No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Kenyataan Akhbar Berkenaan Permohonan Kebenaran SIS untuk Semakan Kehakiman

Sisters In Islam (SIS) melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T dan mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah memberikan kebenaran kepada kami untuk meneruskan Semakan Kehakiman terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertarikh 17 Julai 2014 dan diwartakan pada 31 Julai 2014. Kebenaran di bawah Aturan 53 Kaedah 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 ialah langkah permulaan bagi penyemakan dan penilaian semula bidangkuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa bahawa kami dituduh sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam kerana kononnya berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama .

Kami berharap merit Semakan Kehakiman ini dapat diputuskan oleh Mahkamah Tinggi memandangkan ia melibatkan perkara-perkara yang bersangkutan dengan doktrin asas Perlembagaan yang menjamin kebebasan asasi individu. Kami antara lain memohon agar:

(a) Satu deklarasi bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor melalui fatwa yang tersebut diatas adalah bercanggah dengan Seksyen 7 Akta Mesin Cetak 1984;

(b) Satu deklarasi bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor melalui fatwa tersebut yang mengarahkan penyekatan laman-laman sosialadalah bercanggah dengan Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998;

(c) Satu deklarasi bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor melalui fatwa tersebut adalah ultra-vires dengan Perkara 10, 11, 74, Jadual ke-9 Senarai Persekutuan dan Negeri Perlembagaan Persekutuan yang mana ia telah melampaui bidangkuasa pentadbiran agama Islam negeri;

(d) Satu deklarasi bahawa kami yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai “company limited by guarantee” adalah tidak tertakluk dan bukan subjek kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor melalui fatwa tersebut;

(e) Satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor melalui fatwa tersebut yang menyatakan bahawa SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu serta kumpulan yang kononnya “berpegang dengan fahaman liberalism dan pluralisme agama” sebagai “sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam” ;

(f) Satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor melalui fatwa tersebut yang mengharamkan serta memberikan kuasa kepada mana-mana pihak untuk merampas “mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama”;

(g) Satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor melalui fatwa tersebut yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk “menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak”; dan

(h) Satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor melalui fatwa tersebut yang mengarahkan mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama untuk bertaubat dan kembali ke jalan Islam.

Tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tersebut adalah ultra-vires dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutamanya Perkara 5, 7, 8, 10,11dan bercanggah dengan prinsip keadilan asasi (natural justice) yang memberikan hak kepada kami untuk didengari sebelum sebarang keputusan dibuat.

Kami juga ingin menegaskan bahawa tindakan kami untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukanlah satu usaha untuk mengheret institusi agama di negara ini untuk dibicarakan di Mahkamah Sivil sebagaimana yang dituduh oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom melalui kenyataan akhbarnya bertarikh 9 November 2014.

Sebagai organisasi yang menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan sebagai grundnorm atau undang-undang dasar bagi negara ini, tindakan kami untuk memfailkan semakan kehakiman adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedia ada.

Akhirnya kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada peguam-peguam yang membantu memberi nasihat undang-undang kepada kami. Penghargaan ini juga kami rakamkan kepada organisasi-organisasi dalam dan luar negara serta individu perseorangan yang tidak pernah jemu memberikan sokongan kepada kami. Kami berharap agar permohonan semakan kehakiman ini dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email