No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Menantu Nabi Bukan Islam Yang Baik Hati

Penulis Asal Artikel: Dr. Faqihuddin Abdul Kodir di laman sesawang Mubadalah.id (Indonesia) https://mubadalah.id/menantu-nabi-yang-baik-hati-meski-terlambat-masuk-islam/

Diterjemah oleh: Sisters in Islam (SIS) 

Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra. merupakan menantu bukan Islam dan tetap menjadi suami yang sah kepada anak perempuan Nabi Muhammad SAW. Nabi selalu bersikap baik kepadanya, malah memberi pujian dan penghargaan atas akhlaknya yang baik dan kesetiaan terhadap isterinya. 

Bersama Khadijah Ra., Nabi Muhammad SAW. mempunyai empat anak perempuan: Zainab Ra., Ruqayah Ra., Ummu Kultsum Ra., dan Fatimah Ra. Atas permintaan Khadijah Ra., anak perempuan pertama Nabi, Zainab Ra., berkahwin dengan menantu Rasulullah iaitu Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra. Beliau adalah anak kepada Halah binti Khuwailid iaitu adik-beradik kandung Khadijah Ra. atau makcik kepada Zainab Ra. 

Nabi bersetuju dengan permintaan Khadijah Ra., dan mereka berdua pun telah bernikah. Bersama Zainab Ra., menantu Nabi, Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra. mempunyai seorang anak perempuan bernama Umamah Ra., yang sering dibawa dan digendong oleh nabi, termasuk ketika bersolat di masjid (Shahih al-Bukhari, hadis nombor 515).

Ketika Nabi Muhammad SAW memperoleh wahyu dan diutus menjadi Rasul, Zainab Ra. telah beriman dan masuk Islam, sedangkan suaminya memilih untuk kekal dengan agama nenek moyangnya. Nabi tidak meminta mereka untuk bercerai walaupun mereka berbeza agama.

Namun, Nabi meminta dua anak perempuannya yang lain iaitu Ruqayah Ra. dan Ummu Kultsum Ra. untuk bercerai dengan suami mereka, Utbah dan Utaibah yang merupakan anak Abu Lahab kerana selalu memusuhi, menghina, malah melakukan kekerasan kepada Baginda dan umat Islam. Menantu Nabi, Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra., walaupun masih musyrik tetapi tetap baik kepada Nabi Muhammad SAW, bapa mertuanya dan kepada seluruh umat Islam.

Nabi Muhammad SAW membiarkan Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra dengan isterinya Zainab Ra., yang sudah masuk Islam. Nabi tetap membiarkan kedua-dua mereka kekal sebagai suami isteri dalam satu rumah tangga.

Provokasi Abu Lahab 

Pakcik Nabi Muhammad SAW sendiri iaitu Abu Lahab pernah melakukan provokasi kepada Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra. untuk menceraikan Zainab Ra. 

“Ceraikanlah anak perempuan Muhammad SAW itu, dan aku boleh mencarikan pengganti untukmu, isteri yang lebih mulia dan lebih cantik darinya,” kata Abu Lahab.

“Tidak, dengan nama Allah swt, aku tidak akan sekalipun menceraikan isteriku. Tiada seorang perempuan pun yang paling aku cintai di kalangan kaum Quraisy ini selain dia” jawab Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra.

Menurut Al-Miswar bin Makhramah Ra., Nabi Muhammad Saw. memuji sikap menantu beliau ini.

Ketika Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, Zainab Ra. tidak mengikut baginda. Beliau masih tinggal serumah dengan suaminya yang masih belum memeluk agama Islam. Ketika suaminya ikut berperang di kalangan barisan orang-orang Quraisy yang menentang Nabi Muhammad SAW sewaktu Perang Badar, suaminya telah ditangkap dan dibawa ke Madinah.

Zainab Ra., mengirimkan kalungnya dari Makkah ke Madinah sebagai tebusan buat suaminya, agar Nabi Muhammad SAW dapat melepaskan Suaminya untuk kembali ke Makkah. Sebaik sahaja kalung tebusan tersebut sampai ke Madinah, baginda menangis terharu. Kalung tersebut mengingatkan baginda akan Khadijah Ra. Hal ini adalah kerana, kalung tebusan tersebut adalah kalung kepunyaan Khadijah Ra. yang diberi oleh kepada anak perempuannya. 

Nabi Muhammad SAW membebaskan menantunya

Nabi Muhammad SAW membebaskan Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra. tanpa menerima kalung tersebut sebagai tebusan tetapi menetapkan syarat bahawa menantunya harus menghantar anak perempuan baginda, Zainab Ra. berhijrah dari Makkah ke Madinah. Beliau menerima syarat tersebut. Sebaik sahaja beliau sampai ke Makkah, beliau segera bersiap-siap untuk menghantar isterinya, Zainab Ra. untuk pergi bersama dengan ayahandanya, baginda Nabi Muhammad SAW di Madinah.

Ketika Zainab Ra. tiba di Madinah, Nabi Muhammad sekali lagi berasa terharu dan memuji sikap menantu beliau. Meskipun menantunya pada waktu itu masih belum beriman, menantu baginda kembali ke Makkah, tidak menceraikan Zainab Ra. dan tidak berkahwin dengan perempuan lain. Nabi bersabda mengenai menantu beliau itu:

“Dialah lelaki yang jika berbicara denganku selalu jujur, dan jika berjanji dia akan tepati.” (Hadith Riwayat Bukhari, hadis nombor 3147).

Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra. ialah seorang pedagang yang berdagang di antara Makkah dan Syam (Syria). Beberapa bulan sebelum Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah, tahun ke-8 Hijrah), berlakunya pertembungan senjata antara rombongannya dengan tentera umat Islam. Beliau telah lari dan menyembunyikan diri. Tetapi, hartanya telah dirampas dan dibawa ke Madinah.

Pada waktu malam, Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra. telah menyelinap masuk ke dalam rumah Zainab Ra. Apabila Zainab Ra. mengetahui perkara tersebut, beliau terus menyatakan, “Aku memberi suaka perlindungan kepada Abul ‘Ash. Kalian harus melindunginya.”

Perlindungan Zainab 

Setelah mendengar pernyataan Zainab Ra. yang memberi perlindungan kepada suaminya, Nabi Muhammad SAW bersetuju dan menyatakan: “Setiap umat Islam, serendah-rendah umat sekalipun, boleh dan sah diberikan suaka perlindungan, dan ianya harus dihormati.”

Bermaksud kenyataan Zainab Ra. adalah sah dan mesti dihormati. Oleh itu, Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra. juga dapat berlindung dengan selamat dan tidak boleh dicederakan. Harta yang dirampas oleh mereka dipulangkan semula kepadanya. Selepas semua hak dan kewajipan mengenai hartanya telah dipenuhi, menantu Nabi Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra. telah memeluk Islam dengan melafazkan dua kalimah syahadah.

Peristiwa ini berlaku hanya beberapa bulan sebelum Fathu Makkah. Hampir 19 tahun dari mula Nabi Muhammad SAW. menerima wahyu, Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra. menjadi menantu bukan Islam dan kekal sebagai suami yang sah kepada anak perempuan Nabi Muhammad SAW. Nabi selalu bersikap baik terhadapnya, malahan memberi pujian dan penghargaan atas kebaikan akhlaknya dan kesetiannya kepada isterinya.

عن الْمِسْوَرِ بْنِ مَخْرَمَةَ، قال: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَخْطُبُ النَّاسَ عَلَى مِنْبَرِهِ ثُمَّ ذَكَرَ صِهْرًا لَهُ مِنْ بَنِى عَبْدِ شَمْسٍ فَأَثْنَى عَلَيْهِ فِى مُصَاهَرَتِهِ إِيَّاهُ قَالَ حَدَّثَنِى فَصَدَقَنِى وَوَعَدَنِى فَوَفَى لِى.

“Dari Miswar bin Makhramah, ketika Rasulullah SAW berkhutbah di mimbar. Antaranya menceritakan tentang menantunya dari Abdusy Syams (bernama Abul ‘Ash bin ar-Rabi’). Nabi memujinya dalam hubungan pernikahan (menantu-mertua) yang dilakukannya kepada Nabi sambil bersabda; “Dia berkata jujur padaku dan memenuhi janjinya padaku.”  (HR. Bukhari, hadis nombor 3147).

Demikianlah, kejujuran dan amanah seorang menantu Rasulullah yang menjadi asas penerimaan dan pujian daripada Nabi Muhammad. Walaupun, Abul ‘Ash bin ar-Rabi’ Ra hidup sebagai seorang bukan Islam selama hampir 19 tahun dan menjadi Muslim pada zaman Nabi hanya selama empat tahun. Namun, beliau tetap mendapat penghargaan dari Nabi atas kebaikan akhlaknya, kejujuran dan amanahnya. Semua ini kerana akhlak adalah misi asas Nabi Muhammad SAW.

Penulis Asal Artikel: Dr. Faqihuddin Abdul Kodir di laman sesawang Mubadalah.id (Indonesia) https://mubadalah.id/menantu-nabi-yang-baik-hati-meski-terlambat-masuk-islam/

Diterjemah oleh: Sisters in Islam (SIS) 

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email