No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Kenyataan Akhbar Mengenai Agensi Sokongan Kanak-Kanak Kebangsaan

Sisters in Islam mengalu-alukan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Senator Heng Seai Kai, bahawa kementerian ini sedang mengkaji penubuhan satu agensi untuk mengawal pembayaran nafkah keperluan kepada anak-anak akibat dari perceraian ibu-bapa mereka. Akan tetapi persoalannya disini yang ingin kami utarakan ialah sekiranya agensi ini mempunyai bidang kuasa hanya ke atas keluarga bukan Islam.

Kami dengan ini menekankan bangkangan terhadap bentuk kecenderungan yang semakin ketara di negara ini dalam layanan yang diberikan kepada orang Islam dan  bukan Islam yakni secara berbeza, terpisah dan tidak saksama.

Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk menerima nafkah keperluan dan perhatian daripada ibu-bapa mereka. Malangnya, kes-kes yang diterima oleh Sisters in Islam melalui talian bantuan Telenisa telah menunjukkan isu pembayaran nafkah keperluan anak-anak masih merupakan satu masalah yang penting dan utama. Daripada hampir 800 kes-kes yang diterima pada tahun 2007, 35 peratus adalah berkaitan pembayaran nafkah, menjadikannya satu kes yang majoriti.

Kami menghargai usaha-usaha yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kehakiman Shariah Malaysia (JKSM) untuk membantu wanita Islam di Kuala Lumpur di mana bekas suami telah gagal untuk membayar nafkah keperluan, dengan penyediaan pinjaman kepada wanita-wanita ini. Akan tetapi, impak boleh-ukur dari inisiatif ini adalah terhad. Ini disebabkan terdapat perbezaan bidang kuasa negeri-negeri dan kekangan sedia ada di dalam unit Bantuan Sokongan Keluarga di bawah JKSM ini. Paling utama, inisiatif ini bukan sahaja gagal untuk menjadikan para bapa lebih bertanggungjawab dan membayar nafkah keperluan, tetapi juga gagal untuk membolehkan ibu-bapa dan anak-anak mencari penyelesaian yang sepatutnya. Malaysia perlu untuk keluar dari melakukan pendekatan kebajikan yang cuma menyediakan pemberian, dan mencari satu pendekatan yang menjurus kepada pencapaian hak-hak asasi yang boleh dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.

Agensi Sokongan Kanak-Kanak Kebangsaan berupaya menyediakan sokongan kepada ibu-bapa yang bercerai dengan mentadbir taksiran dan pengumpulan pembayaran nafkah keperluan kepada ibu atau bapa yang mempunyai hak penjagaan anak. Skim yang sama telah terbukti berkesan di beberapa negara. Di negara Australia, sebelum Skim Sokongan Anak-anak 1988 ditubuhkan, kurang daripada 25 peratus ibu-bapa yang mempunyai perintah mahkamah membuat pembayaran atau menerima bantuan. Sejak skim ini dijalankan, lebih daripada 96 peratus kes tunggakan sokongan kanak-kanak semenjak tahun 1988 telah berjaya dikumpul atau dilaksanakan.

Kami ingin menarik perhatian kepada negara-negara seperti Australia yang telah meletakkan agensi ini di bawah system pentadbiran Negara dan bukan di bawah badan perundangan, supaya menekankan prinsip hak kanak-kanak kepada nafkah bukan untuk dipertikaikan oleh ibubapa. Hak kanak-kanak untuk mendapat didikan dan pembangunan yang mencukupi adalah keperluan hak asasi penting untuk mereka.

Tambahan pula, penubuhan dua mekanisma pengawalan berbeza tetapi dengan tugas yang sama hanya akan menambah beban sumber dan memberi penarafan keadilan yang boleh dipertikaikan dan secara tak langsung melibatkan agama seseorang. Realitinya, orang Islam dan bukan Islam di Malaysia tidak tinggal di dalam komuniti berasingan. Sekiranya kes melibatkan salah seorang telah memeluk agama Islam, adakah satu pihak terpaksa berurusan dengan dua agensi yang berbeza?

Sisters in Islam dengan ini menyeru Kerajaan menubuhkan satu Agensi Sokongan Kanak-Kanak Kebangsaan untuk semua rakyat Malaysia. Fungsi agensi ini adalah untuk mengesan sumber kewangan ibu-bapa, mentaksir jumlah yang perlu dibayar berdasarkan keperluan anak-anak dan keupayaan ibu-bapa, dan menguat-kuasakan pembayaran nafkah keperluan tersebut. Kami menegaskan kepada sifat neutral pentadbiran agensi ini dan kerana itu tiada isu akan ditimbulkan samaada agensi ini harus di terima di bawah kuasa undang-undang Shariah mahu pun Sivil. Adalah tidak patut sekiranya majoriti kanak-kanak di negara ini dinafikan hak mereka untuk mendapat sokongan dari ibu-bapa di bawah satu skim sokongan anak.

 

Dr Hamidah Marican
Pengarah Urusan
Sisters in Islam

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email