No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Kenyataan Akhbar: Kelewatan Kes Cerai di Mahkamah Syariah

Sisters in Islam mengadakan Sidang Akhbar ini adalah untuk menarik perhatian masyarakat tentang masalah kelewatan yang dihadapi oleh wanita Islam dalam usaha untuk mendapatkan cerai di Mahkamah Syariah. Kami berharap pihak akhbar dan media elektronik dapat memberi liputan meluas kepada isu ini kerana ianya melibatkan kebajikan kaum wanita secara keseluruhannya.

Isu kelewatan mendapat cerai (terutamanya apabila suami tidak bersetuju) bukanlah sesuatu yang baru kepada kita semua tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang tanda yang ianya akan berakhir. SIS bersama NGO’s yang lain telah beberapa kali menghantar memorandum dan juga mengadakan bengkel-bengkel kesedaran tentang hak-hak wanita namun kaum Hawa masih lagi menjadi mangsa berbagai bentuk diskriminasi.

Antara faktor yang menyebabkan wanita Islam lewat mendapat penceraian ialah kerana adanya ketidakseragaman dalam perlaksanan prosedur penceraian di Mahkamah Syariah. Walaupun undang-undang dengan jelas menggariskan yang wanita berhak untuk meminta cerai melalui Tebus Talaq, Taqliq dan Fasakh namun realitinya hak mereka terhadap penceraian sering dinafikan. Sesetengah Mahkamah tidak mengikut undang-undang yang tertulis tetapi membuat keputusan mengikut apa yang mereka rasakan betul. Ada Mahkamah yang tidak mahu memberikan Fasakh kepada wanita dengan alasan mereka tidak mahu ‘menanggung dosa’. Tetapi tidakkah terfikir oleh mereka yang membiarkan wanita ‘digantung tidak bertali’ oleh suaminya adalah berdosa ?

Adakalanya kes ditangguhkan tanpa sebab yang munasabah dan Mahkamah mengeluarkan perintah yang menyusahkan wanita. Contohnya, wanita dipaksa mengambil peguam walaupun undang-undang dengan jelas mengatakan yang mereka boleh membela diri sendiri. Alasan yang diberikan ialah wanita tidak tahu undang-undang dan juga prosedur Mahkamah. Wanita juga selalu dituduh yang mereka tidak tahu hak. Persoalannya di sini, apakah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh Pegawai Mahkamah untuk menolong wanita-wanita Islam dalam memahami prosedur dan hak-hak mereka ? Malah, wanita yang tahu hak-haknya seperti Aida Melly tetap dinafikan haknya untuk mendapat penceraian daripada suami yang menderanya secara fizikal dan mental.

Sikap bias dan tiadanya kepekaan gender dikalangan kakitangan Mahkamah pula telah menyebabkan masalah kelewatan ini menjadi lebih serius. Wanita dilabel sebagai ‘tidak Muslimah’ jika mereka cuba mendapatkan penceraian tanpa persetujuan suami. Mereka akan diberitahu apakah ciri-ciri wanita yang baik (mesti patuh kepada suami) dan pelbagai rintangan terpaksa dihadapi hanya untuk mendapatkan cerai. Namun jika lelaki yang meminta cerai, permohonan mereka akan diluluskan dengan cepat. Sikap bias dan tiadanya kepekaan Gender ini menyebabkan wanita hilang kepercayaan terhadap Mahkamah sebagai badan yang memberi keadilan kepada mereka.

Tidak cukup dengan mahkamah, wanita juga menjadi mangsa kepada sikap tidak bertanggungjawab peguam Syarie yang mengambil kesempatan ke atas wanita yang tidak berapa jelas tentang undang-undang. Kami banyak menerima aduan dimana peguam yang mewakili wanita-wanita ini bersekongkol dengan peguam yang mewakili pihak suami untuk melewatkan proses penceraian. Ada juga peguam yang sengaja memfailkan cerai Fasakh walaupun wanita tersebut layak untuk mendapat cerai Taqliq. Sebagaimana yang kita tahu, cerai Fasakh adalah lebih berat dari segi beban pembuktiannya. Wanita yang tidak mampu untuk mendapatkan peguam sendiri pula terpaksa pergi ke Biro Bantuan Guaman (BBG) untuk mendapatkan peguam. Kekurangan peguam dan kakitangan di BBG telah menyebabkan wanita terpaksa mengambil masa yang lama untuk mendengarkan kesnya di Mahkamah.

Pejabat Agama (PA) juga memainkan peranan dalam kelewatan sesuatu kes cerai. Walaupun kaunseling di PA adalah tidak wajib di bawah undang-undang tetapi kerapkali wanita dipaksa untuk menghadiri sesi kaunseling dengan alasan untuk menyelamatkan rumahtangga walaupun suami mereka sangat terkenal dengan keganasannya dan ada juga yang sudah dipenjarakan. Ada juga Mahkamah yang hanya akan mendengar kes cerai jika wanita tersebut telah pergi ke sesi kaunseling yang dianjurkan oleh PA dan mereka mesti mendapatkan surat pengesahan daripada jabatan berkenaan. Jika dilihat kepada Status Kes Mal Mahkamah Syariah Selangor (Januari-Disember 1999), terdapat sebanyak 827 kes permohonan cerai telah direkodkan. Hanya 478 kes yang berjaya diselesaikan dan bakinya, 178 kes masih tertangguh dan 139 masih belum dibicarakan.

Namun begitu, kami mengiktiraf langkah positif yang diambil oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia terutamanya oleh Dato’ Sheikh Ghazali dalam mengeluarkan ‘Arahan Amalan’ untuk Mahkamah Syariah Negeri-Negeri dalam memastikan Mahkamah mengikut prosedur yang betul. Dalam Arahan Amalan No.2 Tahun 2001 ianya ada menyentuh tentang Had Masa Sebutan dan Perbicaraan Kes;

Sebutan satu-satu kes hendaklah dibuat dalam tempoh 21 hari selepas kes difailkan dan tempoh penyelesaian kes adalah 30 hari dengan syarat segala kehendak kes dipatuhi dan prosiding kes berjalan lancer,. Arahan ini adalah berkuatkuasa serta merta.

Persoalannya disini, bagaimana Mahkamah dapat memastikan bahawa mereka yang terlibat dalam prosiding kehakiman mematuhi segala kehendak kes untuk mengelakkan kelewatan tempoh penyelesaian? Arahan Amalan No.4 Tahun 2001 pula antara lain menyebut; ……untuk mengelak tangguhan kes tanpa tarikh dan berlakunya kes-kes tertangguah, dengan itu sebarang penangguhan kes hanya dibenarkan atas alas an-alasan yang munasabah dan ianya hendaklah secara bertarikh untuk perbicaraan berikutnya. Arahan ini berkuatkuasa serta merta. Arahan Amalan ini adalah satu langkah bijak yang diambil oleh Jabatan Kehakiman tetapi siapakah yang dapat memastikan yang Mahkamah-mahkamah mematuhi arahan ini ?

Dengan itu, kami ingin mencadangkan beberapa langkah untuk mengatasi atau mengurangkan kes-kes kelewatan dalam proses penceraian. Antaranya :

1Menyeragamkan prosedur penceraian di semua Mahkamah Syariah.

– Prosedur hendaklah tidak terlalu rumit sehingga menyusahkan kaum wanita.
– Elakkan penggunaan prosedur yang bercanggah dengan peruntukan undang-undang.

2. Kakitangan Mahkamah termasuk Hakim hendaklah diwajibkan melalui kursus “Kepekaan Gender’ sebelum mendengar sebarang kes. Kursus ‘Kepekaan Gender’ akan membantu mereka bersikap lebih sensitif terhadap wanita dan tidak bersikap menghakimi (judge -mental).

3. Suatu Lembaga Disiplin Khas perlu ditubuhkan untuk mengawasi tindak-tanduk kakitangan Mahkamah agar mereka tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan dan bertindak sesuka hati sehingga merumitkan kes.

4. Pentadbiran Mahkamah – Bilangan Hakim (yang Gender Sensitif) perlu ditambah dan dilantik Hakim Wanita. Insentif yang menarik perlu diberikan untuk menarik lebih ramai orang yang bertauliah.

5. Pentadbiran dan Proses di Jabatan Agama dan MahkamahKaunseling – mestilah secara sukarelawan (bukan kemestian) dan dijalankan oleh Kaunselor yang bertauliah dan Geder Sensitif. Ianya hendaklah dalam tempoh
yang terhad (3-6) bulan.

6. Peraturan-peraturan Jawatankuasa Peguam Syarie dan Lesen Peguam mengenai kelayakan Peguam Syarie serta mengenai pemberian, pembaharuan dan pembatalan lesen Guaman diselenggarakan dan diselaraskan pada peringkat semua negeri.

7. Pembelaan diri.

– Wanita mestilah diberikan hak untuk membela diri sendiri.
– Mahkamah perlu meletakkan inisiatif dalam mewujudkan Klinik Guaman untuk menerangkan kepada wanita tentang hak-hak mereka dan juga prosedur di mahkamah (sekurang-kurangnya dua kali seminggu).
– Untuk memudahkan wanita, prosedur dan kaedah Mahkamah hendaklah dipermudahkan dan tidak terlalu teknikal.

Akhir sekali, kami menggesa supaya segala ketidakadilan terhadap kaum wanita dalam proses mendapatkan penceraian dihapuskan. Ini selaras dengan apa yang dikatakan oleh Sayyidina Ali r.a ; ‘Tidak Memuliakan Perempuan Kecuali Orang Yang Mulia, Dan Tidak Menghinakan Perempuan Kecuali Orang Yang Hina.’

Pindaan terbaru terhadap Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini yang melarang sebarang bentuk diskriminasi berdasarkan gender membawa satu cabaran kepada Mahkamah Syariah dan juga pihak berkuasa Agama di Malaysia bagi mengambil langkah untuk menghentikan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita Islam di dalam Islam di dalam undang-undang dan juga amalan yang dilakukan atas nama Islam.

Hak untuk kesamarataan dari segi undang-undang dan kesamarataan dari segi perlindungan undang-undang dan kini untuk tidak didiskriminasi berdasarkan gender adalah satu jaminan Perlembagaan untuk dinikmati oleh kesemua rakyat Malaysia, samada yang beragama Islam ataupun yang bukan beragama Islam.

Sister in Islam percaya bahawa tiada apa-apa jua peruntukan dalam Perlembagaan ini yang bercanggah dengan Islam, suatu agama yang memegang prinsip kesamarataan dan keadilan untuk semua.

Dalam usaha untuk memenuhi tuntutan daripada jaminan Perlembagaan ini, Sisters in Islam melancarkan kempen untuk mengakhiri kelewatan dan ketidakadilan yang dialami oleh wanita di Mahkamah Syariah di dalam prosedur penceraian.

Masaah ini bukanlah sesuatu yang baru dan wanita Islam hari ini mahukan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap mereka dihentikan. Kami mengakui yang Undang-undang Keluarga Syariah di Malaysia membolehkan wanita mendapatkan ceraimelalui ta’liq dan juga menyediakan 12 alasan yang berlainan untuk membolehkan wanita mendapatkan penceraian melalui fasakh. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan dalam perlaksanaan undang-undang yang telah menyumbang kepada kelewatan dan ketidakadilan yang dialami oleh wanita Islam. Ini termasuklah:

1. Gender bias dalam sikap Mahkamah

Ketika kaum lelaki tidak mengahadapi sebarang halangan dalam mendapatkan penceraian, Mahkamah didapati kerap bersikap enggan untuk memberikan penceraian kepada wanita tanpa persetujuan suami mereka walaupun alas an untuk penceraian adalah jelas. (lihat kes Aida, Esah dan Siti). Apabila wanita yang memohon penceraian, Mahkamah didapati begitu bersungguh untuk mempertahankan kesucian sesuatu perkahwinan walaupun perkahwinan tersebut memang sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Bagaimanapun, sikap ini tidak pula menghalang proses penghakiman di Mahlkamah jika lelaki yang inginkan penceraian.

2. Kelemahan dalam prosedur

– Mahkamah begitu menekankan kepada penggunaan peguam walaupun undang-undang membenarkan wanita untuk membela diri sendiri.
– Mahkamah juga begitu menekankan kepada proses perundingan walaupun kedua-dua belah pihak telah pun gagal untuk mencapai sebarang persetujuan melalui perundingan. Mahkamah juga begitu menekankan kepada kehadiran suami dan membenarkan beberapa penangguhan ke atas kes-kes hanya kerana ketidaknhadiran suami di Mahkamah.

3. Sesi Kaunseling

Sesi kaunseling yang dianjurkan oleh Jabatan Agama adalah tidak wajib di bawah undang-undang, tetapi wanita adakalanya dikehendaki untuk menghadiri sesi tersebut sebelum kes mereka didengarkan di Mahkamah, walaupun di dalam kes di mana si suami adalah seorang yang ganas dan juga telah dijatuhkan hukuman penjara (lihat kes Esah).

4. Masalah dengan peguam

Wanita kadang-kadang menerima nasihat yang tidak sepatutnya daripada peguam yang menyuruh mereka supaya pulang semula kepada suami. Oleh sebab itu, wanita merasakan peguam mereka berada di pihak suami dan bukannya di pihak mereka. Wanita juga menghadapi masalah dengan kos peguam yang tinggi apabila kes mereka ditangguhkan. Wanita yang tidak mampu untuk mendapatkan khidmat peguam swasta terpaksa pergi ke Biro Bantuan Guaman (BBG) untuk bantuan. Kekurangan peguam dan kakitangan di BBG telah menyebabkan masalah kes tertangguh dan kelewatan kes ke Mahkamah menjadi lebih serius.

5. Kekurangan Maklumat

Wanita selalu dituduh jahil tantang hak-hak mereka sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan juga tahlil tentang prosedur yang betul dalam membuat permohonan cerai. Wanita tidaklah boleh dijangka untuk mengetahui kesemua soal teknikal di dalam undang-undang tersebut dan kurangnya maklumat dalam sesetengah prosedur asas ( seperti mengisi borang yang betul dan sebagainya) telah menyebabkan kes-kes ini tertangguh.

6. Kelemahan dalam pentadbiran

Kelewatan juga disebabkan oleh kelemahan dalam system pentadbiran contohnya kesukaran dalam mendapatkan salinan sijil perkahwinan yang diperlukan oleh mahkamah sebelum kes dapat didengar di Mahkamah.

Kami juga mengiktiraf langkah-langkah positif yang telah diambil oleh Jabatan Kehakiman Syariah di bawah Dato’ Sheikh Ghazali melalui Arahan Amalan yang dikeluarkan kepada Mahkamah Syariah bagi mengurangkan masalah kelewatan. Contohnya, Arahan Amalan No.2 tahun 2001 ada menyatakan bahawa kes hendaklah disebut dalam tempoh 21 hari selepas kes difailkan dan Arahan Amalan No.4 tahun 2001 pula menyatakan bahawa penangguhan kes hanya dibenarkan dengan adanya alasan yang munasabah dan tarikh perbicaraan seterusnya hendaklah diberi. Namun begitu, kami begitu mengambil berat tentang keberkesanan perlaksanaan ke atas arahan-arahan ini.

Berikut adalah cadangan-cadangan daripada pihak kami dalam usaha untuk membantu menyelesai atau mengurangkan masalah kelewatan dalam prosedur penceraian.

Proses dan Prosedur:

1. Selaraskan prosedur di semua Mahkamah Syariah untuk mengatasi masalah-masalah dan kekeliruan yang disebabkan oleh kurangnya keselarasan.

2. Sesi kaunseling hendaklah secara sukarela dan bukannya satu kemestian dan hendaklah dijalankan oleh kaunselor yang berkelayakan dan mempunyai kepekaan gender. Masa untuk sesi ini perlulah dihadkan (3-6 bulan sahaja).

3. Prosiding ringkas perlu disediakan untuk kes Ta’liq sebagaimana yang disediakan untuk kes Talaq.Dalam kes perselisihan keterangan, pengakuan bersumpah daripada isteri yang suaminya telah melanggar mana-mana perjanjian perkahwinan dalah sepatutnya mencukupi bagi Hakim untuk memberikan penceraian kepada isteri.

4. Cerai, apabila sudah disabitkan oleh Mahkamah, adalah tidak layak untuk dirayu. Walaupun rayuan terhadap penolakan sesuatu permohonan cerai dibenarkan, tetapi di dalam kes di mana cerai sudah disabitkan, rayuan sepatutnya hanya dibuat terhadap isu-isu sampingan sahaja.

Perlantikan Hakim dan juga Pegawai.

5. Tambahkan bilangan Hakim Syariah dan Pegawai Mahkamah termasuk dengan melantik hakim wanita. Insentif yang lebih baik sepatutnya diadakan bagi menarik lebih ramai orang yang layak untuk memegang jawatan-jawatan tersebut.

6. Kursus kepekaan gender dijalankan bagi Hakim, Hakim Syariah dan Pegawai Mahkamah.

Nasihat guaman

7. Tambahkan jumlah pegawai di Biro Basntuan Guaman

8. Menubuhkan satu badan seperti Majlis Peguam Syariah untuk mengawasi peguam Syariah dan juga untuk menyediakan satu tempat untuk menyelesaikan masalah klien.

9. Menyediakan ruang untuk menubuhkan satu Klinik Bantuan Guaman di Mahkamah untuk membantu wanita yang mewakili diri sendiri.

Kami begitu berharap yang pindaan terbaru kepada Perlembagaan Persekutuan akan menjadi satu langkah utama di dalam proses untuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita Islam di dalam undang-undang dan juga praktis untuk merealisasikan prinsip kesamarataan dan keadilan yang termaktub di dalam ajaran Islam.

SISTERS IN ISLAM

24th Ogos 2001.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email