No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Perceraian, Keganasan dan Kemiskinan: Laporan Telenisa 2024 Dedahkan Jurang Keadilan untuk Wanita dalam Keluarga


9 September 2025

UNTUK SIARAN SEGERA

Perceraian, Keganasan dan Kemiskinan: Laporan Telenisa 2024 Dedahkan Jurang Keadilan untuk Wanita dalam Keluarga

Kuala Lumpur – Wanita dan kanak-kanak terus menderita akibat penguatkuasaan yang lemah di mahkamah Syariah Malaysia, menurut Laporan Telenisa 2024 yang dikeluarkan hari ini oleh SIS Forum (Malaysia). Laporan ini berdasarkan daripada 188 klien yang menerima khidmat bantuan guaman percuma Telenisa tahun lalu, mendedahkan kesukaran berkaitan nafkah anak, perceraian, hak penjagaan dan keganasan rumah tangga.

Telenisa, klinik guaman percuma SIS Forum, telah berkhidmat kepada 188 klien pada tahun 2024, dengan 92% daripadanya adalah wanita, dan kebanyakannya daripada isi rumah berpendapatan rendah. Surirumah (49), ibu tunggal, serta wanita yang sedang melalui proses perceraian membentuk sebahagian besar klien – ramai daripada mereka masih bergantung secara kewangan.

“Kesukaran yang dialami oleh klien kami menunjukkan satu perkara yang  jelas: wanita dan kanak-kanak terjejas akibat daripada kelemahan penguatkuasaan perintah nafkah serta jurang dalam sistem keadilan kita. Tanpa reformasi seperti penubuhan Agensi Sokongan Kanak-Kanak (Child Support Agency) dan proses yang lebih jelas untuk mendapatkan hak kewangan yang sepatutnya diterima oleh wanita dan kanak-kanak, keluarga akan terus menderita dalam diam,” kata Rozana Isa, Pengarah Eksekutif SIS Forum (Malaysia).

Dapatan Utama

  • Wanita Klien Utama
    92% klien adalah wanita, kebanyakannya datang daripada latar belakang berpendapatan rendah hingga sederhana.
  • Krisis Nafkah Anak
    19 daripada 46 dapatan isu-isu yang membelenggu klien Telenisa adalah berkaitan dengan nafkah anak. Punca utama: bapa menganggur (14), bapa memberi nafkah tidak mencukupi (12) dan ingkar perintah mahkamah (5).
  • Pertikaian Perkahwinan & Perceraian
    Kes cerai di luar mahkamah (16) dan perkahwinan tidak berdaftar (42) menjejaskan hak wanita.
  • Isu Hak Penjagaan Anak
    23 kes pertikaian hak penjagaan, kebanyakannya berkaitan dengan perkahwinan tidak berdaftar atau poligami.
  • Keganasan & Penderaan
    20 kes keganasan rumah tangga, 7 penderaan seksual, 1 rogol dalam perkahwinan dan 1 penderaan kanak-kanak. Penderaan tidak hanya berbentuk fizikal, tetapi juga kewangan (26 kes) dan psikologi (23 kes).
  • Halangan Akses Keadilan
    Hampir 100 wanita hadir di mahkamah tanpa peguam. Ada juga yang berdepan dengan peguam tidak beretika atau hakim yang tidak hadir, dan ini mencerminkan kelemahan sistemik.


Cadangan

  1. Agensi Sokongan Kanak-Kanak Malaysia
    • Tubuhkan Child Support Agency Malaysia bagi menguruskan pembayaran dan penguatkuasaan.
    • Wujudkan Dana Interim Nafkah Anak untuk ibu/anak sementara menunggu tunggakan.
  2. Khidmat Guaman
    • Bantuan guaman Syariah bersubsidi untuk B40 di setiap negeri.
    • Galakkan lebih ramai peguam sukarela Syariah melalui NGO & institusi.
    • Platform digital pelbagai bahasa mengenai hak wanita & prosedur mahkamah.
  3. Penyelesaian Kes
    • Tetapkan tempoh masa penyelesaian kes Syariah (12–18 bulan).
    • Semakan kes setiap 3 bulan.
    • Gunakan sistem kes digital & pengesahan dalam talian.
    • Semak semula peraturan yang membebankan atau mendiskriminasi wanita.
  4. Etika Profesional
    • Perkukuh mekanisme aduan terhadap peguam/hakim.
    • Bentuk Tribunal Tatakelakuan Profesional bagi kehakiman Syariah.
  5. Keganasan Rumah Tangga
    • Perluas kaunseling trauma, rumah perlindungan & talian bantuan 24 jam.
    • Akui penderaan psikologi, ekonomi dan seksual dalam undang-undang.
    • Latih petugas barisan hadapan (pegawai masjid, polis, kakitangan agama).
  6. Literasi Undang-undang & Kewangan
    • Modul literasi kewangan & hak Syariah dalam kursus pra/pasca perkahwinan.
    • Infografik/video tentang hak pasca perceraian melalui saluran agama.
  7. Perancangan & Pengagihan Harta
    • Wujudkan garis panduan mengenai hibah, wasiat, wakaf & wasiyyah.
    • Laksanakan kempen kesedaran nasional tentang perancangan harta keluarga.

Trend Perceraian: Penemuan Telenisa 2024

  1. Statistik Telenisa 2024 mendapati tiga punca utama perceraian dalam kalangan wanita Muslim di Malaysia ialah:
    1. Keretakan komunikasi – 36 kes
    2. Keganasan rumah tangga – 28 kes
    3. Suami gagal memberi nafkah – 24 kes

Dapatan ini menunjukkan bahawa perceraian bukan sekadar akibat daripada “perbezaan yang tidak dapat didamaikan”, tetapi mencerminkan cabaran struktur yang lebih mendalam.

Masalah komunikasi menuntut kesedaran lebih tinggi tentang kesejahteraan emosi dan psikologi dalam rumah tangga. Tekanan kewangan pula menonjolkan bagaimana ketidakstabilan ekonomi menjejaskan keluarga – khususnya apabila wanita bergantung kepada suami yang gagal memberikan nafkah secukupnya.

Paling membimbangkan adalah keganasan rumah tangga yang terus menjadi punca utama perceraian, membuktikan masih ramai wanita terpaksa memilih antara keselamatan diri atau meneruskan perkahwinan yang berbahaya.

SIS Forum (Malaysia) menegaskan bahawa isu-isu ini perlu ditangani bukan sahaja di peringkat keluarga, tetapi juga melalui pembaharuan sistemik. Polisi yang menguatkuasakan perintah nafkah, memperluas bantuan guaman, serta memperkukuh sokongan kepada mangsa keganasan amatlah mendesak.

Sistem keadilan yang berteraskan maqasid al-shari‘ah (objektif undang-undang Islam) mestilah mengutamakan kemuliaan insan, keselamatan dan kesejahteraan wanita serta kanak-kanak.

“Keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan. Untuk setiap kes yang kami rekodkan, masih ramai wanita yang tidak mampu tampil ke hadapan. Reformasi dalam penguatkuasaan, bantuan guaman dan mekanisme perlindungan bukanlah pilihan – ia keperluan mendesak jika kita benar-benar serius tentang keadilan dan belas ihsan dalam sistem Syariah,” ujar Rozana Isa, Pengarah Eksekutif SIS Forum (Malaysia).

Klik pautan ini untuk Laporan Statistik dan Dapatan 2024 Telenisa.

****** 

Mengenai SIS Forum (Malaysia) 

SIS Forum ialah organisasi bukan kerajaan yang memperjuangkan hak wanita Islam di Malaysia dalam kerangka Islam, prinsip hak asasi sejagat, jaminan Perlembagaan serta realiti kehidupan wanita. 

***** 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Ameena Siddiqi – Pengurus Komunikasi 

SIS Forum (Malaysia)
No.4, Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA Email: [email protected] | Mobile: +6 012-380 1049 | Tel: +603 7960 5121 | Fax: +603 7960 8737


Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email