
Date: 8 JULAI 2026
UNTUK SIARAN SEGERA
SIS Forum (Malaysia) menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan Malaysia memperkukuh pengetahuan masyarakat mengenai kesihatan reproduktif susulan daripada dapatan kajian nasional yang menunjukkan kurang daripada separuh wanita mengetahui bahawa pengguguran terapeutik dibenarkan di Malaysia dalam keadaan tertentu.
Kajian nasional terbaharu SIS Forum (Malaysia), Autonomi Tubuh Badan di Malaysia: Persepsi dan Pengalaman Merentasi Peringkat Kehidupan Wanita, mendapati tahap pengetahuan mengenai undang-undang pengguguran di Malaysia masih rendah. Kurang daripada separuh wanita (45%) mengetahui bahawa pengguguran terapeutik dibenarkan di Malaysia dalam keadaan tertentu, manakala seorang daripada lima wanita (21%) percaya bahawa pengguguran adalah salah di sisi undang-undang dalam apa jua keadaan. Dapatan ini menunjukkan bahawa masih terdapat jurang yang ketara dalam pengetahuan masyarakat mengenai kesihatan reproduktif dan hak wanita di sisi undang-undang.
Dalam konteks ini, kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat bahawa pengguguran adalah salah di sisi undang-undang tidak memberi gambaran yang betul tentang status pengguguran di bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan. Kenyataan yang dibuat di Parlimen mempunyai pengaruh yang besar tentang apa yang difahami oleh masyarakat. Oleh itu, maklumat yang disampaikan mestilah membantu meningkatkan pengetahuan terhadap undang-undang, bukannya mengukuhkan salah faham yang sedia wujud.
Salah faham mengenai undang-undang membawa kesan yang besar. Wanita yang tidak mengetahui hak mereka di sisi undang-undang mungkin menangguhkan atau tidak mendapatkan nasihat perubatan, salah memilih rawatan yang sedia ada, atau merasakan mereka tidak mempunyai pilihan yang dibenarkan di sisi undang-undang, sedangkan undang-undang Malaysia ada menyediakan peruntukan untuknya. Justeru, capaian kepada maklumat yang tepat merupakan asas kepada seseorang untuk membuat keputusan yang dipandu oleh maklumat serta berupaya untuk melaksanakan hak dan perlindungan yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Isu ini bukanlah sesuatu yang baharu. Laporan Issues of Safe Abortions in Malaysia: Reproductive Rights and Choice yang diterbitkan pada tahun 2013 mendapati 22.4% pelajar perubatan tidak mengetahui bahawa pengguguran dibenarkan dalam keadaan tertentu. Bergantung kepada universiti yang dikaji, antara 17% hingga 30% pula percaya bahawa pengguguran adalah salah di sisi undang-undang dalam apa jua keadaan. Walaupun 94.5% mengetahui bahawa pengguguran dibenarkan bagi menyelamatkan nyawa wanita, hanya 64.2% mengetahui bahawa ia juga dibenarkan jika meneruskan kehamilan boleh memudaratkan kesihatan fizikal wanita, manakala hanya 47.3% tahu bahawa risiko terhadap kesihatan mental juga boleh menjadi alasan yang sah kepada pengguguran di sisi undang-undang. Lebih sedekad kemudian, dapatan kajian terbaharu SIS Forum (Malaysia) mengesahkan bahawa salah faham mengenai undang-undang pengguguran ini masih berterusan.
Kedudukan undang-undang di Malaysia adalah jelas. Seksyen 312 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa seorang pengamal perubatan berdaftar boleh menamatkan kehamilan dengan niat baik (in good faith) sekiranya beliau berpendapat bahawa meneruskan kehamilan akan mendatangkan risiko yang lebih besar kepada nyawa wanita yang hamil atau memudaratkan kesihatan fizikal atau mentalnya. Kedudukan undang-undang ini turut dijelaskan dalam Garis Panduan Menamatkan Kehamilan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Perbincangan mengenai kesihatan reproduktif juga perlu mengambil kira kepelbagaian pandangan dalam perundangan Islam. Penerbitan Islam and Family Planning, 2001 oleh Sisters in Islam (kini SIS Forum (Malaysia)) dengan kerjasama Persatuan Perancangan Keluarga Kelantan menjelaskan bahawa fikah Islam tidak mengangkat satu hukum mutlak mengenai pengguguran. Terdapat persetujuan umum dalam kalangan ahli fikah bahawa pengguguran dibenarkan apabila kehamilan mengancam nyawa wanita. Pandangan ulama berbeza mengenai keharusannya seperti sebelum kandungan berusia 120 hari dalam keadaan tertentu. Justeru, perbincangan umum mengenai kesihatan reproduktif haruslah mencerminkan kedudukan undang-undang serta kepelbagaian pendapat dalam tradisi perundangan Islam dan tidak menggambarkan hukum ini sebagai satu larangan mutlak.
Sehubungan itu, SIS Forum (Malaysia) menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memperkukuh pengetahuan masyarakat mengenai kesihatan reproduktif melalui penyampaian maklumat yang jelas, tepat dari sudut undang-undang serta berasaskan bukti dan fakta perubatan. Usaha ini perlu merangkumi penyediaan maklumat yang mudah dicapai oleh orang awam, panduan kepada Ahli Parlimen dan penyedia perkhidmatan kesihatan, serta inisiatif pendidikan awam supaya perbincangan mengenai kesihatan reproduktif sentiasa berpandukan kepada undang-undang Malaysia, bukti perubatan dan pemahaman yang menyeluruh terhadap kepelbagaian pendapat dalam fikah perundangan Islam.
Seperti yang ditegaskan oleh SIS Forum (Malaysia) dalam forum Autonomi Tubuh Badan baru-baru ini, meningkatkan capaian wanita kepada maklumat yang tepat perlu dilihat sebagai satu keutamaan dasar awam. Institusi awam bukan sahaja bertanggungjawab menggubal dasar, malah memastikan masyarakat memahami dasar itu dan undang-undang yang berkuat kuasa. Peranan kerajaan bukan sekadar menangani isu kesihatan awam, tetapi juga mendidik masyarakat. Wanita hanya dapat membuat keputusan yang wajar apabila mereka mempunyai capaian kepada maklumat yang tepat, dan berasaskan bukti, mengenai kesihatan mereka serta hak yang diperuntukkan di bawah undang-undang Malaysia.
*****
Mengenai SIS Forum (Malaysia)
SIS Forum (Malaysia) ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang komited dalam memperjuangkan keadilan, kesaksamaan, kebebasan dan kemuliaan insan dalam Islam serta memajukan hak-hak wanita Muslim melalui advokasi undang-undang, pendidikan awam, penyelidikan dan penglibatan dasar. Melalui perkhidmatan nasihat guamannya, Telenisa, yang ditubuhkan pada tahun 2003, SIS Forum (Malaysia) telah menyediakan maklumat dan sokongan kepada wanita Muslim yang berdepan isu undang-undang keluarga Islam dan capaian kepada keadilan selama lebih 20 tahun.
*****
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Ameena Siddiqi – Pengurus Komunikasi
SIS Forum (Malaysia)
No.4, Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA