No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Ketidakpastian dalam Isu Mahkamah Syariah sesuatu Kebimbangan bagi Wanita ketika PKP

Sisters in Islam (SIS) masih beroperasi berikutan perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020. Talian Telenisa kami, perkhidmatan yang menawarkan khidmat nasihat guaman yang berlandaskan Undang-undang Keluarga Islam dan Undang-undang Jenayah Syariah telah dilanjutkan tempoh operasinya iaitu dari hari Isnin ke Jumaat, 8 pagi hingga 10 malam. Talian Telenisa juga telah dipindahkan ke talian sementara di 011-2370 1006 ketika tempoh PKP.

Perlanjutan waktu operasi kami adalah berdasarkan klien kami yang majoritinya adalah wanita. Oleh yang demikian, wanita yang merupakan ibu, anak perempuan dan isteri mungkin sibuk menjaga keluarga dan tanggungan mereka pada siang hari dan oleh itu, ketersediaan lanjutan waktu operasi kami di luar waktu pejabat dapat memberikan akses perkhidmatan kami yang lebih baik kepada mereka. Selain itu, perlanjutan ini juga berdasarkan kes-kes pergolakan perkahwinan atau keluarga dan terutamanya di mana terdapat penderaan atau keganasan yang terlibat, mangsa hanya mempunyai pilihan yang terbatas untuk mendapatkan bantuan dan sokongan.

Oleh itu, kami ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa kami masih ada untuk memberi bantuan dan bersama-sama dengan kami, beberapa talian NGO lain serta Talian Kasih 15999 yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Berkaitan dengan isu-isu Syariah yang mempengaruhi penduduk Islam di Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengumumkan pada 25 Mac 2020 bahawa majoriti perkara dalam bidang kuasanya akan dijalankan secara atas talian.

Klien yang kami terima sepanjang perjalanan PKP telah menyuarakan ketidakpastian mereka dari segi kedudukan mereka di bawah undang-undang. Perkara-perkara yang dibangkitkan termasuk:

– Bagaimanakah isu-isu yang tertangguh di mahkamah akan ditangani semasa PKP? Sebagai contoh, salah seorang klien kami mempunyai perintah penjagaan interim yang akan luput pada masa PKP. Oleh itu, dia tidak dapat memohon melanjutkan perintah mahkamah itu dan dia tidak dapat membuat pendengaran untuk perintah kekal. Apakah kedudukannya sekarang?

– Bagaimanakah hak lawatan seseorang ibu atau bapa akan dijalankan? Dalam masa PKP, beberapa klien kami tidak dapat bergerak dengan bebas untuk menghantar atau mengambil anak-anak mereka untuk hak lawatan. Dalam satu kes, anaknya sakit dan menimbulkan kerisauan akan risiko mendedahkan anaknya kepada virus Covid 19 akibat pemindahan anaknya ke rumah lain. Adakah ini telah diselaraskan dengan pihak berkuasa lain seperti polis?

– Nafkah masih menjadi masalah. Dalam banyak kes, klien kami tidak mempunyai akaun bank untuk pemindahan wang atas talian, dan penghantaran secara fizikal nafkah tersebut dalam tempoh PKP adalah terbatas.

– Seorang klien risau bahawa kes perceraiannya yang masih tertangguh di mahkamah dan dia tidak dapat makluman dari pihak mahkamah sama ada tarikh baru telah ditetapkan untuknya.

– Perkara yang berkaitan dengan keganasan rumah tangga masih menjadi isu utama di mana pertanyaan untuk tempat perlindungan, laporan polis dan sebagainya masih menjadi isu.

Kami menggesa untuk penjelasan yang jelas dan muktamad mengenai cara penyelesaian bagi kes-kes seperti di atas dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia untuk menangani pertanyaan di atas. Adalah penting bahawa maklumat disebarkan secara meluas kepada orang ramai untuk memastikan orang yang terlibat mengetahui kedudukan mereka di bawah undang-undang Syariah. Kami menggesa pihak berkuasa untuk memberikan perhatian kepada perkara ini dengan segera.

Sisters in Islam

13 April 2020

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email