No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Memahami pindaan Akta 355 dan impaknya kepada rakyat Malaysia

Soal jawab berkenaan Rang undang-undang 355, disediakan oleh Sisters in Islam.

1. Apakah peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang sedia ada?

Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah adalah seperti berikut:
Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

2. Apakah pindaan kepada Rang Undang-undang 355 yang dicadangkan?

Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah seperti berikut :

Seksyen 2A baru dimasukkan seperti berikut :
“Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain daripada hukuman mati.”

Ini adalah pindaan yang amat membimbangkan.  Buat masa sekarang, Akta tersebut menetapkan had bidang kuasa Mahkamah Syariah di mana hukuman maksimum yang boleh dikenakan adalah penjara 3 tahun atau denda RM5000 atau 6 kali sebatan. Dengan pindaan ini, Mahkamah Syariah boleh mengenakan apa sahaja hukuman, kecuali hukuman mati.

Jenayah seperti zina, qazaf (memfitnah tentang perlakuan zina), syrub (minum arak) dan irtidad or riddah (keluar dari agama Islam) adalah jenayah hudud di bawah Kod Jenayah Syariah Kelantan dan dengan pindaan tersebut maka jenayah tersebut boleh dikenakan hukuman yang amat berat iaitu sebatan antara 40 ke 100 kali. Oleh itu, adalah tidak tepat sekiranya dikatakan bahawa Akta Pindaan ini tidak ada kena mengena dengan hudud.

3. Apakah kesan pindaan tersebut?

a) Ia akan membolehkan sebahagian dari undang-undang hudud dikuatkuasakan.  Di negara-negara yang memperkasakan undang-undang hudud, tidak semestinya ia dapat mengurangkan kadar jenayah.  Sebaliknya, yang dilihat adalah hukuman yang tidak berperikemanuasiaan dikenakan ke atas orang yang didapati bersalah.

b) Pindaan ini membolehkan hukuman yang lebih berat daripada undang-undang Persekutuan, iaitu Kanun Keseksaan (Akta 574), kecuali hukuman mati.  Pada dasarnya, pindaan ini membenarkan Dewan Undangan Negeri menjatuhkan hukuman ke arah pelaksanaan hudud seperti memotong tangan dan merejam, asalkan ia bukan hukuman mati.

c) Sekiranya undang-undang hudud Kelantan dikuatkuasakan, ia akan membawa banyak keburukan kepada wanita. Sebagai contoh, wanita atau orang bukan Islam dibatalkan daripada menjadi saksi dalam kes zina, keterangan daripada wanita dituduhi tidak diambil oleh mahkamah dan seterusnya, wanita tidak boleh menuduh suaminya melakukan zina, dan sebagainya.  Di negara-negara di mana hudud dipraktikkan, kajian telah menunjukkan yang suami membuat penuduhan zina terhadap isterinya bagi memalukan isterinya dan memaksanya tinggal dalam perkahwinan paksa.  Di Aceh, terdapat wanita mangsa rogol dituduh melakukan zina.  Oleh kerana ketidakadilan undang-undang, wanita tersebut telah disabitkan dan hukuman sebat dikenakan.

d) Undang-undang Islam adalah undang-undang negeri.  Oleh itu, hukuman yang dikenakan tidak selaras dan  berbeza mengikut negeri walaupun bagi jenayah yang sama.

4. Adakah Mahkamah Syariah berkesan dalam memberikan keadilan dan kesaksamaan?

Setakat peningkatan bidang kuasa untuk menjatuhkan hukumah jenayah Syariah tidak akan menjamin Mahkamah Syariah akan menjadi lebih perkasa dan dihormati. Dalam pemerkasaan Mahkamah Syariah, terdapat lebih banyak perkara yang wajib ditingkatkan dan akan lebih menjaminkan pemerkasaan Mahkamah Syariah, seperti:

a) Mahkamah Syariah perlulah menyelesaikan dengan lebih baik, kes-kes berkaitan dengan Undang-undang Keluarga Islam dengan mengambil berat tentang memberi penyelesaian dalam jangkamasa yang pendek bagi wanita dan anak-anak.  Ini termasuk pengendalian kes-kes cerai, hadhanah, nafkah dan seterusnya yang buat masa sekarang banyak mengenepikan kebajikan keluarga dan hak-hak wanita.

b) Mahkamah Syariah perlulah lebih efisien bekerjasama untuk menguatkuasakan penghakiman di antara negeri-negeri.

c) Mahkamah Syariah perlulah prihatin apabila melibatkan kes yang mempunyai impak ke atas kaum bukan Islam melalui penghakimannya, seperti dalam kes-kes penukaran anak-anak ke ugama Islam oleh ibu atau ayah tanpa persetujuan kedua belah pihak. Ini dengan mengambil kira segala kesan terhadap anak-anak tersebut dan juga ibu atau ayah bukan Islam yang tidak mempunyai akses ke mahkamah syariah.

5. Apakah realiti pelaksanaan undang-undang di mahkamah Syariah?

Mengikut statistik bagi tahun 2015 yang dikumpulkan oleh SIS Forum Malaysia melalui Klinik Bantuan Telenisa,  kes-kes di dalam kategori perkahwinan adalah kes-kes poligami (32) – di mana poligami dilakukan tanpa pengetahuan atau persetujuan isteri, suami tidak memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak, pembahagian masa yang tidak adil di antara keluarga berpoligami, suami melarikan did atau kahwin gantung, perkahwinan poligami yang tidak didaftarkan dan sebagainya.

Bagi bantuan bagi kes-kes penceraian, cerai secara fasakh merupakan jenis penceraian yang paling tinggi (27), diikuti dengan penceraian ta’liq (17).  Bagi pihak isteri, nafkah isteri termasuk nafkah tertunggak, mutaah dan iddah merupakan kes-kes yang paling banyak (58).  Berkenaan masalah penjagaan anak-anak selepas bercerai, nafkah  anak yang tidak bibayar merupakan kes yang paling banyak (62).  Hak jagaan anak juga ada dalam 78 kes.  152 kes yang diterima membabitkan keganasan rumah tangga.  5 wanita menghadapi kes berpanjangan antara 1-5 tahun dan 1 kes antara 6-10 tahun.  Hampir kesemua kes-kes ini adalah disebabkan suami tidak bekerjasama contohnya tidak hadir ke mahkamah. Mahkamah sering menangguhkan kes tersebut berkali-kali tanpa mengambil berat kesusahan wanita tersebut.  Wanita tersebut terpaksa datang ke mahkamah berkali-kali dan ini membebankan wanita tersebut kerana ia memerlukan bayaran kepada peguam yang tinggi dan penjagaan anak-anak serta pekerjaannya terganggu. Sekiranya ini terjadi terlalu sering, mahkamah sepatutnya membuat keputusan tanpa suami hadir atau menolong pihak perempuan untuk mencari pihak suami atau sebagainya.

Sisters in Islam
17 Oktober 2016

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email