No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Hormati Hak Kanak-kanak untuk miliki Nama, Identiti dan Keluarga

Hormati Hak Kanak-kanak untuk miliki Nama, Identiti dan Keluarga

4 November 2011

Sisters in Islam (SIS) mengalu-alukan cadangan Kerajaan Terengganu untuk membenarkan anak-anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan selepas perkahwinan ibu bapa mengikut nama bapa mereka selaras dengan Seksyen 13 dan 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.

Amalan mendaftarkan nama anak-anak beragama Islam sebagai “binti/bin Abdullah” apabila mereka dilahirkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh perkahwinan ibu bapa mereka membawa implikasi serius dan tidak adil terhadap kesejahteraan emosi dan masa depan anak-anak terbabit. Anak-anak beragama Islam itu menjadi mangsa dan dilabel sebagai “anak haram” kerana apa yang dianggap sebagai dosa ibu bapa mereka yang telah menghasilkan mereka sebelum bernikah. Bapa kandung anak itu dinafikan kewajipan untuk melaksanakan segala tanggungjawabnya sebagai bapa, dan tidak dapat memberikan apa-apa hak yang layak diterima oleh anak itu. Keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikatakan berasal daripada satu fatwa yang menyatakan bahawa seseorang wanita yang hamil boleh berkahwin dengan bapa kepada anak yang dikandungnya, tetapi “lelaki itu tidak diiktiraf sebagai bapa kepada anak dalam kandungan itu, dan anak itu tidak boleh mewarisi hartanya, tidak boleh menjadi mahram lelaki itu, dan lelaki tersebut tidak boleh menjadi penjaga anak itu.”

Menurut al-Quran, tiada seseorang pun menanggung beban atau dosa orang lain, atau meletakkan beban atau dosanya kepada orang lain (Surah Fatir 35:18). Ayat ini seharusnya membimbing kita supaya bersifat penyayang dan berperikemanusiaan supaya membolehkan kita memenuhi tanggungjawab untuk sentiasa memelihara kepentingan anak itu. Sebaliknya, keputusan JPN ini menjadikan anak-anak yang tidak berdosa itu sebagai mangsa, memaksa mereka menanggung beban atas keterlajuran ibu bapa mereka.

Perbuatan melabel seseorang anak sebagai “anak haram” atau “anak tak sah taraf” dan menafikan hak dan kelayakan mereka sebagai ahli keluarga tidak boleh dijustifikasikan langsung. Sejak bertahun-tahun, SIS telah menerima banyak aduan berhubung masalah hak anak-anak yang dilahirkan di luar nikah, anak-anak yang dihasilkan di luar nikah tetapi lahir selepas ibu bapa mereka bernikah, dan anak-anak angkat, bukan sahaja semasa pendaftaran, malahan ketika mereka memohon kad pengenalan, mendaftar untuk bersekolah, berkahwin dan ketika ibu bapa mereka meninggal dunia.

Setiap undang-undang, dasar dan keputusan yang digubal berkaitan anak-anak, hendaklah sentiasa memelihara kepentingan kanak-kanak. Prinsip ini terkandung dalam ajaran Islam, hak asasi manusia sejagat dan proses menggubal undang-undang Malaysia.

Sebagai contoh, al-Quran mengiktiraf ibu atau bapa tiri sebagai mahram anak-anak tiri mereka (Surah An-Nisa 4:22-23), apatah lagi bapa kandung anak itu sendiri. Dengan berpegang pada prinsip memelihara kepentingan kanak-kanak, para fuqaha Islam membenarkan ibu yang membesarkan anak itu mengekalkan hak jagaan anak tersebut walaupun selepas usia anak itu melebihi umur hak jagaan yang harus dipindahkan kepada bapanya. Undang-undang Keluarga Islam Malaysia dipinda pada 1994 untuk mencerminkan peruntukan ini.

Surah al-Ahzab 33:5 dalam al-Quran juga menyatakan yang bermaksud, “Panggillah mereka mengikut (nama) bapa mereka: ini lebih adil di sisi Allah.” Walaupun ayat ini dianggap merujuk kepada anak-anak angkat, tidakkah prinsip ayat ini boleh diperluaskan lagi untuk mengiktiraf bapa kandung anak-anak yang dihasil atau dilahirkan di luar nikah?

Pendapat dominan dalam fiqah berhubung dengan nasab membenarkan seseorang lelaki mengakui nasab anak yang diragui kelahirannya melalui prosedur iqrar (iaitu dia mengaku anak itu adalah anak kandungnya).

Sebilangan para fuqaha amat prihatin tentang perlunya anak itu dilindungi daripada stigma anak haram. Mereka sanggup menetapkan tempoh kehamilan sehingga tujuh tahun mengikut mazhab Maliki dan empat tahun mengikut mazhab Shafie.

Justeru, Seksyen 111 Undang-undang Keluarga Islam Malaysia mengiktiraf nasab anak itu pada seseorang lelaki walaupun anak tersebut dilahirkan lebih daripada empat tahun selepas kematian lelaki itu atau selepas perceraian, sekiranya “lelaki tersebut atau warisnya mengakui bahawa anak itu adalah tanggungjawabnya.”

Memandangkan banyak masalah sosial yang membabitkan masyarakat Islam, fatwa 1971, yang hanya dikuatkuasakan baru-baru ini oleh JPN, akan mengakibatkan lebih banyak kemudaratan emosi dan sosial kepada kanak-kanak. Ia juga akan menjejaskan status mereka dalam keluarga dan masyarakat.

Amalan diskriminasi terhadap anak-anak beragama Islam melanggar hak kanak-kanak untuk memiliki nama, identiti dan keluarga, sekaligus melanggar Artikel 8 Konvensyen Hak Kanak-kanak yang diratifikasikan oleh Malaysia pada 1995.

SIS memandang berat peraturan dan ketetapan berdiskriminasi dan tidak adil yang berterusan berkaitan status peribadi umat Islam di negara ini. Pada suatu ketika dulu pasangan ibu bapa boleh terus pergi ke balai polis atau pejabat JPN untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka. Pengakuan pasangan itu bahawa anak itu adalah anak mereka dan butir-butir maklumat dalam kad pengenalan mereka sudah memadai untuk mengeluarkan sijil beranak yang lengkap dengan butiran maklumat tentang ibu bapa anak itu. Mereka tidak perlu menunjukkan sijil nikah mereka. Tetapi sekarang rakyat beragama Islam perlu menunjukkan sijil nikah sebagai prasyarat untuk meletakkan nama bapa pada sijil beranak.

Di bawah peruntukan asal Undang-undang Keluarga Islam 1984, bapa kandung anak-anak yang lahir di luar nikah boleh dipertanggungjawabkan untuk membayar saraan anak-anak itu. Namun, hal ini tidak berlaku lagi sekarang. Pindaan-pindaan susulan kemudiannya menjadikan para ibu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas anak-anak mereka.

Kami menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera supaya menerima pakai cadangan Kerajaan Negeri Terengganu bagi membolehkan JPN mengiktiraf lelaki yang mengakui dirinya sebagai bapa bersama dengan si ibu, didaftarkan sebagai bapa kepada anak tersebut, dan anak itu dibin atau dibintikan namanya. Ini selaras dengan Seksyen 13 dan 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.

Di samping itu, SIS berpendapat bahawa tiada sebarang tanda patut diletakkan pada sijil beranak atau kad pengenalan yang menunjukkan anak itu dihasil atau dilahirkan di luar nikah, demi mengelakkan stigma pada anak itu.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email