No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Kod Pakaian Terengganu

Peraturan yang dikenakan oleh Kerajaan Terengganu terhadap wanita Islam  yang mewajibkan mereka memakai tudung memang sudah diduga oleh Sisters In Islam.  Seperti Kerajaan Pas di Kelantan, Taliban di Afghanistan, dan para ulama konservatif yang pernah menguasai Iran, parti-parti Islam yang menang dan berkuasa memang selalunya memilih untuk mengatur dan mengawal pakaian dan kehidupan sosial wanita sebagai polisi pertama mereka untuk  membuktikan kewibawaan keislaman mereka. Selalunya, memanglah amat mudah untuk mengenakan undang-undang, peraturan, dan kawalan terhadap mereka yang paling tidak berkuasa di dalam masyarakat.

Walaupun pihak Kerajaan Terengganu berasa bahawa dialog dengan kaum Cina adalah perlu sebelum mengenakan cukai kharaj, yang mereka anggap sebagai sebahagian dari perintah Islam, dan bertindak dengan berhati-hati, mereka tidak pula  berasa bahawa perbincangan dengan badan-badan wanita adalah perlu sebelum   menggubal undang-undang baru untuk mengawal pakaian wanita Islam.  Atas  nama Islam, mereka menguasi secara mutlak pengetahuan dan kuasa untuk mengenakan tafsiran mereka terhadap golongan masyarakat yang tertindas dan tidak bersuara.

Pihak Sisters In Islam berpendirian bahawa pihak berkuasa tidak sepatutnya menggunakan paksaan dalam hasratnya untuk melihat wanita Islam menutup aurat.  Agama  bergantung atas iman dan kesanggupan.  Mengenakan undang-undang dan peraturan atas pemakaian tidak semestinya akan menambahkan ketaqwaan orang-orang Islam. Sebaliknya ini membawa kepatuhan yang timbul dari  perasaan gerunkan kepada pihak berkuasa  dan Islam.  Ini bukannya jalan kearah taqwa.

Al-Qur’an menunjukkan bahawa sifat kesederhanaan timbul dari ketaqwaan, dan ketaqwaan tidak boleh dicapai melalui paksaan, samaada untuk menutup atau mendedahkan aurat.

Al-Qur’an  tidak memerintahkan kita memakai pakaian yang tertentu.  Ayat-ayat mengenai kesederhanaan kelakuan dan pakaian dalam Al-Qur’an, apabila di tafsirkan menurut konteks sosio-sejarah zaman ianya di turunkan, mengagungkan sikap kesederhanaan dan tidak melampaui batas, menghindar dari perbuatan sumbang dan tidak sopan, dan memerintah kita menghormati kaum wanita sebagai satu tanda ketaqwaan. (sila lihat surat-surat Sisters In Islam kepada pengarang; NST dan Utusan Malaysia Ogos 9, 1997).

Sisters in Islam
21 Mac 2000

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email