Semalam, lebih dari seribu orang menyertai #Womensmarchmy, suatu perhimpunan aman anjuran rakyat Malaysia, sempena Hari Wanita Sedunia.
Tuntutan perhimpunan ini ialah: (1) hentikan keganasan berdasrkan gender dan orientasi seksual; (2) haramkan perkahwinan kanak-kanak (3) pastikan hak dan kebebasan untuk membuat pilihan terhadap tubuh dan diri sendiri (4) pastikan gaji minima bermaruah rm1,800; dan (5) hancurkan patriarki dan bina demokrasi di setiap lapisan masyarakat.
Selepas perhimpunan, video dan imej menunjukkan sokongan buat komuniti LGBT telah tersebar atas talian. Ini membawa kepada kecaman dari pelbagai pihak, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa. Menteri tersebut dilaporkan telah mengkritik sokongan tersebut sebagai suatu ‘pencabulan ruang demokrasi’.
Kami amat kecewa dengan reaksi negatif dari pihak kerajaan dan gabungan parti pemerintah – ini menimbulkan keraguan terhadap pemahaman pihak kerajaan tentang apa yang dimaksudkan dengan “ruang demokratik” dan komitmen kerajaan pada prinsip demokrasi itu sendiri.
Wacana masyarakat sivil ialah intipati sesebuah demokrasi. Di dalam demokrasi yang matang, setiap individu (dan kumpulan-kumpulan individu) berhak untuk menyatakan kepentingan mereka secara aman – diberi ruang bersuara tentang polisi yang mendatangkan kesan pada mereka.
Ini salah satu sebab demokrasi mesti menjamin hak individu di bawah perlembagaan (demokrasi tidak hanya bersifat populis atau menyebelahi kumpulan majoriti sahaja). Antara hak yang mesti dipertahankan ialah hak berhimpun secara aman dan hak berekspresi, dan dilayan secara saksama dari segi undang-undang.
Jika kita tidak mengangkat hak kumpulan berkepentingan – ke tahap di mana individu-individu langsung terhalang dari menyuarakan kepentingan mereka – terhapuslah kredibiliti kita sebagai suatu demokrasi. Kerajaan mesti memastikan “ruang demokrasi” untuk semua pihak. Bukan hanya untuk mereka yang telahpun menerima sokongan kerajaan – atau yang dipersetujui golongan majoriti sahaja.
Komuniti berkepelbagaian dari segi orientasi seksual, identiti dan ekspresi gender – yang sering ditekan diskriminasi, keganasan, dan pelbagai cabaran dan kekejaman. Turut sama teraniaya dan memerlukan pembelaan hak asasi ialah wanita pemandiri keganasan berasakan gender, wanita berlainan upaya, wanita pribumi, wanita berkerjaya, wanita yang memerlukan kemudahan kesihatan yang lebih baik – dan semua golongan wanita yang turut serta menyertai #Womensmarchmy.
Media turut melaporkan bahawa menteri tersebut berpendapat “bergantung kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjur”. Turut dilaporkan bahawa “pihak polis bakal merakam percakapan pihak penganjur tidak lama lagi”. Kami amat khuatir dan memandang serius langkah sebegini.
Kami menggesa pihak kerajaan agar berhenti mengganggu aktivis hak asasi wanita dan peserta perhimpunan aman. Sebaliknya, kami menggesa pihak kerajaan untuk menjamin hak semua rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman dan berekspresi, serta menyatakan bagaimana kelima-lima tuntutan perhimpunan tersebut bakal dipenuhi.
Kami berdiri bersolidariti dengan penganjur dan peserta #Womensmarchmy, bersama-sama dengan wanita sedunia yang menganjurkan acara yang serupa.
Disokong oleh organisasi-organisasi JAG berikut:
All Women’s Action Society (AWAM)
Association of Women Lawyers (AWL)
Foreign Spouses Support Group (FSSG)
Justice for Sisters Perak
Women for Women (PWW)
Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower)
Sabah Women’s Action Resource Group (Sawo)
Sarawak Women for Women Society (SWWS)
Sisters in Islam (SIS)
Tenaganita
Women’s Aid Organisation (WAO)
Women’s Centre for Change (WCC)