Akta Keganasan Rumahtangga Dan Percanggahan Bidangkuasa

Merujuk kepada surat Dr. Rahmah Hashim, Ketua Biro Hal Ehwal Wanita, Angkatan Belia Islam Malaysia (New Straits Times, 11 Mei 1996), kami ingin membuat keyataan berikut:

Tentangan yang terdapat terhadap Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (AKR) nampaknya berkisar di sekeliling persoalan percanggahan bidangkuasa di antara Mahkamah Syari’ah dan Mahkamah Sivil. Telah berkali-kali dinyatakan bahawa keganasan rumahtangga bukan hal kekeluargaan, tetapi ianya adalah satu jenayah. Oleh yang demikian percanggahan bidangkuasa tidak timbul kerana jenayah terhadap tubuh orang lain adalah tertakluk di bawah bidangkuasa Kanun Keseksaan Negara yang merupakan undang-undang Persekutuan, ditadbir oleh Mahkamah Sivil. (Sisters In Islam, NST, 16 Mac 1996). Jika pendapat yang menentang kegunaan AKR ke atas orang Islam diterimapakai, arus pemikiran ini boleh dibawa sehingga diterima pula bahawa pembunuhan dan rogol yang dilakukan ke atas anggota keluarga adalah masalah kekeluargaan dan dengan itu berada di bawah bidangkuasa Undang-undang Keluarga Islam setiap negeri.

Kami bimbang bahawa keasyikan dengan masalah bidangkuasa ini akan mengelirukan isu sebenar yang mesti kita tangani: perlunya menyediakan cara melalui mana mangsa keganasan yang diabaikan oleh sistem perundangan negara sekarang ini dapat memperolehi keadilan. Kempen memperjuangkan AKR bertujuan untuk mengemukakan kelemahan dan ketidakadilan terhadap wanita dalam usaha mereka mencari penyelesaian di bawah sistem yang ada sekarang, samada di bawah sistem Sivil mahu pun Syari’ah. Kempen supaya semua warga Malaysia tertakluk di bawah hanya satu undang-undang timbul dari pengalaman wanita yang telah mencari perlindungan, kauseling dan bantuan dari pusat-pusat krisis dan talian kecemasan pengendalian beberapa pertubuhan di negara ini, terutamanya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Akta ini merupakan satu pencapaian istimewa kerana ia adalah satu-satunya undang-undang di mana proses perundingan telah melibatkan kedua-dua pihak berkuasa dan mangsa keganasan serta badan-badan bantuan mereka. Kempen AKR telah bermula pada 1985 dan rundingan bagi perundangan berkenaan, yang bermula pada 1989, memakan masa selama lima tahun, kerana semua isu-isu mengenai percanggahan bidangkuasa telah diteliti dengan rapi oleh semua pihak yang terlibat.

Kami bersetuju bahawa keperluan mempertingkatkan taraf Mahkamah Syariah dan memperbaiki pentadbiran undang-undang Islam di negara ini sepatutnya dilakukan dahulu lagi.Tetapi perbahasan mengenai percanggahan bidangkuasa di antara Mahkamah Sivil dan Syariah serta langkah bagi menguatkan lagi kuasa Mahkamah-mahkamah Syariah seharusnya diasingkan dari perbahasan mengenai penguatkuasaaan AKR. Akta ini dan wanita Islam tidak seharusnya dijadikan mangsa, sekali lagi, dalam usaha berbagai pihak memperjuangkan pengaruh. Kami percaya bahawa Mahkamah-mahkamah Sivil, dalam menegakkan keadilan, tidak kurang keIslamannya. Meletakkan AKR di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil tidak akan mengecilkan kelebihan sistem Syariah. Ini bukan isunya di sini. Sebaliknya, apa yang kami paling khuatiri adalah masalah genting mengenai keganasan rumahtangga yang mesti ditangani sekarang juga. Kini alatnya sudah dalam genggaman kita, jadi penguatkuasaan perundangan yang telah lama ditunggu ini tidak sepatutnya dilengah-lengahkan lagi.

Mereka yang bertugas di bidang wanita dalam krisis sering dihadapi dengan berbagai aduan dari wanita-wanita yang sedang berusaha mendapatkan pengadilan dari sistem Mahkamah Syariah. Sungguh pun kami akui bahawa bukan semuanya pegawai mahkamah dan jabatan agama bersikap tidak adil atau tidak peka kepada masalah wanita, tetapi gambaran menyeluruh yang timbul dari aduan-aduan yang sudah lama dipendam ini adalah bahawa disebabkan oleh sikap prejudis yang tertanam dalam penguatkuasaan undang-undang, wanita sering tidak diberi hak mereka dan keadilan yang sememangnya termaktub di dalam undang-undang negeri.

Dalam banyak kes yang ditangani oleh pusat-pusat perlindungan dan krisis, dalam penemuan penyelidikan, dan dalam cerita-cerita yang diadukan, wanita Islam mangsa keganasan melaporkan bahawa pegawai-pegawai agama sering menasihati mereka supaya “pulang ke rumah dan bersabar” apabila mereka membuat aduan mengenai keganasan rumahtangga. Ramai pula yang telah diberitahu bahawa adalah satu dosa bagi wanita Islam meminta cerai walaupun terdapat beberapa sebab di bawah undang-undang Syariah yang membolehkan wanita meminta diceraikan.

Mereka diseksa oleh kelengahan berpanjangan serta tidak menentu dalam sistem yang ada sekarang. Mereka dimalukan dan ditakutkan oleh pegawai agama yang bertanggungjawab melayani mereka yang dipertanggungkan, baik dari segi undang-undang mahupun keimanan, untuk menetukan supaya keadilan tercapai. Dalam keadaan yang paling buruk, terdapat wanita yang terdesak hingga sanggup mempertimbangkan kemungkinan meninggalkan Islam supaya mereka dapat dihakimi oleh Mahkamah Sivil – dan dengan ini mendedahkan diri mereka kepada tuduhan murtad dibawah undang-undang Syariah negeri.

Oleh yang demikian kami menggesa supaya langkah untuk memperbaiki dan menambah lagi bidangkuasa Mahkamah Syariah tidak seharusnya dihadkan hanya kepada perkara-perkara perundangan yang teknikal sahaja. Dan juga jangan pula perbincangan yang diadakan dan keputusan yang diambil terapong-apong di awan oleh kerana ianya terbatas kepada para akademik, pihak berkuasa agama dan para peguam sahaja. Perhitungan utama dalam langkah seperti ini semestinyalah keadilan: Bagaimana pemerintahan undang-undang Syariah dapat membawa keadilan kepada mereka yang dilindungi olehnya?

Sementara itu, terdapat keperluan mendesak untuk mengkaji semula cara bagaimana penguatkuasaan Undang-undang Keluarga Islam menjejas kehidupan wanita. Kami menggesa supaya pihak berkuasa menjalankan penyelidikan untuk mengenalpasti sikap pilih kasih yang merugikan wanita dalam pentadbiran undang-undang Syariah, terutamanya untuk mengkaji semula penanganan kes-kes yang dihadapkan ke jabatan agama dan meneliti hukuman-hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah. Penemuan permulaan dari penyelidikan yang masih berterusan mengenai posidur pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam telah mendapati bahawa sebahagian besar daripada mereka yang memfail permohonan pengadilan di bawah sistem Syariah adalah wanita, sementara lelaki menggunakan sistem ini kebanyakannya untuk membayar denda dan mendaftar perkahwinan poligami mereka yang dilakukan diluar peruntukkan undang-undang.

Sebahagian besar daripada wanita juga terpaksa turun-naik mahkamah berkali-kali sebelum apa-apa tindakan diambil. Penyelidikan yang sama mendapati juga bahawa suami yang didakwa jarang sekali menghadiri kauseling di jabatan agama sungguh pun kehadirannya dituntut dari segi undang-undang dan dengan itu menyebabkan isterinya lebih terseksa. Isterinya ini pula sering didesak untuk menarik balik permohonan perceraiannya dan disuruh pulang rumah sebagai isteri yang ta’at dan sabar. Keadilan tidak mungkin dicapai apabila wanita tidak diberi hak-haknya disisi undang-undang kerana sangka buruk masyarakat. Apa yang sangat-sangat diperlukan di sini adalah latihan kesedaran gender untuk para hakim dan pegawai-pegawai agama, lelaki dan wanita, supaya mereka lebih peka terhadap keperluan dan keadaan istimewa warganegara yang memerlukan perkhidmatan mereka. Terdapat juga keperluan mendesak untuk memperbaiki kemudahan bantuan undang-undang di Mahkamah Syariah bagi menolong wanita mendapatkan hak mereka disisi undang-undang.

Kami menyokong penuh seruan Dr. Rahmah supaya Mahkamah Syariah dipusatkan menjadi satu sistem persekutuan untuk membolehkan penguatkuasaan undang-undang Islam secara sama dan teratur. Seruan ini telah pun dibuat oleh beberapa orang tokoh berkuasa, termasuklah Perdana Menteri, Ketua Pengarah Pusat Islam dan Ketua Pengarah IKIM (Institiut Kefahaman Islam Malaysia). Kami berharap Kerajaan Pusat akan mempunyai daya politik yang cukup untuk menguatkuasakan seruan ini secepat mungkin sebagai langkah pertama dalam menyediakan kepada seluruh ummah taraf keadilan yang saksama.

Sisters in Islam
Kuala Lumpur
18 May 1996

Surat ini telah diterbitkan dalam The New Straits Times.

Please follow and like us:
X