No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Pakaian dan Wanita Islam

Pakaian dan Wanita Islam

Masalah pakaian wanita memang selalu merupakan perkara yang penting dalam perlaksanaan Syari’ah Islam, baik di negara ini mahupun di luar negeri. Malah ada pihak-pihak tertentu secara berlebih-lebihan menganggap cara berpakaian tertentu itu mencerminkan iman seseorang.

Salah satu kesan obsesi yang demikian itu adalah banyaknya usaha yang dilakukan bagi menguatkuasakan keimanan melalui cara-cara kuku besi. Paksaan bercanggah dengan semangat al-Qur’an yang menyatakan bahawa tidak terdapat paksaan di dalam agama (Surah al-Baqarah, 2:256; Surah Yunus, 10:99-100; Surah al-Ghashiyah, 88:22).

Kaum wanita telah diberitahu bahawa suatu cara berpakaian yang tertentu akan melindungi mereka dari kejahatan. Namun hakikat sosial menunjukkan bahawa cara berpakaian tidaklah mampu melindungi kaum wanita dari keganasan nafsu lelaki.

Sebenarnya bagi perlindungan kemuliaan kaum wanita, al-Qur’an (Surah an-Nur, 24:30-31) terlebih dahulu memerintah kaum lelaki, jika mereka beriman, supaya merendahkan pandangan mereka, demi menjaga kesopanan diri sendiri. Namun sejumlah kaum lelaki tidak mengendahkan tanggungjawab ini, dan sebaliknya memaksa kaum wanita supaya memakai berbagai bentuk pakaian yang menyelubungi tubuh mereka – dari hujung rambut hingga ke hujung kaki- dan pelbagai bentuk pengasingan dan pingitan. Kepada wanita telah diberikan tangggungjawab membendung nafsu kaum lelaki dan segala kemungkinan tidak upayanya pihak lelaki mengawal nafsu masing-masing.

Oleh yang demikian, kenyataan-kenyataan vang dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan telah memindahkan tanggungjawab menjaga kesopanan akhlak dari kaum lelaki. Sebaliknya, yang lebih diberatkan adalah jumlah kain yang perlu untuk menutup tubuh wanita, sama ada mereka beragama Islam atau tidak, supaya dapat meneruskan aturan akhlak yang menurut mereka telah ditentukan oleh Islam.

Al- Qur’an dan Sunnah menyeru supaya wanita diberi layanan yang mulia dan penuh kehormatan. Layanan sebegitu harus dipraktikkan terlebih dulu oleh lelaki yang beriman, yang menjadi sasaran ayat-ayat yang telah disebutkan di atas. Namun demikian, perintah ini diabaikan bukan berasaskan tujuan al-Qu’ran dan Sunnah, tetapi kerana kaum lelaki yang berkuasa. Kerana enggan mematuhi tanggungjawab sendiri untuk merendahkan pandangan dan melindungi kesopanan sendiri, sebahagian kaum lelaki mahukan semua wanita berselubung setiap kali meninggalkan rumah. 2

Dalam kebanyakan masyarakat Islam, kaum lelaki menguasai kaum wanita, baik dari segi politik mahupun sosial, dan penguasaan ini telah disalah tanggap sebagai kuasa yang halal.

Institusi-institusi telah dibentuk bagi menyokong dan mengukuhkan lagi prasangka-prasangka kaum lelaki tersebut. Ini membolehkan mereka mengelakkan tanggungjawab mereka sendiri terhadap Allah swt dan terhadap umat manusia amnya.

Sungguhnya, prasangka-prasangka ini telah diajukan seolah-olah seperti perintah dari Allah swt sendiri.

Dalam gerakan kebangkitan semula Islam, isu pakaian wanita telah diberi keutamaan, mengatasi isu-isu sosial yang lain. Kesopanan dan keimanan wanita Islam itu kononnya dapat dikenali semata-mata berasaskan panjang kain yang membaluti tubuhnya.

Meskipun pakaian merupakan sebahagian dari identiti dan lambang kebudayaan, namun hak seseorang wanita untuk menentukan sendiri bentuk pakaiannya langsung tidak dihormati.

Sungguhpun Islam bertujuan mencapai taraf akhlak yang tertentu (antara lain termasuklah soal pakaian), namun gerakan kebangkitan Islam mengenepikan segala yang lain itu, dalam keghairahan mereka terhadap tubuh wanita dan kedudukan sosial mereka sendiri.

Jika wanita digalakkan memahami sepenuhnya ayat-ayat al-Qur’an dan hadith-hadith mengenai persoalan pakaian dan isu-isu kesopanan yang berkenaan, seperti zinat (perhiasan) dan tabarraj (menunjukkan kecantikan dan perhiasan), maka mereka tentulah akan mampu membuat pilihan sendiri berdasarkan keimanan mereka sendiri, dan bukan kerana paksaan politik atau institusi.

Wanita-wanita Islam harus memilih pakaian mereka berasaskan iman. Pilihan yang dipaksakan tidaklah suatu tindakan yang berasas moral. Sebenarnya, pemaksaan yang sedemikian bercanggah dengan semangat kebebasan dalam Islam, yang berasaskan akal fikiran dan kebebasan sebagai asas pegangan akhlak manusia.

Memaksakan satu pilihan terhadap kaum muslimat – yakni pilihan kaum lelaki – sehingga mereka tidak langsung mempunyai pilihan sendiri, bererti mencabul perkembangan iman mereka yang lahir dari kesedaran sendiri.

Paksaan menafikan keperibadian diri kaum wanita, hak mereka untuk penyertaan sosial sepenuhnya, malah kewujudan mereka sebagai sebahagian daripada ciptaan Allah swt, sebagai individu yang dicipta dengan hak-hak 3

istimewa yang tidak boleh dipisahkan, sebagai manusia yang mampu berfikir dan membuat perhitungan sendiri.

Sisters in Islam
Kuala Lumpur
11 November 1991

Surat ini telah diterbitkan dalam Utusan Malaysia dan The New Straits Times.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email