No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

SIS menyokong tindakan kerajaan untuk mengekang pernikahan di sempadan Thailand

Sisters in Islam (SIS) menyambut baik saranan Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mengekang masalah pernikahan rakyat Malaysia di sempadan Thailand bagi mengelak masalah selepas pulang ke Malaysia.

Sudah terbukti bahawa kebanyakan perkahwinan di Thailand membawa masalah lebih kepada rumah tangga daripada kebaikan, kerana ramai yang tidak mendaftar perkahwinan selepas pulang ke Malaysia. Data daripada kajian poligami Sisters in Islam mendapati bahawa 32% pasangan yang ditemubual tidak mendaftar perkahwinan setelah pulang ke Malaysia.

Perkahwinan secara rahsia di Thailand membawa kesan negatif bukan hanya pada pihak isteri tetapi juga kepada anak-anak daripada perkahwinan tersebut yang tidak akan mendapat hak di sisi undang-undang keluarga Islam di Malaysia.

Untuk mengelakkan kemudaratan kepada isteri-isteri dan anak-anak setelah perceraian atau kematian akibat berkahwin secara rahsia, Kerajaan Malaysia seharusnya bekerjasama dengan Majlis Agama Islam di Selatan Thailand supaya menjalankan pemeriksaan latar belakang pasangan yang hendak berkahwin di Selatan Thailand bagi memastikan status perkahwinan kedua-dua pihak.

Bagi SIS pula, membawa kembali syarat-syarat berpoligami yang ada di dalam Undang-undang Keluarga Islam 1984 adalah jalan yang terbaik sekali, iaitu:

1.    Perkahwinan poligami adalah patut dan perlu.
2.    Suami harus mampu dari segi kewangan untuk berpoligami.
3.    Suami akan berlaku adil terhadap isteri-isteri.
4.    Perkahwinan poligami tidak akan menyebabkan darar syarie (mudarat) kepada isteri sedia ada.
5.    Perkahwinan poligami tidak akan merendahkan taraf kehidupan isteri sedia ada.

Selama ini, kelonggaran syarat-syarat tersebut setelah pindaan Undang-undang Keluarga Islam pada tahun 1994 dan 2005, adalah penganiayaan terhadap isteri-isteri dan anak-anak kerana suami-suami tidak dipertanggungjawabkan untuk berlaku adil terhadap tanggungan mereka.

Perkahwinan dalam Islam adalah sebuah institusi di mana kedua-dua pihak menyayangi dan melindung satu sama lain. Perkahwinan di Selatan Thailand yang kebanyakkan adalah untuk berpoligami secara rahsia adalah amat bertentangan dengan objektif utama perkahwinan dalam Islam.

Sisters in Islam
4 Ogos 2016

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email