No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

“Scam Poligami” Bukan Merujuk Pada Poligami

Akhir-akhir ini, isu “scam poligami” hangat dibincangkan di media sosial. Banyak pihak yang menyuarakan pandangan dan rata-rata memandang ia adalah perkara yang serius dan wajar ditangani. Tetapi, berbeza pula keadaannya dengan kenyataan Mufti Perlis, Datuk Seri Dr Mohd Asri Zainul Abidin, “Pihak tertentu menyatakan poligami adalah scam menunjukkan dia telah mencerca satu peruntukan yang ada dalam agama,”. (Rujukan: https://www.sinarharian.com.my/…/Memudahkan-poligami…)

Kritikan atau aduan “scam poligami” dalam isu ini merujuk kepada penyalahgunaan kuasa dan peruntukan undang-undang yang sedia ada bagi membenarkan poligami, bukan pada poligami itu sendiri. Pendapat yang mengatakan bahawa memudahkan poligami itu adalah sesuatu yang lebih baik menimbulkan beberapa persoalan. Adakah poligami akan terus dibenarkan untuk memudahkan sesuatu yang baik walaupun tanpa mengikuti syarat undang-undang? Memudahkan poligami ini ‘lebih baik’ untuk siapa?

Seksyen 23. Poligami (ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM NEGERI PERLIS 2006)

(1) Tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.
(2) Tiada perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran di bawah subseksyen (1) boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan jika Mahkamah berpuashati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintah supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada seksyen 124.
(3) Subseksyen (1) terpakai bagi perkahwinan dalam Negeri Perlis seseorang lelaki yang bermastautin dalam atau di luar Negeri Perlis dan perkahwinan di luar Negeri Perlis seseorang lelaki yang bermastautin dalam Negeri Perlis.
(4) Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu iqrar menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut atau perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.
(5) Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon, memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu yang hendaklah dilakukan dalam Mahkamah tertutup dan Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika berpuas hati-
(a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
(b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
(c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak; dan
(d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syari’e kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Peruntukan pertama untuk berpoligami adalah si suami perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak mahkamah. Kebanyakan suami mereka tidak mengikut peruntukan pertama ini. Si suami akan berkahwin di luar negara tanpa pengetahuan si isteri mahupun mahkamah dan kembali ke Malaysia dengan mendaftarkan perkahwinan baru si suami dengan hanya membayar denda minimum RM1,000 seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Kebanyakan si isteri baru juga ditipu suami dengan melengah-lengahkan pendaftaran perkahwinan mereka sehingga ‘terlupa’ atau tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di bawah undang-undang Malaysia. Kesannya di sini, perkahwinan baru itu sekadar halal dari segi agama sahaja tetapi tidak wujud di bawah undang-undang Malaysia. Komplikasi akan berlaku apabila si isteri ingin membuat apa-apa tuntutan di mahkamah kelak. Oleh kerana perkahwinan itu tidak didaftarkan dan dikira tidak wujud di bawah undang-undang, maka si isteri juga tiada apa-apa hak yang boleh dituntut ke atas suami.
Dengan semudah itu, si suami dapat berpoligami dengan mengenepikan syarat-syarat untuk berpoligami dan semudah itu, si isteri dimadukan tanpa pengetahuan atau kebenarannya. Aspek cemburu si isteri seringkali di jadikan alasan untuk meremehkan isu dan masalah sebenar pelaksanaan kebenaran berpoligami itu sendiri.
Aduan bahawa seseorang lelaki boleh mendapatkan status bermastautin dengan hanya menetap 5 hari di sesebuah negeri dengan niat untuk mendaftarkan perkahwinan yang disembunyikan dan tanpa keizinan mahkamah perlu disiasat. Malangnya, kebanyakan peruntukan di atas telah disalahgunakan oleh pelbagai pihak untuk kepentingan sendiri sehingga memudaratkan kelangsungan hidup isteri-isteri dan anak-anak di Malaysia.
Kebanyakan isu tentang perkahwinan berpoligami adalah berkaitan dengan kegagalan suami untuk berlaku adil dan saksama untuk menafkahi dan menjaga dua atau lebih keluarga. Sesetengah suami hanya mampu melaksanakan tanggungjawab kewangan, masa dan keperluan secara memadai untuk isteri pertama dan anak-anak tapi masih tidak teragak-agak dan sanggup bersembunyi untuk berkahwin sekali lagi.
Mengikut Kajian Nasional “Kesan Poligami ke atas Keluarga Muslim di Malaysia” yang dilakukan oleh Sisters in Islam (2007-2012), 40% suami mengaku mengurangkan perbelanjaan kepada anak-anak, isteri dan keperluan rumah yang lain selepas berpoligami. Manakala 44% isteri pertama mula bekerja atau bekerja lebih masa atau mencari kerja sampingan untuk menampung perbelanjaan rumah selepas suami berpoligami.
Kitaran kelakuan suami yang melanggar undang-undang serta tidak melaksanakan tanggungjawab mereka bukan sahaja memberikan kesan kepada isteri pertama dan anak-anak dari segi emosi dan psikologi, malah, ia juga akan memberi kesan kepada isteri kedua, ketiga dan keempat, tanpa mengira ketidakmampuan suami menyediakan nafkah yang secukupnya dengan memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa dengan sambil lewa. Dalam hal ini, kajian Sisters in Islam juga mendapati bahawa 77% anak isteri pertama tidak berpuas hati dengan aturan giliran bapa mereka.
Ketidakadilan yang berlaku akan menyebabkan isteri-isteri menuntut cerai di mahkamah dan semakin banyak ibu tunggal yang menderita dan anak-anak yang terbiar tanpa nafkah daripada perkahwinan poligami yang tidak mengikuti undang-undang, dan tidak mengambil kira pengalaman wanita, malah diketepikan. Realiti kehidupan sebenar wanita-wanita yang berada dalam poligami perlu diambil kira dan dipertimbangkan. Jika ini berterusan dan tiada siasatan atau tindakan lanjut, negara kita akan melahirkan masyarakat yang tidak akan merasakan keadilan dalam perkahwinan dan keluarga mereka.
Undang-undang memainkan peranan utama untuk membendung isu-isu seperti ini berlaku. Akan tetapi, matlamat undang-undang tidak akan tercapai jika undang-undang poligami tidak diperketatkan, tidak diikuti dan diabaikan. Ini boleh menyebabkan masalah yang lebih serius terhadap isteri-isteri dan anak-anak seperti masalah pengabaian nafkah, ketidakadilan dan lain-lain. Menurut kajian yang disebutkan di atas, 45% suami tidak membuat permohonan di mahkamah manakala 60% isteri tidak dipanggil oleh mahkamah untuk mendapatkan pendapat sebelum meluluskan permohonan poligami suami.
Atas dasar dapatan kajian ini, Sisters in Islam mencadangkan agar praktik poligami ini diperketatkan lagi dengan menambah baik undang-undang sedia ada. Pelaksanaan proses dan prosedur di mahkamah mesti ditingkatkan lagi agar pihak-pihak yang terlibat mengikut dan menghormati undang-undang bagi memastikan suara-suara isteri dan pengalaman perkahwinan mereka di ambil kira untuk mengelakkan
ketidakadilan berlaku dari permulaan perkahwinan poligami tersebut.
Kisah dan pengalaman wanita-wanita dan anak-anak dalam perkahwinan poligami perlu lebih diketengahkan dan difahami dalam isu ini. Kebahagiaan atau kemanisan poligami itu bukanlah berdasarkan pengalaman pihak si suami sahaja. Kritikan kepada prosedur poligami yang dilaksanakan di negara ini bukanlah kritikan atau cercaan kepada hukum agama itu sendiri, malah lebih kepada mengkritik keadilan melaksanakan tanggungjawab dalam memberikan dan mendapatkan tanggungjawab berpoligami.
Bahkan Al-Quran sendiri telah meletakkan syarat ketat dalam melaksanakan poligami “sekiranya kamu takut tidak dapat berlaku adil (antara isteri-isteri), maka kahwinilah seorang sahaja, itu lebih dekat bagi kalian agar kamu tidak berlaku zalim.” (Surah An-Nisa, ayat 3) Tidak sepatutnya proses-proses bagi memastikan keadilan dalam perkahwinan poligami ini yang dituntut Al-Quran ini sewenang-wenangnya dipermudahkan atau dipandang remeh.
Amat malang kita pada hari ini apabila perkahwinan dipandang semata-mata sebagai jalan untuk menghalalkan yang haram sedangkan spirit Al-Quran dalam memandang perkahwinan adalah mu’asyarah bil ma’ruf (hubungan yang baik dan bermartabat) dan mithaq ghaliz (perjanjian yang utuh). Selain itu, Al-Quran menyifatkan pasangan suami isteri adalah pakaian buat sesama pasangannya. Semua ini hanya mampu dimanifestasikan dengan keadilan dan ihsan kepada sesama pasangan. Justeru, menggunakan alasan menghalalkan yang haram bukanlah alasan yang benar dan syar’ie untuk menjustifikasi poligami, kerana perkahwinan keseluruhannya adalah seperti apa yang diisyaratkan oleh Al-Quran adalah komitmen untuk saling mencinta, berlaku adil dan ihsan kepada pasangan suami isteri.
Membelakangkan suara isteri dalam urusan dan keputusan rumahtangganya melanggar prinsip Al-Quran sendiri, kerana ia bertentangan dengan konsep mu’asyarah bil ma’ruf; apatah lagi poligami tanpa izin mengkhianati kepercayaan dan kesetiaan isteri. Satu perkara yang menambah malang lagi apabila mufti dan agamawan tidak mampu melihat hal perkahwinan ini dalam kerangka besar selain daripada manfaat pihak tertentu, apa lagi kalau manfaat itu bersifat sepihak dan mendatangkan penderitaan dan kezaliman kepada pihak yang lain. Maqasid perkahwinan dalam Al-Quran wajar diperhatikan dengan serius untuk memastikan perkahwinan muslim tidak merosakkan mana-mana pihak dan merealisasikan sakinah dan mawaddah dalam keluarga.
Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email