Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Mesti Meletakkan Keutamaan di Tempat yang Betul: Hentikan Stereotaip Berbahaya, Fokus Kepada Isu Wanita Kritikal & Berkomunikasi dengan Organisasi Masyarakat Sivil Secara Konstruktif
Gabungan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG) bersama-sama dengan organisasi masyarakat sivil yang bertandatangan di bawah ini ingin menyatakan rasa kekecewaan yang mendalam dan amat mengambil berat terhadap kesilapan serius yang dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menteri Wanita dan Timbalannya telah dilantik selepas pengambilalihan kerusi pentadbiran kabinet yang tidak dijangka oleh Perikatan Nasional. Di tengah-tengah kekalutan yang semakin meningkat disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang memberi kesan yang besar terhadap ekonomi, reaksi pertama Timbalan Menteri ialah untuk menyarankan tindakan mengawal pakaian seragam para pramugari. Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, talian sokongan Kementerian, iaitu Talian Kasih segera ditutup, dan talian tersebut hanya dihidupkan semula selepas mendapat bantahan awam yang kuat. Seterusnya, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) mengeluarkan e-poster terkenalnya yang meminta wanita untuk memakai alat solek di rumah dan bercakap seperti Doraemon untuk menggembirakan suami mereka. Respon kemarahan awam yang dicetuskan oleh poster itu dapat difahami, justeru Malaysia telah menjadi bahan ketawa di seluruh dunia.
Respon Kementerian terhadap tindak balas ini hanyalah sekadar permintaan maaf bersyarat kerana menyinggung “sensitiviti” sesetengah pihak. Ianya amat sedih sekali kerana ini telah menunjukkan kegagalan Kementerian untuk memahami bagaimana stereotaip gender dalam masyarakat boleh merendahkan wanita.
Dalam situasi kritikal yang tidak pernah berlaku sebelum ini, di mana ramai wanita terutamanya yang berada dalam kalangan B40 dan kumpulan rentan yang lain sedang bergelut untuk terus hidup, namun kesilapan terhadap keutamaan yang dikehadapankan oleh KPWKM menunjukkan betapa kurangnya kepekaan Kementerian terhadap realiti masyarakat di peringkat akar umbi. Walaupun Perdana Menteri telah mengemukakan alasan bahawa Menteri dan Timbalan merupakan penjawat baru dalam tugas mereka, namun harapan tinggi orang awam terhadap
mana-mana Menteri dan Timbalan yang dilantik adalah agar mereka bersungguhsungguh dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipikul. Tambahan pula, kementerian tersebut merupakan sebuah Kementerian yang ditugaskan untuk menjaga kepentingan wanita, yang mana mereka ini membentuk 50% populasi penduduk, dan tugas serta tanggungjawab mereka semua tidak boleh sama sekali dipandang enteng.
Selama lebih satu dekad, kumpulan masyarakat sivil – terutamanya organisasi wanita dan kanak-kanak – telah terlibat dengan KPWKM dalam menggerakkan agenda wanita untuk negara. Ini termasuklah inisiatif kritikal pembaharuan perundangan mengenai gangguan seksual, perbuatan mengendap dan mengintip (stalking), cuti paterniti, kesaksamaan gender, perkahwinan kanak-kanak dan bidang-bidang penting lain yang memberi kesan kepada wanita dan kanak-kanak. Semua agenda tersebut bertujuan demi menjaga kepentingan semua lapisan masyarakat secara umumnya.
Disebabkan oleh krisis semasa yang semakin berlarutan, banyak negara menyaksikan fenomena yang membimbangkan mengenai peningkatan dalam keganasan rumah tangga di peringkat global yang menimpa wanita dan kanak-kanak perempuan, seperti yang diperingatkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu. Di Malaysia, masih belum ada pengumuman untuk membantu wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan ataupun sebagai contoh, sebarang dasar untuk menyokong wanita miskin yang dijangka menjadi lebih terdedah pada masa-masa krisis seperti sekarang.
Kami ingin mengingatkan KPWKM bahawa Perkara 5, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), yang diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995, menuntut agar kerajaan kita mengambil segala langkah yang sesuai untuk menghapuskan stereotaip peranan jantina antara wanita dan lelaki yang mendiskriminasi.
Sekarang adalah masanya untuk KPWKM bertindak dan memberikan kepimpinan yang diperlukan oleh wanita, keluarga, dan masyarakat kita bagi menghadapi krisis semasa dan selepas krisis dengan berkesan. Hal ini termasuklah menilai dan menghargai kerja penjagaan tanpa gaji yang dilakukan oleh wanita, mengiktiraf kerentanan mereka terhadap keganasan berdasarkan gender, mengenalpasti kesulitan ekonomi yang dihadapi berikutan wabak pandemik, dan begitu banyak isu mendesak lain yang memerlukan masa, perhatian, dan penyelesaian praktikal kita.
Kami menyeru agar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengeluarkan permintaan maaf tanpa syarat atas kandungan e-poster JPW yang bukan sahaja menyinggung masyarakat, tetapi juga mempunyai implikasi yang meluas terhadap martabat dan kesejahteraan wanita, dan memastikan agar semua komunikasi awam bagi pihak KPWKM tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang serupa.
Kami juga menyedari bahawa keadaan pandemik COVID-19 adalah amat sukar dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjadikannya sukar bagi organisasiorganisasi masyarakat sivil untuk melibatkan diri secara bermakna dengan Kementerian.
Oleh sebab itu, kami menggesa agar KPWKM memulakan komunikasi dan penglibatan sedemikian, terutamanya dengan organisasi wanita dan kanak-kanak secepat mungkin untuk sama-sama memikirkan secara konstruktif isu-isu pemberdayaan wanita, keluarga, dan komuniti sejajar dengan kewajipan kerajaan yang sedia ada untuk mengangkat hak asasi wanita dan kesaksamaan gender seperti yang termaktub dalam CEDAW, Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), dan Perlembagaan Persekutuan.
###
Disokong oleh organisasi anggota Gabungan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG) seperti berikut :
1. Women’s Centre for Change (WCC)
2. Women’s Aid Organisation (WAO)
3. Sisters in Islam (SIS)
4. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
5. All Women’s Action Society (AWAM)
6. Perak Women for Women (PWW)
7. Association of Women Lawyers (AWL)
8. Justice for Sisters (JFS)
9. Tenaganita
10. Foreign Spouses Support Group (FSSG)
11. Sabah Women’s Action-Resource Group (SAWO)
12. Sarawak Women for Women Society (SWWS)
13. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
14. Knowledge and Rights with Young People through Safer Spaces (KRYSS)
Turut disokong oleh organisasi masyarakat sivil seperti berikut:
15. Centre for Independent Journalism (CIJ)
16. Bersih 2.0
17. G25 Malaysia
18. Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran)
19. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
20. ENGAGE
21. Pusat Komunikasi Masyarakat (Pusat KOMAS)
22. North South Initiative
23. Federation of Reproductive Health Associations, Malaysia (FRHAM)
24. National Early Childhood Intervention Council (NECIC)
25. Voice of the Children 26. Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
27. Freedom Film Network (FFN)
28. People Like Us Hang Out! (PLUHO)
29. Queer Academics, Students and Supporters Alliance (QUASSA)
30. Queer Lapis
31. Seksualiti Merdeka
32. L-Inc Foundation
33. BENTARAKATA
34. PLUsos (People Like Us Support Ourselves)
35. Reproductive Health Association of Kelantan (ReHAK)
36. Sustainable Development Network Malaysia (SUSDEN Malaysia)
37. Local Unionist Networks Malaysia (LUN)
38. Global Shepherds
39. Oriental Hearts and Mind Study Institute (OHMSI)
40. Tanah Dahai
41. Treat Every Environment Special (TrEES)
42. Ruang Kongsi
43. Desa Ria Residents Association, Sungai Ara, Penang
Mengenai Gabungan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG)
Gabungan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG) adalah gabungan 14 buah organisasi hak wanita di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Sejak tahun 1985, kami telah menuntut kesaksamaan gender dan keadilan sosial di Malaysia berlandaskan kerangka feminis. Kami menggembleng pelbagai kepakaran dan mengangkat suara wanita untuk meningkatkan kesedaran awam dan membawa pembaharuan undang-undang. Kami berpegang kepada prinsip hak asasi manusia sejagat untuk memajukan keadilan, kesaksamaan dan penghapusan diskriminasi.
Gabungan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG)
8 April 2020