Surat Kepada Editor: Perkahwinan Sempadan: Bahagia Sementara, Derita Bertahun

Oleh: Aleza Othman, Syarifatul Adibah dan Syafiqah Fikri

Kita “disajikan” dengan pelbagai berita dan kisah yang kurang enak mutakhir ini berkisar  mengenai perkahwinan sempadan. Ditambah lagi dengan berita hangat mengenai seorang artis yang telah bernikah dengan isteri keduanya di Thailand, maka, isu-isu yang berkaitan dengan perkahwinan sempadan mula dibahaskan. Perkahwinan di luar negara, seperti di Thailand, Indonesia atau di mana-manapun negara, bukanlah sesuatu yang asing malah ianya perkara yang biasa dan bukan luar biasa. 

Sisters in Islam (SIS), menerusi Klinik Bantuan Guaman Telenisa ada memberikan nasihat perundangan mengenai Undang-undang Keluarga Islam secara percuma. Sejak tahun 2003, Telenisa telah membantu lebih daripada 15,000 orang klien, perempuan dan lelaki untuk mengetahui dan mendapat hak-hak mereka di Mahkamah Syariah. Selain menerima aduan mengenai isu-isu berkaitan Undang-undang Keluarga Islam seperti nafkah anak, jagaan anak (hadhanah), Telenisa ada juga menerima isu yang berkaitan dengan perkahwinan sempadan.

Apabila kita membincangkan isu perkahwinan sempadan, ia tidaklah eksklusif kepada perkahwinan poligami secara rahsia tetapi ia juga melibatkan perkahwinan bukan poligami.  Mengapa ada warga Malaysia yang memilih untuk berkahwin di sempadan? Perkara  yang menyebabkan ramai pasangan lebih gemar melangsungkan perkahwinan sempadan adalah kemudahan proses pernikahan, termasuklah bagi yang ingin berkahwin dengan pasangan yang bukan warganegara Malaysia. 

Bagi pasangan yang ingin berkahwin di Malaysia, ini adalah proses yang mereka akan tempuh:

  1. Mereka wajib menghadiri kursus kahwin tanpa mengira usia;
  2. Bagi perempuan, mereka perlu memberi pembuktian nasab dengan melampirkan surat beranak dan sijil nikah ibu bapa di pejabat agama negeri. Akan tetapi, lelaki tidak perlu memberi bukti nasab.
  3. Bagi yang ingin bernikah di luar kawasan bermastautin, permohonan kebenaran harus dibuat oleh pihak perempuan.
  4. Jika pasangannya bukan warganegara Malaysia, mereka perlu melalui proses yang melibatkan pelbagai agensi untuk mendapatkan tandatangan, kelulusan dan lain-lain lagi.

Prosedur perkahwinan di Thailand bagi warga Malaysia lebih ringkas. Malah, hanya dengan bayaran bermula RM2,000, pasangan dijanjikan dokumen lengkap daripada konsulat Thailand. Tambahan pula, pembayaran, proses dan dokumen perkahwinan akan diuruskan oleh orang ketiga. Sesetengah sindiket juga turut menawarkan pakej berbulan madu serta pengangkutan bagi memudahkan pasangan untuk datang ke Thailand.  

Antara sebab-sebab lain yang mendorong orang Malaysia untuk berkahwin di sempadan adalah sebagai jalan keluar untuk mengatasi permasalahan keluarga seperti telah mengandung luar nikah dan tidak mendapat restu daripada ibu bapa. 

Selain itu, berdasarkan pemerhatian SIS, perkahwinan berkait rapat dengan isu wali di mana pengantin perempuan menghadapi kesukaran untuk mengesan bapa sebagai walinya. Ada bapa yang telah meninggalkan anak perempuan dan ibunya semasa beliau berusia lima tahun dan tidak pernah berhubungan sejak itu; ada bakal pengantin dibelenggu dengan masalah di mana bapa mereka cuai dalam menjalankan tanggungjawab; ada anak perempuan yang tidak mahu langsung bapanya menjadi wali akibat trauma didera lantas membenci bapa mereka. Oleh itu, bakal pengantin rasa terbeban kerana prosedur perkahwinan yang memerlukan mereka mencari dan mengesan walinya untuk melengkapkan proses perkahwinan tersebut. 

Apabila menyebut tentang perkahwinan sempadan, ada suami yang tidak ingin isteri pertama mengetahui perkahwinan kedua mereka. Melalui penyelidikan SIS yang bertajuk “Kesan Poligami terhadap Keluarga Muslim di Semenanjung Malaysia” pada 2012, kami mendapati 69 peratus isteri pertama memberitahu bahawa suami tidak dapat berlaku adil di antara isteri-isteri. 77 peratus  anak-anak yang terlibat dengan perkahwinan poligami menghadapi kesan emosi dan psikologi yang negatif terhadap mereka. 

Jadi, apa perempuan perlu tahu sebelum bersetuju dengan perkahwinan sempadan?

  1. Hak dan status isteri tidak diiktiraf maka, tuntutan nafkah isteri, nafkah iddah dan mutaah tidak dapat difailkan di Mahkamah Syariah Malaysia.
  2. Jika berlaku perceraian atau kematian suami, isteri tidak layak menuntut harta sepencarian dan harta pusaka. 
  3. Isteri tidak dipandang serius oleh suami dan suami boleh lari dari menunaikan tanggungjawab dan memberi nafkah kerana perkahwinan itu tidak sah di sisi undang-undang Malaysia.
  4. Anak-anak yang telah dan bakal dilahirkan berstatus “anak tak sah taraf” dan tidak layak dibin/bintikan bapa kandungnya. Ini akan menafikan mereka untuk mendapat harta pusaka dan nafkah anak. Bapa kandung akan lepas tangan dari bertanggungjawab terhadap anak tersebut.

Ironinya, prosedur perkahwinan nampaknya ketat dengan pelbagai syarat tetapi Mahkamah Syariah mengambil mudah untuk meluluskan permohonan perkahwinan kanak-kanak. Menurut SOP permohonan perkahwinan kanak-kanak untuk Mahkamah Syariah, tarikh sebutan/pendengaran untuk permohonan perkahwinan kanak-kanak akan dijalankan dalam tempoh 21 hari selepas kes difailkan.1 Perkahwinan kanak-kanak memberi impak yang buruk kepada masa hadapan mereka. Menurut laporan Astro Awani, jumlah perkahwinan kanak-kanak yang berlaku dari 1 September 2018 hingga 31 Oktober 2021 dilaporkan sebanyak 2,098 kes.2

Perkahwinan sempadan memperjudikan masa hadapan anda. Oleh itu, SIS menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam dan mahkamah Syariah untuk mengawal dan mengetatkan permohonan poligami, menambahbaik undang-undang sedia ada dan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan tegas terhadap sindiket yang menawarkan perkahwinan di sempadan. SIS juga menggesa agar denda dinaikkan daripada RM1,000 kepada maksima RM5,000 sebagai langkah untuk membendung permasalahan perkahwinan sempadan ini.

*Jika anda ingin mendapat khidmat nasihat berkenaan Undang-undang Keluarga Islam dan Undang-undang Jenayah Syariah, hubungi Telenisa di talian 012-812 3424 (panggilan telefon/WhatsApp) dari hari Selasa hingga Jumaat, dari 10 pagi hingga 5 petang.

*Penulis terdiri daripada Aleza Othman, Pegawai Komunikasi SIS, Syarifatul Adibah, Pegawai Kanan SIS dan Syafiqah Fikri, Pegawai Undang-undang SIS 

 Rujukan:
1Dokumen Arahan KHS MSNM Bil.1-2018

2https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kelulusan-kahwin-bawah-umur-tunjuk-penurunan-idris-ahmad-336592

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kelulusan-kahwin-bawah-umur-tunjuk-penurunan-idris-ahmad-336592

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email