No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Ulasan Kes Fatwa Sisters in Islam (SIS)

Pada 21 Februari 2022, Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia, membuat keputusan untuk membatalkan seksyen 66A, Enakmen Pentadibiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 kerana ia tidak akur kepada Perlembagaan Persekutuan. Keputusan ini telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes SIS Forum Malaysia v. Kerajaan Negeri Selangor.

Ramai pihak, termasuk para agamawan, peguam dan orang awam telah membuat ulasan terhadap kes dan keputusan Mahkamah Persekutuan  tersebut. Antara ulasan yang paling banyak dibuat adalah  Mahkamah Persekutuan telah menyekat kuasa Mahkamah Syariah.

Ulasan ini tidak tepat, dan maklumat yang digunakan untuk mencapai ulasan ini telah disalah tafsir. Ia tidak menunjukkan gambaran sebenar tentang perkara yang berlaku atau diputuskan dalam kes tersebut.

Seksyen 66A telah di masukkan ke dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pada bulan April, 2015, pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor selepas fatwa pengharaman Sisters in Islam diwartakan pada tahun 2014. Seksyen 66A menyatakan yang Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, mempunyai bidang kuasa untuk memberi kebenaran dan mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah Enakmen ini.

Ringkasan seksyen 66A ialah, seksyen ini telah mengembangkan, menambahkan dan memberikan Mahkamah Syariah di Negeri Selangor bidang kuasa untuk mendengar permohonan bagi semakan kehakiman.

Pengisytiharan seksyen 66A sebagai tidak berlembagaan oleh Mahkamah Persekutuan tidak bermaksud bahawa Mahkamah Persekutuan telah menyekat kuasa Mahkamah Syariah. Ia hanya menyatakan bahawa kuasa semakan kehakiman telah tidak patut diberi  kepada Mahkamah Syariah kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, kuasa semakan kehakiman hanya boleh dilakukan oleh  mahkamah sivil. Oleh itu, Mahkamah Persekutuan tidak menyekat kuasa Mahkamah Syariah, kerana Mahkamah Syariah memang tiada bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman sejak dulu lagi.

Undang-undang yang digubal di dewan negeri Selangor telah melanggar peruntukan yang sedia ada di dalam perlembagaan. Apa yang boleh dilihat adalah,  kerajaan negeri Selangor telah cuba untuk menambah dan mengembangkan kuasa Mahkamah Syariah tanpa mengambil kira peruntukan yang sedia ada di dalam perlembagaan.

Di dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan hanya memperbetulkan semula kesilapan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri Selangor yang tidak mengikut perlembagaan. Undang-undang yang dibuat di peringkat negeri adalah tidak sah jika ia tidak mengikut atau bercanggah dengan undang-undang sedia ada di peringkat persekutuan. Perlu diingatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi di dalam sistem perundangan Malaysia dan perlu dipatuhi. Seperti yang dilaungkan di dalam ikrar rukun negara, keluhuran perlembagaan merupakan prinsip ketiga di dalam ikrar tersebut.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email