No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Pingat bagi Poligami

Sisters in Islam (SIS) kesal dengan kenyataan ADUN Parit Raja (Utusan 20 November 2002) yang mencadangkan agar para isteri yang membenarkan suami mereka berpoligami diberikan pingat dan syarat untuk berpoligami dilonggarkan oleh Jabatan Agama Islam Johor dengan alasan membela nasib ibu-ibu tunggal yang bilangannya semakin meningkat serta membendung masalah sosial.

Menurut fakta, peningkatan bilangan ibu-ibu tunggal adalah disebabkan oleh sikap lelaki yang tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya sebagai suami. Masalah ini hanya boleh ditangani dengan mendidik kaum lelaki supaya lebih bertanggungjawab terhadap keluarga dan menghargai isteri mereka. Berdasarkan pengalaman kami di persatuan wanita, poligami tidak membantu mengurangkan masalah sosial malah menyebabkan lebih ramai kanak-kanak terbiar apabila suami atau bapa tidak mampu menanggung kos kehidupan berpoligami dan meluangkan masa dengan anak-anak dan isteri-isterinya.


Kami menyeru kepada semua ADUN supaya lebih peka kepada realiti yang berlaku didalam masyarakat dan bukannya mengeluarkan cadangan yang hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja. Perlu diingat bahawa kelonggaran syarat berpoligami hanya akan membawa kepada penganiayaan kepada isteri yang sedia ada. Perasaan dan kepentingan mereka tidak boleh di pandang remeh dengan mengandaikan sebuah pingat sudah cukup untuk menutup segala kesedihan.


Jika kerajaan negeri benar-benar ikhlas dalam menangani masalah ibu tunggal, mereka hendaklah meningkatkan jumlah dan kualiti khidmat sokongan sosial dan menubuhkan sebuah badan atau tabung khas bagi membantu ibu tunggal untuk membesarkan anak-anak. Untuk jangkamasa panjang, kami mencadangkan supaya kursus pra-perkahwinan lebih menekankan tanggungjawab seorang suami didalam rumahtangga dan bukan memberi tumpuan kepada hak mereka semata-mata.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email