No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

SURAT KEPADA PENGARANG

SURAT KEPADA PENGARANG

8 Januari 2003

Kami amat kesal dengan kenyataan Menteri Besar Perlis yang menyatakan bahawa soalan-soalan yang diajukan kepada beliau dan Mufti Perlis boleh menyebabkan kami syirik kecil. Adalah amat tidak wajar bagi seseorang yang mengaku dirinya berpelajaran agama untuk melabelkan orang yang seagama dengannya dengan cara begitu.

Agama Islam adalah amat teguh dan tiada apa yang boleh mengoyahkan kedudukannya. Ayat pertama yang turun merupakan perintah untuk belajar (Iqra’). Selaras dengan itu juga adalah menjadi tanggungjawab bagi mereka yang mengaku berpelajaran untuk bersikap terbuka dan turut terlibat di dalam perbincangan bagi mencapai matlamat syariah iaitu keadilan sejagat. Nabi Muhammad saw sendiri sentiasa terbuka untuk perbincangan dan tidak pernah menidakkan hak bersuara apalagi di kalangan wanita.

Persatuan wanita semasa mengajukan soalan dengan MB Perlis dan Mufti Perlis tidak pernah menyentuh kepada Hukum Syarak. Apa yang kami persoalkan adalah perlaksanaan Hukum Syarak oleh kerajaan negeri Perlis.

Surah an-Nisa’ 4:3 menyatakan “Jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil tentang anak-anak yatim, maka kahwinlah olehmu perempuan yang baik bagimu; dua tiga atau empat. Tetapi jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil kahwinilah seorang sahaja…. yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”. Ayat 4:129 menyatakan “Kamu tidak akan mampu berlaku adil antara perempuan-perempuan itu, meskipun kamu sangat ingin akan demikian”.

Kedua-dua ayat tersebut amat menekankan keadilan bagi suami yang ingin berpoligami. Sebaik-baik  saksi yang boleh memberi kesaksian samada suami adalah seorang yang adil adalah isteri sedia ada. Kami mempersoalkan rasional untuk tidak memanggil isteri sedia ada sebagai saksi sifat keadilan suami.

Kerajaan Perlis menyatakan bahawa mereka akan membuat siasatan ke atas keadilan suami tersebut tetapi saksi yang akan disiasat adalah saksi yang dibawa oleh suami yang ingin berpoligami! Saksi yang dibawa oleh suami adalah berkemungkinan besar akan berat sebelah terhadap suami. Ia akan menyebabkan Mahkamah Syariah mengambil keputusan berdasarkan bukti-bukti yang berat sebelah dan memberi keputusan yang menyebabkan ketidakadilan.

Persatuan wanita tidak mempersoalkan bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk menentukan samada suami tersebut boleh berpoligami. Kami inginkan Mahkamah Syariah untuk berlaku adil dan di dalam perkara permohonan berpoligami oleh suami, adalah adil bagi Mahkamah Syariah untuk memanggil isteri sedia ada sebagai saksi keadilan suami selama ini. Siapa lagi yang lebih arif mengenai sikap suami jika bukan isterinya?

Sikap angkuh kerajaan Perlis menidakkan kesaksian isteri sediada adalah amat tidak wajar. Juga sikap mereka mempertikaikan hak isteri pertama untuk sekurang-kurangnya dimaklumkan mengenai perkahwinan poligami suami.

Sisters In Islam
8.01.2003

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email