No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

MEMORANDUM MENGENAI PEMBAHARUAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM MENGENAI POLIGAMI

Diserahkan Kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia

Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad

pada 11 Disember 1996

oleh Sisters in Islam and Persatuan Peguam-Peguam Wanita

Pendahuluan

Memandangkan polemik mengenai poligami yang masih kemelut di Malaysia dan memandangkan juga inisiatif kerajaan untuk memperkuat dan memperkukuhkan institusi keluarga dan nilai-nilai kekeluargaan, kami ingin menyarankan syor-syor bagi pindaan undang-undang dan peraturan-peraturan mengenai poligami di negara ini dengan hasrat memenuhi kehendak keadilan terhadap kaum wanita dan kanak-kanak seperti diperintah oleh AI-Quran.

Sekiranya institusi keluarga dianggap sebagai unit asas sesebuah masyarakat, maka apa yang biasanya dianggap sebagai hak-hak dan prerogatif lelaki Islam yang mana amalannya telah mengancam institusi perkahwinan dan keluarga, sepatutnya dinilai semula untuk memastikan bahawa “hak” ini tidak lagi membawa kemudaratan dan ketidakadilan kepada kaum wanita dan kanak-kanak.

Perbahasan berkenaan poligami kebelakangan ini telah berkali-kali menimbulkan tanggapan salah dan hujjah-hujjah yang berdasarkan tafsiran yang salah dari pihak yang mengajukan perkahwinan poligami.

Mereka yang mengajukan poligami telah mengemukakan hujjah-hujjah yang tidak dapat dipertahankan.

Pertama, telah diperkatakan bahawa poligami adalah “hak” setiap lelaki Islam dan sekiranya hak ini dicabar, ini bermakna bahawa seseorang itu mempertikaikan hukum Allah swt. Walau bagaimanapun, surah 4 ayat 3 AI-Ouran dengan jelasnya menunjukkan bahawa poligami itu bukanlah suatu hak mutlak kaum lelaki, sebaliknya ia adalah suatu tanggungjawab untuk menentukan bahawa keadilan sosial terhadap balu-balu dan anak yatim dapat dilaksanakan.

“Sekiranya kamu khuatir kamu tidak mampu berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka kahwinilah wanita-wanita pilihanmu, dua, atau tiga atau empat; akan tetapi sekiranya kamu khuatir kamu tidak dapat melayani mereka secara adil maka (kahwiniah) satu sahaja………. lni adalah lebih sesuai bagi mencegah kamu daripada melaku ketidakadilan.” (Surah AI-Nissa, Ayat 3, terjemahan kepada Bahasa lnggeris oleh Abdullah Yusuf Ali)

Penekanan AI-Quran mengenai keadilan disokong lagi dalam surat 4: 129 yang bermaksud:

“kamu tidak mampu berlaku adil di antara wanita, walaupun kamu bersungguh-sungguh berazam berbuat demikian……. (Surah AI-Nissa, Ayat 129)

Maksud dan semangat ayat Al-Ouran mengenai poligami, yang telah diperturunkan selepas terjadi Perang Uhud, menekankan kebajikan dan perlindungan kaum wanita dan kanak-kanak ekoran kematian berpuluh-puluh orang lelaki Islam dari masyarakat Islam yang baru didirikan.

Walaupun keadaan sedemikian, Allah swt. boleh merestui amalan poligami yang tidak terhad pada zaman itu, tetapi sebaliknya, Allah swt telah menghadkan amalan tersebut kepada 4 orang isteri sahaja.

Memandangkan bahawa ayat 4:3 menegaskan keadilan terhadap wanita dan layanan yang samarata bagi kesemua isteri dan dengan kesedaran bahawa keadaan demikian sukar tercapai (ayat 4: 129) ayat ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai mengajukan poligami. Ayat ini bukanlah merupakan suatu perintah Allah kepada kaum lelaki supaya mengamalkan poligami.

Ayat 4:3 sebenarnya mengajukan monogami sebagai sistem perkahwinan yang asal dan yang paling sempurna dalam Islam. Malahan ramai daripada para ulama di abad kesembilan belas seperti Sheikh Muhammed Abduh, Mufti negeri Mesir pada hujung abad kesembilan belas dan Sayyid Ahmad Khan dan Mumtaz Ali dari benua kecil India menganggap poligami hanya sebagai suatu institusi zaman lalu yang terpaksa diterima pada waktu itu dan yang mana dalam keadaan masa kini patut diketepikan untuk memberi laluan kepada institusi monogami yang dianggap sebagai ideal dalam AI-Quran. Abdullah Yusuf Ali, dalam ulasannya mengenai ayat ini juga menyatakan bahawa memandangkan syarat mengenai kesaksamaan dalam perkahwinan secara poligami adalah amat sukar dipenuhi, maka beliau memahami bahawa maksud ayat ini lebih cenderung terhadap monogami. Adalah diperhatikan bahawa dalam edisi terjemahan Al-Ouran oleh Abdullah Yusuf Ali yang disemak semula, pandangan beliau mengenai monogami telah dikeluarkan oleh pihak penerbit.

Dalam amalan poligami di negara ini, dan sokongan yang diberi oleh mereka yang mewakili pihak berkuasa ugama dan dalam pelaksanaan undang-undang, poligami seringkali dianggap sebagai hak mutlak kaum lelaki Islam. Sambil memberi alasan bahawa mereka hanyalah mengikut sunnah Nabi, pihak yang mengajukan poligami telah dengan sengaja gagal menekankan bahawa perkahwinan Rasullah s.a.w. dengan Siti
Khadijah r.a. adalah secara monogami dan perkahwinan ini telah kekal sehingga akhir hayat Siti Khadijah yang telah meninggal dunia 10 tahun selepas Muhammad diwahyukan oleh Allah s.w.t. sebagai Rasul. Juga, perkahwinan Rasullah s.a.w. selepas kematian Siti Khadijah adalah dengan balu-balu dan janda-janda dan perkahwinan-perkahwinan itu dilakukan atas sebab-sebab politik dan untuk menyatupadukan kaum-kaum yang berperang pada masa itu. lsteri Rasullah yang merupakan anak dara hanyalah Aishah dan perkahwinan itu pun dikehendaki oleh Allah s.w.t. Mereka yang menyarankan poligami juga telah gagal menyebut hadith yang diriwayatkan oleh lbn Majah yang menyatakan bahawa Rasullah s.a.w. tidak membenarkan Saidina Ali r.a. berkahwin dengan seorang lagi isteri “kecuali Ali fbn Abi Talib menceraikan anak aku (Fatimah), sebab dia adalah darah daging aku dan apa yang menyusahkan dan meresahkannya menyusah dan meresahkan aku juga dan apa yang memudaratkannya memudaratkan aku juga.”

Kedua, pihak-pihak yang menyarankan poligami seringkali menyatakan bahawa tiada sebarang nas dalam AI-Ouran atau Hadith yang mewajibkan seorang suami memperolehi keizinan pihak isteri sebelum ia berkahwin seorang lagi. Oleh yang demikian, suami tidak perlu berunding dengan isteri yang sedia ada. Sekiranya hujjah ini diterima bagaimanakah kita hendak menentukan perkahwinan poligami dapat memastikan keadilan sekiranya keizinan isteri yang sedia ada tidak diperolehi atau ianya tidak diberitahu terlebih dahulu tentang hajat suami untuk berpoligami. lsteri seolah-olah tidak ada hak langsung dalam perkahwinan itu.

Kitab suci AI-Quran adalah asas panduan kehidupan sepanjang zaman dan bagi semua kaum sejagat akan tetapi AI-Quran dan Sunnah tidak mengandungi peraturan yang terperinci bagi semua perkara kerana ini akan membataskan kesesuaian panduan AI-Quran terhadap peredaran zaman. Bagi mengatasi cabaran ini, para ulama telah mewujudkan prinsip al-siyasa al-syar’iyya, yang mengiktirafkan hak sesebuah kerajaan menggubal undang-undang dengan cara memilih mana-mana pendapat dari empat mazhab yang diterima oleh Islam, demi kepentingan ummah. lni boleh dilakukan dalam keadaan di mana tidak ada ayat yang khusus bagi sesuatu perkara samaada dalam AI-Ouran ataupun Hadith. Adalah satu hakikat bahawa kebanyakan fatwa-fatwa dalam Islam dibuat secara qiyas yaitu keputusan berdasarkan analogi perundangan yang dibuat oleh para ulama.

Berdasarkan prinsip al-siyasa al-syar’iyya ini, Kerajaan Persekutuan pada hujung 70an dan awal 80an telah melancarkan suatu program pembaharuan undang-undang keluarga Islam yang menakjubkan. Undang-undang yang diperbaharui ini telah memperkenalkan, antara lain, pembatasan poligami bagi memastikan bahawa suatu sistem yang adil sebagai dikehendaki
oleh AI-Ouran diwujudkan di negara ini. Di negara ini pelaksanaan konsep keadilan tersebut dalam undang-undang mengakibatkan keadaan di mana keputusan untuk berkahwin lebih daripada satu tidak lagi berada di tangan kaum lelaki. Pihak berkuasa negara yang menyandang tanggungjawab mentadbirkan keadilan kini diamanahkan dengan tugas agar meneliti permohonan untuk berpoligami bagi memastikan ianya memenuhi kehendak keadilan yang dimaksudkan oleh AI-Quran. Undang-undang keluarga Islam yang diperbaharui ini telah meletakkan 5 syarat supaya keadilan terlaksana. Keizinan isteri yang sedia ada adalah satu faktor yang perlu diambilkira oleh Mahkamah Syariah.

Walau bagaimanapun, adalah menjadi hakikat bahawa pelaksanaan undang-undang tersebut amat berbeza dengan tujuan sebenar undang-undang itu. lni disebabkan oleh pindaan yang telah dibuat oleh beberapa negeri yang telah mencabuli isi yang asal serta semangat pembaharuan undang-undang ini. Contohnya, di Perak, keputusan bagi berpoligami terletak dengan suami sahaja. Mahkamah syariah tidak perlu memberi kebenaran dan tiada syarat-syarat dikenakan. Di Kelantan dan Terengganu pula, syarat-syarat yang khusus dan juga penalti tidak dimasukkan dalam Enakmen undang-undang keluarga Islam negeri-negeri tersebut. lni bermakna bahawa Hakim Syariah dikehendaki mengguna budibicaranya sendiri bagi menimbang kelayakan suami untuk berpoligami. Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan adalah dua negeri yang telah menerima seratus peratus draf asal undang-undang pembaharuan keluarga Islam. Akan tetapi, kebelakangan ini beberapa pindaan yang memundurkan (1988 di Selangor dan 1994 di Wilayah Persekutuan) telah dibuat kepada undang-undang keluarga Islam. Pindaan-pindaan ini dengan sekaligus telah menghakiskan hak wanita dan anak-anak mereka yang dahulunya telah terjamin di bawah undang-undang asal, khususnya dalam perkara-perkara seperti poligami dan perceraian.

Ketiga, seringkaii diperkatakan bahawa poligami adalah sebuah institusi yang dibenarkan oleh Islam untuk kaum lelaki memenuhi nafsu mereka secara sah. Akan tetapi tidak ada sebarang ayat dalam AI Ouran yang menyarankan poligami sebagai satu penyelesaian bagi masalah nafsu orang lelaki yang tidak terkawal. Undang-undang Malaysia juga tidak mengiktirafkan nafsu sebagai satu syarat untuk amalan poligami. Sebaliknya, ajaran Islam memberi penekanan kepada kawalan kendiri, disiplin dan kesucian rohani. Poligami bukanlah satu jalan untuk mengatasi masalah keruntuhan akhlak sama ada dalam masyarakat Islam mahupun masyarakat Barat. Kalaulah poligami dikatakan satu penyelesaian bagi masalah tersebut, maka masyarakat Islam dan negara-negara Islam tentunya tidak lagi mengalami masalah-masalah sosial seperti persetubuhan luar nikah, perkosaan, persetubuhan ahli keluarga atau muhrim, pelacuran atau lain-lain penyakit sosial dan jenayah. Cara mengatasi apa yang dikatakan nafsu yang kuat kaum lelaki adalah penukaran sikap serta nilai kehidupan daripada kepercayaan bahawa adalah hak lelaki untuk memenuhi kepuasan nafsu dengan suatu kepercayaan bahawa manusia, telah dijadikan dengan akal yang sempurna dan keupayaan untuk mengawal nafsu dan mentaati perintah Allah s.w.t. untuk beriman terhadapnya, berdisiplin dan menjalin sikap saling, menghormati antara kaum lelaki dan wanita.

Keempat, hujjah-hujjah yang seringkali disarankan bagi menyokong poligami adalah kononnya Malaysia mempunyai lebih ramai penduduk wanita daripada penduduk lelaki dan nisbah jantina penduduk adalah 14 wanita bagi 1 orang lelaki. Hujjah ini berdasarkan statistik yang palsu dan adalah rekaan semata-mata. Malangnya, statistik palsu ini telah dihebahkan bertalu-talu oleh mereka yang menyarankan poligami melalui radio dan televisyen, akhbar-akhbar dan juga ceramah-ceramah umum. Walau bagaimanapun, angka yang diperolehi dari Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa di Malaysia bagi setiap bilangan 100 wanita ada 103 bilangan lelaki dan kaum lelaki melebihi wanita bagi semua kumpulan umur kecuali kumpulan umur 60 tahun ke atas. Penduduk yang berumur 60 tahun keatas menunjukkan kekurangan lelaki disebabkan kaum wanita mempunyai jangkaan hayat yang lebih tinggi dari kaum lelaki. Bagi masyarakat Islam pula, angka bagi keseluruhannya menunjukkan nisbah jantina sebagai 102.1 bilangan lelaki bagi setiap 100 bilangan wanita, akan tetapi angka ini,termasuk kumpulan umur 60 tahun ke atas, di mana kita telah melihat bahawa lelaki berkurangan dibandingkan dengan wanita. Punca statistik di atas adalah dari Banci Penduduk dan Perumahan 1991.

Penyebaran angka penduduk yang tidak masuk akal ini oleh Jabatan-Jabatan Agama Islam merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab. lni membuatkan pihak berkuasa agama Islam di negara ini bahan ketawa orang ramai. Menurut pakar-pakar penduduk adalah mustahil bagi nisbah jantina dalam sesebuah negara begitu ketara tingginya kecuali sesebuah negara itu mengamalkan pembunuhan bayi lelaki beramai-ramai ataupun menggalakkan pengguguran janin lelaki. Setahu kami ini bukanlah satu amalan dalam kebudayaan masyarakat Islam di negara ini.

Demi kepentingan keadilan bagi setiap warganegara dan bagi menyumbang terhadap kempen kerajaan untuk memperkukuhkan institusi keluarga dan membenteras kemerosotan nilai-nilai murni masyarakat, kami menggesa agar kerajaan menyemak semula pindaan yang telah dibuat kepada Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam oleh beberapa negeri. Kami juga mengesyorkan pemansuhan peruntukan-peruntukan yang berkesan negatif terhadap kaum wanita dan kanak-kanak. Kelonggaran-kelonggaran yang ada di dalam Akta/Enakmen ini seharusnya diperketat dan dikemaskini, serta penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara berkesan dan bersungguh-sungguh, terutama sekali syarat-syarat mengenai poligami. Selain daripada perkara undang-undang substantif, prosidur mahkamah yang jelas dan terperinci perlu diwujudkan di mahkamah syariah. Langkah-langkah ini akan betul-betul mencerminkan semangat dan isi kandungan undang-undang yang bertujuan membataskan amalan poligami di negara ini.

Dengan ini dan dengan segala hormatnya kami melampirkan ulasan dan syor-syor mengenai peruntukan-peruntukan berkenaan poligami dalam Undang-undang Keluarga Islam. Kami berharap sangat bahawa pandangan dan syor yang disampaikan akan diberi pertimbangan yang sewajarnya. Kami juga berharap untuk menyerahkan memorandum tambahan mengenai pembaharuan undang-undang keluarga Islam pada keseluruhannya dan pentadbiran undang-undang tersebut, tidak lama lagi.

REFORMASI PERUNTUKAN-PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI POLIGAMI

  1. Pindaan kepada Undang-Undang Keluarga Islam
  • Seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Wilayah Persekutuan dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Selangor telah dipinda untuk membenarkan pendaftaran perkahwinan poligami yang dilangsungkan tanpa kebenaran Mahkamah.
  • Seksyen 23(4)(e) yang pernah memperuntukkan bahawa perkahwinan poligami yang dicadangkan tidak merendahkan secara langsung atau tidak langsung taraf kehidupan yang dinikmati oleh isteri dan orang-orang tanggungan yang sedia ada telah dimansuhkan.

Perkara yang Membimbangkan

Walaupun perkahwinan poligami sedemikian adalah tertakluk kepada seksyen 123 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM1,000/- atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya kerana kesalahan poligami tanpa kebenaran, pada hakikatnya penalti tersebut di atas tidak berjaya mencegah lelaki yang berhajat berpoligami dari berbuat demikian. Satu amalan yang kerap dilakukan ialah bayaran denda hanya sebanyak RM300.

 

Pada kesannya pindaan ini telah menggalakkan para suami yang berhajat mengamalkan poligami memintasi Akta ini dengan berkahwin secara poligami di kawasan-kawasan yang berada di luar bidangkuasa undang-undang tersebut. Contohnya, pada tahun 1985, Mahkamah Syariah Selangor telah memberi kebenaran berpoligami dalam 82 kes. Walau bagaimanapun, 350 kes-kes poligami tanpa kebenaran telah dikesan. Angka ini telah bertambah kepada 410 kes sehingga bulan September tahun 1996. Tidak syak lagi bahawa pindaan tersebut di atas telah mengakibatkan pelanggaran undang-undang yang begitu meluas dan ketara. Jelas sekali bahawa masalah ini perlu ditangani sebelum keadaan menjadi lebih runcing. Bagaimanakah pihak berkuasa undang atau tidak menghemahkan saman dan perintah Mahkamah, mereka tidak akan dihukum atau tindakan yang sewajarnya akan dikenakan kepada mereka.

Syor

  • Peruntukan iaitu seksyen 123 Akta/Enakmen ini dipinda supaya penalti lebih berat dikenakan dalam bentuk denda yang tidak kurang dari RM1,000 dan penjara mandatori yang tidak kurang dari empat minggu. Hukuman maksima juga patut dilanjutkan daripada enam bulan kepada satu tahun. Peruntukan ini hendaklah dikuatkuasakan secara bersungguh-sungguh bagi mencegah para suami yang curang mengambil kesempatan daripada kelonggaran undang-undang. lni juga akan menyemaikan sikap menghormati undang-undang keluarga Islam di kalangan orang-orang Islam. Didapati bahawa di lain-lain negara di mana hukuman penjara mandatori dilaksanakan kejadian keganasan rumahtangga yang berterusan telah berkurangan dengan begitu mendadak. Kami juga percaya hukuman penjara mandatori boleh merupakan langkah pencegahan yang berkesan bagi kes-kes perkahwinan poligami yang melanggar undang-undang kerana kaum lelaki menganggapnya sebagai hak mutlak mereka.
  • Memasukkan semula perenggan (e) seksyen 23(4) yang memperuntukkan bahawa perkahwinan poligami yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau tidak langsung taraf kehidupan yang dinikmati oleh isteri dan orang-orang tanggungan yang sedia ada.
  • Pindaan dibuat untuk memberi mahkamah kuasa membuat perintah mengenai nafkah isteri yang sedia ada dan anak-anak serta juga memberi isteri sebahagian harta sepencarian daripada harta yang diperolehi oleh pihak suami bersama dengannya sebelum suami itu mengahwini wanita lain. Perintah ini patut dibuat secara automatik oleh Mahkamah tanpa isteri yang terkilan itu membuat permohonan khusus. Kami berpendapat bahawa adalah tidak adil sekiranya isteri yang telah bertungkus lumus bekerja dengan sisuami untuk mempertingkatkan taraf kehidupan mereka tiba-tiba dihalang menikmati hasil pekerjaan dan pengorbanannya apabila suaminya berkahwin lain. Oleh yang demikian kepentingan isteri yang terkilan dan anak-anak seharusnya dilindungi.

Pembahagian harta dan aset-aset sekurang-kurangnya boleh meringankan kesan ketidakadilan dari sudut kewangan. Perintah ini juga sepatutnya dibuat sebelum perkahwinan poligami yang melanggar Akta ini dibenarkan didaftar.

  • Masukkan satu klausa yang serupa dengan seksyen 127(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Johor yang memperuntukkan seperti berikut:

“127(2) Seseorang yang mempunyai lebih dari seorang isteri dan yang telah gagal memberi keadilan kepada isteri-isterinya mengenai nafkah, pakaian, tempat tinggal dan hak mereka mengikut Hukum Syarak adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi seribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dua denda dan penjara itu.”

Kami berpendapat bahawa peruntukan penalti yang khusus seperti di atas yang boleh diguna sekira berlakunya ketidakadilan dalam perkahwinan poligami boleh menyumbang terhadap melindungi kepentingan-kepentingan para isteri dan kanak-kanak.

  1. Memperketat dan Memperkemaskan Pelaksanaan Seksyen 23(3)

 Seksyen 23(3) Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Wilayah Persekutuan dan Enakmen yang sama bagi negeri Selangor memperuntukkan bahawa permohonan untuk berpoligami hendaklah disertakan dengan suatu akuan yang menyatakan sebab-sebab perkahwinan poligami dikatakan patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang-orang tanggungannya termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada keizinan atau pandangan isteri atau isteri-isteri yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.

Perkara yang Membimbangkan

Kami dapati bahawa peruntukan ini biasanya telah dilaksanakan secara tidak tentu dan rawak oleh pihak mahkamah syariah. Mahkamah seringkali membenarkan pihak suami sesuka hati memilih apa juga bukti untuk dikemukakan bagi menyokong perakuannya. Seringkali berlaku di mana dokumentasi yang menyokong permohonan tidak dikemukakan. Bagi menimbang permohonan pihak suami untuk berpoligami, Hakim Mahkamah Syariah seharusnya meneliti borang permohonan dan akuan yang disertakan. lni akan membantunya membuat keputusan sama ada sisuami layak atau tidak berkahwin poligami mengikut seksyen 23(4).

Tambahan pula, kami mendapati bentuk Borang Permohonan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Selangor amat mengelirukan. Borang tersebut mengandaikan kebenaraan berpoligami akan diberikan secara sewenang-wenangnya. Borang itu mengadungi perkara 4 yang meminta maklumat mengenai tarikh perkahwinan poligami yang dipohon, tempat perkahwinan itu, nama kariah dan daerah masjid. Perkara 6 meminta nama dan perihal dua orang saksi pula. Sepatutnya bentuk borang tersebut bukanlah suatu permohonan untuk berkahwin, tetapi suatu syarat mengikut seksyen 23(4). Oleh yang demikian, ia tidak harusnya memberi gambaran yang mengelirukan kepada pemohon bahawa kebenaran untuk berpoligami akan ditunaikan dengan meminta butir-butir perkahwinan yang mungkin tidak dibenarkan untuk berlaku.

Syor

  • Mahkamah Syariah patut mengeluarkan Borang Akuan yang ditentukan bersama dengan Borang Permohonan kepada semua pemohon perkahwinan poligami.
  • Borang Permohonan untuk kebenaran berpoligami tidak patut disamakan seperti Borang permohonan untuk berkahwin. Tidak harus borang untuk berpoligami mengandungi maklumat yang disenaraikan dalam perkara 4 dan 6 seperti yang tersebut diatas yang mengadaikan kebenaran untuk berpoligami akan diberi. Mengisi Borang Permohonan ini sebenarnya merupakan salah satu langkah utama daripada banyak langkah seterusnya yang harus dialami oleh seseorang pemohon dalam proses meminta kebenaran untuk perkahwinan poligami.
  • Borang Akuan hendaklah mengandungi bahagian yang tertentu untuk diisikan secara terperinci oleh pemohon seperti dikehendaki di bawah seksyen 23(3), termasuk bahagian:
    • bagi pemohon membuat akuan sama ada keizinan atau pandangan isteri yang sedia ada telah diperolehi. Tandatangan isteri adalah satu keperluan bagi menunjukkan bahawa pihak isteri telah diberitahu terlebih dahulu mengenai hajat suami berpoligami.
  • bagi pemohon membuat akuan mengenai kebenaran kenyataannya dan sekiranya akuan palsu dibuat pihak pemohon boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 38 Akta/Enakmen. Tandatangan dua orang saksi untuk mengakusaksikan akuan itu hendaklah diperolehi.

Borang ini hendaklah juga memerlukan pemohon membekalkan:

  • laporan perubatan untuk membuktikan bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu oleh kerana isterinya yang sedia ada adalah mandul, mengalami keuzuran jasmani, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau dianya gila.
  • dokumen-dokumen sokongan daripada majikan pemohon atau syarikat di mana dia bekerja, bank-banknya serta juga penyata cukai pendapatan bagi membuktikan pendapatan bersihnya selepas ditolak hutang piutang dan lain-lain tanggungan.
  1. Memperketatkan Pelaksanaan Seksyen 23(4)

Seringkali dilaporkan bahawa hakim-hakim Mahkamah Syariah cenderung terhadap memberi tekanan kepada kemampuan suami dari segi kewangan untuk menanggung lebih dari satu keluarga dalam menimbang sama ada pihak suami patut diberi kebenaran untuk berpoligami. Ketiga-tiga syarat yang lain di bawah seksyen 23(4) jarang diberi perhatian oleh pihak Mahkamah. Beban pembuktian seharusnya diletak pada pihak pemohon bagi membuktikan bahawa dia telah memenuhi kesemua empat-empat syarat sebelum dia dibenarkan mengamalkan poligami. Keputusan Jawatankuasa Rayuan Syariah Negeri Selangor yang dibuat pada tahun 1990 dalam kes Aishah Abdul Rauf lwn. Wan Mohd. Yusof Wan Othman patut digunakan sebagai garispanduan bagi Hakim-hakim Mahkamah Syariah membuat keputusan dalam permohonan-permohonan perkahwinan poligami. lni akan menjamin pelaksanaan seksyen 23(4) yang lebih adil.

Syor

  • Jawatankuasa Rayuan Syariah Negeri Seiangor telah memutuskan dalam kes tersebut di atas bahawa keempat-empat syarat dalam seksyen 23(4) iaitu perkahwinan yang dicadangkan adalah patut dan perlu, kemampuan dari segi kewangan, layanan samarata kepada semua isteri dan perkahwinan yang dicadangkan tidak akan memudaratkan isteri yang sedia ada – semua syarat adalah sama penting dan harus dibuktikan satu persatu. lni bermakna bahawa sekiranya pemohon boleh membuktikan bahawa dia mampu menanggung keluarga yang kedua dari segi kewangan, dia masih dikehendaki membuktikan kepada mahkamah bahawa dia mampu memenuhi tiga lagi syarat di bawah seksyen 23(4).
  • Pemohon haruslah menyertakan dokumen sokongan dan membawa saksi-saksi yang bersifat bertanggungjawab untuk memberi keterangan mengenai akhlaknya dan kemampuannya untuk memberi layanan yang adil dan saksama kepada semua isteri dan juga bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie (bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, akhlak atau hartabenda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syara’) kepada isteri yang sedia ada. Oleh yang demikian kami mencadangkan supaya:
  • syarat (a): Mahkamah dikehendaki meminta pemohon membekalkan bukti perubatan dan lain-lain (termasuk saksi-saksi) untuk membuktikan bahawa isterinya adalah mandul atau mengalami keuzuran jasmani atau tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan atau gila atau sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan;
  • syarat (b): pemohon hendaklah membekal dokumen-dokumen
    sokongan majikan atau syarikat di mana dia bekerja atau bank-banknya serta juga penyata cukai pendapatan bagi membuktikan pendapatan bersihnya selepas ditolak hutang piutang dan lain-lain tanggungan;
  • syarat (c): saksi-saksi, termasuk isteri yang sedia
    ada, hendaklah dipanggil untuk menyokong akuan pemohon bahawa beliau mampu memberi layanan sama rata kepada semua isteri-isterinya. Akuan mulut semata-mata oleh pemohon yang dia akan memberi layanan samarata tanpa bukti dan keterangan sokongan dari saksi-saksi tidak boleh diterima. Kelakuan suami sebagai seorang Islam yang mentaati segala perintah Allah s.w.t. dan yang mengamalkan ajaran-ajaran Islam, budi pekerti atau sebaliknya dalam memainkan peranannya sebagai seorang bapa dan anak haruslah diambilkira oleh Mahkamah.
  • syarat (d): isteri yang sedia ada serta saksi-saksi hendaklah dipanggil dan bukti perubatan hendaklah dibekalkan untuk membuktikan bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri yang sedia ada.
  • syarat (e): dengan kemasukan semula syarat ini, Mahkamah hendaklah meneliti dan menimbang penyata gaji, penyata cukai pendapatan dan lain-lain dokumen kewangan pemohon termasuk apa-apa sumber pendapatan dari isteri yang dicadangkan bagi membuktikan bahawa taraf kehidupan yang dinikmati oleh isterinya yang sedia ada dan anak-anak mereka tidak akan direndahkan.
  • Hakim hendaklah menentukan semasa perundingan dengan isteri yang sedia ada sama ada izinnya telah diberi secara sukarela atau diperolehi dengan paksaan. Kami telah menerima banyak aduan bahawa adalah amalan biasa bagi isteri pertama diancam oleh pihak suami bahawa dia akan diceraikan sekiranya ia tidak memberi izin di hadapan Mahkamah. Dalam keadaan demikian isteri tersebut biasanya akan kembali ke Mahkamah untuk membuat bantahan tentang perkahwinan yang dicadangkan dan membuka rahsia bahawa izinnya telah diperolehi kerana pihak suami menggunakan ancaman yang dia akan diceraikan atau ditinggalkan langsung.
  • Wanita yang pemohon bercadang mengambil sebagai isteri kedua hendaklah dipanggil oleh Mahkamah untuk bertemu dengan isteri pemohon yang sedia ada dalam satu usaha perundingan. lni akan membantu pihak isteri yang dicadang menimbang keadaan sebenar perkahwinan poligami dan sama ada pemohon, iaitu bakal suaminya, sebenar-benarnya ada kemampuan untuk memenuhi kesemua syarat-syarat perkahwinan poligami.
  1. Perjanjian Taklik

 Bentuk surat taklik yang digunakan sekarang ini membenarkan pihak isteri menuntut cerai taklik dalam keadaan berikut: jika ia ditinggalkan oleh suami, tidak diberi nafkah oleh suami atau kelakuan zalim pihak suami. Tidak ada peruntukan yang membenarkan pihak isteri mengambil tindakan sekiranya suami berkahwin poligami tanpa izinnya.

Syor

  • Syarat tambahan dimasukkan dalam surat taklik, mengikut pilihan pasangan-pasangan individu, untuk memberikan hak kepada pihak isteri menuntut cerai taklik jika suaminya berkahwin lain. lni bukanlah merupakan perceraian secara automatik akan tetapi syarat tambahan ini memberi suatu pilihan kepada isteri yang terkilan sekiranya ia tidak sanggup hidup dalam keadaan poligami.
  • Surat taklik hendaklah menyatakan bahawa pelanggaran mana-mana syarat akan memberi isteri hak untuk menuntut cerai dan juga mutaah. “Mutaah” sepatutnya tidak diistilahkan sebagai bayaran “saguhati” (seksyen 56 Akta/Enakmen) tetapi sebagai bayaran pampasan yang kena diberi kepada bekas isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang adil dan mencukupi, atau atas sebab isteri terpaksa menuntut cerai kerana pelanggaran syarat surat taklik oleh pihak suami.

Pandangan bahawa pihak suami patut terikat dengan syarat perjanjian perkahwinannya tidak akan mengahwini perempuan lain selagi masih berkahwin dengan isteri sedia ada, bukanlah pandangan baru yang dikemukakan oleh para modernis. la adalah pandangan Hanbali yang telah diterimapakai, dan diikuti di berbagai negara Islam yang lain seperti Syria, Jordan, Maghribi, Mesir dan Iran. Dengan itu, pasangan yang memilih untuk memasukkan syarat ini dalam surat taklik patutlah dibenarkan berbuat demikian, dan sekiranya ia tidak dipatuhi oleh pihak suami, maka pihak isteri akan berhak untuk mendapat cerai taklik.

  1. Lain-lain Syor
  • Semua negeri hendaklah membuat undang-undnag yang seragam mengenai poligami, dengan mengambil Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan atau Enakmen Negeri Selangor, sebelum undang-undang ini dipindakan sebagai contoh. Negeri Perak, Kelantan, terengganu dan Perlis khususnya, perlu dinasihatkan supaya meminda undang-undang keluarga Islam mereka untuk memberi perlindungan yang lebih berkesan kepada kaum wanita. Selain daripada cara tersebut diatas, keseragaman boleh juga tercapai dengan menggunakan Article 76(1)(b) Perlembagaan Persekutan yang memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat undang-undnag berkenaan apa-apa perkara yang ada di dalam Senarai Negeri bagi tujuan menyeragamkan undang-undang di dua atau lebih negeri-negeri.
  • Daftar umum berkomputer perkahwinan-perkahwinan Islam diwujudkan di peringkat kebangsaan dan dihubungkan ke peringkat negeri bagi membolehkan Mahkamah atau Jabatan-Jabatan Agama Islam mengesan dengan serta-merta sama ada seorang pemohon untuk berkahwin telah mempunyai isteri. Seringkaii berlaku di mana isteri yang dicadangkan tidak mengetahui bahawa lelaki yang hendak dikahwini telahpun beristeri. Sekiranya didapati kes di mana pihak pemohon telah berdusta mengenai taraf perkahwinannya, pihak Mahkamah patut menolak permohonan berpoligami yang mungkin dibuat kemudian dan mengemukakan tuduhan terhadapnya di bawah seksyen 38 atas sebab memberi maklumat palsu dalam borang akuan.
  • Semua lelaki Islam yang membuat permohonan untuk berkahwin mesti menandatangani satu akuan berkanun menyatakan bahawa dia belum berkahwin dan akuan ini hendaklah diserahkan dengan borang permohonan. Akuan palsu yang dibuat boleh menyebabkan dia dituduh di bawah seksyen 38.
  • Semua pihak yang terlibat dalam perkahwinan poligami yang dicadangkan, iaitu pihak suami, pihak isteri yang sedia ada dan isteri yang dicadangkan hendaklah hadir sessi kaunseling supaya mereka dapat menimbang dengan mendalam akan akibat perkahwinan poligami, terutama sekali kesannya ke atas anak-anak. Laporan pihak kaunselor patut diambilkira oleh Mahkamah apabila menimbang sama ada kebenaran berpoligami patut diberi atau tidak.
  • Semua keputusan Mahkamah mengenai permohonan perkahwinan poligami hendaklah ditulis. Seperti diamalkan dalam sistem Mahkamah Sivil, alasan penghakiman yang memberi sebab-sebab keputusan dibuat hendaklah disediakan oleh pihak Hakim Mahkamah Syariah. lni akan memudahkan proses rayuan.

 

  1. Syor-Syor Am

 

  • Undang-undang yang begitu baik yang bertujuan memberi perlindungan kepada wanita akan kurang berkesan sekiranya sikap prejudis masyarakat terhadap kaum wanita menghalang kaum ini dari mendapatkan keadilan yang adalah hak mereka di sisi undang-undang. Semua hakim-hakim Mahkamah Syariah, pegawai-pegawai agama dan pakar kaunseling mesti menjalani latihan kepekaan gender untuk membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang lebih memuaskan kepada pelanggan mereka, yang mana bilangan besar terdiri dari kaum wanita. Hanya dengan cara demikian yang akan membolehkan pihak Mahkamah Syariah memberi keyakinan kepada kaum wanita bahawa mereka boleh mendapat keadilan dari sistem yang ada.
  • Setiap negeri hendaklah mewujudkan sebuah badan pengawalan yang bebas yang fungsinya sama seperti Biro Pengaduan Awam, iaitu untuk menerima aduan-aduan dari pihak-pihak yang terkilan dan menyalurkan aduan-aduan tersebut kepada pihak berkuasa yang relevan untuk tindakan diambil. Badan-badan ini juga patut dipertanggungjawabkan untuk menyelia pelaksanaan undang-undang keluarga Islam oleh Mahkamah Syariah serta program-program yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam.
  • Kerajaan diminta menganjurkan penyelidikan yang menyeluruh yang dilaksanakan oleh sebuah organisasi bebas untuk mengkaji segala aspek poligami, misalnya alasan-alasan yang diberi oleh Mahkamah apabila membenar perkahwinan poligami, poligami tanpa kebenaran Mahkamah dan kesan moral, emosi, sosial dan ekonomi ke atas institusi keluarga.
Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email