No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Kenyataan Akhbar: Memberikan Subsidi Kepada Lelaki Berpoligami?

Kenyataan Akhbar: Memberikan Subsidi Kepada Lelaki Berpoligami?
Sisters in Islam amat terkilan terhadap keputusan Kerajaan Negeri Melaka yang memberi kelonggaran kepada lelaki yang beristeri dua untuk membeli rumah murah untuk isteri keduanya. Keputusan ini mempunyai implikasi yang luas dan menimbulkan banyak soalan dan manampakkan banyak kepincangan.

Pertama, ini melanggar undang-undang Keluarga Islam Negeri Melaka yang menetapkan bahawa seseorang lelaki yang ingin berpoligami mesti mempunyai kemampuan untuk menanggung isteri kedua dan orang tanggungannya, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak. Kelonggaran ini dengan sendirinya mengakui bahawa si suami sememangnya tidak mampu berpoligami. Jadi atas dasar apakah permohonan berpoligami tersebut diluluskan?

Kedua, walaupun Ketua Menteri Melaka menafikan bahawa Kerajaan Negeri menggalakkan poligami, kesan keputusan tersebut jelas sekali mejadi satu insentif untuk lelaki berpoligami. Ini kerana wang rakyat yang diperuntukkan kepada golongan yang berpendapatan rendah secara tidak langsung disalurkan kepada lelaki yang ingin mengamalkan poligami.

Ketiga, memandangkan keperluan rumah kos rendah oleh golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal, orang tua dan orang kurang upaya, bagaimanakah kerajaan negeri Melaka boleh membuat keputusan yang mendiskriminasi terhadap golongan-golongan ini dan pada masa yang sama menguntungkan lelaki berpoligami?

Keempat, adakah ini bermakna Kerajaan Negeri Melaki membuat polisi baru untuk memberikan subsidi kepada lelaki berpoligami? Adakah keputusan ini akan juga melibatkan lelaki yang beristeri tiga atau empat? Adakah Kerajaan Negeri akan meluluskan rumah rasmi tambahan kepada pegawai kerajaan yang berpoligami?

Kelima, jika si suami menceraikan isteri kedua, adakah rumah itu menjadi harta si suami atau pun harta isteri kedua?

Persoalan-persoalan di atas merupakan hanya sebahagian daripada kemusykilan yang timbul. Memandangkan keputusan ini mempunyai implikasi yang meluas, kami menggesa pihak Kerajaan Negeri Melaka mengkaji semula keputusan ini.

Sisters in Islam
26 Febuari 2004

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email