No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Kenyataan Akhbar: Tindakan JAWI Terhadap Nik Raina Nik Abdul Aziz Merupakan Satu Penghinaan Terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Bertentangan dengan Prinsip-prinsip Keadilan Islam

Tindakan Jawi Terhadap Nik Raina Nik Abdul Aziz Merupakan Satu Penghinaan Terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Bertentangan dengan Prinsip-Prinsip Keadilan Islam

Sisters in Islam melahirkan kekecewaan dengan tindakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang terus melakukan tindakan intimidasi terhadap Nik Raina Nik Abdul Aziz dan penghinaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang telah mengarahkan agar Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan untuk menarik balik dan membatalkan tangkapan dan pendakwaan terhadap Nik Raina Nik Abdul Aziz. Tindakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan dan JAWI ini bukan sahaja merupakan satu penghinaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bahkan ianya juga bercanggah dengan prinsip-prinsip keadilan di dalam Islam.
Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan selaku seorang yang memegang jawatan awam adalah tertakluk kepada keputusan semakan kehakiman yang telah diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22.3.2013 dan Mahkamah Rayuan pada 30.12.2014. Pengabaian terhadap perintah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tersebut merupakan satu penghinaan terhadap kedudukan sistem perundangan dan Perlembagaan Persekutuan. Kami menyeru agar Peguam Negara sebagai “guardian of the public interest” mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penghinaan mahkamah yang telah dilakukan oleh Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan dan JAWI ini.
Kami melihat tindakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan dan JAWI adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip keadilan Islam dan sekaligus memberikan imej yang negatif kepada pihak berkuasa agama di negara ini secara khusus dan Islam secara umum.
Pendakwaan terhadap Nik Raina Nik Abdul Aziz merupakan satu penyalahgunaan proses Mahkamah dan pendakwaan yang berniat jahat (malicious prosecution). Bukankah Al Quran menyatakan – Sesungguhnya Allah memerintahkan untuk berlaku adil dan berbuat ihsan (Surah Al Nahl 16:90).

Nik Raina Nik Abdul Aziz telah diperlakukan seperti seorang penjenayah walaupun beliau belum dibicarakan oleh Mahkamah Syariah. Ini bercanggah dengan prinsip Al Aslu Baraah Al Zimmah – Seseorang itu tidak bersalah sehingga diputuskan oleh Mahkamah – yang menjadi asas kepada sistem pengadilan jenayah di dalam Islam.

Tindakan JAWI ini juga merupakan satu pencabulan terhadap Perkara 5, 8, 10 dan 11 Perlembagaan Persekutuan kerana bertentangan dengan hak kebebasan asasi. Ia juga membuka ruang diskriminasi kepada pekerja-pekerja Muslim yang turut mempunyai kebarangkalian untuk berhadapan dengan pendakwaan seperti yang terjadi ke atas Nik Raina Nik Abdul Aziz.
Sisters in Islam
16 March 2015
Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email