No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​
Zainah Anwar speaking at SIS Public Forum 2023 “After Decades of Islamisation: Where Are You, Malaysia?"

Setelah Islamisasi Selama Berdekad-Dekad, di manakah Malaysia?

Pada forum yang bertajuk “After Decades of Islamisation: Where are You Malaysia?” Zainah Anwar (Pengasas bersama Sisters in Islam dan Musawah) https://ms.wikipedia.org/wiki/Zainah_Anwar  telah memberi ucapan yang menyentuh isu-isu berkenaan Islamisasi di Malaysia dan impak besar yang ditinggalkan ke atas masyarakat pada keseluruhannya.  https://www.youtube.com/watch?v=PBJ–C0JvWQ&t=61s

Setelah berdekad-dekad projek Islamisasi, di manakah Malaysia? Saya fikir jawapan mudahnya ialah: Malaysia sedang tersesat. Kita telah kehilangan naratif dominan tentang persoalan-persoalan ini: apakah rupa kita, siapakah diri kita, siapa yang kita mahu jadi, dan apakah yang kita sama-sama percaya?  

Hal yang sedang kita saksikan hari ini ialah betapa fabrik sosial Malaysia sedang dirobek serta dimusnahkan secara sengaja oleh para politikus yang hanya mahu memperoleh atau mengekalkan kuasa masing-masing. 

Dalam tempoh 1978-1984, saya merupakan seorang wartawan politik yang telah menyaksikan kebangkitan Islam politikal di peringkal global dan di Malaysia khususnya. 

Saya pernah membuat liputan tentang perseteruan UMNO dengan PAS demi memenangi hati dan fikiran orang Melayu, dan saya telah meneroka jauh ke ceruk kampung di Kelantan, Terengganu, dan Kedah. Dari situ, saya telah mendokumentasikan impak perseteruan ini ke atas masyarakat Melayu di negeri-negeri konservatif yang sememangnya didominasi oleh orang Melayu tersebut.

Saya juga telah menulis tesis kajian Sarjana tentang kebangkitan gerakan dakwah di kalangan pelajar di Malaysia. 

Seterusnya, saya menjadi salah seorang pengasas Sisters in Islam (SIS), bersama-sama tujuh orang rakan yang lain, sebelum kemudiannya mengasaskan Musawah pula di peringkat global. Usaha ini saya lakukan untuk mencabar kaedah yang digunakan oleh kerajaan, politikus, agamawan, dan penggiat-penggiat bukan kerajaan yang selalu memperguna dan menyalahgunakan Islam ketika mereka menjustifikasi segala bentuk diskriminasi terhadap wanita, malah menghalang tuntutan-tuntutan untuk perubahan ke arah keadilan, kesetaraan, demokrasi, serta hak asasi manusia. 

Sebagai seorang wartawan, saya sendiri menyaksikan betapa PAS menjadi radikal apabila golongan “Young Turks” mereka menggulingkan kepimpinan nasionalis Asri Muda pada tahun 1982. 

Kemudian, di bawah kepimpinan berasaskan ideologi oleh Abdul Hadi Awang, mereka telah mengisytiharkan bahawa Perlembagaan Malaysia ialah “perlembagaan kafir,” UMNO ialah “parti kafir,” dan mula menuntut supaya ditubuhkan sebuah “negara Islam” yang mengangkat Quran dan Sunnah sebagai perlembagaan negara, serta hukum hudud sebagai undang-undang jenayah bagi umat Islam. 

Sebagai reaksi terhadap lanskap politik dan sosial yang kian berubah ketika itu, UMNO telah beransur-ansur mencari keabsahan politik daripada Islam. Justeru, dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1982, dasar Islamisasi dalam parti tersebut telah dilancarkan. 

Maka, bermulalah perseteruan antara UMNO dengan PAS tentang siapa yang lebih Islam, lalu membawa kepada usaha-usaha memperkuda dan menyalahgunakan agama dan bangsa demi laba politik yang telah menatijahkan keadaan kita pada hari ini. 

Secara mudahnya, saya fikir mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama-sama individu yang beliau pilih untuk menjalankan dasar Islamisasi iaitu Anwar Ibrahim, telah gagal mengawal agenda Islam mereka sendiri. Akhirnya, agenda tersebut telah jatuh ke tangan puak Islamis yang berada di dalam birokrasi kerajaan, dalam blok pembangkang, malah dalam masyarakat awam sendiri. 

Kegagalan ini telah menghasilkan masyarakat hari ini yang penuh dengan konservatisme, nyahtoleransi, kejahilan, serta kejumudan. 

Pemahaman Islam yang Tidak Berubah

Hakikatnya, dasar Islamisasi kerajaan itu telah pun dirampas oleh golongan Islamis yang pada awalnya mahu dicabar oleh dasar itu sendiri. Akhirnya, golongan agamawan dan pemimpin yang berada dalam kerajaan BN atau dalam PAS itu tidaklah berbeza sangat pun. 

Mereka belajar di sekolah dan universiti yang sama, dan setelah itu bergraduasi dengan idea-idea keras yang menafikan realiti hidup dalam sebuah masyarakat demokrasi moden yang berbilang kaum. 

Mereka juga saling menyokong satu sama lain dalam isu-isu kritikal berkait keadilan, kesetaraan, dan hak asasi manusia. Isu-isu sebegini termasuklah isu hak, etika berpakaian dan kesopanan wanita, isu ijtihad (iaitu usaha, kesungguhan, dan kerajinan untuk menggunakan akal sihat secara merdeka dalam menerbitkan hukum-hukum agama), kebebasan bersuara, hukuman murtad, serta hukum hudud. 

Tiada seorang pun tokoh agama dalam kerajaan mahupun dalam PAS yang percaya bahawa cara gaya kita memahami Islam dan bagaimana kita memanfaatkannya sebagai sumber undang-undang atau dasar awam boleh atau mesti berubah mengikut peredaran masa dan keadaan. Hal ini adalah penting untuk memastikan keadilan tetap terpelihara. 

Mereka sengaja menolak untuk mengaku dan mengiktiraf perbezaan antara autoriti ketuhanan yang maksum dengan autoriti manusia yang tidak maksum, dan betapa usaha-usaha manusia dalam memahami wahyu Tuhan yang sempurna itu adalah sesuatu yang tidak maksum dan sentiasa boleh berubah-ubah. 

Mereka mengelak untuk percaya bahawa terdapat perbezaan antara hukum yang mengawal hubungan orang-orang beriman tengan Tuhannya—yakni hal-hal ibadat—dengan hukum tentang hubungan antara orang-orang beriman sesama manusia—iaitu hal-hal muamalat. 

Dalam hukum-hukum muamalat, para fuqaha sejak lebih 1,000 tahun lalu sememangnya mengutamakan penggunaan akal manusia, pengalaman manusia, dan penentuan hukum bepandukan rasional manusia demi memastikan kemaslahatan masyarakat mengikut masa dan tempat masing-masing.

Kita semua sedia maklum tentang kes Imam Shafi’i yang tersohor itu, ketikamana beliau mengubah pendapatnya tentang hukum-hakam setelah berpindah dari Iraq ke Mesir. Perkara ini berlaku disebabkan adanya persekitaran dan kondisi sosial yang berbeza. 

Inilah prinsip yang telah termaktub di kalangan para fuqaha sejak lebih 1,100 tahun lalu lagi. Ia bukannya satu rekaan baharu oleh golongan yang digelar feminis “ala-Barat.” Ia merupakan tradisi Islam milik kita, tetapi kita sendirilah yang telah mengetepikannya. 

Kekontangan Tokoh Islam Progresif 

Dalam merespon kepada cabaran daripada PAS, UMNO seperti telah dijadikan tebusan oleh agenda serta kerangka PAS tentang Islam. Hal ini kerana, UMNO tidak memiliki modal intelektual, tekad politik, mahupun keberanian untuk memperkenalkan Islam alternatif yang benar-benar progresif dan demokratik demi memenuhi tuntutan masyarakat Malaysia yang moden dan berbilang kaum. 

Tidak seperti Indonesia, Malaysia tidak mempunyai figura progresif yang autoritatif dalam dunia politik, akademik, atau kemasyarakatan, yang memiliki tekad serta keberanian untuk mentakrifkan dan dengan tegas mempertahankan pemahaman Islam yang bersifat rahmat, inklusif, demokratik, dan adil. 

Indonesia memiliki gergasi seperti Gus Dur di ruang agama dan politik dan Harun Nasution di ruang akademik. Mereka telah mengepalai reformasi progresif terhadap kurikulum di rangkaian Universitas Islam Negeri di Indonesia. Sementara itu, Nurcholish Madjid, seorang intelektual awam hebat telah memperjuangkan satu bentuk reformasi Islam, yakni kepentingan umat Islam untuk mendakap demokrasi serta pluralisme. Beliau juga telah memperkenalkan slogan “Islam yes, negara Islam no” yang telah memberi keberanian kepada para aktivis demokrasi dan hak asasi manusia di kalangan orang muda untuk bangkit mencabar sikap anti-toleran dan dogmatisme golongan Islamis. 

Malangnya, di Malaysia, figura-figura penting yang mentakrifkan Islam merupakan orang-orang politik yang memperkudakan agama untuk kekal berkuasa atau merebut kekuasaan. Bagi mereka, Islam ialah projek politik. 

Usaha memperkuda dan menyalahgunakan agama demi kepentingan politik sebegini telah menerbitkan impak yang buruk terhadap masyarakat Melayu yang sememangnya telah terperangkap dalam imaginasi revivalis Islam. Masalah ini bertambah parah, kerana tidak adanya naratif tandingan yang dominan untuk mencabar dakyah-dakyah ortodoks yang anti-toleran itu. 

Justeru, adalah tidak menghairankan apabila Islam yang kita ada pada hari ini ialah Islam yang mundur, yang telah membawa kita ke belakang berbanding segala pencapaian yang pernah kita capai sebagai sebuah negara demokrasi yang progresif di dunia Islam dan dunia Selatan Global (Global South). 

Ia telah menyebabkan perubahan-perubahan besar terhadap segala aspek masyarakat Malaysia, baik di peringkat politik, sosial, atau undang-undang. Kesemua perubahan tersebut bertitik-tolak daripada kepentingan politik, bukan daripada matlamat untuk membawa masyarakat menjadi lebih adil, jujur, dan rajin seperti yang dijanjikan pada awalnya. 

Setelah dasar Islamisasi Mahathir, Abdullah Badawi pula hadir dengan fasa Islam Hadhari, satu bentuk Islam ketamadunan yang mahu “menjadikan umat Islam di Malaysia sebagai pencetus satu tamadun baharu yang mampu membawa perubahan yang progresif dan komprehensif.” 

Pun begitu, tanpa juara-juara pemikiran yang berada dalam sistem kerajaan untuk melaksanakan visi tersebut, Islam Hadhari akhirnya menjadi seperti projek Islamisasi Mahathir juga—ia telah dirampas dan ditakrif semula dalam pelaksanaannya oleh para ideolog yang dogmatik serta ulama tradisionalis yang mendominasi lanskap politik Malaysia. 

Golongan Islamis Menyerang Kembali

Hakikatnya, Abdullah telah membuka ruang kepada sebuah Malaysia yang lebih inklusif dan Islam yang lebih berpaksikan rahmat untuk dikembangkan lagi. 

Beliau banyak berucap tentang kepentingan memahami Islam dalam konteks perubahan zaman dan persekitaran, malah beliau percaya dengan keperluan untuk mentafsir semula agama demi mendepani isu-isu seperti hak wanita serta perubahan realiti dalam konteks abad ke-21. Namun, dalam kerajaannya sendiri pun, tiada yang menyokong idea-idea beliau. 

Malah, para ideolog Islamis di dalam dan di luar kerajaan melihat pegangan Abdullah itu sebagai satu ancaman terhadap projek politik mereka yang mahu mendirikan sebuah negara Islam yang ditunjangi undang-undang syariah. 

Bagi menghadapi mobilisasi kumpulan masyarakat sivil dalam isu-isu seperti polis moral, kesamarataan untuk wanita, serta kebebasan beragama, PAS bersama-sama sekutu Islamisnya di dalam dan di luar kerajaan telah memulakan kempen menentang dua ancaman yang mereka andaikan wujud pada tahun 2005. Pertama, satu ancaman luaran yang mereka gelar sebagai “Bahaya Islam Liberal,” sebuah ideologi dari Indonesia yang mereka anggap sedang meresap ke Malaysia; dan yang kedua ialah ancaman dalaman, iaitu ancaman murtad di Malaysia. Ancaman kedua ini bertitik-tolak daripada kes-kes mahkamah tentang kebebasan beragama dan hak-hak orang bukan Islam seperti kes Lina Joy, Shamala, Kaliammal—para wanita yang membawa kes mereka ke mahkamah kerana mereka merasa bahawa hak mereka yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan telah dicabul atas nama kefahaman Islam yang sempit. 

Untuk berdepan dengan ketidakpuasan hati orang ramai terhadap pemikiran ortodoks yang sedang dominan dalam isu-isu ini, golongan Islamis menyusun strategi serta organisasi mereka lalu menjaja tanggapan-tanggapan buruk terhadap kumpulan-kumpulan bukan kerajaan (NGO) yang sedang memperjuangkan hak wanita serta hak asasi manusia. 

Pelbagai NGO Islamis baru telah diasaskan untuk “membela” Islam dan menyerang golongan liberal dan penyokong hak asasi manusia di kalangan umat Islam secara bertubi-tubi. SIS turut menjadi sasaran penting serangan-serangan mereka. 

Perkara yang paling berbahaya ialah betapa golongan pemimpin politik yang sanggup berdiam diri di hadapan autoriti agama kerajaan yang bersekongkol dengan golongan NGO Islamis tersebut. 

Kemudian, terdapat beberapa siri fatwa yang telah dikeluarkan untuk menentang sekularisme, liberalisme, pluralisme, feminisme, kongsi raya, yoga, dan tomboy

NGO Islamis pula bekerjasama rapat dengan pelbagai autoriti agama Islam di peringkat negeri dan Persekutuan untuk menyerang Islam liberal. Sebahagian daripada mereka pula menerima dana kerajaan untuk mengadakan forum dan demonstrasi untuk mendepani “bahaya Islam liberal.”

Selain itu, bahagian syariah telah ditubuhkan di Pejabat Peguam Negara untuk memastikan bahawa semua undang-undang adalah selaras dengan syariat. 

Ketuanan Islam, Ketuanan Melayu

Saya percaya, apabila Perdana Menteri yang ketika itu baru dilantik gagal memenuhi janjinya untuk membawa perubahan, ditambah lagi dengan serangan-serangan ke atas hak-hak orang bukan Islam dan orang Islam progresif, kemudian ada pula penggunaan bahasa yang jelas-jelas rasis serta bernada ketuanan agama di Perhimpunan Agung UMNO tahun 2006; semua perkembangan ini menjadi titik tolak kepada berkembangnya sikap anti-toleran dan pelanggaran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang atas nama Islam.

Laungan slogan “membela Islam” oleh golongan Islamis kini dikembarkan pula dengan slogan “membela hak Melayu.”

Menjelang Pilihan Raya Umum 2008, kemenangan besar Abdullah pada 2004 telah berubah menjadi kekalahan bersejarah di pihak parti pemerintah. Untuk kali pertama dalam sejarah, BN hilang dua pertiga majoriti di Parlimen dan tewas di lima daripada 11 negeri di Semenanjung Malaysia. 

Abdullah kemudiannya digulingkan pada tahun 2009, beliau dipersalahkan oleh partinya sendiri atas kekalahan tersebut. UMNO mula kehilangan legitimasinya. Apabila laungan “Islam terancam” mula dikembarkan bersama “ketuanan Melayu terancam,” ia mula membawa imej ketakutan dan kebencian yang mendalam terhadap golongan “yang lain” (the other). Golongan tersebut termasuklah orang-orang Melayu yang berfikir secara berbeza juga.  

Kumpulan NGO ketuanan Melayu yang baru mula tumbuh subur, lalu bekerjasama dengan golongan Islamis untuk menyerang orang-orang liberal dan bukan Islam dalam kempen mereka demi “keagungan Islam” dan “kedaulatan Bangsa Melayu.” Kini, tiada lagi ruang untuk golongan “yang lain.”

Pada tahun 2009, di bawah pemerintahan baharu oleh Najib Razak, walaupun beliau telah memberi amaran kepada partinya bahawa UMNO perlu “berubah atau musnah,” ia sama sekali tidak memberi kelegaan kepada rakyat. Insiden demi insiden mula menggemparkan negara sehingga kita merasakan bahawa negara kita seolah-olah berada di ambang kehancuran. 

Terdapat isu-isu seperti pertikaian sama ada jenazah seorang manusia adalah beragama Islam atau tidak, adakah seorang ayah yang memeluk Islam memiliki hak untuk membawa anak-anaknya yang masih di bawah umur memeluk Islam secara unilateral, kes Kartika yang dijatuhkan hukuman sebab kerana meminum segelas bir di Pahang…satu demi satu pendakwaan dan hukuman atas nama Islam masih berterusan. 

Dalam semua kes tersebut, perkara yang dapat saya lihat ialah segerombolan elit yang terdesak dan sudah nyawa-nyawa ikan, yang memilih untuk secara sistematik mencari dan menyerang golongan Muslim progresif, kelompok hak asasi manusia, minoriti, dan amalan-amalan kebudayaan satu-persatu. Mereka diserang sebagai ancaman terhadap Islam atau ketuanan Melayu, dan atas banyak sebab lagi. 

Agama Diperkuda oleh Negara

Dalam usaha menjaga kuasa politiknya yang kian melemah itu, UMNO hakikatnya tidak menarik rakan-rakan baru, tetapi hanya mencipta lebih ramai musuh dan merekayasa lebih banyak ancaman terhadap dirinya sendiri. 

Berkali-kali di Malaysia, mereka yang mempertahankan hak warganegara untuk menggunakan hak asasi mereka sendiri dilayan seolah-olah mereka ini penjahat. Sebaliknya, mereka yang mencucuh rasa takut dan benci, serta membakar sentimen agama dan bangsa tiba-tiba diberi kelebihan untuk menentukan agenda nasional melalui kerjasama, sokongan, atau sikap berdiam diri di pihak institusi utama kerajaan. 

Contohnya, telah beberapa kali saya bersama-sama pimpinan SIS yang lain dipanggil untuk sesi soal siasat di Bukit Aman. 

Saya maklumkan kepada mereka, bahawa mereka sedang membuang masa dan sumber dengan menyoalsiasat kami. Mereka patut menyoalsiasat watak-watak serta kumpulan-kumpulan yang telah membuat berdozen-dozen laporan polis ke atas kami. Mereka itulah yang sebenarnya merupakan ancaman terhadap kesejahteraan negara, bukan Sisters in Islam. 

Segala usaha pemaksaan ke atas negara ini tentang perkara-perkara yang dirasakan baik untuknya, akhirnya membawa kepada saat bersejarah pada bulan Mei 2018, ketikamana sebuah parti yang telah berkuasa sejak kemerdekaan pada tahun 1957 hilang kuasa. 

Hal yang tidak terelakkan itu pun akhirnya berlaku. Saya dan rakan-rakan meletakkan harapan dan optimisme yang menggunung tinggi, bahawa segala yang baik mula dapat dijalankan dalam Malaysia baharu ini. 

Malangnya…

Perkara yang telah berlaku tahun lalu sangat mudah dijangka. Masalahnya bukanlah pada anak-anak pelajar sekolah tahfiz tersebut. 

Salahnya terletak pada UMNO dan rakan sekutunya dalam BN yang telah menjalankan dasar Islamisasi tetapi kontang strategi, kering ilmu mahupun keberanian untuk berdepan dengan impak daripada peningkatan kuasa, wang, dan legitimasi yang dimiliki oleh arus-arus politik-agama konservatif yang terdapat dalam kerajaan dan di tengah-tengah masyarakat. 

Mereka ada projek politik tersendiri, kemudian pihak kerajaan pula dengan murah hati dan berbesar hati terus memberi muka kepada mereka. Kerajaan telah bertindak bagai melepaskan anjing tersepit selama berdekad-dekad dan tanpa dicabar melainkan oleh kumpulan-kumpulan masyarakat sivil seperti Sisters in Islam yang berani itu. 

Pun begitu, kami yang percaya dengan Malaysia yang berbilang kaum, demokratik, dan progresif sepertimana yang termaktub dalam Rukun Negara inilah yang akhirnya diserang habis-habisan, malah cuba dibungkam lewat fatwa. 

“Gelombang Hijau”

Sekarang, para politikus ini sedang menuai hasil daripada perbuatan mereka sendiri. Bak kata seorang penulis / sejarawan, di mana ada kata-kata, di situ perbuatan akan menyusul.

Slogan-slogan lantang pantas menenggelamkan hujah-hujah demokratik. Sedikit demi sedikit, permusuhan dan sikap hanya menganggap diri sendiri benar mula menjadikan kerjasama sebagai sesuatu yang mustahil. 

Pada hari ini, UMNO telah melemah teruk. BERSATU dan PAS, bersama-sama apa yang mereka perjuangkan itu telah memperoleh laba terbesar akibat daripada momokan ketakutan serta kebencian terhadap golongan “yang lain” tanpa henti dahulu. 

Seterusnya, jurang antara mereka yang percaya dengan Malaysia yang lebih demokratik, mendakap kepelbagaian, dan adil dengan mereka yang percaya dengan ketuanan Islam dan Melayu menjadi semakin melebar. 

Manusia yang telah mengepalai dan mencetuskan gerakan Islamis di Malaysia itu kini duduk di takhta Perdana Menteri. Beliau sebenarnya bertanggungjawab terhadap seluruh negara untuk membetulkan segala kerosakan yang telah terjadi. 

Beliau perlu menggembleng tekad politik dan keberanian untuk menawarkan naratif alternatif demi sebuah Islam yang adil, progresif, dan inklusif yang mendakap kepelbagaian serta kekayaan budaya dalam negara berbilang kaum dan agama ini. 

Dalam tradisi fiqh Islam yang kaya, sememangnya sudah terdapat segala bentuk kesarjanaan, konsep-konsep hukum bersama prinsip-prinsipnya demi mencetuskan perubahan ke arah keadilan dan kesamarataan. Hal yang diperlukan kini ialah tekad politik untuk menterjemahkan perkara-perkara ini menjadi pelaksanaan. 

Jika sikap konservatif, anti-toleran, dan diskriminasi atas nama Islam, berserta ketakutan, kejahilan, serta sikap pengecut untuk berdepan dengan cabaran ini berterusan, kerajaan Pakatan Harapan hanya akan menjadi senasib dengan UMNO yang kita dapat lihat pada hari ini. 

Harapan atau UMNO tidak akan menang jika mereka terus bermain di gelanggang “holier-than-thou” menentang PAS. Dalam sejarah, setiap kali UMNO ada krisis, PAS akan mengaut keuntungan terbesar akibat ketidakpuasan hati orang Melayu. Telah banyak kali kita menyaksikan hal ini berulang lagi dan lagi.  

Walau bagaimanapun, untung yang berjaya diraih PAS itu selalunya diraih ketikamana ia bersekutu dengan parti moderat yang lain. Kita telah menyaksikan hal ini dalam Pilihan Raya Umum 1990, sewaktu PAS bekerjasama dengan faksi pecahan UMNO, Semangat 46, lalu berjaya menawan Kelantan. 

Pada tahun 1999, di tengah-tengah gerakan Reformasi, kerjasama PAS bersama Keadilan dan DAP dalam Barisan Alternatif telah memberikan PAS kerusi Ketua Pembangkang di Parlimen apabila mereka berjaya mendapat 27 kerusi. 

Dalam pilihan raya terkini, PAS mendapat untung terbesar hasil kerjasama dengan BERSATU, ketikamana UMNO berada dalam krisis sekali lagi.

Justeru, saya tidak percaya bahawa satu undi untuk PAS bermaksud satu undi untuk sebuah negara Islam. Itulah hakikat pada 1999, dan itulah juga hal yang terjadi pada 2022. Ketakutan terhadap “gelombang hijau” yang menyerang pada 1999 hasil daripada Islamisasi adalah tidak kekal menjelang Pilihan Raya Umum 2004 ketikamana PAS hanya menang enam kerusi. 

Janji Abdullah Badawi untuk membina Malaysia yang lebih baik, ramah, inklusif, dan demokratik sebagai pemimpin UMNO dan Perdana Menteri Malaysia telah berjaya membawa BN untuk mengecap kemenangan di tahap yang tidak pernah mereka rasakan sebelum itu. 

Tanggungjawab Kerajaan Perpaduan

Mungkinkah cakap-cakap “gelombang hijau” pada hari ini hanyalah sesuatu yang hanya bersifat sementara dan tidak kekal menjelang PRU seterusnya, sepertimana pada tahun 2004? Hanya tindakan Harapan dan Anwar yang akan menentukannya. 

Mampukah kerajaan ini melaksanakan janjinya untuk merobah Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih demokratik, progresif, inklusif, dan menjaga keadilan sosial? 

Mampukah Perdana Menteri kita ini membina naratif kebangsaan baharu yang positif, yang akan menyuntik keyakinan untuk mematahkan naratif “Melayu terancam” dan “Islam terancam” yang hanya membawa malapetaka itu? Naratif sedemikian telah mencarik fabrik sosial negara ini dan meracuni politiknya sejak sekian lama.

Mampukah ia meninggalkan sebuah UMNO yang masih gagal melihat keadaan hodoh dirinya sendiri, yang hanya akan membawa kemusnahan bagi parti tersebut jika ia tidak berani mengubah kepimpinannya? 

Mampukah ia membawa majoriti orang Melayu kembali ke pangkal jalan dan mengakui bahawa negara ini tidak boleh diselamatkan lagi, dan orang Melayu pun tidak boleh maju, jika kita mati-mati tidak mahu menerima politik berasaskan tolak ansur? 

Kalau kita mengamalkan politik kalah-mati, iaitu keuntungan yang diperoleh satu komuniti bermaksud kerugian untuk komuniti yang lain, pasti tidak akan ada kestabilan politik dan kemakmuran dalam masyarakat kita yang berbilang kaum ini. Asas kepada demokrasi berperlembagaan yang menjadi tonggak negara kita ialah perkongsian kuasa dan perkongsian kekayaan negara.

Bagi kerajaan Harapan ini, strateginya mudah. Ia mesti melaksanakan janjinya. Siapa yang tidak mahu hidup dalam negara Malaysia yang aman damai, demokratik, makmur, dan menjaga keadilan sosial? 

Hidup dalam negara sedemikian tentunya jauh lebih baik daripada hidup dalam sebuah negara di mana lelaki dan wanita adalah tidak setara, orang Islam dengan orang bukan Islam adalah tidak setara, undang-undang memberi hak berbeza kepada orang Islam berbanding orang bukan Islam serta wanita Islam, atau di negara yang segala bentuk keseronokan dianggap dosa dan mesti dilarang. 

Bukanlah sukar untuk memahami bagaimakah bentuk Malaysia yang didambakan rakyatnya. Bukanlah sukar untuk memahami apakah cara terbaik untuk mengendalikan isu ini. Gerak yang diperlukan ialah pelan tindakan, tekad politik, dan keberanian.

***ZAINAH ANWAR ialah pengasas bersama dan mantan Pengarah Eksekutif Sisters in Islam. Kini, beliau ialah pengasas bersama dan Pengarah Musawah, sebuah gerakan antarabangsa untuk kesetaraan dan keadilan dalam keluarga Muslim.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email