No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

SIS Mencabar Fatwa Liberalisma dan Pluralisma

Sisters in Islam (SIS) telah memfailkan Semakan Kehakiman ke atas fatwa yang telah diwartakan di negeri Selangor. Fatwa ini memaklumkan bahawa SIS Forum (Malaysia) berpegang kepada fahaman “liberalisme dan pluralisme agama”, dan dengan itu, adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa tersebut juga membolehkan mana-mana bahan terbitan yang dianggap berunsur fahaman “liberal dan plural” untuk diharamkan dan dirampas. Selain itu, fatwa itu memberi arahan agar laman-laman sosial yang bertentangan dengan “ajaran Islam dan Hukum Syarak” hendaklah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SIS memandang berat tuduhan yang dibuat terhadap kami dan mempersoalkan asas bagi fatwa ini. Sejak 2003, SIS telah membantu secara percuma hampir 10,000 orang wanita Muslim yang telah datang untuk mendapatkan khidmat perundangan dan juga penyelesaian kepada masalah rumahtangga yang dialami. Kami telah memberi latihan kepada lebih 4,000 orang wanita berkenaan dengan hak mereka dalam Islam melalui bengkel celik undang-undang. Lebih 90% daripada mereka telah menyatakan bahawa ilmu yang mereka memperolehi daripada SIS telah memperkasakan mereka dan mendalami minat mereka untuk mengetahui lebih lanjut tentang hak mereka dalam Islam. Kami juga memberi pengetahuan tentang proses dan prosedur sistem kehakiman bagi membolehkan wanita mendapatkan hak mereka dan juga untuk anak mereka.

Ribuan wanita yang telah kami bantu dan latih seterusnya telah menolong ahli keluarga lain serta masyarakat sekeliling mereka sendiri.

Bagaimanakah aktiviti-aktiviti yang mencerminkan belas kasihan dan kebaikan dalam Islam serta meningkatkan kesedaran wanita tentang keadilan boleh dianggap sebagai “sesat dan menyeleweng”?

Pada tahun 2002, bekas Ketua Pengarah JAKIM, Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Shahir bin Abdullah, menegaskan bahawa kerja-kerja yang dilakukan oleh SIS ialah kerja dakwah. Mereka yang datang kepada SIS dengan pengalaman pahit yang mereka alami, bukan sahaja dengan suami tetapi juga dengan pihak berkuasa agama, merasakan seolah-olah Islam tidak memihak kepada mereka, malah mendiskriminasikan mereka. Perkhidmatan yang diberikan oleh SIS berkesan dalam menguatkan lagi semangat mereka dan juga kefahaman bahawa Islam memperjuangkan hak wanita.

Lebih menghairankan lagi, SIS tidak diberitahu atau dipanggil untuk memberi penerangan kepada Jawatankuasa Fatwa Selangor sebelum fatwa tersebut diumumkan. Jawatankuasa Fatwa tidak memberi sebarang justifikasi kenapa fatwa tersebut dikeluarkan dan juga tidak menerangkan apa yang dimaksudkan “liberalism”, “pluralism” serta apakah yang dianggap sebagai bertentangan dengan “ajaran Islam dan Hukum Syarak”.

SIS terjumpa fatwa tersebut secara kebetulan ketika melayari lamanweb e-fatwa JAKIM pada 20 Oktober 2014.

Kami mempersoalkan fatwa ini atas beberapa dasar perlembagaan:

  • Fatwa tersebut melanggar hak asasi kebebasan bersuara, kebebasan bersekutu dan kebebasan agama, seperti yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. ·
  • Fatwa tersebut menceroboh bidangkuasa Persekutuan di mana Parlimen sahaja yang mempunyai kuasa legislatif untuk membataskan hak-hak asasi.
  • Fatwa tersebut tidak mempunyai bidangkuasa untuk memberi arahan kepada institusi Persekutuan seperti Kementerian Dalam Negeri untuk mengharamkan dan merampas buku-buku dan SKMM untuk menyekat laman-laman media sosial.

Malaysia merupakan satu-satunya negara Muslim yang membolehkan fatwa bertukar menjadi undang-undang melalui proses pewartaan dan menetapkan sebarang pelanggaran fatwa sebagai kesalahan jenayah. Mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) Enakmen 1995, sesiapa yang memberikan, mengembangkan atau menyebarkan apa-apa pendapat tentang apa-apa isu, ajaran Islam atau Hukum Syara’ yang bertentangan dengan mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya. Mana-mana dokumen atau bahan lain [sic] boleh dirampas dan dimusnahkan walaupun tidak disabitkan kesalahan.

Penggunaan kuasa yang melampau oleh pihak berkuasa agama di Malaysia serta persubahatan badan-badan eksekutif dan legislatif boleh membawa negara kita ke arah pemerintahan teokratik.

Mensabitkan kesalahan jenayah kerana tidak mematuhi fatwa merupakan peyimpangan daripada teori serta amalan perundangan Islam. Sesebuah fatwa adalah pendapat berbentuk nasihat untuk membimbing umat Islam untuk menjalankan kehidupan mereka menurut ajaran Islam. Fatwa bukanlah undang-undang dan seseorang tersebut mempunyai pilihan untuk mengikut fatwa tersebut atau mencari fatwa yang lain.

Mengikut Al-Quran prinsip utama dalam pentadbiran dan pengurusan ialah shura, di mana mereka yang memegang kuasa hendaklah sentiasa berunding dengan masyarakat. Dalam Surah al-Imran, 3:159, Nabi Muhammad (saw) diperintahkan supaya bermesyuarat dan berunding dengan umatnya dalam hal-hal yang berkenaan dengan kepentingan orang ramai. Jika perintah ini ditujukan kepada Rasulullah (saw), maka apalagi umat selepas beliau.

Dalam hadith, ada diriwayatkan bahawa Rasulullah (saw), dalam konteks urusan peribadi dan juga umatnya, telah meminta nasihat daripada sahabat-sahabat beliau dan juga telah mengutamakan pendapat mereka daripada pendapat beliau sendiri.

Dalam Surah al-Mujadilah, (58:1) berkenaan dengan perbalahan, surah tersebut mengakui hak seorang individu, dalam hal ini, seorang wanita, yang mengadu dengan Rasulullah (saw) tentang masalahnya. Sekiranya umat ketika itu mempunyai hak untuk mengadu dan berbincang dengan Rasulullah (saw), apalagi hak kita sebagai umat untuk mempunyai perbezaan pendapat di antara satu sama lain dan membentangkan hal-hal yang diambil prihatin oleh masyarakat.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah (saw) telah berucap bahawa “perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah suatu rahmat”. Dengan adanya perbezaan pendapat, barulah seseorang akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan penyelesaian terbaik bagi keperluan masyarakat tersebut.

SIS ingin menyatakan kedudukan kami bahawa jika Islam dijadikan sumber untuk penggubalan undang-undang dan dasar awam, maka semua orang mempunyai hak untuk berbincang dan berdebat dalam hal-hal ini. Undang-undang dan dasar awam mestilah terbuka kepada perbahasan dan perbincangan orang ramai. Tujuan undang-undang Islam adalah untuk memastikan keadilan dilaksanakan dan kepentingan orang ramai diutamakan dan ini hanya boleh dicapai dengan rundingan bersama dan mengambil kira pendapat yang berbeza.

Sisters in Islam
31 Oktober 2014

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email