No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Perceraian SMS Tidak Mematuhi Prinsip al-Qur’an Mengenai Ihsan

Sisters in Islam ingin menyuarakan kekhuatiran kami terhadap keputusan Mahkamah Syariah yang membenarkan lafaz cerai talaq melalui SMS, dan kemungkinan ianya membawa akibat dan kesan yang berat ke atas hubungan suami isteri serta asas kekeluargaan.

Al-Qur’an dalam Surah al-Baqarah 2:229, memerintahkan supaya pihak suami isteri hendaklah  “… berpegang dengan cara yang ma’ruf atau bercerai dengan cara yang baik  (ihsan)…”

Adalah jelas bahawa melafazkan cerai melalui SMS tentunya bukan dengan cara yang ihsan. Sekiranya majikan tidak boleh membuang kerja pekerjanya melalui SMS, bagaimanakah pihak berkuasa boleh membenarkan ikatan perkahwinan yang melibatkan hubungan yang begitu rapat sekali dibubarkan dengan cara yang begitu angkuh dan tidak bertimbang rasa?

Dalam hukum fiqh Islam, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ zaman dahulu mengenai cara yang patut untuk melafazkan talaq yang sah. Walaupun diakui bahawa pandangan majoriti ulama’ membenarkan suami melafaz talaq tanpa kehadiran saksi, terdapat juga pandangan ulama’ yang menegaskan perlunya ada saksi yang adil, berasaskan amalan para Sahabat Rasulullah (saw), dan majoriti para Tabi’in.

Mahkamah Syariah di Malaysia, dengan membenarkan lafaz talaq melalui SMS, nampaknya memperluaskan lagi pandangan ulama’ yang menghukum bahawa lafaz talaq adalah sah walaupun tanpa kehadiran saksi. Sebaliknya, di  Indonesia, pandangan ulama’ yang menghukum bahawa lafaz talaq yang sah hanya boleh berlaku di hadapan saksi yang adil telah diterima dan dilanjutkan dalam Kompilasi Hukum Islam dengan memperuntukkan bahawa perceraian yang sah hanya boleh berlaku di mahkamah. Peruntukan ini dibuat atas prinsip maslahah mursalah (kepentingan awam)dengan mentafsirkan bahawa hanya para hakim sahaja kini layak menjadi saksi yang adil dalam hal perceraian.

Oleh kerana perceraian dianggap sebagai hak mutlak pihak suami, pihak isteri sering menghadapi berbagai kesulitan, dan perlu melalui proses perceraian yang panjang lebar dan memakan belanja yang besar jika dia membuat permohonan perceraian dalam kes di mana pihak suami enggan memberi persetujuan bagi perceraian itu.

Malah, sebelum keputusan membenarkan lafaz talaq melaui SMS pun, satu masalah yang sering disuarakan ialah pihak suami terlalu mudah dan cepat menceraikan isteri, manakala pihak isteri pula menghadapi berbagai halangan dan rintangan apabila membuat permohonan perceraian. Misalnya, dalam kes Aida Melly, dia mengambil masa lebih tujuh tahun untuk mendapat perintah perceraian, walaupun surat ta’liq memperuntukkan bahawa dia berhak mendapat perceraian sekiranya suami gagal memberi nafkah selama tempoh empat bulan.

Oleh kerana tempoh prosiding perceraian begitu membebankan dan mengambil masa yang lama sekiranya suami membantah permohonan isteri, terdapat banyak kes di mana para isteri melepaskan hak kewangannya bagi memperolehi persetujuan suami bagi perceraian itu, walaupun sebenarnya isteri mempunyai alasan yang kukuh untuk mendapat perceraian. Mahkamah sepatutnya lebih sensitif kepada situasi sedemikian, dan perlulah memastikan bahawa penyelesaian kewangan dalam kes perceraian tidak membawa ketakadilan ke atas bekas isteri dan anak-anak.

Sekiranya diterima bahawa aqad nikah atau perkahwinan adalah berbentuk seperti kontrak, patutlah diiktiraf bahawa kedua-dua pihak hendaklah mempunyai hak samarata dalam soal perceraian. Hak mutlak bagi satu pihak sahaja bertentangan dengan prinsip kontrak yang memerlukan persetujuan kedua-dua pihak  semasa pembentukannya. Ulama’ fiqh Islam pada zaman dahulu pernah juga membincangkan mengenai konsep perceraian melalui persetujuan bersama

(mubara’at). Konsep ini sepatutnya diutarakan sebagai cara yang paling baik (ihsan) dalam soal perceraian, iaitu penyelesaian yang dicapai dengan adil dan tanpa permusuhan di antara kedua-dua pihak. Undang-undang keluarga Islam di Tunisia misalnya mengadakan peruntukan bagi perceraian melalui tiga cara – melalui persetujuan bersama, melalui permohonan satu pihak yang mempunyai alasan yang kukuh, atau melalui permohonan satu pihak dengan membayar pampasan kepada pihak yang satu lagi. Kalaupun prosedur yang begitu cepat seperti SMS hendak diterima, ia sepatutnya hanyalah terpakai bagi kes-kes perceraian melalui persetujuan bersama.

Asas bagi memberi hak samarata kepada suami dan isteri dalam soal perceraian boleh dilihat dalam Surah an-Nisa’ 4 : 35 yang menyatakan: “jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri), maka lantiklah hakam, seorang dari pihak lelaki dan seorang dari pihak perempuan …”. Malangnya, pelaksanaan peruntukan mengenai hakam kini membawa lebih beban lagi ke atas pihak isteri, yang terpaksa melalui proses pendamaian dan timbangtara yang panjang lebar walaupun dia mempunyai alasan kukuh untuk mendapat perceraian, manakala pihak suami pula sewenang-wenangnya menceraikan isteri tanpa apa-apa alasan atau dengan alasan yang begitu remeh sekalipun, tanpa perlu melalui apa-apa proses sedemikian.

Hukum fiqh Islam dan pentafsiran para ulama’ telah melalui perkembangan zaman, dan memanglah patut bahawa perubahan hal-keadaan dan perkembangan zaman moden, termasuk kemajuan sains dan teknologi, diambilkira bagi kes-kes masakini. Namun demikian, Sisters in Islam berasa hairan kenapa pihak berkuasa kita begitu cepat sekali menerima pemakaian teknologi moden dalam hal yang memberi kesempatan kepada pihak lelaki, dan begitu keberatan menerima kemajuan sains dan teknologi dalam hal yang boleh memberi manfaat kepada pihak wanita dan kanak-kanak, misalnya mengenai ujian DNA dalam menentukan  bapa kepada anak.

Sisters in Islam
29 Julai 2003

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email