Pindaan Kepada Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 2005 Yang Boleh Disalahgunakan Oleh Suami

Sisters In Islam menyambut baik cadangan pindaan yang akan dibentangkan di Parlimen yang membolehkan tuntutan harta sepencarian oleh isteri apabila suaminya ingin berpoligami. Syarat yang memerlukan isteri, atau isteri-isteri sedia ada, bakal isteri dan bakal wali untuk hadir di Mahkamah juga membantu melindungi wanita kerana ia membenarkan hakim untuk menentukan kebolehan seorang lelaki untuk berlaku adil.

SIS telah mencadangkan pindaan ini melalui memorandum yang telah diserahkan kepada Kerajaan pada tahun 1996.

Walaubagaimanapun, terdapat kelonggaran dan kelemahan kepada dua pindaan positif ini yang boleh disalahgunakan dan terus memberi kesan diskriminasi terhadap kaum wanita. Kami amat prihatin mengenai perkara-perkara berikut:
1. Seksyen 23(9)(b): Bahasa ‘gender neutral’ yang digunakan dalam peruntukan tersebut menutup ketidaksetaraan yang terdapat di antara kaum lelaki dan wanita. Walaupun ia membolehkan isteri menuntut hak ke atas harta sepencarian, ia juga membolehkan suami untuk menuntut hak harta sepencarian dari isteri atau isteri sedia ada. Kelonggaran yang terdapat ini boleh disalah gunakan oleh suami-suami yang tidak bertanggungjawab. Secara amnya, peruntukan ini membolehkan suami membuat paksaan untuk menjual rumah kelamin atau menyatakan bahawa hadiah yang telah diberikan oleh suami kepada isteri adalah sebagai harta sepencarian bagi membolehkannya menyara tanggungan hasil perkahwinannya yang berikut.

2. Seksyen 23(3) dan 23(4)(a): Syarat yang ada kini iaitu “patut dan perlu” di bawah Seksyen 23 Undang-Undang Keluarga Islam 1984, telah diubah kepada “patut atau perlu”. Ini bermakna suami hanya perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa perkahwinan poligami yang dirancang adalah patut, dan tidak perlu membuktikan perkahwinan itu sebagai perlu. Ini memudahkan syarat yang perlu dipenuhi oleh suami sebagai alasan berpoligami.

Seksyen 23(9): Seksyen baru ini memaksa isteri yang mempunyai suami berpoligami untuk memilih, sebagai alternatif, sama ada untuk memohon perintah nafkah atau perintah pembahagian harta sepencarian. Perkara ini adalah tidak adil dan tiada asas dalam perundangan Islam kerana adalah menjadi kewajipan suami untuk menyara isterinya. Hak tambahan yang telah diberikan kepada isteri untuk menuntut harta sepencarian adalah bagi melindungi hak isteri dan anak sedia ada dalam perkahwinan poligami. Oleh itu isteri tidak sepatutnya diminta untuk memilih antara satu dari hak jaminan kewangannya. Isteri berhak ke atas kedua-dua hak tersebut menurut perundangan Islam.

Seksyen 52(1): Fasakh – perintah Mahkamah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh yang memberi wanita 12 alasan bagi perceraian di bawah UUKI 1984, juga diberi kepada suami. Ini memberi kesan diskriminasi kerana suami masih mempunyai hak ke atas cerai tanpa mengira tempat, masa dan alasan, dan juga menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Memberikan suami hak untuk mendapat cerai fasakh membenarkannya melarikan diri dari membayar apa-apa saguhati kepada bekas isteri.

Seksyen 107A: Seksyen baru ini membenarkan suami untuk mendapat injunksi mahkamah bagi menegah isteri memindahkan harta, bagi melindungi suami atau bekas suami yang mempunyai tuntutan ke atas harta wanita. Perkara ini adalah amat tidak adil kerana perundangan tradisi Islam telah menentukan bahawa suami tidak mempunyai hak ke atas harta isteri dan isteri mempunyai hak ke atas harta suami bagi mendapatkan nafkah isteri dan anak-anak. Pindaan ini yang telah dilaksanakan di Johor telah dituruti dengan kes pertama dimana suami telah mendapat perintah mahkamah bagi membekukan akaun bank isterinya dalam kes tuntutan harta perkahwinan.

Pindaan yang dihasilkan dari kerja tampal dalam meminda Undang-Undang Keluarga Islam dalam menghadapi peredaran persekitaran telah menguntungkan lelaki dari wanita:

§ melalui penggunaan bahasa ‘gender neutral’ yang selektif;

§ dengan memberi hak tradisi yang diperuntukkan kepada wanita di bawah perundangan Islam kepada lelaki, tetapi tidak melanjutkan hak tradisi yang diberi kepada lelaki kepada wanita bagi mencerminkan perubahan dalam peranan dan keadaan semasa lelaki dan wanita;

§ dengan memilih pendapat perundangan minoriti yang mendiskriminasikan wanita sebagai sumber undang-undang (contohnya hak lelaki ke atas cerai fasakh), tetapi tidak memilih pendapat perundangan minoriti yang memanfaatkan wanita bagi meminda undang-undang (contohnya memberi wanita isma’ atau talaq tafwid (mewakilkan perceraian), dimana suami memberi hak untuk membubarkan perkahwinan kepada isteri sebagaimana beliau boleh membubarkan secara talaq – (pendapat perundangan berdasarkan Surah al-Ahzab, 33:28-29).

Rang Undang-Undang ini secara keseluruhannya merupakan suatu penghakisan hak yang telah diperuntukkan kepada wanita Islam di bawah Undang-Undang Keluarga Islam 1984. Sekiranya niat kerajaan adalah untuk meminda Undang-Undang Keluarga Islam bagi mencerminkan perubahan masa dan persekitaraan, maka kajian semula yang menyeluruh ke atas undang-undang ini adalah perlu dengan berdasarkan rangka-kerja keadilan dan kesaksamaan yang dapat memberi kebaikan kepada lelaki, wanita, anak-anak dan kestabilan institusi keluarga di dalam masyarakat Islam. Ia haruslah juga dilakukan dengan rundingan bersama persatuan wanita dan perjumpaan rakyat Malaysia. Bagi masa ini, sekiranya Rang Undang-Undang ini akan diluluskan Sisters In Islam mencadangkan kajian semula dan pindaan kepada seksyen berikut:
(1) Seksyen 23(9)(b): Pindaan ke atas harta sepencarian bagi harta suami yang berpoligami, kebenaran menuntut harta haruslah dihadkan hanya kepada ISTERI;

(2) Seksyen 23(3) dan 23(4)(a): Pindaan kembali kepada seksyen asal, iaitu “patut dan perlu”;

(3) Seksyen 23(9): Seksyen baru ini harus dipinda bagi mengiktiraf hak isteri ke atas nafkah dan harta sepencarian, tanpa memerlukan isteri membuat pilihan antara satu;

(4) Seksyen 52(1): Hak baru suami ke atas cerai fasakh harus dimansuhkan;

(5) Seksyen 107A yang baru yang membenarkan suami melarang isteri melupuskan hartanya sendiri harus dimansuhkan.
Keseragaman perundangan Keluarga Islam di Malaysia demi menjamin keadilan memanglah sesuatu yang patut diusahakan. Tetapi amatlah penting untuk memastikan supaya undang-undang yang diseragamkan itu merupakan pentafsiran yang adil dan saksama untuk kedua-dua pihak suami dan isteri, disamping mengutamakan kebajikan anak-anak. Keadilan, bukannya kezaliman, merupakan prinsip asas syariah Islam.

Sisters in Islam
8 Disember 2005

Share:
Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram
Share on email
Email