No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Kenyataan bersama berkenaan perkahwinan kanak-kanak

Dalam beberapa hari lagi, Girls Not Brides, sebuah kerjasama antara beratus-ratus organisasi masyarakat sivil (OMS) yang komited untuk menghapuskan perkahwinan kanak-kanak, akan mengadakan mesyuarat global keduanya di Kuala Lumpur. Ini merupakan peluang yang unik bagi Malaysia untuk menghantar sebuah mesej yang jelas: undang-undang harus dipinda agar had umur minimum untuk berkahwin ditetapkan pada umur 18 tahun dalam semua kerangka undang-undang, termasuk perkahwinan sivil, Islam dan adat istiadat bumiputera, tanpa sebarang pengecualian.

Manifesto Harapan dalam Iltizam 4: Memastikan sistem perundangan melindungi hak dan kehormatan wanita turut menyatakan janji untuk memperkenalkan sebuah undang-undang yang menetapkan umur 18 tahun sebagai had umur minimum untuk berkahwin – sekaranglah waktunya untuk memenuhi janji ini.

Perkahwinan sebelum umur 18 tahun merupakan sebuah pelanggaran mendasar terhadap hak asasi manusia dan hak seorang kanak-kanak yang menjejaskan setiap aspek kehidupannya. Di Malaysia dan tempat-tempat lain di seluruh dunia, perkahwinan kanak-kanak merompak peluang anak-anak ini untuk menikmati zaman kanak-kanak mereka, mengganggu pendidikan, menghadkan peluang, meningkatkan risiko keganasan, dan membahayakan kesihatan.

Perkahwinan kanak-kanak di Malaysia memberi kesan terhadap kanak-kanak perempuan dan lelaki, baik di kawasan bandar mahupun pedalaman. Amalan ini tidak terhad kepada mana-mana agama dan bangsa dan diamalkan oleh komuniti Cina, India, Melayu, serta komuniti orang asal dan pelarian, seperti golongan Rohingya, di Malaysia.

Statistik rasmi tentang perkahwinan kanak-kanak yang berleluasa di Malaysia tidak dikumpul dengan sistematik, dianalisis, atau dilaporkan dengan baik. Walaupun begitu, berdasarkan data Banci Malaysia Tahun 2000, terdapat 6,800 kanak-kanak perempuan dan 4,600 kanak-kanak lelaki di bawah umur 15 tahun yang telah berkahwin. Banci tahun 2010 yang lebih terkini tidak menyertakan data yang dapat dibandingkan. Berdasarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara, terdapat 6,246 permohonan perkahwinan kanak-kanak Islam dan 2,755 kes perkahwinan kanak-kanak bukan Islam dari tahun 2010 hingga 2015.

Di Malaysia, perkahwinan kanak-kanak masih dibenarkan di bawah kedua-dua Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) dan Undang-Undang Keluarga Islam walaupun pihak kerajaan telah menarik balik reservasi ke atas Artikel 16(2) dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Dengan menandatangani dan meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC), Kerajaan Malaysia terikat untuk “mengambil segala langkah yang berkesan dan berpatutan dengan tujuan untuk menghapuskan mana-mana amalan tradisional yang menjejaskan kesihatan kanak-kanak”, termasuk perkahwinan kanak-kanak.

Ini sejajar dengan pembaharuan undang-undang yang telah dilaksanakan oleh negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seperti Algeria, Bangladesh, Maghribi dan Turki untuk meningkatkan had umur minimum perkahwinan kepada umur 18 tahun ke atas. Baru-baru ini juga, Presiden Indonesia, Joko Widodo, telah bersetuju untuk menandatangani sebuah dekri yang akan mengharamkan perkahwinan kanak-kanak.

Perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berkait dengan norma-norma sosial yang diterima umum; kanak-kanak kerap menerima tekanan untuk berkahwin, kadang-kadang daripada ibu bapa sendiri. Misalnya, apabila berhadapan dengan kehamilan bawah umur, perkahwinan kanak-kanak dianggap satu-satunya solusi yang sesuai untuk mengelakkan rasa malu akibat beranak luar nikah, menghalalkan hubungan tersebut, dan kononnya untuk melindungi masa depan pengantin perempuan. Oleh itu, penghapusan perkahwinan kanak-kanak secara berkesan dan mapan memerlukan perubahan dari segi sikap dan tingkah laku untuk mewujudkan norma-norma sosial dan budaya baharu yang tidak bertolak ansur terhadap perkahwinan kanak-kanak di Malaysia.

Dalam usaha menghapuskan amalan perkahwinan kanak-kanak di Malaysia, kami yang bertandatanganan di bawah, menyeru Kerajaan untuk:

  1. Menghasilkan pernyataan komitmen untuk meninggikan had umur perkahwinan kepada umur 18 tahun selaras dengan Manifesto Harapan serta pemerhatian dan saranan daripada pihak Jawatankuasa Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) kepada Malaysia pada bulan Mac 2018.
  2. Perubahan undang-undang untuk menetapkan had minimum umur perkahwinan kepada umur 18 tahun untuk wanita dan lelaki dalam semua kerangka undang-undang, termasuk perkahwinan sivil, Islam dan adat istiadat bumiputera, tanpa sebarang pengecualian, dan dengan syarat kebenaran penuh daripada kedua-dua pihak diperolehi untuk mana-mana perkahwinan.
  3. Mengumpul semak data dengan pisahan umur dan jantina bagi perkahwinan kanak-kanak seperti yang dikumpulkan oleh pihak berkuasa Negeri dan membuatkan maklumat ini sedia ada untuk tatapan awam, termasuk pihak penggubal dasar dan OMS.
  4. Memulakan kempen-kempen peringkat kebangsaan dengan tujuan menggalakkan norma-norma sosial dan budaya yang tidak bertolak ansur terhadap perkahwinan kanak-kanak di Malaysia. Semua OMS dan agensi PBB bersiap sedia untuk menyokong kerajaan dalam membangunkan dan melaksanakan sebuah kempen kebangsaan.

Kanak-kanak hari ini akan membina Malaysia Baharu yang akan datang. Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk memenuhi harapan dan impian mereka, serta mencapai potensi mereka sepenuhnya. Tempat mereka adalah di sekolah – bukan berkahwin sebelum umur 18 tahun.

#GNB2018 #HapuskanPerkahwinanKanakKanak #100HariUntukKanakKanak #MalaysiaBaru

 

####

 

Ditandatangani oleh organisasi masyarakat sivil, agensi Bangsa-Bangsa Bersatu, penyokong dan aktivis yang berikut:

  1. ARAM Foundation
  2. ARROW (Asian-Pacific Resource and Research Centre for Women)
  3. Asia Community Service, Penang
  4. Challenges Foundation
  5. Childline Malaysia MCTF
  6. ECCE Council
  7. Federation of Reproductive Health Associations, Malaysia (FRHAM)
  8. Good Shepherd Services
  9. Kiwanis Down Syndrome Foundation
  10. Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia
  11. Malaysian Advocate for Child Health
  12. Malaysian Association of Social Workers (MASW)
  13. Malaysian Child Resource Institute (MCRI)
  14. Malaysian Medical Association (MMA)
  15. Medical Outreach, Petaling Jaya, Selangor
  16. My Skills Foundation
  17. National Council of Women’s Organization (NCWO)
  18. National Early Childhood Intervention Council (NECIC)
  19. Network for the Needs of Children with Disability, Perak
  20. NGOHub
  21. OrphanCARE Foundation
  22. Pacos Trust
  23. Peng Doh Belaga (Women’s Association of Belaga)
  24. Persatuan Kesedaran Perlindungan Kanak-Kanak Selangor dan KL (Projek Layang-Layang)
  25. Pertubuhan Perkhidmatan Intervensi Awal (PPIA)
  26. Protect and Save the Children (PS the Children)
  27. PUAK Payong
  28. Purple Lily, Kuching
  29. Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia (RRAAM)
  30. Society for Equality, Respect And Trust for All (SERATA)
  31. SUKA Society
  32. The Talisman Project
  33. The Salvation Army Malaysia
  34. Toy Libraries Malaysia
  35. UNHCR Malaysia
  36. UNICEF Malaysia
  37. United Nations University – International Institute for Global Health (UNU-IIGH)
  38. Voice of the Children
  39. Yayasan Chow Kit
  40. Yayasan Generasi Gemilang

Disokong oleh organisasi berikut yang mewakili Joint Action Group for Gender Equality (JAG):

  1. All Women Action Society (AWAM)
  2. Association of Women Lawyers (AWL)
  3. Perak Women for Women (PWW)
  4. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  5. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
  6. SAWO (Sabah Women’s Action Resource Group)
  7. Sarawak Women for Women Society (SWWS)
  8. Sisters in Islam (SIS)
  9. Women’s Aid Organisation (WAO)
  10. Women’s Centre for Change (WCC)

Untuk maklumat yang lebih lanjut serta permintaan wawancara, sila hubungi:

Women’s Centre for Change (WCC), Nadila Daud, Pegawai Advokasi, [email protected], +6016 418 0342

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email