Telenisa telah mengeluarkan laporan “Statistik & Dapatan 2023” yang memperincikan perkhidmatan yang diberikan kepada perempuan dan lelaki beragama Islam berkaitan hal perundangan Syariah. Laporan ini mendedahkan dapatan penting tentang cabaran dan pengalaman yang dihadapi oleh perempuan dalam isu Undang-Undang Keluarga Islam.

Laporan tersebut telah dilancarkan secara rasmi pada majlis yang diadakan di Hotel Grand Millenium Kuala Lumpur oleh YB Nurul Syazwani binti Tan Sri Noh, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor bagi kawasan Permatang, Selangor.
Sejak penubuhannya pada tahun 2003, Klinik Bantuan Guaman Telenisa telah menjadi asas kepada perkhidmatan nasihat berasaskan hak berkaitan Undang-Undang Keluarga Islam dan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah di Malaysia. Sepanjang 21 tahun yang lalu, Telenisa telah membantu lebih daripada 15,000 individu yang terdiri daripada perempuan dan lelaki daripada pelbagai latar belakang.
Laporan Telenisa: Statistik dan Dapatan 2023 menyatakan beberapa kecenderungan kritikal dari tahun 2021 hingga 2023 yang memfokuskan kepada punca utama penceraian.
1. Keganasan rumah tangga: Punca penceraian yang paling lazim pada tahun 2023, mencakupi 20% daripada kes.
2. Suami tidak memberi nafkah: Kedudukan yang tinggi secara konsisten, isu ini mewakili 19% kes penceraian pada tahun 2023.
3. Masalah komunikasi: Punca penting penceraian perkahwinan, dicatatkan dalam 17% kes pada tahun 2023.
4. Curang: Walaupun sedikit menurun dari tahun 2022, kes curang menyumbang 12% daripada penceraian pada tahun 2023.
Perempuan menghadapi pelbagai cabaran terutamanya ketika melalui prosedur sistem mahkamah Syariah seperti proses birokrasi yang kompleks, kesukaran untuk mengumpul bukti dan kekurangan sokongan masyarakat yang menyebabkan mereka berasa tertekan dan menghalang perempuan daripada mendapat keadilan. Kekangan kewangan merumitkan lagi keadaan ini kerana 99% klien Telenisa dilaporkan tidak mempunyai peguam yang mewakili mereka. Peguam syarie yang berpengalaman memerlukan kos yang tinggi dan sumber terhad (daripada kerajaan dan NGO) memaksa ramai perempuan menguruskan sendiri proses perundangan yang rumit.
Oleh sebab kegagalan suami memberikan nafkah terus menjadi isu, kami mencadangkan langkah-langkah berikut untuk memastikan perempuan menerima keadilan yang sewajarnya:
- Pendidikan dan sesedaran: Mengadakan bengkel dan seminar berterusan untuk mendidik pasangan tentang hak nafkah dan tanggungjawab masing-masing, dan menyediakan maklumat yang jelas dan boleh diakses berkenaan prosedur undang-undang untuk memfailkan tuntutan nafkah dan memahami perintah mahkamah.
- Memperkasa sokongan undang-undang: Menawarkan khidmat bantuan untuk membantu isteri memfailkan tuntutan nafkah dan membuat susulan terhadap perintah mahkamah, dan memudahkan proses membuat laporan untuk ketidakpatuhan perintah nafkah. Ini dapat meminimumkan permohonan interim.
- Penguatkuasaan yang lebih tegas: Mengukuhkan mekanisme penguatkuasaan untuk memastikan kepatuhan kepada pembayaran nafkah yang telah diarahkan oleh mahkamah dan menubuhkan pasukan petugas khusus untuk mengesan dan menghukum individu yang mengelak kewajipan memberi nafkah dengan menukar pekerjaan atau kediaman.
- Program bantuan kewangan: Membangunkan program bantuan kewangan untuk suami yang menganggur untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan dan memenuhi tugas memberi nafkah dan menyediakan sokongan kewangan sementara kepada isteri yang bergelut dengan perbelanjaan rumah tangga akibat ketidakpatuhan pasangan mereka.
- Perantaraan dan kaunseling mandatori: Galakkan perkhidmatan perantaraan dan kaunseling mandatori untuk pasangan yang menghadapi pertikaian berkaitan nafkah supaya isu ini dapat diselesaikan secara baik dan menawarkan sokongan berterusan dan sesi susulan untuk memastikan kepatuhan dan menangani cabaran yang berterusan.
- Rangkaian komuniti sokongan: Mengadakan rangkaian komuniti untuk sokongan emosi dan bantuan kewangan kepada isteri yang meghadapi isu tuntutan nafkah dan melibatkan pemimpin masyarakat dan organisasi untuk menyokong pematuhan pemberian nafkah yang lebih baik sekali gus menyokong keluarga yang terjejas.
SIS menyedari akan kepentingan melindungi anak-anak dan lantang menyokong penubuhan Agensi Sokongan Kanak-Kanak sejak tahun 2005. Agensi sedemikian akan menyelaraskan penilaian, kutipan dan pengeluaran bayaran nafkah anak-anak, mengubah proses daripada kehakiman kepada pentadbiran.
Agensi Sokongan Kanak-Kanak juga akan memiliki kuasa penguatkuasaan termasuk potongan gaji, mendapatkan perintah mahkamah, dan mengenakan hukuman seperti penafian pasport atau pembatalan lesen. Model ini telah dilaksanakan di negara seperti Australia dan berjaya meningkatkan kadar pematuhan dengan ketara untuk pembayaran nafkah dan sokongan anak-anak.
Peningkatan bilangan isu berkaitan Undang-Undang Keluarga Islam seperti yang dilaporkan dalam Telenisa: Statistik dan Dapatan menyatakan keperluan kritikal untuk pembaharuan dan penambahbaikan berterusan hak perempuan dalam keluarga. Selama lebih 30 tahun, SIS tidak berputus asa memperjuangkan isu ini dan menggesa agar Undang-Undang Keluarga Islam dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah lebih adil mengikut prinsip-prinsip penting Islam iaitu menegakkan keadilan dan mempunyai belas ehsan.
Muat turun Laporan Penuh
Untuk muat turun laporan penuh Telenisa: Statistik dan Dapatan 2023, sila lawati: https://sistersinislam.org/wp-content/uploads/2024/07/Telenisa-Statistics-and-Findings-2023.pdf
*Telenisa menyediakan khidmat bantuan guaman percuma mengenai Undang-Undang Keluarga Islam dan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah melalui WhatsApp dan panggilan telefon di 012-8123424, atau konsultasi bersemuka melalui temu janji setiap Isnin hingga Jumaat dari 10 pagi hingga 5 petang.
###