No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Poligami – Adil dan Saksama untuk Siapa?

Isu poligami yang menjadi tumpuan pihak media sejak kebelakangan ini jelas menunjukkan kemudaratan yang timbul akibat amalan poligami di Malaysia.

Pertama sekali, tipu helah dan kecurangan yang berlaku dalam kehidupan berpoligami.

Tan Sri Zaki Azmi, bersama isteri keduanya Nor Hayati, telah membakar surat nikah mereka dengan sengaja, semata-mata untuk merahsiakan perkahwinan tersebut daripada isteri pertamanya (NST, 5 Ogos 2005). Kini, apabila beliau menghadapi masalah dengan isteri keduanya, Tan Sri Zaki memohon pula agar pernikahan tersebut diisytiharkan tidak sah sebagai ‘jalan penyelesaian’ keluar baginya.

Apabila seorang peguam yang terkemuka mempergunakan sistem perundangan bagi melakukan penipuan terhadap isteri pertama, dan kemudiannya untuk melepaskan tanggungjawab terhadap perkahwinan kedua, ini bukan sahaja menunjukkan sikap beliau yang tidak menghormati kedua-dua wanita tersebut, malah juga memperlekehkan institusi keluarga sebagaimana yang termaktub di dalam agama dan undang-undang. Adakah ini sikap yang patut ditonjolkan oleh seorang pemimpin – sikap yang tidak menghormati wanita, ketulusan nilai kekeluargaan dan institusi perkahwinan?

Syarat-syarat berpoligami malangnya akan menjadi bahan ketawa jika ianya dapat diperalatkan dengan mudah. Malah jika si suami mempergunakan syarat-syarat tersebut untuk mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya, maka tujuan asal perundangan tersebut, yakni untuk melindungi hak dan kebajikan semua pihak, langsung tidak bermakna.

Kedua, poligami juga jelas menggugat kestabilan sesebuah keluarga.

Rumahtangga Lans Korporal Tuan Azman Tuan Ludin dan Siti Khalifah Sulong menjadi porak peranda ekoran dari hasrat si suami mahu berpoligami dengan seorang wanita yang 30 tahun lebih muda daripada isteri pertama. Isu Tuan Azman disimbah asid formik oleh isterinya menerima kecaman yang begitu hebat di dada-dada akhbar. Tindakan ini sememangnya suatu yang tidak boleh diterima dan kami menolak sebarang bentuk kekerasan, samada ianya dilakukan terhadap perempuan ataupun lelaki.

Namun keperitan hidup yang dihadapi isterinya, Siti Khalifah Sulong, yang terdorong untuk mengambil tindakan ini, juga perlu diberi tumpuan dan keprihatinan yang sewajarnya dari pihak berkuasa. Bayangkanlah, seorang wanita yang usianya menjangkau lebih 50 tahun, mempunyai 10 orang anak di bawah jagaannya dan terpaksa pula berhadapan dengan masa depan yang akan berubah secara mendadak dan ketara. Siti Khalifah mungkin tidak berdaya menyara hidupnya sendiri serta makan minum dan pendidikan 10 orang anak di bawah jagaannya. Mungkin tiada siapa pun yang akan menjenguk bertanya khabar. Jadi, dalam keadaan ini adakah beliau mempunyai pilihan samada membenarkan suaminya itu berpoligami atau tidak?

Ramai wanita akur kepada tuntutan suami kerana tahu menghalang itu akan mendatangkan masalah-masalah lain pula. Jika seseorang isteri itu tidak bersetuju, pegangan agamanya pula akan dipertikaikan kerana ramai yang berpegang kuat kepada kepercayaan bahawa poligami itu adalah hak mutlak lelaki Islam yang tidak boleh dipersoalkan, walaupun jelas terdapat syarat-syarat di bawah Undang-Undang Keluarga Islam. Dia juga tahu jika memilih untuk menuntut cerai dan si suami pula enggan, hidupnya mungkin dihurungi kesengsaraan akibat prosedur mahkamah yang mengambil masa yang lama. Proses undang-undang untuk menuntut hadhanah dan harta sepencarian juga tidak kurang permasalahannya.

Ini membawa ke hujah penting yang ketiga; iaitu, tanggungjawab memelihara kesucian dan ketulusan sesebuah perkahwinan dianggap sesuatu yang terpaksa dipikul oleh si isteri.

Dalam sesebuah perkahwinan poligami yang pada lahirnya menunjukkan keharmonian sekalipun, perasaan isteri pertama dipenuhi ketakutan bercampur putus asa. Seperti yang dibuktikan oleh perkahwinan Datuk Mokhtar Abdul Samad (NST, 7 Ogos 2005, ms 10). Beliau sendiri mengakui bahawa pada mulanya, isteri pertama beliau sememangnya tidak bersetuju dan hampa dengan tindakannya. Sehingga hari ini, ketiga-tiga wanita yang terlibat mengakui jika diberi pilihan tentunya mereka tidak mahu hidup berpoligami, tetapi terpaksa memendam perasaan dan pasrah untuk mengelakkan perbalahan di kalangan ahli keluarga.

Manakala wanita dianggap harus menerima keadaan ini tanpa soal, si suami yang terpikat dengan wanita lain pula seolah-olah dapat merangkul gelaran ‘suami mithali’ kerana berkahwin dengan wanita tersebut. Dan seolah-olah jika dia ‘meminta’ keizinan isteri/isteri-isteri yang sedia ada, lagilah keimanan dan keperibadiannya dipandang tinggi. Apabila wanita terkilan dan patah hati akibat poligami, ini bukanlah kerana mereka mempunyai ‘hati yang rapuh’. Sebaliknya, ramai wanita merasakan mereka tidak mempunyai hak yang sama dalam menentukan halatuju rumahtangga dan hidup mereka. Wanita kerap merasakan mereka tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menelan hakikat pahit kehidupan dengan mengenepikan perasaan dan hasrat diri sendiri.

Poligami jelas bukan sahaja membawa kesan terhadap seseorang individu, malah mempunyai kesan yang mendalam terhadap konsep dan kewibawaan institusi kekeluargaan Islam. Kes-kes di atas mencabar kita sebagai masyarakat Muslim menjawab beberapa persoalan: Betapa pentingkah sesebuah institusi keluarga itu? Apakah kejujuran di antara dua insan yang telah mengikat janji sehidup semati itu langsung tidak penting? Bagaimana pula dengan prinsip ‘tidak menganiaya dan menyakiti perasaan orang lain’? Bukankah konsep keadilan dan kesaksamaan itu penting di sisi Islam? Tanpa mengambil kira kehidupan dan layanan terhadap perempuan, nescaya persoalan-persoalan di atas tidak mungkin dapat terjawab dengan sempurna.

Sisters In Islam

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email