No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Kenyataan Akhbar Berkenaan Bersih 2.0

Sisters in Islam (SIS) menyokong Bersih 2.0 dan sahutannya untuk perubahan system piliharaya. Sebagai sebahagian daripada kumpulan masyarakat madani Malaysia yang mendukung prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan dan demokrasi, kami berdiri teguh menyokong lapan tuntutan segera Bersih 2.0 sebagaimana yang tertera di dalam manifesto gabungan itu, antaranya akses bebas and adil kepada media dan pengakhiran kepada politik kotor.

Kami terkejut dengan penahanan yang dilakukan pada hari minggu yang lepas dan pengunaan laporan polis oleh elemen-elemen tertentu dalam parti politik dan kumpulan pendesak untuk menganggu dan mengintimidasi Bersih 2.0. Pengunaan bangsa dan agama untuk memusnahkan Bersih 2.0 semakin meningkat hingga membawa kepada ugutan bunuh ke atas Dato’ Ambiga Sreenevasan dan ahli-ahli jawatankuasa kemudi. Kami mengutuk pengunaan keganasan dan ugutan keganasan, sebaliknya satu dialog sivil perlu dikendalikan bagi menyelesaikan isu perbezaan pandangan.

Rakyat Malaysia dari segala pelusuk fahaman politik yang berbeza faham bahawa pilihanraya yang bebas dan adil adalah tunjak kepada demokrasi yang berjaya. Bagaimanakah konsep demokrasi ini boleh dimanipulasikan kepada sebaliknya adalah sangat mengejutkan malah adalah sesuatu yang membahayakan. Samada seseorang itu menyokong atau menolak posisi Bersih 2.0 memohon pembaharuan sistem pilihanraya, hak untuk berkumpul adalah satu keperluan penting di dalam sebuah masyarakat negara demokrasi.

Rakyat yang ditindas, samada kerana kesempitan fikiran atau rejim politik yang korup, harus bangkit untuk membetulkan apa-apa kesalahan yang berlaku di dalam negara mereka. Inilah yang hendak dilakukan oleh Bersih 2.0 dan penyokong-penyokongnya pada 9 Julai nanti, iaitu satu ekspresi terhadap keinganan asasi manusia bagi mengecapi dunia yang adil.

Kami ingin mengingatkan mereka yang memohon penangkapan atau serangan ganas terhadap Bersih 2.0 bahawa hak kebebasan berhimpun dan hak kebebasan bersuara adalah dijamin dibawah Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Sejagat. Perjanjian-perjanjian hak asasi manusia yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia, termasuk Konvensi Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), juga menekankan obligasi kerajaan Malaysia untuk menghormati, melindungi dan mempromosi hak asasi manusia sejagat. SUHAKAM juga dalam laporan-laporannya telah seringkali memohon kepada kerajaan untuk menghormati dan mendukung hak rakyat untuk berhimpun.

Sisters in Islam
27 Jun 2011
Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email