Sisters in Islam (SIS) merujuk kepada isu sumpah bai’ah talaq oleh ahli golongan PAS yang mempolitikkan institusi perkahwinan. Tindakan ini adalah bercanggah dengan Islam dan ketamadunan kerana ia mengulangi amalan Arab Jahiliyah yang menganggap wanita sebagai barang dagangan yang boleh diwarisi dan dilepaskan sesuka hati. Institusi perkahwinan tidak seharusnya dicemari dengan permainan politik yang mengatasnamakan Islam untuk agenda dan kepentingan parti dan individu tertentu.
SIS juga turut berdukacita dan kesal dengan kenyataan daripada Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan, sebagaimana yang dilaporkan di media. Kenyataan beliau yang menyatakan talaq secara bai’ah adalah sah sebelum apa-apa kes difailkan dan/atau dirujuk di mahkamah adalah tidak beretika dan mengelirukan. Mahkamah Syariah sewajarnya hanya memutuskan sesuatu kes perceraian setelah mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak yang bertikai.
Perkahwinan adalah sebuah komitmen kukuh di antara pasangan lelaki dan perempuan untuk membentuk keluarga yang akan menjadi juzuk-juzuk kecil ke arah pembentukkan masyarakat, negara dan ketamadunan. Perhubungan di antara suami dan isteri adalah berasaskan kepada prinsip-prinsip kesetaraan, kasih-sayang dan bukanlah sebagai satu barang dagangan atau permainan yang boleh diperkotak-katikkan termasuklah oleh pemain-pemain politik. Perkahwinan merupakan satu ikatan yang sangat kuat di antara pasangan lelaki dan wanita selaras dengan firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Nisaa’ (4:21), “…Dan mereka (isteri) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kukuh.”
Allah S.W.T juga memerintahkan agar suami memperlakukan isteri dengan baik dan selayaknya sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al-Nisaa’ (4:19), “…Dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana ingin mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka. Dan perlakukanlah mereka dengan baik, sekiranya kamu tidak senang dengan mereka bersabarlah kerana mungkin kamu menyangka kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”
Malaysia seharusnya menjadi contoh dalam perundangan keluarga Islam kepada negara majoriti Islam yang lain, bukan memperlekeh perundangan keluarga Islam. Oleh itu, tindakan yang tidak menghormati institusi keluarga dalam bentuk mempolitik perkahwinan adalah tidak wajar, terutama sekali daripada ahli pemimpin negara.
22 Julai 2015
Sisters in Islam