No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Pelantikan Hakim Wanita Ke Arah Mahkamah Syariah Lebih Adil Gender

Sisters in Islam (SIS) mengalu-alukan pelantikan dua hakim wanita di Mahkamah Tinggi Syariah yang bersejarah dan juga pelantikan tujuh lagi hakim wanita di Mahkamah Rendah Syariah di Selangor. SIS melihat pelantikan hakim wanita ini sebagai titik permulaan Mahkamah Syariah ke arah penambahbaikkan pentadbiran untuk lebih adil gender.

Pelantikan wanita sebagai hakim di Mahkamah Tinggi Syariah adalah selaras dengan prinsip kesetaraan yang disebut dalam al-Quran, surah at-Taubah (9:71) yang menyatakan bahawa lelaki dan wanita adalah awliyya (pelindung atau penjaga) antara satu sama lain. Terdapat juga beberapa pandangan peribadi ahli fiqah seperti at-Tabari dan Ibn Hazm yang menyatakan bahawa asalkan wanita mempunyai kelayakan yang diperlukan, mereka boleh menjadi hakim bagi semua jenis kes, tanpa sebarang pengecualian.

Pada zaman di mana bilangan wanita menuntut pendidikan tinggi semakin meningkat dan wanita juga sudah mempunyai kelayakan sama taraf dengan lelaki untuk memimpin, sudah tiba masanya untuk Malaysia melantik hakim wanita di Mahkamah Tinggi Syariah.

Tambahan itu, pelantikan bersejarah ini juga menunjukkan komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), terutama sekali Artikel 7(b) yang menuntut kerajaan untuk memastikan bahawa wanita turut serta dalam penggubalan dasar-dasar kerajaan dan pelaksanaannya, serta memegang jawatan awam dan melaksanakan semua tugasan awam pada setiap peringkat kerajaan.

Sisters in Islam
28 Jun 2016

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email