No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Kenyataan Akhbar: Poligami atau Ta’liq

Sisters in Islam (SIS) ingin menjelaskan pendirian kami mengenai isu poligami. Pendirian kami ialah agama Islam tidak memaksa seseorang isteri untuk menderita sekiranya suaminya berkahwin lain dan dia tidak rela dengan perkahwinan itu. Ini jelas daripada Hadith yang meriwayatkan bahawa Rasulullah (s.a.w) melarang Saidina Ali berkahwin lain “melainkan jika Ali Ibn Abi Talib menceraikan anakku (Fatimah)…. kerana apa yang menyedihkannya menyedihkanku juga” (Sunan Ibn Majah) Pendekatan kami ialah supaya langkah-langkah yang wajar dan seimbang hendaklah diambil untuk menjaminkan bahawa:

1. isteri yang sanggup menerima suaminya berkahwin lain perlu dipastikan tidak akan mengalami ketakadilan dari segi ekonomi atau kewangan; dan2. isteri yang tidak sanggup menerima suaminya berkahwin lain hendaklah diberi pilihan untuk mendapat perceraian melalui ta’liq.Memberi isteri hak untuk membuat pilihan melalui ta’liq tidaklah mengharamkan sesuatu yang halal. Cerai ta’liq juga adalah sesuatu yang halal. Jika isteri dihalang membuat pilihan sedemikian, tindakan itu juga akan mengharamkan sesuatu yang halal. Membenarkan isteri menetapkan syarat mengenai poligami dalam perjanjian ta’liq bukanlah tafsiran baru yang hanya timbul dalam zaman moden ini.

Ia adalah hukum daripada mazhab Hanbali, iaitu mazhab yang paling tradisional di kalangan empat mazhab ahli-Sunnah wal Jama’ah. Hukum tersebut kini diterimapakai di kalangan berbagai masyarakat Islam di Timur Tengah, termasuk di kalangan orang Islam yang bukanlah pengikut mazhab Hanbali.

Prinsip mengenai takhayyur (pemilihan) and talfiq (penggabungan) membenarkan penerimaan pandangan daripada mana-mana mazhab yang diiktiraf dalam perundangan keluarga Islam.

Sisters in Islam
23hb Januari 2003

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email