No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Polemik Lazim: Malaysia Negara Islam atau Sekular?

*Artikel ini ditulis oleh Nizam Bashir

Polemik sama ada Malaysia merupakan suatu negara Islam atau sekular akan bangkit dari masa ke semasa. Polemik tersebut ibarat suatu pergelutan jiwa untuk mencari dan memahami erti diri sebenar negara yang tercinta ini.

Ia timbul baru-baru ini, namun mungkin dalam bentuk yang agak halus, melalui luahan pendapat Prof. Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil yang disiarkan oleh Berita Harian pada 29.03.2023 dengan tajuk: “Salah faham status Malaysia negara Islam, sekular perlu diperbetulkan”. (Pautan: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/03/1083225/salah-faham-status-malaysia-negara-islam-sekular-perlu)

Bagi golongan yang menyatakan Malaysia adalah suatu negara Islam, pendirian mereka lazimnya berasaskan:

  1. sejarah di mana penekanan yang dibuat adalah undang-undang Islam adalah undang-undang yang berkuatkuasa di sekitar perantauan kita (“law of the land”) sebelum kehadiran mana-mana penjajah termasuk penjajah Inggeris.
  2. tafsiran Perlembagaan Persekutuan di mana penekanan akan dibuat berkenaan:
  3. agama Islam merupakan satu-satunya agama yang disebutkan di dalam Perlembagaan Persekutuan;
  4. perkataan sekular tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan;
  5. Perkara 3(1) yang menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan (tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan);
  6. Perkara 3(2) bahawa setiap negeri akan memiliki Ketua agama Islam iaitu samada melalui Sultan atau Yang di-Pertuan Agong;
  7. Perkara 11(4) yang memiliki kerangka bahawa agama lain tidak boleh dikembangkan dan disebar kepada orang Islam;
  8. Perkara 12(2) yang menyatakan secara khusus bahawa ianya sah bagi Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri untuk menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan ajaran dalam agama Islam atau melakukan apa-apa perbelanjaan yang perlu bagi tujuan tersebut;
  9. Perkara 37 yang memperuntukkan berkenaan sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di mana wujud lafaz “Wallahi, Wabillahi dan Watallahi”; dan
  10. item 6 Senarai I Jadual Kesembilan dan item 1 Senarai II Jadual Kesembilan yang mewujudkan kuasa untuk Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang berkenaan agama Islam.

Namun, ini tidak bermaksud bahawa tiada asas untuk pihak-pihak lain berhujah bahawa Malaysia adalah suatu negara sekular. Perkara-perkara yang membuktikan bahawa Malaysia adalah suatu negara sekular disokong oleh hakikat bahawa:

  1. apa-apa peninjauan sejarah tidak boleh dihadkan hanya kepada suatu tempoh masa yang sesuai untuk menyatakan bahawa undang-undang yang berkuatkuasa di sekitar perantauan kita adalah undang-undang Islam kerana sekiranya ianya ditinjau jauh sebelum itu, suatu gambaran yang lebih kompleks akan muncul.
  2. Suruhanjaya yang dipertanggungjawabkan untuk merangka Perlembagaan Persekutuan, iaitu Suruhanjaya Reid, yang berjumpa 118 kali dalam tempoh Jun dan Oktober 1956 serta yang menerima 131 memorandum dari pelbagai pihak telah menyatakan di dalam laporannya khususnya di dalam perenggan 11 dan perenggan 169 bahawa meskipun Islam ialah agama bagi Persekutuan, sepertimana yang kini dimaktubkan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, ia tidak menghalang Malaysia dari merupakan suatu negara sekular.
  3. Suruhanjaya yang dipertanggungjawabkan untuk memungut dan menentukan pandangan rakyat Borneo Utara (sekarang Sabah dan Labuan) dan Sarawak, iaitu Suruhanjaya Cobbold, sama ada menyokong cadangan untuk membentuk atau membuat Persekutuan Malaysia telah menyatakan di dalam laporannya khususnya di dalam perenggan 148(e) bahawa meskipun Islam ialah agama bagi Persekutuan, ia tidak menghalang kebebasan beragama dan ia memiliki kesan bahawa negara adalah sekular.
  4. Rukun Negara, ideologi kebangsaan yang dibentuk pada 31.08.1970 oleh Majlis Gerakan Negara, menekankan:
  5. pemeliharaan cara hidup demokratik (dan bukannya teokratik); dan
  6. menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak.
  7. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan” perlu ditafsirkan sebagai memiliki kesan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan upacara sahaja dan tidak lebih dari itu dan ini disokong oleh keputusan Mahkamah Agung di dalam Che Omar bin Che Soh v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 55.
  8. Perkara 4(1) yang menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah. Penting untuk diperhatikan di sini bahawa Perkara 4 (mahupun mana-mana bahagian Perlembagaan Persekutuan) tidak memperuntukkan bahawa sebarang undang-undang yang bertentangan dengan perintah Islam adalah terbatal dan andaikata Malaysia benar-benar suatu negara Islam, suatu peruntukkan sebegitu patut wujud.
  9. Sekiranya diendahkan isu pengambilan cukai ke atas syarikat-syarikat judi dan sebagainya, melalui Perkara 110(1) dibaca bersama-sama dengan item (1) Bahagian III Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan dengan nyatanya memperuntukkan bahawa antara pemberian dan sumber hasil yang diserahhakkan kepada Negeri adalah hasil daripada kedai tuak.

Apa yang mula menjelma dari perenggan-perenggan di atas adalah sebenarnya persoalan samada Malaysia adalah suatu negara Islam atau suatu negara sekular mungkin lebih kompleks dari apa yang difikirkan. Ini tidak semestinya merupakan suatu masalah dan apa-apa pertikaian atas isu ini mungkin terbit secara utamanya dari tafsiran perkataan sekular, yang sebenarnya memiliki suatu julat makna atau maksud, dan cara di mana sekularisme patut dilaksanakan menurut apa yang dibenarkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun, kompleks atau tidak, apa yang sememangnya jelas adalah model sekularisme di Malaysia bukan seperti yang didokong di negara Perancis, yang juga memiliki suatu perlembagaan bertulis, di mana sekularisme di negara tersebut dilaksanakan dengan lebih tegas dan memiliki kesan untuk melarang Kerajaan dari terbabit dalam hal ehwal agama serta melarang pengaruh Kerajaan di dalam isu-isu bersangkutan dengan agama.

Jadi, selain dari apa yang dibentangkan di dalam perenggan-perenggan di atas, apa yang dimaksudkan apabila mana-mana pihak berhujah dan menyatakan Malaysia ini suatu negara sekular? Bagi penulis, sekularisme (atau mungkin lebih tepat dinyatakan sebagai kuasi-sekularisme) di Malaysia perlu difahami sebagai bermaksud bahawa wujud had dalam pelaksanaan Islam dari segi undang-undang di Malaysia.

Had tersebut bukan suatu khayalan semata-mata tetapi wujud dari segi undang-undang dan secara ringkas– khususnya apabila isu yang ingin disentuh tidak berkait rapat dengan suatu isu teras ibadah dalam Islam – kerangkanya adalah seperti berikut:

  1. Parlimen atau Kerajaan Negeri memiliki kuasa untuk menggubal undang-undang berkenaan dengan Islam [rujuk Perkara 74(1) dan 74(2) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama-sama dengan item item 6 Senarai I Jadual Kesembilan dan item 1 Senarai II Jadual Kesembilan];
  2. namun, kuasa Parlimen atau Kerajaan Negeri untuk menggubal undang-undang berkenaan Islam tersebut adalah tertakluk kepada syarat-syarat atau had yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan [rujuk Perkara 74(3) Perlembagaan Persekutuan];
  3. antara syarat atau had yang wujud adalah:
  4. mana-mana undang-undang berkenaan Islam hendaklah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan [rujuk Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan]
  5. mana-mana undang-undang berkenaan Islam yang digubal mesti dalam ruang lingkup kuasa Parlimen atau Kerajaan Negeri untuk menggubal undang-undang yang terbabit (rujuk Senarai I dan Senarai II Perlembagaan Persekutuan); dan
  6. mana-mana undang-undang berkenaan Islam hendaklah selaras dengan hak asasi yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan dalam cara dan takat ianya mungkin terpakai bagi umat Islam di sini (rujuk Bahagian II Perlembagaan Persekutuan). (Kedudukan hak asasi di Malaysia mungkin berbeza sedikit dengan di Maldives di mana ianya dimaktubkan secara jelas di dalam Perlembagaan Maldives bahawa hak asasi hanya wujud sekiranya ia tidak bertentangan dengan prinsip Islam.)

Walaupun ia tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi bagi penulis, hikmah di sebalik kewujudan kerangka tersebut mungkin bertujuan untuk memastikan agama Islam tidak digunakan untuk tujuan politik dan memastikan suatu tabir yang memadai wujud berkenaan pelaksanaan Islam di Malaysia.

Hakikat bahawa sempadan sebegini perlu bukan suatu yang asing. Ketua-ketua Agama negara kita sendiri telah mengutarakan pandangan mereka berkenaan isu ini, meskipun melalui cara yang lebih halus, dan yang mana sebagai contoh boleh dilihat dari:

  1. titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sendiri lewat Mac 2023 yang mengingatkan ahli politik untuk jangan gunakan agama untuk mendapatkan populariti; dan
  2. titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor sendiri awal Januari 2023 yang melarang mana-mana surau atau masjid di negeri ini dijadikan tempat menyebar dakyah atau perbincangan hal ehwal politik.

Akhir kata bagi penulis, hakikat bahawa wujud aspek sekular dan aspek keagamaan di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya merupakan punca pertelingkahan antara mana-mana pihak atau puak. Sebaliknya, ia patut dijadikan suatu perkara untuk diraikan dan jawapan yang dicapai dalam keadaan-keadaan tertentu tidak semestinya merupakan suatu jawapan yang binari atau berbentuk “zero sum game”.

Seperti yang Maulana Jalaluddin Muhammad Rumi pernah kata:

“Tuhan mengubah perasaanmu dari satu keadaan ke keadaan lain dan mengajar melalui lawan-lawannya agar kamu mempunyai dua sayap untuk terbang, bukan hanya satu. (“God turns you from one feeling to another and teaches by means of opposites so that you will have two wings to fly, not one.”)

Malaysia juga memiliki dua “sayap” dalam Perlembagaan Persekutuannya iatu “sayap” sekular dan “sayap” keagamaan.

Tanpa terhilang pandang bahawa wujud suatu kerangka khusus di dalam Perlembagaan tersebut sepertimana yang telah dinyatakan di atas, kedua-dua “sayap” tersebut wajar digunakan oleh negara yang tercinta ini agar ia terus terbang dan sentiasa maju ke hadapan.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email