No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Jawapan SIS Kepada Seruan Solat Hajat JAIS Berkaitan Semakan Kehakiman

Menegakkan Keadilan, Bukan Mencabar Akidah: Jawapan SIS Kepada Seruan Solat Hajat JAIS Berkenaan Semakan Kehakiman

Merujuk kepada laporan Harian Metro bertarikh 4 Jun 2025 mengenai pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS):
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/06/1227006/jais-mohon-solat-hajat-kes-sis-forum-malaysia-cabar-keabsahan-fatwa-fahaman

Sisters in Islam (SIS) mengambil maklum yang JAIS telah menyeru kepada satu solat hajat diadakan untuk memohon petunjuk Ilahi. Sebagai orang Islam, kami juga percaya kepada keikhlasan dalam berdoa serta merenung diri secara spiritual, terutamanya ketika berdepan dengan isu-isu yang besar. Namun kami merasakan adalah penting untuk menjelaskan pendirian kami berhubung dengan semakan kehakiman yang sedang berjalan.

Tindakan undang-undang yang kami ambil bukanlah satu bentuk serangan terhadap agama Islam, jauh sekali mencabar kesucian agama itu. Ia adalah satu usaha mempertahankan hak perlembagaan sebagai warganegara Malaysia untuk mendapatkan keadilan apabila hak kami dicabar—terutamanya hak untuk didengar dan memastikan prinsip keadilan serta proses undang-undang yang sewajarnya dipatuhi.

Fatwa yang dikeluarkan pada tahun 2014 telah melabelkan SIS sebagai ‘sesat’ tanpa memberi kami ruang untuk mempertahankan diri. Fatwa ini memberi implikasi yang besar terhadap hak kebebasan bersuara, berpersatuan dan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kami bukanlah satu-satunya pihak yang menyuarakan kebimbangan tentang ketelusan dan keadilan dalam proses pewartaan dan pelaksanaan fatwa. Ramai cendekiawan, peguam dan organisasi masyarakat sivil telah bersuara agar proses ini lebih telus, inklusif dan bertanggungjawab—terutamanya apabila ia memberi kesan secara langsung kepada individu dan kumpulan masyarakat sivil.

Sisters in Islam kekal teguh dalam usaha memberi kefahaman Islam yang berlandaskan kepada prinsip keadilan, belas kasihan dan kesaksamaan—nilai-nilai yang mendasari objektif ‘maqasid syariah’. Kami telah lama memperjuangkan pembaharuan undang-undang Syariah agar ia lebih melindungi hak dan maruah perempuan Islam, khususnya yang berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam.

Sebagai satu-satunya organisasi di Malaysia yang menyediakan khidmat nasihat guaman percuma kepada perempuan yang berdepan dengan cabaran di mahkamah Syariah, perjuangan kami berdasarkan pengalaman sebenar perempuan dan dapatan daripada kajian di lapangan. Data dan maklum balas yang kami kumpul menunjukkan betapa perlunya kepada perubahan menyeluruh dalam sistem kehakiman Syariah. Perjuangan ini bukan baharu, dan kami berpegang teguh padanya—kerana keadilan perlu dilaksanakan segera.

Kami menggesa agar semua pihak mengadakan dialog dengan hikmah, dan membenarkan institusi kehakiman menjalankan tugasnya tanpa tekanan atau menjadi alat politik.
Kami percaya kepada kebijaksanaan dan kebebasan Mahkamah Persekutuan dalam membuat keputusan berdasarkan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan prinsip keadilan. Inilah semangat dan pendekatan kami bawa pada hari penghakiman pada tanggal 19 Jun 2025 ini.

Tentang Sisters in Islam
Sisters in Islam merupakan badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak-hak wanita Islam di Malaysia di dalam kerangka Islam, prinsip-prinsip hak asasi manusia, jaminan perlembagaan serta realiti kehidupan dan pengalaman wanita.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Ameena Siddiqi – Pengurus Komunikasi
Sisters in Islam – SIS Forum Malaysia
No.4, Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA
Email: [email protected] | Mobile: +6 012-380 1049 | Tel: +603 7960 5121 | Fax: +603 7960 8737

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email