No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Sisters in Islam Mengalu-alukan Pembaharuan Definisi Ibu Tunggal

Sisters in Islam (SIS) mengalu-alukan pembaharuan definisi ibu tunggal oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam usaha membantu lebih ramai wanita yang memainkan peranan sebagai pencari nafkah utama dalam keluarga.

Namun malangnya, definisi ini tidak merangkumi golongan ‘isteri tertinggal’ iaitu wanita yang dibiar ‘tergantung tanpa tali’ oleh suami. Salah satu kes tertinggi yang dikendalikan oleh khidmat bantuan guaman Telenisa SIS adalah tuntutan nafkah tertunggak anak-anak dan isteri. Pada tahun 2014, lebih kurang 300 daripada jumlah 730 kes yang dikendalikan oleh Telenisa adalah berkaitan tuntutan nafkah isteri dan anak.

Selain itu, kajian poligami yang dijalankan oleh SIS pada 2007-2012 juga telah mendapati bahawa 56% daripada isteri yang ditemuduga tidak mendapat nafkah secukupnya dan ramai juga yang langsung tidak mendapat nafkah setelah suami berpoligami. Proses perceraian di Mahkamah Syariah yang boleh mengambil masa bertahun-tahun juga menambahkan beban kewangan kepada ramai ibu-ibu yang terpaksa menyara kos pembiayaan anak-anak sementara menunggu penyelesaian kes perceraian. Oleh itu, ramai isteri terpaksa memainkan peranan pencari nafkah utama dalam keluarga, walaupun masih bersuami. Dengan itu, SIS berharap KPWKM dapat mengkaji semula kriteria ibu tunggal supaya ia meliputi golongan ‘isteri tertinggal’ yang dianiayai.

Realitinya, ramai wanita yang berstatus isteri terpaksa menjadi pencari nafkah utama dalam keluarga. Ini menunjukkan golongan ‘isteri tertinggal’ perlu dimasukkan dalam kriteria definisi ibu tunggal. SIS berharap KPWKM mempertimbangkan cadangan SIS dan membuka pintu untuk membincangkan secara lanjut tentang cabaran harian yang dihadapi oleh wanita.

Sisters in Islam
18 Jun 2015

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email