No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Malaysia harus mengutamakan Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) – COMANGO

PETALING JAYA – Satu gabungan lebih 50 badan bukan kerajaan (NGO) telah mengemukakan satu laporan tentang hak asasi manusia di Malaysia kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini. Laporan ini akan digunakan semasa penilaian rekod hak asasi manusia Malaysia menerusi mekanisme yang dikenali sebagai Penilaian Penggalan Sejagat (Universal Periodic Review, UPR) pada 24 Oktober tahun ini. Setiap empat tahun setengah,  Kumpulan Kerja UPR dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB (Human Rights Council, HRC) akan menilai rekod hak asasi manusia kesemua 193 Negara Anggota PBB.

“Kerajaan telah membuat banyak komitmen semasa sesi UPR pertama Malaysia pada tahun 2009, namun hanya 23 peratus daripadanya telah dilaksanakan dengan penuh,” kata Honey Tan bagi pihak gabungan yang bergelar COMANGO, atau Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process (Gabungan NGO-NGO Malaysia dalam Proses UPR). Tan, dari Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), merupakan pengarang utama laporan ini.

“Contohnya, walaupun kerajaan baru-baru ini telah meratifikasi Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) dan menarik balik beberapa reservasi terhadap konvensyen PBB berkenaan hak wanita (CEDAW) dan hak kanak-kanak (CRC), namun Malaysia masih belum meratifikasikan enam konvensyen PBB hak asasi manusia teras yang lain.”

Selain menyentuh komitmen-komitmen kerajaan, laporan ini juga menghuraikan isu-isu hak asasi manusia yang dikecualikan dalam laporan kerajaan Malaysia tahun 2009, seperti hak-hak orang bukan warganegara, hak-hak berkenaan orientasi seksual dan identiti gender, dan rasisme.

COMANGO merupakan gabungan NGO Malaysia paling besar yang mengemukakan laporan UPR. Tiga puluh empat NGO dari seluruh negara berhimpun pada bulan Julai tahun lalu untuk merangka kandungan laporan ini.

Majlis Peguam dan gabungan-gabungan NGO termasuk Child Rights Coalition, Migration Working Group dan Jaringan Utara untuk Migran dan Pelarian, Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia, dan Knowledge & Rights with Young people through Safer Spaces, juga telah menyerahkan laporan UPR ke PBB.

“Proses UPR membolehkan kita membawa tumpuan global kepada isu-isu hak asasi manusia, terutama sekali isu-isu yang tidak diberikan perhatian dalam negara,” jelas Wong Kar Fai, Penyelaras Dokumentasi and Pantauan untuk Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), seorang lagi pengarang laporan ini.

“Satu contoh yang baik adalah hak-hak orang bukan warganegara. Undang-undang kita jelas mendiskriminasi pekerja-pekerja pembantu rumah, yang kebanyakannya warganegara asing. Mereka tidak diberikan hak saksama dalam cuti bersalin, hari rehat, dan faedah persaraan – mereka tidak pun diiktirafkan sebagai pekerja.”

Akta Kerja mengandungi definisi tersendiri untuk pembantu rumah, lain daripada pekerja.

“Semasa sesi UPR yang lalu, beberapa negara mendesak Malaysia untuk menambah baik keadaan pekerja-pekerja bukan warganegara. Namun demikian, banyak cadangan diketepikan. Kami berharap kali ini, kerajaan akan mengambil serius syor-syor yang membina,” tambah Wong.

Hasil daripada sesi UPR pertama Malaysia pada 2009, kerajaan Malaysia telah menerima pakai 62 daripada 103 syor-syor yang dikemukakan oleh negara-negara anggota PBB, menolak 22 syor, dan memberikan komen untuk 19 syor.

NGO-NGO lain yang membentuk gabungan COMANGO termasuk Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Dignity International, Sisters in Islam, Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna-Pengguna Malaysia (ERA Consumer), Pusat Komas, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), dan Coalition to Abolish Modern-day Slavery in Asia (CAMSA).

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email