No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Sisters in Islam Tidak Membenci Kaum Adam

Kami di Sisters in Islam (SIS) amat berbesar hati dengan minat yang ditunjukkan oleh saudara Zikri Aziq Yusof terhadap pertubuhan kami dalam suratnya yang disiarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 30 November 2006. Kami memuji ikhtiar saudara Zikri untuk membuat penyelidikannya sendiri tentang SIS.

Namun, kami ingin memperbetulkan beberapa tanggapan salah yang dibuat oleh saudara Zikri.

Pertamanya, saudara Zikri beranggapan bahawa SIS ‘menjurus kepada melahirkan kenyataan yang condong kepada membenci kaum Adam dan seolah-olah semua yang berlaku kepincangan dalam kehidupan kaum Hawa adalah disebabkan oleh perilaku kaum Adam semata-mata.’

Bagi pengetahuan saudara Zikri, kami tidak pernah menaruh kebencian kepada kaum lelaki. Malah, dalam pengalaman kami membantu beribu-ribu wanita Islam yang menghadapi dugaan hidup, kami sering mendapat pujian dan sokongan daripada kaum Adam yang beragama Islam yang mengucapkan terima kasih kerana menolong anak gadis, ibu atau saudara wanita mereka.

Untuk pengetahuan Zikri juga, terdapat ramai lelaki Muslim yang berkhidmat dengan pelbagai jabatan kerajaan, termasuk jabatan kehakiman Syariah yang menyokong usaha-usaha kami setelah mereka tahu apa sebenarnya yang kami usahakan.

Malangnya, masih ada pihak-pihak tertentu yang menaruh prasangka buruk terhadap kami tanpa menyelidik terlebih dahulu usaha-usaha kami selama ini.

Keduanya, saudara Zikri telah mencadangkan bahawa: ‘SIS eloklah perjuangkan nasib wanita Islam yang kematian suami tetapi tiada pekerjaan, wanita yang ada masalah mendapatkan peguam untuk kes perceraian dan selamatkan wanita Islam yang terjerumus ke lembah maksiat seperti yang menjadi GRO dan pelacur.’

Jelas saudara Zikri kurang mengenali kerja yang dijalankan oleh SIS, tetapi tidak mengapa. Kami sudi menerangkan.

Kami memang banyak memberikan khidmat bantuan secara percuma kepada wanita-wanita yang menghadapi masalah seperti yang disebutkan di atas; kami sering membantu wanita yang didera suami, wanita yang tiada tempat mengadu bila kehilangan suami dan tidak tahu bagaimana menguruskan hal-hal harta pusaka, juga wanita yang memerlukan bantuan guaman apabila diceraikan, bantuan mengenai hadhanah, nafkah dan sebagainya.

Nasihat
Kami juga menerima panggilan daripada wanita yang ditahan bagi berbagai kesalahan. Kami menyediakan nasihat perundangan, kaunseling, rujukan dan di mana perlu, menemani wanita yang teraniaya apabila mereka perlu berjumpa dengan pihak-pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan lanjut.

Talian bantuan kami tidak berhenti berdering setiap hari dan peti e-mel kami sentiasa penuh dengan pelbagai pertanyaan oleh wanita-wanita yang menghadapi dugaan seperti yang disebut oleh saudara Zikri.

Kami mengalu-alukan pihak yang prihatin supaya datang menyokong kami dalam memantapkan perkhidmatan kami untuk membantu mereka.

Kami juga mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk menghubungi pegawai perundangan kami untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kes-kes yang kami kendalikan setiap hari.

Ketiga, kami amat bersetuju dengan pandangan saudara Zikri bahawa ‘kita masih ada ulama syarie yang boleh kita rujuk untuk mendapatkan pandangan. Tidak semua teori yang dibaca akan sama dengan kehidupan sebenar atau praktikal yang kita hadapi.’ Inilah sebenarnya apa yang diterajui oleh SIS. Kami amat menghormati para ulama dan cerdik pandai yang mahu mendalami realiti sebenar kehidupan Muslimin dan Muslimat di Malaysia, dan kami sentiasa berusaha untuk menyumbangkan cadangan kepada mereka dan berkongsi pengalaman kami dengan mereka.

Kami mengalu-alukan kerjasama yang lebih erat dalam perbincangan mengenai kepelbagaian pendapat dalam isu wanita dan Islam.

Keempat, mengenai minat saudara Zikri terhadap peribadi Pengarah Eksekutif kami, saudari Zainah Anwar, kami syorkan agar saudara Zikri ajukan soalan tersebut terus kepada Saudari Zainah sekiranya ingin secara ikhlas mahu mendapatkan pandangan beliau.

Namun kami ingin membalas pendapat saudara Zikri bahawa kenyataan-kenyataan Zainah “seolah-olah memberi gambaran adanya unsur-unsur keganasan dan pelanggaran hak manusia dalam pentadbiran jabatan agama.” Seperti mana yang saudara Zikri sedia maklum, ramai rakyat Malaysia beragama Islam mahupun bukan Islam telah menghadapi masalah yang serius akibat masih terdapatnya kepincangan pentadbiran dan perlaksanaan undang-undang oleh jabatan agama di negara ini. Dan tidak dapat dinafikan bahawa tindakan-tindakan ini kadang kalanya keras dan melanggar hak asasi manusia.

Saudara Zikri hanya perlu memantau akhbar-akhbar tempatan dalam dua atau tiga tahun kebelakangan ini untuk mengetahui hakikat ini. Ramai pihak yang prihatin, termasuk SIS, telah menyuarakan pandangan mereka terhadap masalah ini.

Namun, kami faham bahawa tindakan yang keras seperti ini menjurus kepada ketidakadilan dan tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenarnya. Inilah mesej yang sering kami sampaikan di dalam kenyataan-kenyataan dan aktiviti-aktiviti kami. Malah, ramai orang, sama ada rakyat Malaysia atau rakyat luar yang beragama Islam atau bukan Islam amat berterima kasih kepada kami kerana menyangkal stereotaip dan salah faham tentang Islam, malah kami bekerja keras untuk mencerminkan keindahan ajaran Islam yang sebenar.

Usaha
Tentang maklumat pendaftaran SIS sebagai sebuah pertubuhan, saudara Zikri sendiri pasti arif dengan pelbagai kerumitan yang dihadapi oleh badan-badan bukan kerajaan untuk berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Yang pastinya usaha kami memberikan khidmat dan manfaat kepada masyarakat. Kami juga mengalu-alukan saudara Zikri dan orang ramai supaya melayari laman web kami di https://sistersinislam.org.my/ untuk maklumat lanjut tentang aktiviti kami. Jika masih memerlukan informasi, pihak-pihak yang berminat dialu-alukan untuk melawat pejabat kami.

Kami berbesar hati dengan semangat ingin tahu saudara Zikri. Ini menunjukkan bahawa saudara Zikri benar-benar mahu membuka minda dan menimba pengetahuan baru. Apa yang kami harap, semangat ini akan terus berkobar-kobar dan saudara Zikri serta ramai lagi akan tertarik untuk menyokong kami dalam membantu kaum Hawa yang menderita akibat pelaksanaan dan penggubalan undang-undang yang membawa kepada ketidakadilan dan penderitaan.

Sisters in Islam
4 Disember 2006
Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email