Sisters in Islam (SIS) mendapat satu kejutan apabila permohonan semakannya terhadap kes Kartika Sari Dewi Shukarno ditolak oleh Pembantu Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan semalam. Peguam SIS di Pahang amat terperanjat apabila Pembantu Pendaftar memulangkan kesemua dokuman yang difailkan, bersama-sama yuran mahkamah berbayar, pada 18 September 2009.
Tindakan yang tidak pernah berlaku dahulu oleh pejabat Pendaftar tersebut adalah satu pencabulan proses mahkamah yang jelas kerana semua permohonan yang difail dan dibayar sepenuhnya hendaklah diterima dan didengar. Pendaftar atau mana-mana pegawai mahkamah tidak berhak untuk menapis sebarang permohonan. Tugas mahkamah adalah untuk menerima permohonan dan terpulang kepada badan kehakiman untuk mendengar semua kes.
Permohonan yang tidak diterima pada peringkat pemfailan sama seperti menafikan hak sesuatu pihak untuk didengar, dan dalam kes ini, menafikan SIS hak untuk didengar. Sistem menapis permohanan tidak ada tempat di dalam sebuah sistem kehakiman yang adil dan bebas. Tindakan tidak menentu ini menyebabkan sistem kehakiman Syariah mendapat nama buruk.
Permohonan semakan yang difailkan oleh SIS di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan, beserta dengan permohonan untuk perintah penggantungan hukuman sebat ke atas Kartika. SIS menegaskan bahawa ia bertindak dalam konteks kepentingan umum bagi menyelesaikan kontroversi dan mendapatkan kejelasan tentang kesahan keseluruhan proses mahkamah. SIS dan ahli Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) yang lain juga telah mengadakan satu sidang media pada 30 September untuk menyatakan rasa bimbang mereka apabila pihak media melaporkan bahawa Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pahang telah menyemak semakan yang difailkan oleh dirinya sendiri sebelum ini.
Media telah melaporkan bahawa semakan tersebut telah didengar di dalam satu mesyuarat jabatan di antara Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pahang pada 28 September dan kemudiannya, dilaporkan bahawa hukuman sebab ke atas Kartika akan diteruskan. Seksyen 168 Enakmen Tatacara Syariah Jenayah 2002 menyatakan bahawa hanya Mahkamah Rayuan Syariah mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan sesebuah Mahkamah Tinggi Syariah, dan bukannya satu mesyuarat jabatan.
Sekali lagi, SIS ingin menyatakan bahawa isu Kartika dan hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman jenayah hendaklah diselesaikan menerusi satu proses kehakiman yang jelas dan sah. Sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan sederhana, Malaysia hendaklah mengekalkan kedaulatan undang-undang dan memastikan keadilan disempurnakan. Kes Kartika telah menghasilkan satu kegemparan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dan menjejaskan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara model Islam.
Dr Hamidah Marican
Pengarah Eksekutif Sisters in Islam