“Sikap Lemah Lembut Dalam Menyantuni Anak-Anak Lebih Utama Daripada Kekerasan”
“Maka kerana rahmat Allah lah engkau bersikap lemah lembut terhdap mereka. Seandainya engkau bersikap kaku dan keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri darimu” – Surah Ali Imraan ayat 159.
Islam seringkali dipotretkan sebagai agama yang berwajah keras bukan sahaja kepada penganut agama lain bahkan kepada penganutnya sendiri. Baru-baru ini timbul polemik berkenaan dengan kewajaran hukuman rotan kepada kanak-kanak. Beberapa figura agama seperti Tan Sr Harussani Zakaria, Dato’ Mohd Tamyes Abd Wahid dan Zamri Hashim yang menyatakan di dalam respon mereka bahawa hukuman rotan kepada anak-anak dan isteri adalah sebahagian daripada method pengajaran (tarbiah) dalam Islam dan Muslim tidak sewajarnya mempersoalkan hukuman ini.
Kebanyakkan ahli ilmu sewaktu menjustifikasikan hukuman rotan kepada kanak-kanak berdalilkan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Sunan Abi Daud:
Daripada Abdul Malik Bin Al Rabi’ Bin Sabrah daripada ayahnya dan daripada datuknya bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:Perintahkanlah anakmu untuk bersolat ketika umurnya tujuh tahun dan pukullah dia apabila dia enggan ketika umurnya sepuluh tahun. (Hadith ini Hassan Sahih menurut Nashiruddin Al Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud).
Pendidikan anak-anak hendaklah dimulai dengan cara yang positif dan mempamerkan kelembutan. Ibu bapa, guru dan tokoh masayarakat perlulah menunjukkan contoh yang baik agar ia menjadi teladan dan ikutan anak-anak yang sedang membesar.
Rasulullah S.A.W memberikan contoh yang terbaik bagaimana seharusnya kita menyantuni anak-anak. Di dalam Sahih Al Bukhari dicatatkan bahawa Rasulullah S.A.W melihat seorang anak kecil yang menggunakan tangan kirinya sewaktu makan, lalu Rasulullah menegurnya dengan perkataan yang lemah lembut dan berkata- “Wahai anak kecil, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan ambillah makanan yang paling hampir denganmu.”
Sheikh Bakar Abu Zayd menjelaskan tentang pengaruh ibubapa terhadap pendidikan anaknya. Sekiranya anak tadi dibesarkan di dalam pengaruh yang tidak sihat, seperti bapa yang sering memukul ibunya atau bapa yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarganya, ia justeru akan mempengaruhi pendidikan anak tadi dan membentuk sikapnya terhadap isteri dan anak-anak ketika dia berkeluarga kelak.
Dari Abu Mas’ud al-Badri, dia berkata, “(Suatu hari) aku memukul hambaku (yang masih kecil) dengan cemeti, maka aku mendengar suara (teguran) dari belakangku, ‘Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud!’ Akan tetapi, aku tidak mengenali suara tersebut kerana kemarahan (yang sangat). Ketika pemilik suara itu mendekat dariku, maka ternyata dia adalah Rasulullah S.A.W, dan beliau yang berkata, ‘Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud! Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud!’ Maka aku pun melempar cemeti dari tanganku, kemudian beliau bersabda, ‘Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud! Sesungguhnya Allah lebih mampu untuk (menyiksa) kamu daripada kamu terhadap budak ini,’ maka aku pun berkata, ‘Aku tidak akan memukul budak selamanya setelah (hari) ini.‘” Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Darda’ di dalam Kitab Al Walidain, Adabul Mufrad karya Imam Al Bukhari:
“Belanjakanlah hartamu kepada ahli keluargamu dan janganlah mengangkat tongkatmu terhadap mereka (untuk mengugut dan mencederakan mereka) Dan takutlah kamu kepada Allah atas urusan keluargamu.”
Al Quran dan Sunnah sebagai sumber agama ini sangat menitikberatkan kasih-sayang, keadilan di dalam hubungan kekeluargaan dan mengharamkan kezaliman dan kekerasan. Menjustifikasikan kekerasan atas nama agama adalah satu tindakan yang sangat mendukacitakan dan memberikan imej yang negative kepada Islam. Kami percaya bahawa sikap lemah lembut dalam menyantuni anak-anak adalah yang lebih utama daripada mengenakan kekerasan. Di dalam sebuah hadith Riwayat Muslim, Rasulullah S.A.W menyatakan “Barangsiapa yang terhalang dari sifat lemah lembut, maka sungguh dia akan terhalang dari mendapat kebaikan.”
Islam sebagai sebuah agama yang bersifat universal, tidak kaku dan sesuai sepanjang masa sudah pasti mempunyai sifat keanjalan (flexibility) dalam berinteraksi dengan perubahan-perubahan persekitaran, termasuk pendidikan dan psikologi anak-anak. Kajian-kajian ini yang berkembang boleh membantu kita dalam mengenalpasti kaedah dan method dalam pendidikan anak-anak pada masa kini yang mungkin tidak sama dengan kaedah mendidik anak – anak 1400 tahun dahulu.
Bertepatan dengan kaedah Fiqah yang menyatakan “[T]idak diragui lagi bahawa berubahnya hukum dengan perubahan masa, tempat dan keadaan”, kita sebagai rakyat Malaysia tidak seharusnya merasa tercabar dengan pendekatan yang lebih lembut dan lebih dekat kepada kelakuan Rasulullah SAW dalam mendidik keluarganya.
SISTERS IN ISLAM
28 Januari 2015