjukkan al-Quran tidak menggalakkan poligami sebagai satu hak tanpa syarat, tetapi ia adalah untuk memastikan nasib balu dan anak yatim terbela.

Ini diperkuatkan lagi oleh ayat Surah an-Nisa 129 yang menyatakan “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya) Apabila al-Quran menegaskan dengan jelas mengenai keadilan terhadap wanita dan layanan yang adil terhadap para isteri, ia juga mengakui betapa mustahilnya memenuhi syarat ini. Dengan menekankan keperluan bagi layanan yang adil dan saksama untuk kesemua isteri, ayat 4:3 tidak boleh dilihat sebagai menggalakkan poligami.

Dalam perundangan di Malaysia, poligami dibenarkan tetapi ia hendaklah mendapat kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Kuala Lumpur) 1984.

Menurut seksyen 23(3) dan (4) Akta, dalam memberikan keizinan, Mahkamah akan mempertimbangkan beberapa perkara dan antaranya ialah mengapa perkahwinan poligami ini patut atau perlu, keadaan kewangan suami, sama ada suami boleh berlaku adil terhadap isteri-isteri, sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri telah diperolehi dan perkahwinan tersebut tidak akan mengakibatkan darar syarie kepada isteri sedia ada.

Persoalan sama ada keempat-empat syarat di atas perlu dipenuhi kesemuanya dalam satu-satu permohonan telah diputuskan dalam kes Aishah lwn Wan Mohd Yusof, [1990] 3 MLJ 1x dan [1991] JH VII, yang dibicarakan dalam Jawatan Kuasa Rayuan Mahkamah Syariah Selangor. Hakim membuat keputusan bahawa keempat-empat syarat yang disebut di bawah Sek. 23(4) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor adalah sama pentingnya dan hendaklah dibuktikan berasingan oleh pihak suami.

Undang-undang dibuat untuk melindungi hak-hak isteri sedia ada dan juga bakal isteri. Menurut Sek. 123 akta tersebut, memperuntukkan bahawa seorang suami yang tidak memberi keadilan yang sewajamya kepada isteri telah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Peruntukan ini selaras dengan ajaran Islam yang menekankan pentingnya kaum wanita itu dilindungi dari penyalahgunaan amalan poligami. Penekanan perlu dibuat supaya suami memberikan keadilan yang secukupnya kepada isteri.

Syarat yang ketat ditetapkan dalam undang-undang keluarga Islam bukanlah bertujuan mengharamkan poligami. Ia dirangka bagi menjaga ketenteraman rumah tangga dan mengelak dari penindasan serta kezaliman suami terhadap isteri. Kecacatan poligami sebenarnya bukanlah dari segi prinsip tetapi lebih kepada perlaksanaannya oleh sesetengah lelaki yang menyimpang dari landasan syariat.

Di Malaysia, Sek. 22(1) akta tersebut membenarkan pendaftaran taklik tambahan di dalam sijil perkahwinan. Walaubagaimanapun, amalan ini tidak selalu dilakukan. Kebanyakan kita tidak menyedari bahawa kita boleh memasukkan syarat ini ke dalam perjanjian perkahwinan. Bagi mereka tahu mengenainya, ramai wanita masih teragak-agak untuk meminta syarat ini dimasukkan kerana mereka merasa tindakan ini sebagai mencabar undang-undang dan kepercayaan terhadap suami.

Dengan itu, antara cara yang boleh melindungi saudari dalam perkahwinan poligami adalah taklik tambahan. Ianya juga demi menjaga kepentingan semua pihak, saudari dan juga isteri pertama boleh menetapkan syarat-syarat yang perlu suami turuti supaya kerukunan kedua-dua rumahtangga dapat dipelihara. Syarat-syarat seperti aturan giliran, jumlah nafkah yang harus diberikan kepada isteri-isteri dan anak-anak, pembahagian harta bolehlah ditetapkan dalam taklik tambahan ini. Persetujuan semua pihak diperlukan dalam taklik ini. Tujuannya ialah untuk melindungi kepentingan dan hak-hak lebih-lebih lagi hak anak-anak.

Jika syarat ini tidak dipatuhi oleh suami, isteri berhak untuk bercerai secara taklik. Kami juga berpendapat bahawa sekiranya suami melanggar mana-mana syarat perjanjian, ia memberi hak kepada isteri untuk memohon perceraian dan mendapat muta’ah (bayaran pampasan), kerana isteri terpaksa memohon bercerai srtelah berlaku kemungkiran perjanjian taklik.

Sebagai kesimpulan, sekiranya hak wanita Islam dijaga dan diperkembangkan mengikut lunas-lunas al-Quran maka keadilan yang terkandung di dalamnya sudah pasti diberi perhatian.

Soalan:

Salam SIS, saya sudah berumahtangga hampir tujuh tahun. Remuk hati saya apabila suami menyampaikan hasrat untuk berkahwin lagi. Tidak dinafikan bahawa poligami dibenarkan dalam Hukum Syarak. Tetapi apa yang menyedihkan ialah poligami sering dilihat sebagai sesuatu yang menyeronokkan untuk kaum lelaki, sebaliknya tidak bagi wanita yang dimadukan. Saya agak keliru dengan peruntukan undang-undang mengenai poligami. Oleh itu, saya mahu tahu apakah syarat-syarat dari segi perundangan di Malaysia agar saya dan kaum wanita yang lain faham tentang kebaikan dan keburukan berpoligami?

Puan Sofeya
Ampang 

Jawapan:

Sejarah telah menunjukkan bahawa isu poligami ini telah wujud sebelum kedatangan Islam. Seperti yang telah tercatat dalam sejarah, kaum Ibrani dan Arab pada masa tersebut telah mempunyai berpuluh-puluh orang isteri. Keadaan tersebut dilihat sebagai suatu penindasan terhadap kaum wanita. Setelah syiar Islam disebarkan, poligami yang telah diamalkan oleh kaum-kaum tersebut diharamkan dan Islam mengharuskan poligami dengan syarat-syarat tertentu.

Hukum Syarak telah menggariskan bahawa hukum poligami adalah harus, tetapi keharusannya bukanlah secara mutlak. Oleh itu, hukum syarak telah menetapkan syarat-syarat tertentu untuk berpoligami. Merujuk kepada firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa: 3 bermaksud, Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka berkahwinlah dengan perempuan yang kamu berkenan, dua, tiga, atau empat. Tetapi jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja. Yang demikian itu adalah lebih dekat, (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Kemudian dalam ayat 129 surah yang sama, Allah berfirman seterusnya:
“Dan kamu tidak akan dapat, berlaku adil antara isteri-isteri kamu, sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya).”

Menurut dua ayat di atas, poligami lebih dilihat kepada satu tanggungjawab dan sekatan untuk memastikan keadilan terhadap anak-anak yatim. Oleh itu, untuk menentukan keadilan antara isteri-isteri dan supaya tidak ada kezaliman yang berlaku dalam sesuatu perkahwinan poligami, maka kerajaan Malaysia menetapkan syarat-syarat yang harus dipenuhi oleh seorang suami sebelum dia dibenarkan berkahwin satu lagi.

Mengikut perundangan Malaysia, poligami dibenarkan tetapi beberapa syarat harus dipenuhi. Setiap negeri mempunyai syarat yang berbeza berkaitan poligami. Contohnya di Selangor dan Kuala Lumpur, suami yang ingin berpoligami hendaklah mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu. Dalam mendapatkan kebenaran Mahkamah, ada beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Mahkamah. Ia juga bertujuan untuk memastikan bahawa seseorang suami itu benar-benar layak untuk berpoligami berdasarkan hokum syarak dan undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Malah ia juga bertujuan untuk mengelak penganiayaan kepada isteri sedia ada dan anak-anak serta bakal isteri kedua.

Peruntukan di bawah seksyen 23 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, menyatakan bahawa permohonan untuk kebenaran berpoligami hendaklah dikemukakan di Mahkamah disertai dengan surat akuan menyatakan alasan-alasan mengapa poligami patut dan perlu dibenarkan, maklumat pemohon, pendapatan, bilangan tangungan  sedia ada dan tanggungan bakal isteri juga perlu dinyatakan. Selain itu, suami juga perlu mengemukakan izin atau pandangan isteri sedia ada sama ada ia diperolehi atau pun tidak terhadap permohonan poligami tersebut.

Merujuk seksyen 23(4) Akta, memperuntukan  faktor-faktor yang dipertimbangkan sebelum kelulusan berpoligami dibenarkan. Seksyen 23 (4) (a) Akta memperuntukkan bahawa faktor perkahwinan yang dicadangkan (berpoligami) perlu dijalankan itu adalah patut dan perlu diluluskan. Faktor-faktor tersebut adalah berdasarkan kepada kemandulan dan keuzuran jasmani atau kesihatan seperti gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada. Peruntukan ini merujuk kepada keadaan isteri tersebut terlalu lemah atau sakit dan tidak dapat melayan kehendak batin suami maka ia boleh menjadi salah satu alasan untuk mendapatkan kebenaran untuk berpoligami.

Syarat kedua adalah merujuk kepada seksyen 23 (4) (b) Akta menyatakan bahawa suami hendaklah mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak. Seterusnya seksyen 23 (4) (c) Akta memperuntukan bahawa suami berupaya memberi layanan sama rata kepada isteri-isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak. Bagi memenuhi kehendak ini, Hakim Syarie  perlu memastikan bahawa seseorang suami berlaku adil kepada isteri sedia kala dan bakal isteri. Perkara ini boleh dipastikan berdasarkan keterangan kedua-dua belah pihak berkaitan , sifat-sifat dan keperibadian seorang suami itu. Manakala seksyen 23 (4) (d) Akta pula memperuntukan perkahwinan yang dicadangkan itu tidak menyebabkan darar syarie (bahaya atau musibah) kepada isteri sedia ada atau bakal isteri.

Peruntukan-peruntukan yang dinyatakan perlu dipenuhi oleh seseorang suami sebelum mahkhamah memberi kebenaran untuk berpoligami. Undang-undang yang telah diperuntukan bukan untuk menyekat amalan berpoligami tetapi untuk menjaga maslahah  semua pihak bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau komplikasi yang bakal ditempuhi kelak.

Diharap penjelasan dan informasi yang telah diberi dapat membantu puan. Untuk sebarang pertanyaan dan kemusykilan, puan boleh menghubungi pihak kami di SIS FORUM.

Soalan:

SIS, Baru-baru ini saya mendapat tahu bahawa suami saya telah berkahwin lain. Saya mendapat tahu apabila terbaca e-mail yang dihantar oleh madu saya. Apabila saya bertanyakan kepada suami, dia mengaku telah bernikah dengan perempuan itu dan mempunyai seoarang anak. Yang menjadi kemusykilan saya bagaimana suami boleh berkahwin tanpa kebenaran saya kerana setahu saya jika suami ingin berpoligami, dia mesti mendapatkan tandatangan isteri pertama yang menyatakan persetujuan untuk berpoligami.

Isteri Keliru
Selangor  

Jawapan:

Suami berpoligami tanpa pengetahuan atau izin isteri bukan lagi satu isu yang baru di negara kita. Persoalan yang sering ditimbulkan adalah sama ada izin isteri untuk suami berpoligami adalah suatu kemestian atau sekadar pemberitahuan semata. Merujuk kepada perundangan undang-undang Islam di Malaysia berkaitan isu poligami adalah masih lagi longgar dari segi prosedur dan praktis.

Seksyen 23 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa suami perlu mendapatkan dan mengemukakan satu kebenaran bertulis di mahkamah untuk berpoligami. Manakala seksyen 23 (4) Enakmen tersebut menggariskan beberapa prosedur untuk suami yang ingin berpoligami. Mahkamah akan meneliti mengenai alasan-alasan yang dikemukakan oleh suami untuk berpoligami, antaranya ialah seperti :-

  1.  pendapatan suami pada masa itu
                2. butir-butir tangungan kewangannya
                3.bilangan orang yang ditanggungnya
                4.izin atau pandangan isteri yang sedia ada diperolehi.

Manakala seksyen 23 (5) Enakmen tersebut menyatakan apabila menerima permohonan itu, mahkamah akan memanggil suami, isteri yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang lain untuk memberi keterangan terhadap perkahwinan tersebut. Terdapat beberapa kes Mahkamah memanggil isteri sedia ada untuk memberi pandangan mereka terhadap permohonan poligami suaminya.

Ini sememangnya satu tindakan yang wajar kerana isteri sedia ada sudah bertahun-tahun tinggal bersama suaminya dan dia lebih tahu tentang suaminya daripada orang lain. Persoalan kemampuan suami untuk berlaku adil antara isteri-isteri adalah penting untuk ditentukan dan tiada siapa yang lebih layak memberi pandangan selain daripada isteri sedia ada.

Di Selangor, seorang suami yang ingin memohon berpoligami perlu mengikuti sesi kaunseling untuk perbincangan, nasihat dan untuk mendapatkan panduan. Kemudian, dia dikehendaki mengisi borang 1B, iaitu borang permohonan berpoligami. Suami kemudiannya perlu membuat Akuan Bersumpah di hadapan Ketua Pendaftar atau Pendaftar atau Timbalan Pendaftar atau Penolong Pendaftar bagi kariah masjidnya dengan membawa dua orang saksi lelaki.

Seperti yang dinyatakan, walaupun secara teorinya ada peruntukkan undang-undang tentang keizinan isteri sebagai salah satu pertimbangan yang wajar dilihat oleh Mahkamah Syariah dalam memberi kebenaran berpoligami.

Namun realitinya, isteri hanya diminta menandatangani borang permohonan sahaja. Walaubagaimanapun, seksyen 23 (8) Enakmen tersebut menyatakan bahawa jika suami tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan, maka suami perlu  dengan serta membayar jumlah mas kahwin dan pemberian kepada isteri yang sedia ada.  Untuk makluman puan, mahkamah mempunyai bidang kuasa atas permohonan pembayaran nafkah kepada isteri yang sedia ada. Selain itu, mahkamah juga mempunyai bidangkuasa dalam memerintahkan harta sepencarian atau apa-apa aset yang telah diperolehi semasa perkahwinan tersebut dibahagikan antara puan dan suami.

Oleh itu, puan boleh membuat permohonan di mahkamah mengenai pembahagian harta sepencarian serta apa-apa aset yang diperolehi bersama untuk dijadikan sebagai satu perintah mahkamah. Permohonan ini adalah termaktub di bawah seksyen 23 (10) Enakmen tersebut. Secara kesimpulannya dapat dinyatakan disini bahawa keizinan isteri dalam memberi kebenaran untuk suami berpoligami adalah salah satu prosedur merujuk kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Puan juga boleh menfailkan permohonan mengenai harta atau aset-aset seperti yang dinyatakan di atas di Mahkamah Rendah Syariah untuk keperluan dan kepentingan puan dan anak-anak.

Diharap penjelasan yang diberi dapat membantu puan. Untuk sebarang pertanyaan, puan boleh menghubungi pihak kami atau Biro Bantuan Guaman yang berdekatan.

Soalan:

Assalamualaikum,

Saya ingin meminta bantuan mengenai masalah saya, iaitu saya ingin berkahwin dengan suami orang. Kami merancang untuk berkahwin tetapi bakal suami saya tidak mahu berkahwin mengikut sistem perundangan (berkahwin tanpa memberitahu isterinya) sebab alasannya dia tak mahu isteri tertekan. Kami mencari tempat/negeri yang boleh membantu kami untuk kahwin tanpa perlu memohon kebenaran berpoligami. Buat pengetahuan Sisters kami telah berhubungan selama 6 tahun dan saya tak mahu menanggung dosa lebih lama lagi. Dan dalam masa yang sama saya juga tidak mahu merosakkan rumahtangga orang lain untuk berpisah amat sukar, saya amat berharap pihak Sisters dapat membantu saya.

Aisyah Fatima
Kuala Lumpur 

Jawapan:

Surah Al-Nisa’ ayat 3 telah membawa maksud:

˜Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak yatim, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman”


Salah-satu sifat adil adalah kejujuran. 

Di dalam kes saudari, teman lelaki telah menunjukkan sifat yang amat tidak adil dengan melakukan satu perhubungan dengan wanita lain selain isterinya. Seorang suami harus bertanggungjawab dan tidak sepatutnya menyembunyikan niat untuk berkahwin lain dari isteri. 

Ini bukan sahaja kerana dia akan merubah status perkahwinan dengan isteri sedia-ada, tetapi juga mungkin akan timbul masalah lain. Perkahwinan poligami tidak sepatutya disembunyikan dari isteri kerana ia boleh memberi kesan yang amat zalim pada keluarga. 

Teman lelaki saudari yang mahu terus menyembunyikan perhubungan menunjukkan bahawa dia tidak bertanggungjawab ke atas keluarga dan isterinya. Sikap ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa dia bukanlah seorang yang adil dan tidak layak untuk berpoligami.

Dari segi perundangan pula, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 perlu dirujuk. Seksyen 23(1) telah memperuntukkan bahawa seorang lelaki yang mahu berpoligami perlu memohon keizinan daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Jika dia berkahwin sebelum atau setelah gagal mendapatkan kebenaran tersebut maka tindakannya adalah salah di sisi undang-undang. Dia boleh didakwa di bawah Seksyen 123. Jika disabit kesalahan, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.Salah-satu efek perkahwinan yang dilakukan tanpa kebenaran Mahkamah adalah perkahwinan tersebut tidak boleh didaftarkan. 

Tujuan pendaftaran ini bukan hanya satu formaliti bagi mendapatkan sijil nikah. Ia merupakan satu rekod yang mensahihkan bahawa perkahwinan tersebut bukan sahaja menurut undang-undang negeri tetapi juga telah menepati hukum syarak.Perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah tidak sah dari segi undang-undang. Ia bermaksud bahawa puan tidak akan mempunyai hak sebagai seorang isteri dan tidak boleh membuat apa-apa tuntutan di Mahkamah Syariah kelak. 

Puan tidak akan dibenarkan menuntut hak ke atas nafkah, hak penjagaan atau nafkah anak, dan lain-lain tuntutan sehingga perkahwinan didaftarkan. Proses pendaftaran bukanlah satu perkara yang mudah terutama sekali sekiranya ia dilakukan di luar negeri, tanpa saksi yang dikenali atau suami enggan bekerjasama.Sekiranya saudari mempunyai anak kelak tanpa sijil nikah yang sah ia mungkin akan menyukarkan proses pendaftaran kelahiran dan lain-lain proses yang memerlukan kesahihan bahawa suami adalah bapa.

Perkahwinan poligami di luar negara atau negeri bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap ringan. Saudari tentu telah mendengar mengenai perkahwinan sindiket yang dijalankan oleh kadi yang tidak bertauliah dan menyebabkan perkahwinan tersebut tidak sah.

Perkara ini bukan sahaja kerana pasangan tidak berhati-hati tetapi juga kerana berlaku satu penipuan. Perkahwinan adalah satu tanggungjawab dan ia haruslah dipikul dengan sebaik-baiknya oleh pasangan. Apalagi di dalam perkahwinan poligami kerana ada isteri dan keluarga lain yang akan turut terlibat.Tujuan teman lelaki untuk merahsiakan perkahwinan poligami adalah tidak wajar dan tidak adil, bukan sahaja terhadap isterinya tetapi juga terhadap saudari. Kami menasihatkan saudari untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengambil apa-apa keputusan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna lagi.

Soalan:

Suami saya telah membuat permohonan untuk berpoligami di mahkamah syariah. Pihak mahkamah juga memberikan satu tarikh kepada saya untuk hadir di mahkamah. Tujuannya untuk mendapatkan pandangan saya sama ada suami saya layak berpoligami atau tidak. Saya tahu bahawa suami saya tidak mampu berpoligami. Duit gajinya hanya cukup-cukup untuk kami sekeluarga. Malah, dia sebenarnya berbohong kepada mahkamah tentang pendapatannya. Saya berharap agar mendapat panduan tentang apa yang perlu saya ketengahkan kepada mahkamah. Saya hanya mahukan keadilan kepada semua pihak. 

Amylea Sinderella
Kuala Lumpur

Jawapan:
Poligami merupakan satu tanggungjawab, bukannya hak. Sebab itulah Allah berfirman bahawa keadilan merupakan faktor paling penting untuk berpoligami. 

Kerajaan Malaysia amat mengambil berat persoalan keadilan ini. Undang-undang keluarga Islam tentang poligami telah dirangka supaya faktor keadilan dijadikan kayu pengukur bagi suami-suami yang berhasrat berpoligami. Justeru, dalam memberikan keizinan, mahkamah akan melihat kepada pelbagai sudut untuk menentukan aspek keadilan. 

Selain melihat kepada kemampuan kewangan, mahkamah tentunya ingin melihat kepada keupayaan suami memberi layanan sama rata kepada semua isterinya. Malah, mahkamah juga akan menyiasat bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie (bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa,  tubuh badan, akal fikiran, akhlak atau hartabenda mengikut kebiasaan yang diakui oleh hukum syara’)  kepada isteri yang sedia ada. (Sila rujuk Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 23(4) perenggan (a), (b), (c) dan (d)).

Tentunya mahkamah memerlukan keterangan daripada isteri sedia ada untuk mendapatkan maklumat-maklumat ini. Ini merupakan peluang bagi isteri-isteri menyuarakan pandangan mereka berkenaan perkahwinan poligami suami mereka, kerana sudah tentunya isteri-isteri sedia ada akan terbabit sama dalam senario poligami ini. 

Malah, aspek keadilan adalah selaras dengan firman Allah berkaitan poligami. 

Ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan poligami ialah surah an-Nisa ayat 3:

“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi, dua, tiga atau empat, tetapi jika takut tidak dapat berlaku adil (terhadap isteri-isteri), maka kahwinilah seorang sahaja yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”

surah an-Nisa ayat 129:

“Dan kamu sekali-kali tidak dapat berlaku adil di antara isteri-isteri, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian”

Mengenai surah an-Nisa ayat 3, Maulana Muhammad Ali (The Holy Quran (Lahore 1973) nota kaki 535, dipetik dalam Asghar Ali Engineer The Rights of Women in Islam, ms 156) memberi ulasan berikut:

Adalah diakui bahawa surah ini telah diturunkan untuk memberi panduan kepada orang-orang Islam dalam keadaan selepas peperangan Uhud dalam pertempuran tersebut, 70 orang lelaki Islam daripada bilangan 700 orang telah terkorban dan dengan itu bilangan kaum lelaki telah berkurangan dengan banyaknya, dan kaum lelaki itu merupakan golongan yang menyara kaum perempuan. Bilangan kaum lelaki mungkin akan berkurangan lagi di dalam pertempuran yang akan dihadapi selepas itu. Dengan demikian, ramai anak yatim menjadi tanggungan perempuan-perempuan balu yang menghadapi kesulitan untuk menyara diri mereka.

Oleh itu, dalam ulasannya, kepentingan penjagaan anak-anak yatim menjadi keutamaan dalam isu poligami.

Faktor kemampuan kewangan adalah antara perkara penting yang dilihat oleh mahkamah. Dalam kes Rajamah lwn. Abdul Wahab (1990) 7 JH 171, Jawatankuasa Ulang Bicara Syariah di Selangor telah membatalkan kelulusan permohonan poligami suaminya kerana mendapati suami tidak mampu dari segi kewangan.

Manakala dalam kes Aishah bte Abdul Rauf lwn. Wan Mohd Yusof bin Wan Othman [1990] 7 JH 152, Jawatankuasa Rayuan, Mahkamah Syariah, Selangor memutuskan bahawa empat syarat dalam seksyen 23(4) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1984 di Selangor, sama dengan syarat-syarat di bawah seksyen 23(4) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, perlu dipenuhi oleh setiap suami yang ingin berpoligami. (Syarat-syarat adalah seperti yang disebut di atas). 

Jawatankuasa Rayuan dalam kes ini menyatakan bahawa keempat-empat syarat yang dikenakan tersebut tidak bertentangan dengan al-Quran. Tujuannnya untuk memastikan keadilan kepada pihak isteri yang dituntut sebagai wajib oleh al-Quran  di pangkal ayat surah an-Nisa membolehkan suami berpoligami, tetapi di hujung ayat menyekat poligami sekiranya suami tidak dapat berlaku adil.

Memberi keterangan palsu kepada mahkamah adalah satu kesalahan dan boleh dihukum. Tindakan suami puan berbohong mengenai pendapatannya akan mendatangkan masalah kepadanya. Ini juga menunjukkan peribadinya yang kurang elok dan kemungkinan besar tidak layak berpoligami. 

Diharap, dengan hujah-hujah yang kami berikan dapat memberi panduan kepada puan nanti.

Soalan:

Awal tahun lalu, suami saya menyuarakan keinginannya untuk berpoligami. Pada mulanya saya tidak bersetuju kerana dia bukannya bergaji besar.

Pada pendapat saya, dia tidak mampu untuk menyara dua buah keluarga. Akhirnya, saya mengalah apabila dia berjanji akan menjaga kebajikan saya anak-beranak.

Malangnya, janjinya bertahan selama dua bulan sahaja. Sampai sekarang, suami langsung tidak memberi wang belanja untuk saya. Bila saya minta, dia kata dia tidak ada duit kerana madu saya baru melahirkan anak.

Dia juga jarang pulang ke rumah saya, kebiasaannya hanya sehari sebulan.

Bolehkah dia mengabaikan kami sebegini? Tiadakah apa-apa yang boleh saya buat agar suami memberi wang belanja dan melawat kami anak-beranak dengan lebih kerap?

Fakhriyah Daud,
Johor Bahru. 

Jawapan:
Acapkali kita terdengar kisah suami yang berpoligami tetapi tidak berlaku adil terhadap keluarga isteri pertama. Sebelum berlangsungnya perkahwinan poligami, pelbagai janji manis dituturkan namun akhirnya janji-janji tersebut tidak dikotakan.

Ini berlawanan sekali dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya menunaikan sebarang janji yang telah dibuat. Ini dapat dilihat melalui Surah al-Maidah ayat 1: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

Tambah menyedihkan lagi ialah apabila hal ini terjadi, wanita dan anak-anaklah yang sering menjadi mangsa.

Orang ramai biasanya menganggap bahawa mahkamah syariah mengeluarkan perintah mengarahkan suami membuat bayaran nafkah kepada isteri dan anak-anaknya dalam kes cerai sahaja.

Sebenarnya, seorang isteri juga boleh memohon kepada mahkamah syariah supaya memerintahkan suaminya membayar nafkah untuk dirinya serta anak-anaknya sepanjang tempoh perkahwinan. Ini berdasarkan seksyen 60 serta seksyen 73 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003.

Puan juga boleh meminta kepada mahkamah syariah supaya membuat perintah memotong gaji suami untuk dibayar sebagai nafkah. Selain itu, mahkamah syariah juga boleh memerintahkan agar harta alih (contohnya kereta) suami dijual dan hasilnya diberi kepada puan serta anak-anak puan sebagai nafkah. Ini berdasarkan kepada seksyen 159 (1) Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah (Negeri Johor) 2003.

Seperkara lagi, puan boleh membuat aduan ke mahkamah syariah bahawa suami tidak berlaku adil dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami yang berpoligami. Ini merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 129 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 di mana suami puan boleh dibicarakan di mahkamah syariah.

Menurut seksyen tersebut, seorang suami yang didapati bersalah kerana tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada isterinya seperti yang dikehendaki oleh hukum syarak boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Persoalan yang puan ajukan ini boleh dijadikan pedoman bukan sahaja kepada wanita yang berada dalam situasi yang sama, tetapi juga kepada wanita yang tidak kisah dipoligamikan. Malah kepada lelaki yang mengambil mudah perihal poligami ini juga perlu mengambil ikhtibar supaya tidak menzalimi hamba Allah s.w.t. yang lain.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan:
Baru-baru ini, saya dan tunang menyedari bahawa kami saudara sebapa. Arwah ayah kami telah berpoligami secara rahsia. Dulu, ayah pemandu teksi dan selalu keluar daerah menghantar pelanggan. Rupanya dia membahagikan masa antara dua buah keluarga!

Saya cukup tertekan dengan perbuatan ayah. Tunang saya juga buntu. Kami sudah lama bercinta dan saling menyayangi satu sama lain. Apa yang patut kami lakukan sekarang?

Noor Hazeerah Dzulkifli
Kuala Lumpur

Jawapan:
Lelaki yang berpoligami tanpa pengetahuan keluarganya adalah satu fenomena yang sudah tidak asing lagi. Apatah lagi bagi yang sering bekerja di luar daerah – memang cukup mudah baginya mengaburi mata isteri dan anak-anaknya.

Sisters In Islam acapkali menerima soalan berkenaan suami yang berpoligami secara rahsia sehingga menyebabkan pelbagai masalah dan kerungsingan kepada ahli keluarganya.

Atas sebab inilah orang ramai perlu dididik tentang undang-undang berkaitan poligami. Ini untuk memastikan bahawa tiada perkara yang tidak diingini berlaku seperti yang hampir berlaku kepada saudari.

Di Malaysia, suami yang ingin berpoligami perlu memohon kebenaran mahkamah berdasarkan Seksyen 23 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Seksyen 23 (3) pula menyatakan bahawa permohonan berpoligami mestilah disertakan dengan akuan yang mengandungi beberapa butir, contohnya, alasan munasabah untuk berpoligami.

Sama ada izin atau pandangan isteri yang sedia ada terhadap perkahwinan poligami yang dicadangkan itu telah diperolehi atau tidak juga perlu diakui semasa membuat permohonan berpoligami (tersebut). Tetapi, seperti situasi saudari sekarang, ada keadaan di mana perkahwinan poligami dilangsungkan secara rahsia tanpa kebenaran mahkamah mahupun isteri asal. (perbuatan ayah anda telah)

Perlu ditegaskan bahawa perbuatan tersebut adalah melanggar undang-undang syariah Malaysia. Orang yang berpoligami tanpa kebenaran dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 124 Akta yang sama. Pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1000.00 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Berbalik kepada masalah yang saudari dan tunang hadapi, sudah tiada alternatif melainkan memutuskan pertunangan. Seksyen 9 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menggariskan larangan berkahwin bagi pasangan yang mempunyai pertalian tertentu. Pasangan yang terdiri daripada adik-beradik sebapa tidak boleh berkahwin atas sebab perhubungan darah (Seksyen 9 (1) (d) Akta yang sama).

Perkahwinan itu bukan sahaja tidak dibenarkan oleh undang-undang, malah salah di sisi agama.

Apa yang telah berlaku kepada saudari dan tunang memang menyedihkan. Semoga kisah ini menjadi iktibar kepada orang ramai. Jangan kerana bapa ingin berpoligami secara rahsia, anak-anak yang menerima padahnya.

Nota: 
Undang-undang keluarga Islam di Maghribi dan Pakistan menetapkan bahawa suami yang ingin berpoligami perlu membuat permohonan di mahkamah dan mendapatkan kebenaran isteri pertamanya. Jika kebenaran isteri pertama tidak diperolehi, permohonan suami untuk berpoligami tidak akan dibenarkan.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan:

Saya seorang wanita Kristian yang telah memeluk agama Islam apabila saya berkahwin dengan seorang lelaki Muslim. Beberapa bulan yang lalu, suami saya telah berkahwin lagi. Saya memberi keizinan kepadanya kerana dia berjanji akan menjaga saya dan anak saya. Namun hanya manis mulut dibibir. Sehingga kini, suami saya langsung tidak memberi wang belanja, sebaliknya, sayalah yang menampung semua perbelanjaan kami dengan gaji saya yang tidak seberapa. Di sini saya ingin tahu, apakah tanggungjawab seorang suami yang mengamalkan poligami terhadap isterinya? Bolehkah dia mengabaikan hal kewangan keluarga kami sedemikian? Apa yang boleh saya lakukan untuk mengatasi masalah ini?

Siti Mary,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Kita sering mendengar masalah suami yang tidak mampu untuk berlaku adil setelah berpoligami, walaupun sebelum berkahwin, macam-macam yang dijanjikan. Tetapi apa yang menyedihkan ialah wanita dan anak-anak yang menjadi mangsa. Suami selalunya bersikap lepas tangan.

Persoalan yang puan ajukan ini boleh dijadikan pedoman bukan sahaja kepada wanita yang berada dalam situasi yang sama, tetapi juga kepada wanita yang tidak kisah dipoligamikan. Malah kepada lelaki yang mengambil mudah perihal poligami ini juga perlu mengambil iktibar supaya tidak menzalimi hamba Allah yang lain.

Kebanyakan wanita mungkin tidak tahu bahawa walaupun tidak bercerai isteri masih boleh memohon kepada Mahkamah Syariah supaya memerintahkan suaminya membayar nafkah bulanan. Menurut seksyen 59 serta seksyen 73 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, puan boleh memohon perintah Mahkamah mengarahkan suami puan membayar nafkah untuk puan dan anak. Malah puan juga boleh meminta kepada Mahkamah supaya membuat perintah potongan gaji suami puan untuk memudahkan urusan.

Tanggungjawab memberi nafkah kepada keluarga terletak dibahu suami puan. Puan tidak seharusnya dibebankan dengan tanggungjawab itu.

Puan juga boleh membuat aduan ke Mahkamah Syariah bahawa suami puan tidak berlaku adil terhadap puan dan anak-anak puan. Ini merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 128 Akta tersebut di mana suami puan boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah. Menurut seksyen ini, seorang suami yang tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada isterinya seperti yang dikehendaki oleh Hukum Syara’ adalah dianggap sebagai telah melakukan satu kesalahan dan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi Ringgit Malaysia satu ribu atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Masalah ini bukanlah perkara baru dalam rumahtangga poligami. Keadaan rumahtangga poligami yang tidak bahagia dan terabai ini mengundang kepada masalah sosial di kalangan remaja.

Pihak-pihak yang berkenaan haruslah mengambil langkah yang wajar untuk memastikan keadilan dilaksanakan oleh suami yang berpoligami untuk mengelakkan penganiayaan terhadap isteri dan anak-anak.

Mungkin kita boleh contohi negara-negara Islam yang lain yang mempunyai perundangan yang ketat berkaitan poligami.

Tunisia langsung mengharamkan poligami berdasarkan kepada pemahaman ayat 129 surah al-Nisaa yang bermaksud, “Dan kamu tidak akan dapat, berlaku adil antara isteri-isteri kamu, sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya).” Di negara tersebut, lelaki dan wanita yang tahu dan sengaja berpoligami adalah melakukan kesalahan jenayah dan boleh dihukum denda dan penjara.

Manakala di negara Maghribi pula, dalam undang-undang keluarganya yang baru, Moudawana, menetapkan bahawa poligami dilarang jika ada kemungkinan akan mendatangkan ketidakadilan antara isteri. Malah para isteri di Maghribi berpeluang untuk meletakkan syarat tidak mahu berpoligami dalam syarat perkahwinan mereka.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan:

Saya berusia 33 tahun dan sudah bahagia berkahwin selama lapan tahun. Kami belum ditakdirkan mempunyai anak. Entah bagaimana, saya mula berkawan rapat dengan seorang rakan perempuan sehingga menimbulkan rasa cinta dan sayang.

Kami merancang untuk berkahwin. Beliau mengetahui kedudukan saya yang sudah mempunyai isteri, malah mengenali isteri saya walaupun tidak begitu rapat. Saya tidak berhasrat memberitahu kepada isteri untuk berkahwin lagi kerana sudah tentu dia tidak bersetuju. Saya tidak mahu berpisah dengan isteri saya kerana saya tetap sayang kepadanya.

Bagaimanakah cara untuk berkahwin tanpa pengetahuan dan keizinan isteri? Apa yang saya tahu, sekiranya berdaftar, mahkamah akan memanggil isteri saya untuk perbicaraan. Jika mahkamah memanggil isteri saya, sudah tentu dia akan tahu tentang hasrat saya itu. Bolehkah saya berkahwin juga tanpa berdaftar di mahkamah? Apakah prosedurnya? Adakah saya hanya perlu membuat permohonan dari imam di kampung (yang ditauliahkan mengahwinkan seseorang)?

Suhaimi Haris,
Kuala Lumpur

Jawapan:

Sememangnya apabila berbicara mengenai isu poligami, yang menjadi tajuk utama adalah keadilan. Malah Allah telah berfirman dalam surah an-Nisa’ Ayat 3.

Perundangan negara kita memandang berat prinsip keadilan ini. Sebab itulah ia menggariskan panduan yang perlu diikuti. Ini bukan sahaja untuk menjamin kepentingan isteri yang sedia ada, tetapi juga bakal isteri yang saudara akan nikahi. Saudara harus ingat bahawa poligami adalah satu tanggungjawab, bukannya keistimewaan.

Undang-undang memberi hak kepada isteri saudara untuk memberi pandangannya di mahkamah atas permohonan poligami saudara kerana jika saudara tidak mampu berlaku adil, yang akan menderita tentulah isteri saudara.

Tindakan saudara ingin mengambil jalan mudah dengan tidak mengikuti perundangan Islam yang telah ditetapkan di negara ini menunjukkan saudara tidak menghormati pihak berkuasa.

Seksyen 123 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa poligami tanpa kebenaran mahkamah adalah satu kesalahan dan hukumannya denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya. Malah, alasan mengelakkan zina untuk berpoligami pada pendapat saya sebenarnya menghina al-Quran. Ayat al-Quran tidak mengatakan bahawa takut melakukan zina boleh dijadikan sebagai satu alasan berpoligami. Begitu juga tidak ada undang-undang di Malaysia yang mengatakan bahawa nafsu boleh dijadikan alasan berpoligami.

Oleh itu, jika saudara menyayangi isteri saudara seperti yang dikatakan, janganlah membohongi isteri.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan:

Suami saya telah bernikah lagi tanpa pengetahuan saya. Dia telah bernikah di sempadan Thailand. Dia sebenarnya tidak mampu untuk berkahwin lagi dengan duit gajinya sebagai seorang penghantar surat. Nasib baiklah saya bekerja, boleh juga kami anak-beranak hidup, kalau mengharapkan dia seorang memang tidak cukup untuk menampung hidup kami. Kini, apabila sudah ada isteri baru, langsung dia tidak mengambil tahu tentang saya dan anak-anak. Tetapi suami enggan melepaskan saya. Katanya, dia masih sayangkan saya. Saya tidak tahu apa yang perlu dibuat sekarang?

Jawapan:
Masalah puan ini dikongsi oleh ramai wanita di Malaysia. Ini kerana wujudnya peruntukan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam yang membenarkan seorang suami melangsungkan perkahwinan poligami tanpa kebenaran mahkamah syariah dan tanpa pengetahuan isterinya.

Walaupun ia adalah satu kesalahan di sisi undang-undang, tetapi jumlah dendanya yang sedikit (maksimum RM1,000) tidak mencegah langsung kegiatan seperti ini.

Peruntukan ini bertujuan memelihara hak-hak isteri kedua dan anak-anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut. Malangnya, apabila disalahgunakan, ia akan mendatangkan ketidakadilan kepada kedua-dua keluarga, terutama keluarga isteri pertama seperti dalam kes puan ini.

Puan masih mempunyai pilihan walaupun suami enggan melepaskan dengan cara baik. Mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 2 mentakrifkan fasakh sebagai pembubaran perkahwinan disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh hukum syarak mengikut seksyen 53.

Mengikut seksyen 53 enakmen tersebut, puan boleh mengguna pakai subseksyen (h)(vi) iaitu lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isterinya menderita, dengan tidak melayani isterinya secara adil mengikut kehendak-kehendak hukum syarak, bagi suami yang berpoligami.

Selain itu, puan boleh menggunakan alasan subseksyen (1)(b) iaitu suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan. Satu lagi pilihan yang boleh puan ambil ialah mengemukakan tuntutan perceraian taklik, iaitu perceraian kerana suami melanggar perjanjian.

Di Malaysia, walaupun akta dan enakmen membenarkan pasangan suami isteri menambah taklik sedia ada yang telah dirangka oleh kerajaan, namun, tidak ramai yang tahu tentang peruntukan ini.

Di Melaka, taklik standard yang disediakan adalah berbunyi seperti berikut:
Bahawa adalah saya (nama suami) dengan sesungguhnya telah melafazkan taklik yang berbunyi:
A. Tiap-tiap kali saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) lamanya tempoh empat bulan berturut-turut;
B. Atau saya tidak memberi nafkah yang wajib kepadanya lamanya empat bulan atau lebih;
C. Atau saya menyakiti tubuh badannya;
D. Atau saya tidak mempedulikan lamanya empat bulan, maka bolehlah isteri saya itu mengadukan kepada mana-mana kadi dan jika disabitkan oleh kadi akan aduannya maka gugurlah talak saya satu.

Oleh itu, puan boleh menggunakan alasan bahawa suami tidak memberikan nafkah yang wajib selama empat bulan atau lebih untuk permohonan taklik puan.

Dalam tindakan tuntutan fasakh dan taklik ini, puan haruslah membuktikan kepada mahkamah syariah tentang ketidakadilan dan kegagalan suami puan memberikan nafkah selama tiga bulan (atau empat bulan dalam tuntutan taklik).

Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan:

Saya telah lama hidup berpoligami. Tak usahlah saya buka cerita lama tersebut, sudah makan hati berulam jantung. Sehingga kini saya rasa tersinggung tetapi kerana saya memang sudah tidak ada tempat bergantung yang lain, saya terpaksa akur. Kawan saya kini mengalami perkara yang sama. Suami dia ingin berpoligami. Menurutnya, oleh sebab memang sudah ada undang-undang baru di Selangor, izin isteri adalah perlu dan wajib. Masa suami saya kahwin dulu dia tak ada pun minta izin saya. Betul ke ada undang-undang baru di Selangor yang suami kena minta izin isteri?

Suhaida Amin,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Terdapat dua ayat al-Quran yang membincangkan isu poligami. Surah Al-Nisa’, ayat 3 menyatakan:
“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka berkahwinlah dengan perempuan yang kamu berkenan, dua, tiga, atau empat. Tetapi jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (Antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja…Yang demikian itu adalah lebih dekat, (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

Kemudian dalam ayat 129 surah yang sama, Allah berfirman seterusnya;
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil antara isteri-isteri kamu, sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya).”

Menurut dua ayat di atas, poligami lebih dilihat kepada satu tanggungjawab dan sekatan untuk memastikan keadilan terhadap balu dan anak-anak yatim. Tetapi poligami yang berlaku sekarang kebanyakannya adalah tidak menurut asas ini.

Mengikut perundangan syariah di Malaysia, kaum lelaki dibenarkan berpoligami tetapi beliau haruslah memenuhi beberapa syarat. Setiap negeri mempunyai syarat yang berbeza berkaitan poligami. Contohnya di negeri Perak, suami yang hendak berpoligami tidak perlu memohon kebenaran mahkamah. Tetapi lain halnya di Selangor dan Kuala Lumpur. Di kedua-dua negeri ini, suami yang ingin berpoligami hendaklah mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

Di Selangor, seorang suami yang ingin memohon untuk kebenaran berpoligami perlu mengikuti sesi kaunseling untuk perbincangan, nasihat dan untuk mendapatkan panduan berumah tangga. Beliau harus mengisi borang IB, iaitu borang permohonan berpoligami dan membuat Akuan Bersumpah dengan membawa dua orang saksi lelaki. Mahkamah Syariah akan memberi satu tarikh bagi membicarakan permohonan suami.

Ini menurut seksyen 23 Undang-Undang Keluarga Islam (negeri Selangor) 2003. Dalam mendapatkan kebenaran mahkamah, ada beberapa faktor yang akan dipertimbangkan. Menurut seksyen 23(4) faktor-faktor yang dipertimbangkan ini antaranya adalah mengapa poligami itu patut dan perlu, pendapatan suami, tanggungannya, yang sedia ada dan yang akan ditanggungjawabkan dan sama ada izin atau pandangan isteri sedia ada telah diperoleh.

Apa yang dimaksudkan di sini adalah Mahkamah Syariah akan juga mengambil kira perasaan isteri dalam perkahwinan poligami yang dirancang oleh suami. Ia bukanlah bermakna bahawa sekiranya isteri sedia ada tidak bersetuju, Mahkamah Syariah akan turut tidak bersetuju. Persetujuan isteri hanyalah salah satu perkara yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah. Mahkamah Syariah masih boleh memberi kebenaran bagi suami untuk berpoligami sekiranya isteri sedia ada tidak bersetuju ke atas permohonan poligami suami.

Salah satu seksyen (5) yang baru di dalam enakmen ini adalah Mahkamah Syariah hendaklah memanggil suami, isteri sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana pihak yang mahkamah fikir patut untuk memberi keterangan tentang perkahwinan poligami ini.

Perkara ini membolehkan perkahwinan ini diketahui oleh semua pihak yang terbabit dan tidak berada di dalam keadaan rahsia. Ia dapat mengelakkan kes-kes di mana isteri sedia ada tidak mengetahui suami telah berkahwin lain, suami yang menipu mengenai status kahwinnya yang sebenar kepada bakal isteri, suami berbohong dalam borang permohonan kahwin dan ketidakadilan ke atas anak-anak kerana tidak mendapat nafkah secukupnya.

Adalah wajar bagi mahkamah untuk memanggil isteri sedia ada bagi memberi keterangan terhadap permohonan poligami suaminya. Ini kerana isteri sedia ada sudah bertahun-tahun bersama suaminya dan dia lebih arif terhadap prilaku suami daripada orang lain. Tentu sekali sekiranya suami adalah seorang yang suka mendera, menipu atau berbohong dia tidak layak untuk berpoligami.

Persoalan kemampuan suami untuk berlaku adil antara isteri-isteri adalah penting untuk ditentukan dan tiada siapa yang lebih layak memberi pandangan selain daripada isteri sedia ada. Suami yang mahu berpoligami haruslah tidak menganggu nafkah keluarga sedia ada.

Dalam kes Rajmah Lwn Abdul Wahab (1990) 7 JH 171, Jawatankuasa Ulang Bicara Syariah Selangor telah menolak permohonan poligami kerana suami telah gagal untuk membuktikan kemampuan kewangannya untuk berpoligami.

Sememangnya terdapat kes di mana suami tidak memberitahu isteri sedia ada mengenai permohonan poligaminya. Sekiranya suami berkahwin di luar negara maka dia hanya perlu mendaftarkan perkahwinan poligami tersebut.

Proses pengesahan adalah berlainan dari perbicaraan poligami dan isteri sedia ada tidak perlu dipanggil untuk hadir.
Juga sekiranya suami berkahwin di negeri lain dari tempat dia tinggal, contohnya sekiranya dia menetap di Selangor dan memohon untuk berkahwin di Perlis. Undang-undang Syariah di Malaysia adalah berdasarkan tempat dan bermakna keperluan syarat yang ada di Selangor adalah tidak terpakai di Perlis. Oleh itu, isteri sedia ada tidak perlu dipanggil.

Justeru adalah perlu bagi keseragaman undang-undang syariah di Malaysia, bersamaan dengan undang-undang sivil. Apalagi kita merupakan satu Negara dan oleh itu tidak perlu adanya berlainan undang-undang syariah di setiap negeri. ia juga memudahkan masyarakat Islam kita.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan:

Suami saya telah berkahwin dua tanpa izin saya. Semenjak berkahwin dua, dia tidak pernah memberi wang saku kepada saya seperti dahulu, semasa dia belum berkahwin dua. Bukan itu sahaja, semenjak berkahwin dua, nafkah anak-anak juga kadang-kadang terabai. Apabila saya membuat aduan ke Pejabat Agama, seorang ustazah di bahagian poligami memberitahu bahawa apabila seorang isteri bekerja, keizinan suami yang membenarkannya bekerja boleh menggantikan nafkah yang wajib diberikan setiap bulan. Jadi, apakah hak saya sebagai isteri? Betulkah suami tidak wajib memberi nafkah sekiranya isteri bekerja? Adakah suami tidak berlaku adil dengan tidak memberikan nafkah seperti sebelum dia berpoligami?

Widuri, 
Taman Miharja

Jawapan:
Dalam perundangan di Malaysia, poligami dibenarkan tetapi ia hendaklah mendapat kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Kuala Lumpur) 1984.

Menurut seksyen 23(3) dan (4) Akta, dalam memberikan keizinan, Mahkamah akan mempertimbangkan beberapa perkara dan antaranya ialah mengapa perkahwinan poligami ini patut atau perlu, keadaan kewangan suami, sama ada suami boleh berlaku adil terhadap isteri-isteri, sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri telah diperolehi dan perkahwinan tersebut tidak akan mengakibatkan darar syarie kepada isteri sedia ada.

Dalam kes puan, sekiranya suami telah berkahwin tanpa keizinan Mahkamah, ia merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang. Mengikut seksyen 123 Akta, jika sabit kesalahan dia akan dikenakan denda sebanyak tidak lebih daripada RM1000 atau penjara tidak lebih daripada 6 bulan.

Walaupun undang-undang ada mengatakan bahawa Mahkamah akan memanggil puan untuk mendapatkan pandangan puan terlebih dahulu dalam mendapatkan kebenarannya bagi berpoligami, namun ia hanyalah salah satu faktor yang akan dipertimbangkan oleh Mahkamah. Ia bukanlah faktor penentu untuk mendapat keizinan Mahkamah.

Tetapi suami puan harus membuktikan bahawa dia dapat memenuhi kesemua syarat dan keperluan di bawah seksyen 23 Akta. Ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Ulang Bicara Selangor dalam kes Rajamah lwn Abd Wahab (1990) JH 171. Oleh sebab suami gagal membuktikan bahawa dia dapat memenuhi kesemua syarat dan keperluan tersebut, Mahkamah menolak permohonan suami untuk berpoligami.

Alasan
Berpoligami atau tidak, adalah menjadi kewajipan suami untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Surah Al-Nisaa ayat 34 yang bermaksud, Kaum lelaki akan menjaga kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

Poligami tidak seharusnya menjadi alasan untuk tidak memberikan nafkah. Sebab itulah Mahkamah Syariah di Malaysia menetapkan perlunya seorang suami mendapatkan kebenaran Mahkamah sebelum berpoligami. Ini untuk mengelakkan ketidakadilan. Keadilan merupakan perkara utama dalam berpoligami. Allah telah berfirman dalam surah Al-Nisaa ayat 3 yang bermaksud Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah seorang sahaja.

Undang-undang telah memperuntukkan bahawa Mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintah seorang suami untuk membayar nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Seksyen 59(1) memperuntukkan kuasa ini. Oleh itu puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk tuntutan nafkah. Puan boleh menyatakan bahawa nafkah tidak diterima semenjak suami berpoligami sebagai alasan permohonan. Puan perlu menyenaraikan tuntutan nafkah yang diperlukan sebagai contoh bil elektrik, air, telefon, bas sekolah anak-anak, yuran persekolahan, belanja harian persekolahan anak-anak, pakaian, kelengkapan rumah, perbelanjaan harian puan, dan lain-lain lagi. Tanggungjawab suami ke atas nafkah isteri dan anak adalah berterusan walaupun isteri bekerja. Ia tidak bermakna suami boleh lepas tangan dan tidak membayar nafkah.

Seksyen 128 Akta memperuntukkan bahawa seorang suami yang tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada isteri telah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih daripada RM1000 atau penjara tidak lebih daripada 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Walaupun puan telah membuat aduan di Pejabat Agama, namun Pejabat Agama hanyalah berperanan memberi kaunseling atau nasihat atas masalah puan. Puan perlu ke Mahkamah Syariah untuk membuat tuntutan nafkah kerana hanya Mahkamah Syariah yang berkuasa memberi perintah kepada suami puan.

Puan dinasihatkan supaya menuntut keadilan di Mahkamah Syariah kerana ternyata suami puan tidak berlaku adil setelah dia berpoligami.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan:

Assalamualaikum,

Saya ingin meminta bantuan mengenai masalah saya, iaitu saya ingin berkahwin dengan suami orang. Kami merancang untuk berkahwin tetapi bakal suami saya tidak mahu berkahwin mengikut sistem perundangan (berkahwin tanpa memberitahu isterinya) sebab tak mahu isteri tertekan. Kami mencari tempat/negeri yang boleh membantu kami untuk kahwin tanpa perlu memohon kebenaran berpoligami. Buat pengetahuan sisters kami telah berhubungan selama 6 tahun dan saya tak mahu menanggung dosa lebih lama lagi. Dan dalam masa yang sama saya juga tidak mahu merosakkan rumahtangga orang lain untuk berpisah amat sukar, saya amat berharap pihak sisters dapat membantu saya.

Mawar Abdullah,
Kuala Lumpur 

Jawapan:

Surah Al-Nisa’ ayat 3 telah membawa maksud:

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak yatim, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

Di dalam Surah yang sama pada ayat 129 pula Allah saw telah berfirman bahawa:

“Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian”

Membela
Ayat mengenai poligami ini telah turun selepas peperangan Uhud di mana terdapat ramai balu-balu dan anak-anak yatim yang memerlukan perlindungan kerana kematian suami dan bapa. Pada zaman tersebut wanita tidak mempunyai hak untuk bekerja dan tidak ada jalan untuk menyara diri dan keluarganya. Mereka perlu bergantung hidup pada seorang lelaki samada bapa, suami atau saudara lelaki yang lain. Oleh itu anggapan bahawa poligami sebagai satu hak adalah mungkin tidak tepat.

Poligami bertujuan untuk membela nasib wanita dan anak yatim.

Poligami bukanlah satu peluang yang dilunaskan oleh Islam. Ia merupakan praktik kaum Jahiliyah yang kadang-kala mempunyai berpuluh isteri. Malah Islam telah menyekat amalan ini dengan hanya membenarkan seorang suami mempunyai had seramai 4 orang isteri. Had ini juga dikenakan dengan syarat-syarat dan tujuan tertentu.

Salah-satu sifat adil adalah kejujuran. Di dalam kes saudari, teman lelaki telah menunjukkan sifat yang amat tidak adil dengan melakukan satu perhubungan dengan wanita lain selain isterinya. Walaupun ikatan poligami itu adalah halal, perlu diingatkan bahawa perhubungan kekasih antara saudari dan dia boleh dipertikaikan.

Niat
Sikap teman lelaki yang kini mahu menyembunyikan perkahwinan atas alasan tidak mahu menggangu isteri juga adalah tidak munasabah. Seorang suami harus bertanggungjawab dan tidak sepatutnya menyembunyikan niat untuk berkahwin lain dari isteri. Ini bukan sahaja kerana dia akan merubah status perkahwinan dengan isteri sedia-ada, tetapi juga mungkin akan timbul masalah lain.

Di dalam fail kami terdapat kes di mana timbul perbalahan keluarga apabila suami mati secara tiba-tiba dan isteri dan keluarganya tidak mengetahui kewujudan keluarga kedua. Juga terdapat kes di mana adik-beradik telah jatuh cinta kerana tidak menyedari ikatan kekeluargaan ini. Perkahwinan poligami tidak sepatutya disembunyikan dari isteri kerana ia boleh memberi kesan yang amat zalim pada keluarga.

Teman lelaki saudari yang mahu terus menyembunyikan perhubungan menunjukkan bahawa dia tidak bertanggungjawab ke atas keluarga dan isterinya. Sikap ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa dia bukanlah seorang yang adil dan tidak layak untuk berpoligami.

Dari segi perundangan pula, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 perlu dirujuk. Seksyen 23(1) telah memperuntukkan bahawa seorang lelaki yang mahu berpoligami perlu memohon keizinan daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Jika dia berkahwin sebelum atau setelah gagal mendapatkan kebenaran tersebut maka tindakannya adalah salah di sisi undang-undang. Dia boleh didakwa di bawah Seksyen 123. Jika disabit kesalahan, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Salah-satu efek perkahwinan yang dilakukan tanpa kebenaran Mahkamah adalah perkahwinan tersebut tidak boleh didaftarkan. Tujuan pendaftaran ini bukan hanya satu formaliti bagi mendapatkan sijil nikah. Ia merupakan satu rekod yang mensahihkan bahawa perkahwinan tersebut bukan sahaja menurut undang-undang negeri tetapi juga telah menepati hukum syarak.

Perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah tidak sah dari segi undang-undang. Ia bermaksud bahawa puan tidak akan mempunyai hak sebagai seorang isteri dan tidak boleh membuat apa-apa tuntutan di Mahkamah Syariah kelak. Puan tidak akan dibenarkan menuntut hak ke atas nafkah, hak penjagaan atau nafkah anak, dan lain-lain tuntutan sehingga perkahwinan didaftarkan. Proses pendaftaran bukanlah satu perkara yang mudah terutama sekali sekiranya ia dilakukan di luar negeri, tanpa saksi yang dikenali atau suami enggan bekerjasama.

Pendaftaran
Sekiranya saudari mempunyai anak kelak tanpa sijil nikah yang sah ia mungkin akan menyukarkan proses pendaftaran kelahiran dan lain-lain proses yang memerlukan kesahihan bahawa suami adalah bapa.

Perkahwinan poligami di luar negara atau negeri bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap ringan. Saudari tentu telah mendengar mengenai perkahwinan sindiket yang dijalankan oleh kadi yang tidak bertauliah dan menyebabkan perkahwinan tersebut tidak sah. Perkara ini bukan sahaja kerana pasangan tidak berhati-hati tetapi juga kerana berlaku satu penipuan.
Perkahwinan adalah satu tanggungjawab dan ia haruslah dipikul dengan sebaik-baiknya oleh pasangan. Apalagi di dalam perkahwinan poligami kerana ada isteri dan keluarga lain yang akan turut terlibat.

Tujuan teman lelaki untuk merahsiakan perkahwinan poligami adalah tidak wajar dan tidak adil, bukan sahaja terhadap isterinya tetapi juga terhadap saudari. Kami menasihatkan saudari untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengambil apa-apa keputusan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna lagi.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Soalan:

Saya telah berkahwin selama 17 tahun dan dikurniakan dua orang anak. Suami saya kini telah menyatakan niatnya untuk berkahwin lain. Alasannya ialah dia telah jatuh cinta dan tidak mahu terjerumus ke lembah maksiat.

Saya tidak bersetuju dengan niatnya kerana tiada yang kurang pada diri dan layanan saya terhadapnya. Dia kini sedang membuat permohonan berpoligami di mahkamah. Apakah yang boleh saya lakukan?

Bagaimana jika dia berkahwin tanpa kebenaran?

-Mariam Salleh.

Jawapan:

Mengikut undang-undang Islam, seorang lelaki dibenarkan berkahwin lebih daripada seorang isteri dengan syarat dia boleh berlaku adil kepada mereka.

Dalil membenarkan poligami ini dinyatakan dalam surah Al-Nisaa ayat 3 bermaksud:
Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak yatim, maka berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan telah memperuntukan tentang poligami. Seksyen 23 (1) dan juga seksyen yang sama di bawah Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor telah memperuntukkan keperluan izin daripada mahkamah sebelum seseorang lelaki mahu berpoligami.

Dalam kes puan, suami puan sedang membuat permohonan berpoligami di mahkamah. Pada kebiasaan mahkamah akan memanggil isteri yang sedia ada, iaitu puan, ke mahkamah untuk mengambil keterangan berkaitan dengan permohonan tersebut.

Ini diperuntukan dalam Seksyen 23 (4) (a). Oleh yang demikian, apabila dipanggil oleh mahkamah pada tarikh yang ditetapkan, puan perlulah tampil ke mahkamah memberi keterangan agar mahkamah berpuas hati sama ada:

a. Perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu jika ada hal keadaan seperti kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, gila di pihak isteri dan sebagainya.

b. Bahawa suami berkemampuan dari segi hukum syarak dengan melihat jumlah tanggungan sedia ada dan bakal ditanggung.

c. Bahawa suami berupaya beri layanan sama rata kepada semua isteri ikut hukum syarak dan

d. Bahawa perkahwinan dicadangkan tidak menyebabkan darar syarie kepada isteri yang sedia ada.
Apabila puan hadir ke mahkamah memberi keterangan mengenai perkara-perkara yang ditimbulkan oleh suami puan seperti di atas, mahkamah akan menilai sama ada kesemua perkara (a) hingga (d) di atas telah dipenuhi. Dan sekiranya mahkamah berpuas hati kesemuanya telah dipenuhi maka mahkamah membenarkan berpoligami tersebut, walaupun tanpa persetujuan puan.

Bagaimanapun, perlu diingat di sini bahawa mahkamah perlu menurut Seksyen 23 mematuhi kesemua syarat dan keperluan dalam seksyen tersebut tanpa mengabaikan salah satu daripadanya.

Sekiranya mahkamah membenarkan poligami tersebut tanpa menilai atau berpuas hati dengan kesemua syarat dan keperluan yang diperuntukan, puan boleh merayu terhadap keputusan mahkamah tersebut dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan dibuat.

Kes yang menjelaskan kepentingan syarat tersebut ialah Aishah vs Wan Mohd Yusof (1990) 7 Jurnal Hukum muka surat 152, di mana Jawatan Kuasa Rayuan telah menolak keputusan Hakim Mahkamah Syariah Shah Alam, yang telah membenarkan permohonan berpoligami atas alasan pemohon ada kemampuan nafkah zahir dan batin serta takut berlaku zina dan maksiat.

Isteri telah merayu kepada Jawatan Kuasa Rayuan yang membenarkan rayuan kerana hakim dahulu tidak langsung mengambil kira kesemua syarat di bawah Seksyen 23 (4).

Beban untuk membuktikan sama ada suami tersebut memenuhi setiap syarat dan keperluan di dalam Seksyen 23 tersebut, adalah terletak kepada suami seperti yang telah diputuskan oleh Jawatan Kuasa Ulang Bicara Selangor dalam kes Rajamah lwn. Abd Wahab (1990) Jurnal Hukum 171, iaitu beban membuktikan bahawa ia boleh memelihara lebih daripada satu isteri adalah ke atas suami. Oleh kerana suami gagal membuktikan kebenaran untuk berpoligami telah dibatalkan.

Sekiranya suami puan tidak mendapat kebenaran berpoligami dari mahkamah dan dia pergi ke luar daerah untuk berkahwin, puan boleh membuat aduan mengenai perkara tersebut di Bahagian Pengaduan dan Penguatkuasaan Syariah Jabatan Agama Islam.

Jika disabit kesalahan, menurut Seksyen 123, dia boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

– Siti Razasah Razak dari Tetuan Razasah Razak & Co