No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Keganasan Rumahtangga Merupakan Kelakuan Jenayah

Keganasan Rumahtangga Merupakan Kelakuan JenayahKenyataan oleh Dr. Abdul Hamid Othman, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, mengenai perlaksanaan Akta Keganasan Rumahtangga (AKR) sangat membimbangkan.  Kami tidak setuju supaya diadakan Akta Keganasan Rumahtangga yang berasingan untuk orang Islam di bawah pentadbiran Mahkamah Syariah atas sebab-sebab berikut:

Pertama, sungguh pun hal-hal berkaitan kekeluargaan untuk umat Islam adalah terdapat di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, keganasan rumahtangga bukanlah masalah kekeluargaan semata-mata.  Ianya tertakluk kepada bidang kuasa Kanun Keseksaan negara. AKR ialah undang-undang jenayah dan dengan itu berada di bawah ruang kuasa Mahkamah Persekutuan, tertakluk kepada perkara 74 Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, tidak terdapat percanggahan di antara Mahkamah Sivil dan Syariah.

Kedua, dengan menyatakan bahawa “terdapat beberapa perkara yang dianggap ganas oleh Akta ini yang tidak dianggap sedemikian oleh hukum syarak”, Dr. Hamid membawa andaian bahawa Islam membenarkan keganasan dalam keluarga.  Kami merasa terkilan kerana ayat-ayat al-Qur’an sentiasa berkisar di sekeliling soal keamanan, keadilan dan kesaksamaan.  Ayat-ayat al-Qur’an juga mengatakan tentang perhubungan saling menyangi dan mengasihani di antara lelaki dan wanita (Surah al-Rum, 30:21), bahawa lelaki dan wanita adalah sebagai pakaian bagi satu sama lain (Surah al-Baqarah, 2:187), bahawa lelaki dan wanita saling lengkap melengkapi antara satu dengan lainnya (Surah al-Imran, 3:195), bahawa lelaki dan wanita merupakan sahabat dan penjaga yang saling melindungi (Surah al-Tawbah, 9:71).  Memegang pendapat bahawa keganasan rumahtangga merupakan jenayah hanya di kalangan orang bukan Islam mempermainkan agama kita dan merpersendakan prinsip-prinsip keadilan Islam.

Ketiga, di negara ini semua orang yang melakukan keganasan mesti dihukum di bawah undang-undang jenayah yang sama, sama ada mereka warga negara atau tidak, Islam atau tidak, dan samada jenayah itu telah dilakukan ke atas seseorang yang tidak dikenali atau pun ahli keluarga sendiri.  Sepertimana Akta Perlindungan Kanak-kanak yang telah diluluskan oleh Parlimen dan berkuatkuasa ke atas orang-orang Islam dan bukan Islam, begitu juga sepatutnya dengan AKR. Sepertimana penderaan kanak-kanak oleh ahli keluarga sendiri telah diterima sebagai satu jenayah, begitu juga keganasan terhadap wanita oleh keluarga sendiri.  Yang mangsa mesti dilindungi, yang mengganas mesti diberi kemudahan kaunseling dan jika didapati bersalah, mesti dihukum.  Islam tidak harus diguna sebagai alasan untuk menghalang wanita menikmati keadilan.  Dan agama kita tidak sepatutnya dibiar berterusan membawa tafsiran yang salah supaya struktur dan amalan sosial yang menekan kaum wanita dapat terus kekal dan melanggar ajaran al-Qur’an yang sebenar.

Keempat, mangsa keganasan rumahtangga mesti diberi perlindungan yang sama di bawah satu undang-undang. Oleh kerana Undang-undang Keluarga Islam adalah di bawah ruang kuasa negeri, apa-apa perlindungan atau penyelesaian yang diberi oleh syariah mungkin tidak sama dari negeri ke negeri, dalam tafsiran dan perlaksanaannya.  Keadaan ini sudah pun jelas jika kita lihat perlaksanaan Undang-undang Keluarga Islam, misalnya kes-kes poligami di mana hanya sebahagian sahaja negeri yang memerlukan persetujuan isteri yang ada sebelum suami dibenarkan berpoligami.  Dalam amalannya, ini telah membolehkan lelaki Islam mengambil kesempatan menggunakan undang-undang yang berbeza-beza antara negeri untuk kepentingan sendiri.

Sisters in Islam adalah sebahagian dari Kumpulan Tindakan Bersama Menentang Keganasan Terhadap Wanita (JAG – Joint Action Group Against Violence Against Women).  Buat lima tahun JAG telah melibatkan diri dalam rundingan untuk mewujudkan Akta Keganasan Rumahtangga yang ada sekarang.  Pusat Islam, bersama degan jabatan-jabatan kerajaan lain, telah diwakili sepanjang proses rundingan ini yang bermula dari Ogos 1989 lagi.  Isu-isu yang ditimbulkan di atas telah pun dibincang secara halus dan persetujuan muktamat telah dicapai pada tahun 1994 mahupun ianya tidak memenuhi kesemua kehendak JAG.  JAG telah banyak bertolak ansur supaya Akta ini dapat diterima oleh semua pihak termasuklah pihak-pihak berkuasa agama.  Isu-isu yang boleh dianggap sebagai berada di bawah ruang kuasa syariah, seperti nafkah dan jagaan sementara dan nafkah sementara telah tidak dimasukkan ke dalam Akta yang terdapat sekarang.

Pada 22 Mei 1994, dua bulan sebelum Akta ini diluluskan oleh Parlimen, Sisters in Islam, bagi pihak JAG, bertemu dengan Dr. Hamid, yang pada masa itu adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.  Beliau telah meyakinkan kami bahawa peruntukan Rang Undang-undang Keganasan Rumahtangga yang dicadangkan itu tidak bercanggah dengan syariah dan bahawa Pusat Islam tidak ada apa-apa tentangan jika ianya diguna pakai terhadap orang-orang Islam.

Kami percaya bahawa wanita, lelaki dan kanak-kanak Islam yang menjadi mangsa keganasan rumahtangga mesti diberi perlindungan dan penyelesaian yang sama seperti warganegara bukan Islam.  Kerajaan mesti menggerakkan kemahuan politiknya (political will) untuk melaksanakan undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen hampir dua tahun dahulu dan yang telah dirundingankan selama lima tahun oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan mereka yang mengambil berat tentang hal ini.  Peraturan untuk perlaksanaan undang-undang ini telah pun diuruskan oleh pejabat Peguam Negara.  Keterangan telah pun diberi kepada yang mereka masih sangsi.  Apa yang diperlukan sekarang adalah penetapan tarikh untuk Akta ini dilaksanakan oleh Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Dalam Islam, kata-kata yang murni mesti dikotakan oleh perbuatan yang murni.  Adalah tidak tegas bagi Kerajaan meluahkan kata-kata mengenai nilai-nilai kekeluargaan dan masyarakat penyayang, jika tindakannya menghalang wanita dan kanak-kanak dari mengecapi keindahan hidup di dalam rumahtangga yang bebas dari keganasan.  Hak ini mesti dilindung dan digalak oleh Kerajaan.

Wanita, kanak-kanak dan mangsa keganasan rumahtangga yang lain dalam negara ini tidak sepatut dibiar tertunggu-tunggu untuk mengecapi faedah yang timbul dari peruntukan Akta Keganasan Rumahtangga.

 

Sisters in Islam
Kuala Lumpur
12 Mac 1996

Surat ini telah diterbitkan dalam  Utusan Malaysia, The New  Straits Times dan The Star.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email