Kuala Lumpur– Dengan hormatnya kami merujuk kepada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertarikh 20 Jun 2025 melalui laman Facebook rasmi baginda, (https://www.nst.com.my/news/nation/2025/06/1233296/selangor-sultan-calls-sis-stop-using-islam-name), SIS Forum (Malaysia) dengan rasminya mengumumkan dan memutuskan untuk menggugurkan perkataan “Islam” daripada nama yang selama ini digunakan. Keputusan ini dibuat selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan pada 11 Julai 2025. Mulai sekarang, kami akan menggunakan nama berdaftar organisasi, iaitu SIS Forum (Malaysia).
Sebelum ini, nama “Sisters in Islam” digunakan sebagai nama pena bagi menggambarkan peranan organisasi ini dalam memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan untuk wanita Muslim di Malaysia, selaras dengan keyakinan bahawa Islam adalah agama yang adil dan penuh belas ehsan.
Walaupun kami menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada nama pena, komitmen kami terhadap perjuangan memartabatkan kesaksamaan gender dan keadilan dalam undang-undang keluarga Islam tetap utuh. “Apa yang paling penting ialah kerja-kerja yang kami lakukan untuk wanita Muslim dan rakyat Malaysia,” kata Rozana Isa, Pengarah Eksekutif SIS Forum (Malaysia).
Meneruskan Kerja
“Malangnya, kerja kami selama ini sering disalah tafsir dan disalah faham oleh sesetengah pihak. Kami bukan mencabar Islam, tetapi memperjuangkan undang-undang yang sepatutnya melindungi wanita dalam keluarga. Masih ramai lagi wanita Muslim yang tidak mendapatkan keadilan yang diharapkan.
Isu seperti nafkah yang tidak dibayar, perceraian dan poligami yang dilakukan di luar proses mahkamah, serta tafsiran undang-undang Islam yang tidak peka gender terus memberi kesan kepada wanita Muslim di seluruh negara. Isu-isu ini adalah benar dan bersifat sistemik. Ia perlu diberikan perhatian, bukan diketepikan.
“Kami berharap ini dapat menghentikan perdebatan berpanjangan mengenai nama pena kami dan membolehkan kami bergerak ke hadapan dengan niat baik bersama semua pihak,” kata Rozana. “Wanita adalah saksama di sisi Allah. Maka, mereka juga wajar dipandang dan dilayan saksama di sisi manusia.”
SIS Forum (Malaysia) kekal komited dalam memperjuangkan hak wanita Muslim, terlibat dan melaksanakan reformasi yang perlu, dan bekerjasama dengan para sarjana, pemimpin masyarakat, serta institusi untuk memastikan tiada wanita yang ketinggalan dalam perjuangan menuntut keadilan.
******
Tentang SIS Forum (Malaysia)
SIS Forum merupakan badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak-hak wanita Islam di Malaysia di dalam kerangka Islam, prinsip-prinsip hak asasi manusia, jaminan perlembagaan serta realiti kehidupan dan pengalaman wanita.
*****
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Ameena Siddiqi – Pengurus Komunikasi
SIS Forum (Malaysia)
No.4, Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA
Emel:: [email protected] | Tel. Bimbit: +6 012-380 1049 | Tel: +603 7960 5121 | Faks: +603 7960 8737