No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Menaikkan Had Umur Perkahwinan Langkah Positif tetapi Mempunyai Kelompongan

Kenyataan akhbar ini merupakan maklum balas mengenai kerajaan negeri Kedah yang telah menaikkan had umur berkahwin bagi perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun seperti yang dilaporkan di dalam Sinar Harian. Pautan: https://www.sinarharian.com.my/article/211862/EDISI/Kedah-naikkan-had-umur-kahwin-kepada-18-tahun?utm_source=Sinar+Harian&utm_medium=Twitter&utm_campaign=Kedah+naikkan+had+umur+kahwin+kepada+18+tahun (Tajuk:  Kedah naikkan had umur kahwin kepada 18 tahun)

Sisters in Islam (SIS) menyambut baik langkah Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang telah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam berkaitan had umur minima perkahwinan dan undang-undang poligami pada Sidang DUN Kedah pada hari Isnin, 18 Julai 2022. Pindaan tersebut termasuk menaikkan had umur berkahwin bagi perempuan Islam dari 16 tahun kepada 18 tahun.

Namun begitu, di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam ini, perempuan Islam di bawah usia 18 tahun masih lagi boleh berkahwin iaitu pada usia 16 tahun dengan keizinan Mahkamah Syariah Kedah. Ini bermaksud, perkahwinan kanak-kanak masih lagi boleh berlaku di negeri Kedah.

SIS mempersoalkan bagaimana pula dengan negeri-negeri lain? Bilakah mereka akan mengikut jejak langkah Kedah untuk menyokong menaikkan had umur minima berkahwin bagi perempuan Islam?

Walaupun undang-undang untuk mengawal perkahwinan kanak-kanak diperlukan, akan tetapi, langkah-langkah yang lebih menyeluruh perlu diambil untuk membantu dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang. Pemantauan berterusan perlu dijalankan terhadap anggota pendaftar dan pegawai yang bertanggungjawab ke atas pendaftaran dan tatacara perkahwinan supaya sasaran yang menyeluruh ke arah pemansuhan perkahwinan kanak-kanak boleh dicapai.

Selain itu, laporan data dan statistik perkahwinan kepada Dewan Undangan Negeri serta Parlimen juga harus dilakukan setiap tahun supaya usaha untuk menghentikan perkahwinan kanak-kanak ini dipantau secara serius terutama sekali dalam memenuhi 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).  Salah satu matlamat yang terkandung adalah Matlamat Kelima iaitu mencapai kesaksamaan gender dan memperkasa perempuan dan kanak-kanak perempuan. Antara tujuan-tujuan Matlamat Kelima adalah menghentikan segala bentuk diskriminasi terhadap perempuan dan kanak-kanak perempuan di mana sahaja; menghapuskan segala bentuk keganasan terhadap perempuan dan kanak-kanak di ruang awam dan peribadi, termasuklah pemerdagangan dan eskploitasi seksual dan lain-lain; menghapuskan semua amalan berbahaya seperti perkahwinan kanak-kanak, kahwin paksa dan juga sunat perempuan serta tujuan lain.

Kesedaran awam dan ibu bapa mengenai kesan-kesan negatif perkahwinan kanak-kanak juga mesti ditekankan agar masa hadapan anak-anak terjamin dengan mewajibkan mereka menghabiskan sesi persekolahan sehingga usia 17 tahun. Selain itu, antara langkah untuk menangani perkahwinan kanak-kanak termasuk meningkatkan keberkesanan perlindungan sosial dan bantuan sara hidup kepada isi rumah golongan B40; meningkatkan akses kepada pendidikan dan kehadiran ke sekolah melalui pembuatan dan pelaksanaan dasar, perundangan, program dan advokasi; dan menyediakan mekanisme dan platform membincangkan norma sosial dan stigma untuk pelbagai pihak terhadap isu-isu perkahwinan kanak-kanak.

Isu ini merupakan isu yang amat kritikal dan telah lama diperdebatkan di Malaysia. Walaupun negeri Kedah telah meminda Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam, namun begitu, tiada usaha yang bersungguh-sungguh untuk menaikkan umur minima perkahwinan kanak-kanak di peringkat Persekutuan.

SIS juga ingin mengingatkan pihak kerajaan bahawa Malaysia telah menandatangani Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Perempuan (CEDAW) pada tahun 1995 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) pada tahun 1994 untuk melindungi dan menjamin hak kanak-kanak dan perempuan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu komited dan mengambil serius tentang isu kritikal ini dengan melaksanakan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur yang telah dilancarkan pada tahun 2020 bagi menangani punca-punca perkahwinan kanak-kanak di peringkat akar umbi yang merangkumi tujuh objektif, 17 strategi dan 58 program serta tindakan bagi menangani punca-punca iu sehingga 2025[1]. Lebih merisaukan, sehingga kini, tiada sebarang kemajuan yang dilihat berkenaan isu ini. Oleh itu, SIS menggesa pihak KPWKM serta agensi berkaitan untuk mengambil langkah untuk menghalang perkahwinan kanak-kanak agar masa hadapan kanak-kanak terjamin.

******


[1] https://www.sinarharian.com.my/article/66191/BERITA/Nasional/Pelan-strategi-tangani-punca-perkahwinan-bawah-umur-dilancar

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email