ULASAN | Apa erti perempuan jika kemanusiaannya dicabut

Oleh: Ireeny Muzammel, Huda Ramli & Aleza Othman

ULASAN | Semenjak dari lahir hingga dewasa, anak perempuan dilatih dan dituntut menurut dan mentaati kata-kata orang tua tanpa membantah. Tidak sikit juga anak perempuan yang dituntut taat dan menurut kata adik-beradik lelaki terutamanya abang.

Semenjak kecil, golongan perempuan biasanya dimomokkan dengan kepercayaan bahawa hal-hal dosa dan pahala mereka adalah tanggungjawab bapa, suami dan adik-beradik lelaki.

Pasti ramai perempuan Melayu yang beragama Islam, semasa membesar pernah mendengar momokan seperti “kalau tidak pakai tudung, ayah yang akan dapat dosa” atau “kalau anak perempuan tidak solat, ayah yang akan menanggung dosa mereka.” Hal ini juga sering dikait rapatkan dengan kewalian bapa.

Anak perempuan diajar supaya mendengar kata bapa kerana bapanya adalah wali, ketua kepada anak-anak perempuan, dan adalah menjadi kewajipan mereka untuk patuh dan taat kepada wali mereka, sekaligus meletakkan kedudukan bapa dalam fikiran mereka sebagai orang yang mempunyai autoriti tertinggi ke atas dirinya.

Bukan sahaja konsep seseorang menanggung dosa orang lain tidak wujud kerana menyalahi wahyu Al-Quran yang berbunyi, “dan seseorang itu tidak akan menanggung dosa orang lain” (Al An’am:164).

Malah, tidak keterlaluan untuk kita katakan, bahawa momokan berterusan seperti ini adalah satu bentuk manipulasi kepada pemikiran anak perempuan kita.

Anak perempuan yang dibesarkan sebegini tidak dapat memahami sebab dan tanggungjawab mereka yang sebenar sebagai seorang perempuan terhadap dirinya dan juga pada agama.

Nilai ajaran agama yang sebenar telah disorokkan dan pemahaman palsu direka-reka dan diajar kepada anak-anak perempuan untuk mengelirukan mereka supaya tunduk kepada autoriti orang lelaki dalam keluarga.

Kesannya, anak perempuan dibentuk menjadi perempuan yang patuh dan menurut agama atas sebab lelaki dan bukan kerana Tuhan.

Ini amat mengelirukan anak perempuan, apabila anak perempuan membesar dan melihat serta berfikir tentang ketidakadilan yang dilakukan oleh si ‘autoriti’ ini, mereka tidak akan mampu menyuarakan pendapat kerana lelaki dilihat sebagai seseorang yang tidak boleh disentuh atau dikritik sehingga melahirkan generasi anak perempuan yang akhirnya takut untuk mempersoalkan autoriti lelaki terhadap dirinya, kerana ajaran-ajaran sebegini dikatakan ajaran agama, malah sikap berdiam diri dan menurut adalah sikap yang lebih ideal bagi anak perempuan.

Ia adalah sifat anak solehah; patuh dan taat total kepada kedua orang tuanya tanpa banyak soal.

Autonomi perempuan buat keputusan sendiri

Mencapai usia dewasa, perempuan masih juga diselubungi dengan momokan sebegini, “Jangan belajar tinggi-tinggi sangat, nanti lelaki takut nak dekat”, “perempuan gaji tinggi-tinggi, akhirnya tempatnya di dapur juga”.

Momokan-momokan sebegini menambah lagi kepercayaan dalam diri anak perempuan bahawa kedudukan lelaki mestilah di atas perempuan sekaligus, meneguhkan kedudukan lelaki adalah autoriti dalam hidup perempuan.

Akhirnya, apa yang difahami oleh anak-anak perempuan pada hari ini adalah perempuan boleh berjaya, tetapi jangan terlalu berjaya dari lelaki.

Selain itu, momokan sebegini juga secara tidak langsung mengajar perempuan untuk meletakkan keselesaan lelaki sebagai keutamaan dan meletakkan dirinya sebagai nombor dua dalam apa jua keputusan dan tindakan.

Anak perempuan hari ini, dihimpit rasa serba salah atau perasaan gusar jika pendapatan mereka lebih tinggi dari pasangan lelaki mereka oleh sebab naratif ini.

Pemikiran yang ditanam sejak kecil inilah yang memanipulasi fikiran anak perempuan kita menjadi seorang perempuan yang sentiasa merasa rendah dan kecil kepada orang lelaki dalam hidupnya sehingga mengenepikan kepentingan dan keselamatan dirinya dalam pelbagai situasi sehinggalah dia membesar menjadi dewasa.

Ketidakseimbangan hubungan rumah tangga

Momokan yang didengari sekian lama ini akhirnya menjadi kepercayaan dalam diri yang melarat sehingga ke alam perkahwinan. Puncak tujuan hidup perempuan sebagai pemudah hidup lelaki adalah alam perkahwinan.

Dari kecil, anak perempuan dilatih untuk membuat kerja rumah daripada mengemas, memasak, membasuh, melipat baju dan sebagainya supaya apabila mereka dewasa dan berkahwin kelak, mereka dapat menjadi isteri yang sempurna dalam menguruskan rumah tangga mereka.

Penentuan dosa dan pahala seorang isteri juga dipegang oleh autoriti suami dengan frasa reda si suami sehingga direka-reka naratif ganjaran pahala yang melampau-lampau bagi satu-satu ‘khidmat’ atau layanan kepada si suami seperti, “sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik daripada berpuasa setahun”, “menjaga anak-anak dengan baik demi suaminya dan dapat menjadi benteng dari menahan api neraka jahanam”.

Perempuan terus dihimpit dengan ajaran dan nasihat untuk mendedikasikan hidup untuk lelaki.

Banyak juga kata-kata nasihat dan hadis yang direka-reka berlegar di sekeliling kita mengajar isteri-isteri supaya berkhidmat untuk suami dengan menyediakan makanan dan minuman untuk suami, menjaga anak-anak untuk suami, memandi junub disebabkan jimak oleh suami, menggembirakan hati suami, menjaga kehormatan untuk suami, meminta ampun daripada suami sebelum melahirkan anak; ia dapat memudahkan proses bersalin malah, isteri yang meninggal dunia pun harus diredai suami untuk diberi masuk syurga!

Membaca sahaja nasihat-nasihat ini membuatkan kita berasa amat letih untuk menjadi seorang isteri!

Sudahlah kerja rumah dan menjaga anak-anak diletakkan sebagai tanggungjawab utama, ditambah pula dengan tekanan untuk “mengejar” pahala daripada suami dengan berkhidmat untuk mereka.

Jika perkara-perkara ini tidak dilakukan, balasannya pula adalah neraka dan seksa yang berat-berat yang tidak masuk dek akal.

Seolah-olah, reda suami pada isteri setaraf reda Tuhan pada manusia, dan syurga dan neraka isteri terletak di tangan suami bukan dalam kudrat dan kuasa Tuhan.

Lawan keganasan aniaya perempuan

Parahnya nilai ‘takut pada autoriti lelaki’ ini diterapkan dalam anak perempuan kita, sehingga pada hari ini, masih ada anak perempuan kita yang menanggung seksanya sumbang mahram, rogol oleh lelaki dari keluarga terdekat dengannya kerana tidak mampu atau takut untuk suarakan keperitan mereka.

Kebanyakan mangsa keganasan rumahtangga juga adalah mereka yang memegang gelar kedoktoran.

Pun begitu, taraf pendidikan seseorang itu tidak mampu menjadi penanda ukur pada kemampuan mereka untuk melawan masalah-masalah sebegini kerana sejak kecil sudah disuap dengan naratif-naratif toksik, lagi-lagi yang dibalut dengan naratif agama.

Nilai sabar, diam dan turut ini juga dapat dilihat kesannya – berapa ramai mangsa keganasan yang menahan bertahun-tahun dihina, diherdik, dicaci, dipukul dan dirogol dalam perkahwinan.

Tanpa mengira latar belakang, pangkat, usia ataupun pendidikan seseorang perempuan itu, telah ditanam dalam fikiran anak perempuan untuk bersabar dan patuh pada autoriti lelaki kerana hidup seorang perempuan adalah untuk reda lelaki.

Khususnya dalam isu rogol dalam perkahwinan, anak perempuan kita pada hari ini berhadapan dengan pergelutan di antara perasaan dan nilai harga diri mereka sebagai isteri dengan bebanan autoriti si suami atau ‘hak’ si suami ke atas dirinya.

Seringkali, anak perempuan atau isteri berdiam diri dalam situasi begini kerana sudah dilatih dari kecil iaitu perempuan perlu patuh pada autoriti lelaki.

Atas sebab yang sama juga, sesetengah pihak cuba menidakkan rogol dalam perkahwinan.

Poligami tak adil pada psikologi isteri

Momokan dan ajaran-ajaran yang korup ini juga memberi kesan yang mendalam terhadap pandangan poligami di kalangan masyarakat di mana mereka menerima poligami itu adalah “hak suami” dan si isteri akan diberi ganjaran pahala yang tinggi jika membenarkan suami berpoligami.

Ada yang melampau sehingga memomokkan bahawa isteri akan dibalas dengan seksaan neraka kerana menghalang suami berpoligami.

Pemikiran sebegini telah menyebabkan si isteri terseksa dari segi emosi dan mental tetapi, atas kepercayaan, “sabar di dunia, diberikan ganjaran yang hebat di akhirat, dan takutkan seksaan neraka,” setelah suami berkahwin baru, si isteri masih lagi menahan diri dan bersabar dengan sikap tidak bertanggungjawab si suami.

Kepercayaan ini juga membuahkan pemikiran bahawa si isterilah yang bertanggungjawab penuh untuk “memikat” hati suami agar supaya suami tidak terfikir dan mahu berkahwin lain.

Sekali lagi, pemikiran dan naratif sebegini membuka ruang bagi perempuan untuk mendedikasikan hidup secara membabi buta untuk si lelaki tanpa berfikiran panjang.

Kerana takutkan dosa derhaka dan disuap dengan ganjaran syurga yang tidak terperi melampaunya, tidak mengapa kemanusiaan diri sendiri terkorban untuk membahagiakan suami sepenuhnya.

Menambah lagi tekanan perempuan-perempuan bergelar isteri, adanya persaingan sesama perempuan untuk menunjukkan kehebatan diri masing-masing menjadi isteri dan berkhidmat kepada suami dan mengurus anak-anak.

Begitulah toksiknya naratif patriarki yang mengutamakan lelaki dan meletakkan perempuan sebagai pelayan dan pemudah hidup lelaki.

Sedangkan hakikatnya, perempuan dan isteri bukanlah satu jawatan yang ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kerana pasangan suami isteri adalah dua orang yang memilih untuk hidup bersama sebagai teman berkongsi hidup bersama selamanya; bukan jawatan untuk dibangga-banggakan atau posisi yang boleh dilecehkan sebarangan.

Naratif wanita solehah

Satu perkara yang tak ternafikan adalah kita sering diajarkan tentang idea perempuan solehah yang mana penanda aras utama kesolehan perempuan dan anak/ isteri adalah ketaatan. Selain taat Tuhan, wajib juga taatkan wali/ suami.

Terutamanya, taat kepada suami yang diertikan sebagai tidak membangkang kata-kata suami, mematuhi arahan suami, menurut apa yang dikatakan suami sepenuhnya, menerima apa sahaja yang dikatakan suami dan melayannya dengan reda dan manis muka, kalau suami bersikap kasar, jangan dilawan dan dihadap dengan penuh sabar dan ikhlas.

Pokoknya, ketaatan dan ketundukan kepada suami itu adalah kriteria utama kesolehan perempuan.

Idea ketaatan kepada suami sebagai takah kesolehan perempuan ini datang daripada surah Al- Nisa’: 34, “perempuan-perempuan solehah itu adalah perempuan yang taat”.

Perkataan perempuan dan taat itu diluaskan pemaknaannya mencakup semua perempuan dan taat itu menjadi taat total oleh para mufassir terutamanya, sedangkan skop ayat ini terlalu kecil berdasarkan konteksnya.

Yang sebetulnya perempuan dalam ayat ini hanyalah sebatas isteri dan konteks taat mengikut asbab nuzulnya adalah mendengar kata suami sebatas tidak melakukan hal-hal yang menyakiti suami.

Ini kerana ayat ini turun kerana pergaduhan yang berlaku oleh sepasang suami isteri yang suaminya disakiti dan isterinya tidak mendengar kata.

Sesuatu yang patut dilakukan secara serius pada abad mutakhir ini adalah merungkai naratif kesolehan perempuan yang sebenarnya adalah salah, yang telah diajar-ajarkan kepada perempuan-perempuan beragama Islam di tanah air kita ini.

Nilai kesolehan ini adalah sesuatu yang berlawanan dengan apa yang telah ditunjukkan kepada kita oleh muslimah-muslimah zaman awal Islam.

Tidak sedikit bilangan perempuan-perempuan yang berperang dalam ruang publik dan bersikap vokal melawan ketidakadilan yang berlaku dalam kehidupan mereka sehari-hari; dan tidak sedikit yang memprotes direspon secara langsung daripada Tuhan melalui wahyu Al-Quran untuk menyelesaikan permasalahan mereka.

Surah Al-Mujadilah turun kerana perdebatan Khaulah binti Tha’labah dengan Nabi tentang masalah perkahwinannya, Ummu Salamah mempertikaikan mana representasi perempuan dalam Al-Quran, ia direspon oleh Tuhan dengan turunnya surah Al-Ahzab ayat 35, Kubaisyah binti Ma’an mengadu kepada Nabi dia tidak mahu berkahwin dengan anak tirinya, lalu amalan tersebut diharamkan oleh Al-Quran.

Sejarah awal keIslaman penuh dengan perempuan-perempuan memprotes dan vokal dalam menyuarakan ketidakadilan yang terjadi kepada diri mereka.

Tetapi naratif memberdayakan perempuan yang jelas sudah termaktub dalam agama ini tidak disebarkan secara meluas dalam nasihat dan ajaran keagamaan kita.

Kita tidak ada masa lagi untuk berlengah daripada merombak naratif kesolehan palsu yang telah mempurukkan perempuan ke lubuk diskriminasi yang mencabut kemanusiaan mereka.

Apa ertinya menjadi perempuan kalau kemanusiaan diri perempuan itu dicabut dan dihilangkan, kerana pada akhirnya Tuhan mencipta perempuan itu sebagai manusia, bukan perempuan semata-mata.

Sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut 8 Mac pada setiap tahun, kami di Sisters in Islam (SIS) ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita Sedunia.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————————————

IREENY MUZAMMEL, HUDA RAMLI, ALEZA OTHMAN aktivis NGO Sisters in Islam (SIS) yang memperjuangkan hak asasi wanita.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on google
Google+