No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Quran & Rogol Dalam Perkahwinan

Pernikahan tidak menghalalkan kekerasan & paksaan


Akad nikah dalam Islam hanya menghalalkan hubungan seks yang pada awalnya haram.
Selepas bernikah hubungan seks ini menjadi hak bersama, suami dan isteri, bukan kepunyaan
suami semata-mata. Akad nikah tidak menghalalkan pemaksaan, kekerasan, dan tindakan yang
merendahkan dan menyakitkan, baik kepada lelaki atau perempuan. Semua tindakan buruk dan
jahat, di dalam atau di luar pernikahan, tetap haram. Prinsip “Laa dharara wa laa dhiraar” atau
“tidak boleh memberi mudarat kepada orang lain dan dimudaratkan oleh orang lain” mesti
dipegang seteguhnya dalam apa sahaja perkara, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hubungan
sesama pasangan suami isteri.


Sangat menjelikkan apabila sebilangan orang Islam menyatakan bahawa Islam membenarkan
rogol dalam perkahwinan dengan menggunakan alasan-alasan ‘hak suami ke atas isteri’ atau
‘tanggungjawab isteri melayan suami’. Apatah lagi membabi buta menyuruh perempuan dan
para isteri menikmati kesakitan diperkosa dan dikasari. Amat malang dalam hal ini, ramai lelaki
menanggap bahawa hubungan seksual yang dilakukan secara paksa dan tanpa kerelaan tidak
menyakiti dan mencederakan isteri, sedangkan hakikatnya ia amatlah mencederakan isteri
dalam banyak aspek.


Islam adalah agama yang menjunjung tinggi keadilan (Ta’addul) dan kesetaraan (Tasamuh).
Dalam al-Qur’an surat al-Baqarah [2]:187 bahwa hubungan seks antara suami dan isteri perlu
ada prinsip kesalingan (mubadalah); suami adalah pakaian isteri dan isteri adalah pakaian
suami (hunna libaasun lakum wa antum libaasun lahum). Perkawinan itu adalah jalinan
hubungan kasih sayang, cinta dan tanggungjawab suami dan isteri. Hubungan seks antara
suami isteri itu perlulah secara bersama-sama dengan cara-cara yang baik, dan bukannya
dengan penindasan, kebencian, kekerasan, paksaan dan ugut-mengugut.

Islam Menolak Kekerasan


Islam secara tegas mengajar untuk selalu memberikan penghormatan kepada seluruh manusia,
terutamanya pada kaum perempuan. Islam juga melarang untuk membuat kezaliman kepada
sesiapa sekalipun. Jika sesuatu tindakan itu yang melukai dan menyakiti isteri, sekaligus telah
melanggar prinsip kemanusiaan yang telah diajarkan oleh Islam. Ini kerana dalam prinsip Islam,
kita didorong untuk tidak melukai diri sendiri, dan juga manusia lain. Seperti yang terdapat
dalam hadis Nabi saw “Tidak boleh mencederai diri sendiri maupun mencederai orang lain”
(Muwatta’ Malik).


Hubungan seks dalam perkahwinan yang dilakukan secara suka sama suka dan saling
menikmati itu sememangnya adalah halal, kerana ianya selari dengan anjuran al-Qur’an dan
teladan Nabi Muhammad SAW. Namun, apabila adanya hubungan seks yang dilakukan dengan
cara pemaksaan dan kekerasan, ini akan menjadi haram, ini kerana hubungan seks itu tiidak
mengamalkan prinsip-prinsip Syari’ah Islam dalam al-Qur’an dan adab dari teladan Nabi
Muhammad SAW. Dalam fiqh, pemaksaan dan pemerasan adalah satu perbuatan buruk,
apatah lagi memaksa dengan kekerasan dan keganasan. Oleh sebab keburukan itu, hubungan
itu menjadi haram dan harus dihilangkan atau ditinggalkan. Kaedah fiqh menyatakan: setiap
kerosakan perlu dihilangkan (adh-dhararu yuzal)”.


Isteri perlu dihormati bukan dicabuli


Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa akad nikah yang menghalalkan hubungan intim
suami isteri itu sebagai satu amanah Allah Swt. Kedua-dua belah pihak, suami dan isteri,
walaupun sudah halal, tetapi masih perlu berpegang teguh dengan amanah Allah SWT, dengan,
mempraktikkan moral yang baik dan mulia.

Nabi Muhammad SAW berpesan: اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِخَيْرًا: Hendaklah kalian berbuat baik terhadap perempuan (Ibn Majah: 1924, Al Tirmidzi: 1196) Dalam hadis lain, Nabi Muhammad SAW juga menegaskan bahawa sebaik-baik orang beriman adalah mereka yang baik akhlaknya, dan orang yang terbaik adalah mereka yang selalu berbuat baik kepada isterinya (khiyarukum khiyarukum li nisa-ikum) Abu Daud: 4682, Musnad Ahmad: 10106)”.


Nilai saling berbuat baik ditekankan dalam setiap aspek kehidupan suami isteri, termasuk dalam
hubungan seks antara suami dan isteri. Jika isteri dituntut untuk memperhatikan dan melayani
kehendak seks suami yang didorong oleh hormon testosteronnya, suami juga dituntut untuk
memastikan isteri merasa senang dan bahagia dengan hubungan seksual mereka berdua. Ini
tidak mungkin didapatkan tanpa sikap empati dan mengambil perhatian terhadap keadaan isteri
yang ada masa penat dan tidak ada mood, emosinya naik turun kerana perubahan hormon
ketika fasa-fasa tertentu seperti ovulasi dan menstruasi, atau ketidakselesaan dan kesakitan
semasa hamil dan selepas melahirkan dan sebagainya. Mementingkan nafsu kepuasan sendiri
atas kesakitan dan ketidakselesaan isteri sebenarnya menyalahi tuntutan Al Quran dan pesan
Nabi SAW dalam melayani isteri dan menunaikan haknya.


Saling berbuat baik kepada sesama pasangan suami isteri termanifestasi dengan perbuatan
mendapatkan izin apabila hendak melakukan sesuatu pada apa-apa perkara milik mereka dan
ini termasuklah tubuh badan masing-masing. Ramai menyangkakan bahawa akad pernikahan
itu memilikpunyakan tubuh isteri kepada suami dan sebaliknya. Tetapi sangkaan ini amatlah
salah kerana akad pernikahan hanyalah sekadar menghalalkan hubungan seksual antara
keduanya, dan tidak memilikpunyakan badan mereka kepada pasangan masing-masing. Tubuh
badan seseorang kekal menjadi milik tuan badannya seorang dan apa-apa perbuatan yang
hendak dikenakan ke atas tubuhnya mestilah mendapat izin dan kerelaan yang benar tanpa
sebarang ugutan atau ancaman kepada tuan punya badan.


Sedangkan barang kepunyaan isteri dan suami pun sesama mereka perlu minta izin untuk
mengambilnya, apatah lagi badan yang bernyawa dan tuan badannya punya emosi dan akal
yang merasa dan menilai. Memaksa isteri melakukan hubungan seksual adalah suatu
pencabulan dan ia adalah perbuatan yang tidak menghormati tubuh badan, fikiran dan emosi
isteri. Jangan dipandang enteng pada hubungan seksual yang bersifat sepihak apatah lagi
dengan unsur pemaksaan dan keganasan, kerana ia memberi kesan yang amat besar kepada
maruah kemanusiaan isteri dan keadaan mental dan emosinya. Banyak kes juga memberi
kecederaan fizikal. Justeru, perbuatan keji ini selayaknya dinamakan rogol kerana ia melanggar
batas autonomi isteri pada tubuh badannya sendiri dan mempunyai implikasi negatif yang
traumatik, walaupun dalam hubungan yang halal untuk melakukan seks.

Artikel Tamat

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email